Monday, September 7, 2015

PITCHING RTM ... SEKARANG!

Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memulakan pitching terbuka (open pitch) mulai hari ini sehingga Oktober nanti. Pitching ini dibuka kepada semua syarikat penerbitan yang berdaftar sebagai pembekal program untuk RTM samada untuk tv1, tv2 atau tv-i. Pitching ini merangkumi pelbagai jenis program termasuk yang bukan berbahasa Melayu.

Terdapat kira-kira 700 hingga 800 syarikat penerbitan yang berdaftar di negara ini. Daripada jumlah itu, tidak pasti berapa banyak syarikat yang aktif dan akan menyertai pitching kali ini.

Dalam pitching yang lepas (Disember 2014-Januari 2015), RTM telah menerima kira-kira 1,500 kertas cadangan program. Saya tidak sempat menyertai pitching yang lepas tetapi telah ditawarkan satu tajuk yang telah diluluskan iaitu Balang Bawah Bulan. Tajuk ini sudah melalui  mesyuarat penerbitan pada Ogos lalu. Khabarnya, tajuk ini adalah yang terakhir dalam kelumpuk pitching berkenaan yang dipanggil untuk mesyuarat penerbitan.  Durasinya 13 episod setengah jam.

Penulisan skrip Balang Bawah Bulan sedang berlangsung sekarang. Saya dibantu oleh penulis baharu, Nur Azilah Arif. Drama terbitan  Alternate Studios Sdn Bhd ini  akan diarahkan oleh Shahrulezad Mohamaden.

SUKU TERAKHIR 2015.. BERLARI ATAU BERJALAN?

Diam tidak diam, kita sudah tiba di suku terakhir tahun 2015. Kurang dari empat bulan lagi tirai 2015 akan dilabuhkan. Biasanya, September merupakan bulan untuk kita berhenti sejenak dan menilai sejauh mana kita sudah berlari dalam 'tiga suku' (tiga per empat) tahun ini? Apa yang sudah dicapai dan apa yang belum dicapai. Ini lah masanya untuk kita membuat pengubahsuaian sekiranya perlaksanaan tidak seperti yang dirancangkan.

Saya sendiri gagal melaksanakan apa yang dirancang. Tahun ini sepatutnya tahun 'berehat' dan mengurangkan aktiviti penulisan. Pada awalnya ingin menumpukan kepada hal-hal peribadi seperti pelajaran anak-anak, bersantai dengan kawan-kawan, melebihkan Tuhan dan kesihatan. Perancangan ini ke 'laut' akhirnya!

Rehat memang baik. Tetapi bagi mereka yang tidak berapa nak kaya macam saya, kalau berehat lama, bermakna akaun bank juga berehat! Ini pun satu masalah.  Atas dasar itu, memasuki suku terakhir 2015 ini, mungkin ada yang terpaksa berlari jika banyak lagi yang belum tercapai. Mungkin ada yang mula memperlahankan langkah setelah sebahagian besar perancangan menjadi kenyataan.

Apa pun, samada berlari atau berjalan, kita sebaiknya berlumba lah dengan diri sendiri, bukan berlumba dengan orang lain. Dan apa pun tujuannya, biar lah untuk mendapatkan pengiktirafan Tuhan, bukan manusia.

Sekian dahulu, salam September!

(Nota : Entri ini mungkin ala-ala kerohanian sedikit di hujungnya kerana penulisnya sedang meningkat tua pada bulan ini!)





Thursday, September 3, 2015

KEMBOJA DI HATI - LANGKAH PERTAMA

Hari ini bermulanya langkah pertama untuk skrip yang diilhamkan daripada novel Kemboja Di Hati (KDH) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya Ramlah Rashid ini tentang seorang aktivis NGO yang terpaksa mengorbankan banyak perkara dalam hidupnya, termasuk keluarga, demi sebuah perjuangan.

Perbincangan  pertama di TV Al-Hijrah (TVAH) telah berlangsung pada 2 Jun lepas. Perbincangan dengan tim produksi pada siang tadi, dihadiri oleh novelis, penulis skrip, pengarah, penerbit eksekutif, pengurus produksi dan editor. Penerbit, Ashraf Muslim tidak dapat hadir kerana jadualnya yang padat.

Novelis telah bersetuju dengan kehendak pihak stesyen televisyen yang hanya mahu mengambil sebahagian kecil isi kandungan novel. Atas dasar itu, proses perpindahan medium ini lebih sesuai digelar 'inspirasi' atau 'diilhamkan daripada' (Inspired By)

KDH yang diterbitkan oleh Al-Hidayah Production (AHP) akan bersiaran mulai 17 November ini, jam 10 malam, setiap Selasa.

Memandangkan tiada gambar perbincangan siang tadi, saya kongsikan di bawah ini gambar-gambar tim AHP dalam projek yang lepas, Pelangi Kita. Skrip Pelangi Kita adalah karya  pertama saya untuk AHP dan telah bersiaran di TVAH pada hari raya pertama yang lepas. KDH  akan menggunakan khidmat tim yang sama kecuali pengarahnya digantikan dengan Shahrulezad Mohamaden.





Tuesday, August 25, 2015

ADAPTASI NOVEL ACI PATMABI DAN KEMBOJA DI HATI TERBITAN DBP

Pagi tadi saya selesai membentangkan progres penulisan adaptasi novel Aci Patmabi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Projek ini untuk Bahagian Sastera, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Penulisannya sudah 60% siap dan tarikh penghantaranya pada hujung Oktober ini.

Novel karya Azmi Iskandar Merican ini tentang masalah sosial yang melanda masyarakat Melayu Jawi Peranakan di  Pulau Pinang pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Minggu hadapan pula, saya akan memulakan satu lagi  projek adapatasi novel bertajuk Kemboja Di Hati yang juga terbitan DBP.  Novel ini untuk TV Al-Hijrah, setiap Selasa, jam 10 malam. Drama bersiri ini mengekalkan tajuk yang sama seperti novelnya. Novelisnya, Ramlah Rashid telah menghasilkan 12 buah novel setakat ini.

Drama ini akan menggunakan khidmat Shahrulezad Mohamaden sebagai pengarah dan penerbitnya, Ashraf Muslim. Syarikat produksi milik Ashraf ini, Al-Hidayah Production, telah memenangi drama terbaik Anugerah Skrin 2014  dan banyak lagi kategori melalui drama bertajuk Matahari Terbit Lagi.

Wednesday, August 19, 2015

MAHU BELAJAR MENULIS SKRIP? JOM..!!!


MAHU JADI PENULIS? JANGAN! - BAHAGIAN 3

Kata lah anda meminati gaya penulisan seseorang. Dia menjadi idola kepada anda sejak sekian lama lagi. Anda teruja melihat dia dari jauh. Bagi anda, kejayaan dia cukup manis dan pencapaiannya cukup hebat. Anda terlalu ingin menjadi seperti dia. Seluruh usaha dihabiskan dengan cuba menulis seperti gaya penulisannya.

Hakikatnya, apabila kita mahu menjadi orang lain, di sini lah kegaagalan kita. Justeru, berhenti lah menulis dan cari lah kerja lain yang bersesuaian dengan jiwa anda jika anda mahu menulis seperti orang lain menulis (maksudnya gaya penulisan)

Satu perkara lagi,  jika anda tidak terdesak mahu popular, tidak terdesak mahukan wang yang berkepul-kepul di dalam bank, tetapi ada sesuatu yang berkobar-kobar di dalam diri untuk dikeluarkan - malah sehingga tidak boleh tidur malam dibuatnya jika tidak dikeluarkan - sila lah men'jebak' kan diri ke dalam dunia penulisan kreatif. 

Dunia ini tidak enak dan tidak selesa. Tetapi entah kenapa ramai juga yang "terjebak" ke dalamnya. Dan hanya mereka dan keluarga mereka sahaja yang tahu kenapa.

Bersambung...

Saturday, August 15, 2015

MAHU JADI PENULIS? JANGAN! - BAHAGIAN 2

Baik lah, kamu jelas dengan impian kamu iaitu mahu menjadi penulis terkenal dan memandu BMW. Tetapi masalahnya, kamu sukar mencari idea-idea untuk penulisan. Lantaran itu, kamu sentiasa bertanya penulis-penulis yang sudah berjaya sampai ke tahap 'itu', bagaimana mereka mendapat idea untuk menulis sedangkan itu sesuatu yang sangat susah buat kamu.

Berikut ialah jawapan saya :

Bagi mereka yang berasa sukar mendapat ilham untuk menulis, baik jangan menulis terus. Kata lah kamu duduk di hadapan komputer sambil merenung skrin selama dua tiga hari sehingga sengal bahu, sakit belakang atau sakit satu badan dibuatnya. Atau merenung kertas kosong dengan pen di tangan selama berjam-jam tanpa mampu menulis satu perkataan pun. Jika kamu gigih berfikir sehingga keluar darah dari kepala sekalipun, kamu sebenarnya bukan seorang penulis. Jadi, lupakan sahaja niat murni untuk men'jebak'kan diri ke dalam bidang ini. Penulisan kreatif ternyata bukan untuk anda.

Seorang penulis tidak akan sedar dan tahu dari mana ilham itu datang. Ilham buat seorang penulis, muncul dengan tiba-tiba dan mengalir seperti air di sungai yang belum tercemar - yang biarpun disekat dengan apa cara sekali pun, ia tetap akan mengalir. Apabila seorang penulis itu duduk di hadapan komputer, dia biasanya tidak sedar dari mana idea itu datang dan bagaimana untuk menitipkannya. Situasinya sama seperti orang memandu kereta. Pemandu kereta yang berpengalaman, tidak sedar yang dia sedang menekan pedal minyak, brek ketika lampu merah, menukar gear, memberi isyarat dan sebagainya. Semua orang boleh memandu sambil memikirkan hal-hal lain, berbual, menikmati lagu di radio, sehingga lah tiba di destinasi dan mematikan enjin.

Sehubungan itu, jangan menulis jika ada rasa hendak mencari dan mencurahkan idea itu merupakan satu kerja yang sangat payah.









Monday, August 10, 2015

MAHU JADI PENULIS? JANGAN! - BAHAGIAN 1

Dunia penulisan kreatif memang menggoda sesetengah orang. Biasanya dianggap sebagai bidang yang 'popular'.

Hakikatnya, dunia penulisan ini tidak lah seindah yang disangka. Terlalu banyak ranjau yang tersembunyi di sepanjang perjalanannya. Banyak yang pahit kalau memilih untuk menjadi penulis kreatif sepenuh masa.

Seseorang tidak boleh menjadi penulis kreatif jika  mahukan wang dan nama. Kamu tidak akan berjaya jika ini 'niat'nya. Memandangkan nama dan wang akan datang kemudian, ramai yang tersungkur di tengah jalan. Ramai yang berpatah balik sebelum tiba kepada perkara yang paling kemudian itu.

Jadi, jangan jadi penulis jika mahukan nama dan wang yang berkepuk-kepuk di dalam bank dalam sekelip mata. Ini tidak mungkin berlaku. Atas dasar itu lah saya tidak begitu senang apabila ada orang bertanya, "boleh kah pakai BMW dengan menjadi penulis skrip sepenuh masa?"

Jawapannya, boleh! Tetapi...

Bersambung....

(Nota : Artikel ini pernah tersiar di majalah Era Muslimah - kolum Maizura Menulis)



Sunday, April 19, 2015

PILOT CAFE DI PAWAGAM MULAI 30 APRIL

Nama Ahadiat Akashah dikenali sejak 1980-an lagi sebagai novelis. Setelah 30 tahun menulis, beliau dikenali sebagai novelis prolifik sehingga tersenarai dalam Malaysia Book of Records. Beliau juga menulis skrip drama televisyen dan filem. Pada peringkat awal pembabitan saya dalam dunia penulisan skrip, kami pernah berkolaborasi menghasilkan skrip drama bersiri sempena hari kemerdekaan untuk siaran TV1.

Sudah lima buah novel tulisannya diadaptasikan ke filem cereka. Sebahagian skripnya ditulis oleh beliau sendiri dengan kerjasama penulis lain.

Karya adaptasi terbaharu beliau, Pilot Cafe akan menemui peminat di pawagam tempatan mulai 30 April ini.  Filem terbitan Tarantella Pictures Sdn Bhd bersama Astro Shaw Sdn Bhd ini, berdasarkan novel Ahadiat bertajuk sama yang terbit pada 1995.
Filem arahan Osman Ali ini berjaya meruntun perasaan wakil media yang hadir di pra-tonton pada minggu lepas di pawagam GSC Nu Sentral, Brickfield, Kuala Lumpur. 

Pilot Cafe mengangkat tema keinsafan apabila menceritakan tentang juruterbang yang hidup bebas dengan mempermainkan wanita, telah kembali menolong wanita demi menebus kesalahannya.

Menurut Ahadiat, kisah ini ditulis berdasarkan pengalaman rakan-rakannya yang pernah bertugas sebagai juruterbang.

Barisan pelakon terdiri daripada Fahrin Ahmad, Izara Aisyah, Neelofa, Remy Ishak dan Eizlan Yusuf. 

Selamat menonton, ya.

BELASUNGKAWA AZWAN ANNUAR

Sungguh mengejutkan apabila mendapat berita Azwan Annuar telah kembali ke rahmatullah, semalam, jam 10 pagi, kerana serangan jantung.

Allahyarham dikenali ramai melalui wataknya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid. Dalam filem itu, wataknya sering mengucapkan dialog "sabor jer lah" dan kemudiannya menjerit ketakutan apabila dipeluk oleh Kak Limah.

Bagi penggiat industri, beliau dikenali sebagai penulis skrip, pegawai perhubungan awam dan blogger hiburan.

Perkenalan saya dengannya amat singkat, hanya bermula pada tahun lepas apabila beliau menyertai bengkel penulisan skrin anjuran Finas yang dikendalikan oleh saya sebagai tenaga pengajar. Memandangkan beliau pernah menulis skrip dan paling berpengalaman berbanding peserta lain, beliau lah yang paling menunjukkan minat dan banyak bertanya soalan. Sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi meriah dan bersemangat dengan adanya peserta seperti beliau. Semakin teruja beliau apabila saya memperkenalkan struktur skrip Save The Cat oleh Blake Snyder. 

Bulan lepas, kami bertemu di ceramah umum oleh pengarah terkenal Indonesia, Riri Reza di Finas Hulu Kelang. Allahyarham kelihatan gembira bertemu saya dan bersemangat dengan sesi apresiasi Sokola Rimba yang ditayangkan pada hari itu. Terus beliau bertanya pendapat saya tentang filem itu. Kami sempat merakam gambar bersama teman serumahnya, blogger Amy Ikram.


Biarpun baharu kenal, saya tetap terasa kehilangannya. Apatah lagi di kalangan penggiat industri yang sudah lama mengenali Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.




Thursday, April 9, 2015

BENGKEL SKRIP DI SARAWAK APRIL INI

Setelah kejayaan Bengkel Penulisan Skrip di Kuala Lumpur, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional  Malaysia (FINAS) meneruskan bengkel anjurannya di Sarawak pula. Bengkel yang akan diadakan di cawangan Santubong, bermula pada 20 sehingga 28 April ini.

Bengkel ini turut mengekalkan tenaga pengajar yang sama iaitu Mazelan Manan, Zabidi Mohamed dan saya sendiri.

Mereka yang berminat boleh lah mendaftar melalui laman sesawang Finas di SINI atau menelefon di nombor 03 4104 1300.

Tuesday, April 7, 2015

Masa Hadapan Industri Kreatif

Pada 26 Mac lalu,  saya telah membentangkan tentang industri kreatif secara umum kepada Bahagian Sastera,  Universiti Sains Malaysia.  Pembentangan ini adalah sebahagian daripada tugas saya sebagai Karyawan Tamu di bahagian berkenaan yang terletak di bawah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

Secara ringkas, industri kreatif bermaksud aktiviti dalam pelbagai bidang seni yang boleh memberi pulangan dari segi ekonomi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja dapat memberi pendapatan kepada penggiat seni, malahan, dapat meningkatkan ekonomi negara.

Industri ini merangkumi penerbitan filem cereka, drama, program televisyen , iklan, video, novel, majalah, komik, permainan komputer,  rakaman seni suara, muzik, drama pentas (teater), termasuk seni tampak, kraf dan warisan  seperti batik, songket, ukiran tembikar dan sebagainya.

Tujuan pembentangan itu ialah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dan pensyarah tentang masa hadapan dan hala tuju industri ini untuk jangkamasa tiga hingga lapan tahun tahun yang akan datang.

Maklumat daripada pembentangan ini diharapkan dapat membantu pelajar membuat persediaan untuk memasuki industri kreatif. Selain itu, dapat membantu  pensyarah merangka program-program yang akan  memberi 'nilai tambah' kepada pelajar sekiranya mereka berminat untuk menyertai industri kreatif apabila tamat belajar kelak.


Saturday, April 4, 2015

Mama Juwie Telah Tiada (Belasungkawa)

Pemergian Mama Juwie tidak mengejutkan saya. Memandangkan sudah maklum tentang penyakitnya melalui media sosial sejak Mac lalu. Namun, kematiannya menyebabkan saya terkilan kerana tidak sempat berbual dengannya walaupun peluang itu sentiasa ada.

Allahyarham tidak penah mengenali saya. Tetapi saya pernah menegur beliau ketika terserempak di gerai-gerai makan di sekitar  AU3 (Ampang Ulu Klang).  Sama seperti orang lain yang sudah bersara, beliau sering kelihatan santai seperti tiada perkara penting hendak dibuat. Sementara saya, tergesa-gesa menguruskan keluarga dan kerjaya penulisan. Setelah membungkus lauk  dari gerai, bergegas pula untuk menghantar anak-anak ke aktiviti sekolah atau tusyen atau ke mesyuarat.

Selain itu, pernah juga terserempak dengannya di Majlis Ulangtahun Berita Harian beberapa tahun dahulu. Dia berada di hadapan saya ketika menulis namanya besar-besar di buku kehadiran tetamu  - ABDUL JALIL SALLEH.

Sekiranya saya sempat berbual dengannya, satu sahaja yang saya ingin beritahu - bahawasanya Mama Juwie adalah salah seorang inspirasi untuk saya menyertai dunia kewartawanan. Tokoh lain yang menjadi sumber inspirasi seperti Adibah Amin, Azah Aziz, A. Samad Ismail dan A Samad Said. Tokoh fiksyen yang mempengaruhi saya pula seperti  Clark Kent, wartawan Daily Planet (dari francais Superman)

Saya membaca kolum Auw! Juwie sejak di bangku sekolah. Dan mendengar lirik-lirik ciptaannya dalam lagu-lagu popular. Pernah juga  berangan hendak menjadi penulis lirik.  Namun, angan-angan itu 'ke laut', walaupun peluang itu sentiasa ada.

Apa pun, tidak penting untuk Mama Juwie tahu yang dia telah mencetuskan sesuatu dalam diri saya ketika zaman remaja dahulu. Kerana sememangnya Mama Juwie telah berjaya menyentuh hati
jutaan insan lain yang pernah melalui zaman 1980-an dan 1990-an,  samada melalui tulisannya di ruangan hiburan akhbar Mingguan Malaysia, lirik lagu atau majalah Mangga yang diasaskannya.

Semoga Allahyarham tenang dalam perjalanan menuju ke negeri abadi.

Al-fatihah.








Monday, March 16, 2015

TAKLIMAT SALURAN HIKMAH (UNIFI 113) & SAHARA (MYTV)

Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS) akan menganjurkan taklimat mengenai keperluan, gaya, kandungan dan corak persembahan dua saluran iaitu Hikmah di platform internet dan Sahara di platform digital.

Taklimat ini akan diadakan pada 29 Mac ini (Ahad) di Pawagam Mini P Ramlee, Finas, Hulu Kelang, pada jam 9.30 pagi.

Hikmah sudah bersiaran sejak beberapa tahun dahulu dan kini sedang melalui proses penjenamaan semula dengan isi kandungan yang baharu dan lebih segar. Hikmah ditawarkan percuma kepada pelanggan Hypp TV (Internet Protocol Television) yang menggunakan talian Unifi milik Telekom.

Sahara pula saluran percuma yang akan bersiaran di platform digital terestrial,  MYTV mulai tahun hadapan. Sebagai saluran percuma, Sahara memerlukan kandungan yang berbeza dengan kandungan yang sedia ada di saluran percuma lain seperti RTM, TV3, TV9  dan TV al-Hijrah.

Apakah kelainan yang dicari oleh saluran ini? Semua akan terjawab melalui taklimat pada hujung bulan ini.

Selain itu, PENULIS turut membawakan seorang penulis skrip yang berpengalaman selama 20 tahun di dalam industri,  Zarihah Hassan. Ini lah nama di sebalik drama-drama bersiri yang popular di pelbagai saluran tempatan.

Kenali Zarihah dalam entri akan datang, ya.

Sementara itu, tandakan tarikh 29 Mac di kalender anda untuk temujanji dengan persatuan PENULIS.

Jumpa di sana!




Friday, March 13, 2015

"PITCHING' TERBUKA TV3 & TV9

Tahun ini merupakan tahun kedua pihak TV3 dan TV9 membuka peluang kepada orang awam dan penulis baharu untuk menjual idea drama kepada kedua-dua saluran berkenaan. Acara pitching terbuka ini diadakan  sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL)  tahun ini. Keutamaan diberikan kepada penulis skrin baharu yang belum pernah menulis di TV3 dan TV9.

Ayuh, ini lah peluang untuk mencuba bakat menjual idea, mana tahu ia berhasil?

Pitching terbuka ini diadakan pada hari Sabtu dan Ahad ini (14 hingga 15 Mac) di bangunan The New Straits Times Press (M) Berhad, Jalan Riong, Kuala Lumpur. Tidak perlu mendaftar lebih awal. Peserta hanya perlu datang antara jam 9 pagi sehingga 5 petang, mendaftarkan nama dan kemudian…pitch!

Pada hari yang sama dan di tempat yang sama  juga, akan  berlangsung bengkel-bengkel seni oleh penggiat industri berpengalaman (sila rujuk entri tentang DFKL sebelum ini untuk nama-nama pembimbing bengkel)

Sementara itu, undian di atas talian untuk Anugerah DFKL 2015 juga masih dibuka. Manakala siaran ulangan drama rantaian Cinta Pandang Ke-2  di Slot Aurora TV9 sempena DFKL telah ditukar ke hari Ahad, jam 8.30 malam. (Sebelum ini, bersiaran pada setiap Khamis waktu yang sama)

Kepada mereka yang menyukai Cinta Pandang Ke-2, jangan lupa mengundi karyawan drama ini (termasuk penulis skrip nya!) di laman sesawang DFKL iaitu di pautan ini -  UNDIAN DFKL 2015

Selamat maju jaya kepada semua.

Saturday, March 7, 2015

YB KJ @ IKAL MAYANG 2015

Esok, 8 Mac adalah Hari Wanita Sedunia. Tarikh ini sentiasa diingati biarpun sudah hampir dua dekad saya meninggalkan Meja Wanita Berita Harian. Dahulu, sambutan ini sering berkait rapat dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh aktivis wanita - yang releven pada waktu itu - untuk ditulis dan disiarkan. Sekarang, setelah berkecimpung dalam dunia filem dan drama, sambutan ini mengingatkan pula kepada Filem Pendek Ikal Mayang.

Filem pendek ini bermula pada 2013 dan kemudiannya menjadi acara tahunan. Idea ini tercetus oleh  beberapa selebriti wanita yang prihatin  tentang isu-isu kewanitaan, apatah lagi banyak isu tidak disiarkan di media arus perdana. Hasil tidak puas hati dengan paparan arus perdana tentang wanita, lahir lah 15 filem pendek pada awalnya. Saya mula mengetahui tentang ini daripada aktres Sofea Jane yang ketika itu sedang menyiapkan karyanya, 1-800-Baby. 



Tahun ini, penyertaan bertambah kepada 18.  Lebih menarik, penganjur mula membuka penyertaan kepada kaum adam. Lima  lelaki  terpilih telah mengarahkan karya masing-masing dan seorang daripadanya adalah menteri kabinet! Siapa lagi kalau bukan YB Khairi Jamaludin.

Acara anjuran badan bukan kerajaan  WOMEN : girls ini, berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 6 hingga 8 Mac (esok) di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut boleh didapati di  FACEBOOK dan  LAMAN WEB organisasi berkenaan.




Wednesday, March 4, 2015

DALAM IRADAT-MU @ TV AL HIJRAH

Dalam Iradat-Mu bersiaran buat  kali pertama pada Oktober lalu di TV Al-Hijrah sempena sambutan ulangtahun ke-4 rangkaian televisyen berkenaan. Drama rantaian ini kembali menemui penonton di rangkaian yang sama mulai 10 Februari lalu, jam 10 malam. Semalam, adalah episod yang ke-4. Bermakna ada lagi 10 episod untuk diikuti pada hari Selasa, setiap minggu.

Drama ini merupakan sebuah adaptasi longgar daripada novel Ya Maulana karya Hana Ilhami terbitan  Karya Seni Sdn Bhd. Ia tentang seorang 'maulana' dengan madrasahnya  dan seorang gadis dari bandar.  Pelakon utama merupakan pasangan suami isteri yang tidak asing lagi, Zahiril Adzim dan Sheira Ayyob.

Karya terbitan Global Station Sdn Bhd ini ditulis bersama  oleh saya, Zuli Ismail dan Eja Lorena manakala pengarahnya, Keoi Haji Khalid.

Bagi mereka yang terlepas episod 1 hingga 3 boleh mengikutinya di atas talian iaitu di link berikut :

Media.Khlstore.com





DALAM IRADAT-MU, TVAH, SELASA, 10 MALAM

Monday, March 2, 2015

DRAMA FESTIVAL KUALA LUMPUR (DFKL 2015)

Tahun ini masuk tahun kedua pihak TV3 dan TV9 menganjurkan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Seperti tahun lalu, penganjuran kali ini juga menampilkan acara seperti bengkel, filem pendek, uji bakat dan  anugerah drama-drama popular di  saluran berkenaan sepanjang tahun lalu.

Cinta Pandang Ke-2 (CPK2) terbitan ZK Creative Production Sdn Bhd (ZKCPRO)  turut tercalon.

Skrip saya ini,  merupakan inspirasi daripada novel bertajuk sama karya Laila Kamilia terbitan Grup Buku Karangkraf (GBK). Penulisannya dibantu oleh Zuli Ismail manakala Laila turut menyumbang sebahagian kecil daripada skrip.

Sekarang, CPK2 sedang diulang siaran di Slot Aurora TV9, setiap Khamis, jam 8.30 hingga 9.30 malam. Sebelum ini, CPK2 turut tercalon dalam lima teratas (TOP 5) kategori drama adaptasi pilihan pembaca Anugerah GBK.

Penyampaian anugerah akan berlangsung pada 15 Mac ini dengan kategori seperti drama pilihan, pelakon lelaki pilihan, pelakon wanita pilihan, pengarah pilihan dan penulis skrip pilihan.

Bagi yang ingin  mengundi, sila ke link DFKL 2015 - undi

Sementara itu, beberapa karyawan  akan berkongsi pengalaman melalui bengkel lakonan, arahan, animasi dan komedi. Mereka adalah pengarah terkenal,  Datuk Yusuf Haslam, Mamat Khalid, Nik Amir Nik Mustafa,  Jinggo, Khai Bahar, Nizam Razak, Faizu, Tariq Usamah Zaid, Shiela Rusly, Adi Putra, Remy Ishak,  Ebi Yus, Didie Alias, Sharifah Shahira dan NorKhiriah.


Bengkel ini terbuka kepada orang ramai pada 14-15 Mac, dengan yuran RM100 seorang,  di Balai Berita, The New Straits Time Press Berhad, Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.  (Harga pelajar RM60 seorang)

Bagi filem pendek pula, sila ke link ini untuk  Undi Filem Pendek DFKL 2015

Semoga DFKL 2015 berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam usaha  mengembangkan lagi industri drama televisyen dan perfileman tempatan.



Tuesday, January 27, 2015

BENGKELPENULISAN SKRIN FINAS BERMULA SABTU INI

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan menganjurkan satu bengkel penulisan skrin yang bermula pada Sabtu ini, 31 Januari 2015. Bengkel ini akan berlangsung selama sembilan hari iaitu sehingga 8 Februari 2015, bertempat di Studio Ho Ah Loke, Finas, Hulu Kelang.

Bagi memantapkan program latihan, bermula pada tahun ini, Unti Latihan Finas telah menambah bilangan hari bengkel, tenaga pengajar dan silibus latihan.

Silibus akan menumpukan kepada asas-asas penulisan skrin yang bermula dari peringkat mendapatkan idea, menyediakan proposal, pitching, penyediaan trailer atau photo story, struktur skrip, treatment sehingga lah ke peringkat akhir - penulisan lakon layar/lakon tv.

Tiga orang tenaga pengajar iaitu Zabidi Mohamad, Mazelan Manan dan Maizura Mohd Ederis akan mengendalikan bengkel ini. Yuran pendaftarannya sangat berpatutan iaitu hanya RM150 untuk seorang peserta.

Bakat-bakat baharu yang berminat untuk menimba ilmu, boleh hubungi Unit Latihan Finas di talian umum 03 4104 1300.




Wednesday, January 7, 2015

2014 - TAHUN FILEM BERKUALITI

Hari ini genap seminggu kita berada di tahun baharu masehi 2015. Rasanya masih tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada pembaca blog ini. Semoga tahun ini kita semua lebih makmur, sihat dan ceria. Harapan juga agar industri filem dan televisyen kita terus berkembang dalam keadaan ekonomi yang diramalkan 'tidak sihat', demi sesuap nasi.

Apa pun, kita patut bangga dengan prestasi filem-filem tempatan pada tahun 2014. Memang ada peningkatan dari segi kualiti, antaranya seperti Sejoli, The Journey, Kami Histeria, Abang Long Fadil, CEO, Tembus, Dollah Superstar, Gila Baby, Amir dan Loqman Pergi Ke Laut, Lelaki Harapan Dunia, Ophilia, Manisnya Cinta Di Capadocia, Terbaik Dari Langit, dan beberapa judul lagi.

Bagaimanapun, dari segi kutipan tiket di pawagam  agak menyedihkan.  Tanpa mengambil kira The Journey yang luar biasa kutipannya (RM17 juta), kebanyakannya nampak susah hendak bernafas. Ada yang hanya mengutip sekitar RM200,000 hingga RM300,000 walaupun filem-filem itu bagus.

Hanya Ah Beng The Movie (Bahasa Kantonis) dan Abang Long Fadil berjaya mendapat kutipan melebihi RM4 juta.

Jumlah filem pula meningkat dari tahun sebelumnya iaitu 81 judul berbanding 71 judul pada 2013.

Sementara itu, filem pembuka tirai 2015, salah satunya  Suamiku Encik Perfect 10 yang menampilkan Aaron Aziz dan Lisa Surihani. Ini juga adaptasi daripada novel popular tempatan. Filem arahan Feroz Khan ini diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn Bhd dan Global Station Sdn Bhd.

Semoga 2015 menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk filem kita, baik dari segi kualiti mahupun jualan tiket.

Sumber : Laman sesawang FINAS dan Astro Shaw Sdn Bhd.