Wednesday, January 13, 2010

NASIB PENULIS SKRIP...PART 5

Seminggu berlalu, Eizlan Yusof sudah pun bertemu dengan pengerusi Screen Writers Association of Malaysia (SWAM), Encik Ismail Ahmad (Pak Mail). Ini kata Eizlan yang saya petik dari thread asal pada 8 Januari 2010 :
“... berkesempatan berjumpa dengan en ismail semlm petang dan telah menyampaikan hasrat anda semua tanpa saya menyebut nama sesiapa yg ada di thread ini... beliau mengalu alukan sebarang komen dan bersedia untuk mengadakan perjumpaan pada bila2 masa dan tempat bagi menguraikan kekusutan dan persoalan yg masih belum terurai... katanya, beliau telah menjalankan tugas sebagai peneraju tetapi mungkin apa yg telah beliau lakukan, masih tidak cukup untuk memenuhi kehendak semua pihak dan mungkin jugak ada persoalan yg beliau terlepas pandang, beliau juga mengalu alukan kepada sesiapa juga yg mahu tempat beliau asalkan bakal, mampu untuk melaksanakan tugas demi untuk kebaikan SWAM...
Akan tetapi ada syaratnya :
“…. hanya PENULIS YANG BERDAFTAR DENGAN SWAM SAHAJA YANG LAYAK UNTUK BERCAKAP DAN BERBINCANG DENGAN BELIAU...
Ekoran maklumbalas itu, Nor Faznita Mohd Nor, sebagai salah seorang ‘senior’ di thread berkenaan mencadangkan agar dibuat satu perjumpaan awal di kalangan semua penulis tidak kira samada ahli SWAM atau bukan ahli SWAM dan samada penulis bebas (freelance writer) atau penulis residen (in-house/resident writer). Perjumpaan ini merupakan satu persediaan untuk berjumpa pengerusi SWAM kelak. Berikut adalah cadangan tarikh dan tempat :
TARIKH : 21 FEBRUARI 2010 (AHAD)
MASA : 3 PETANG
TEMPAT : FINAS, HULU KLANG, KUALA LUMPUR.
KEHADIRAN : AHLI SWAM/BUKAN AHLI SWAM/PENULIS SKRIP BEBAS/PENULIS SKRIP RESIDEN (IN-HOUSE).
SYARAT : SEMUA PENULIS MESTI LAH PERNAH MENGHASILKAN KARYA DI KACA TV, SEKURANG-KURANGNYA SEBUAH KARYA, TIDAK KIRA SAMADA SKRIP DRAMA TV, DOKUMENTARI, MAJALAH, BUAL BICARA, PROGRAM REALITI, GAME SHOW DAN SEBAGAINYA.
Perjumpaan yang dirancang ini akan mengenalpasti beberapa agenda, antaranya seperti berikut :
1. Berapa ramai penulis ahli SWAM yang bersetuju hendak berjumpa dan berbincang dengan pengerusinya?
2. Berapa ramai penulis bukan ahli SWAM yang berminat hendak 'berkenalan' dengan pengerusinya? (Golongan ini perlu mendaftar sebagai ahli SWAM terlebih dahulu)
3. Sekiranya, majoriti BERSETUJU berjumpa pengerusi SWAM, apakah topik atau isu utama yang akan disampaikan kepada pengerusi kelak? Siapa yang layak menjadi jurucakap? Dan bila ia akan diadakan?
4. Sekiranya majoriti TIDAK BERSETUJU berjumpa pengerusi SWAM, apakah ada cara lain yang lebih bernas untuk menyelesaikan isu berkaitan kebajikan penulis skrip di dalam industri ini?
Sehubungan itu, saya berharap agar para penulis skrip di luar sana dapat memberi maklumbalas samada mahu hadir atau tidak ke perjumpaan pada 21 Februari 2010, paling lewat sebelum Tahun Baru Cina iaitu 14 Februari 2010.
Pengesahan kehadiran boleh dibuat melalui blog ini, facebook atau SMS kepada nombor 017-349 2227.
Saya mengucapkan terima kasih kepada segelintir penulis yang awal-awal lagi sudah mengesahkan kehadiran masing-masing. InsyaAllah, saya akan menaikkan nama mereka di blog ini dan facebook dalam masa terdekat ini.
ENTRI INI DIKEMASKINI PADA 15 JANUARI 2010 :
Alhamdulillah, setakat ini, 35 nama telah bersetuju untuk hadir. Di kalangan mereka, tidak kurang juga nama besar dan sudah 20 tahun berada di dalam industri. Saya akan naikkan semua nama dalam entri akan datang. Dan setakat ini, dua orang penulis skrip turut membicarakan isu ini dalam blog mereka :
http://www.mazelanmanan.blogspot.com
http://rusliesophian.com

Tuesday, January 5, 2010

NASIB PENULIS SKRIP....PART 4

Perbincangan sihat di kalangan sekelumpuk penulis skrip di satu thread tertutup facebook, rupanya membuahkan sesuatu.
Eizlan Yusof menawarkan diri untuk mengutarakan permasalahan yang dihadapi oleh para penulis kepada pihak berwajib yakni Screen Writers Association of Malaysia (SWAM). Eizlan meminta tempoh seminggu untuk tugas itu atas dasar Presiden SWAM, Ismail Ahmad, seorang yang boleh dibawa berbincang.
Sementara itu, Nor Faznita Md Nor mencadangkan perjumpaan di kalangan penulis skrip dibuat dalam masa terdekat ini.
Saya perhatikan kebanyakan nama di thread itu kurang 'otai'. Bagaimana dengan ‘otai’ seperti Mazelan Manan, Ustaz Zabidi, Cik Li, Martias Ali, Mufid Suhaimi dan lain-lain lagi? Apa pandangan mereka tentang nasib penulis skrip yang kurang mendapat pembelaan di dalam industri? Harapnya, para penulis skrip di luar sana, tidak kira baru atau lama, dapat memberi pandangan samada setuju atau tidak dengan cadangan Eizlan dan Nor Faznita ini. Banyak lagi yang dibincangkan di thread itu. Antaranya :
Adakah perlu penulis skrip mengikut jejak ahli persatuan sutradra Malaysia (FDAM) dan SENIMAN?
Sekadar makluman, baru-baru ini, pengarah tersohor, Mamat Khalid nekad mahu membawa perubahan di dalam FDAM dengan bertanding merebut jawatan presiden. Beliau kalah. Dan berjanji akan bertanding semula dua tahun lagi dengan manifesto yang sama.
Pada masa yang sama, usaha sekelumpuk pengarah menubuhkan persatuan baru tetap diteruskan. Manakala SENIMAN mendapat presiden baru, Harun Salim Bachik yang berjanji akan membawa perubahan pada persatuan itu.Pun begitu, pengambilalihan teraju kepimpinan itu tidak begitu disenangi orang-orang lama.
Akhir kata, sama-sama lah kita nantikan perkembangan terbaru ini samada di SWAM, FDAM atau SENIMAN.

Friday, January 1, 2010

NASIB PENULIS SKRIP....PART 3

Nampaknya, tahun baru 2010 dibuka dengan luahan hati para penulis skrip. Berpunca dari seorang penulis skrip - yang ada di antara karyanya meletup dan beberapa kali tercalon untuk anugerah - telah menghantar mesej melalui Facebook kepada rakan-rakan penulis lain.
Dia memberi amaran agar berhati-hati dengan seorang penerbit kecil dan baru tetapi ‘besar kepala’. Sang penerbit bukan sahaja menganiaya dan menghina penulis itu. Malah mengugut mahu menyamannya tanpa asas yang kukuh.
Dalam luahan hatinya, nama penerbit itu disebut. Bukan untuk memburukkan tetapi untuk menyelamatkan kawan-kawan daripada turut menjadi mangsa.
Tidak sangka, ramai juga penulis lain memberi reaksi dan sokongan terhadapnya. Sehingga seorang penulis yang dikenali sebagai lantang bersuara, mencadangkan penubuhan sebuah persatuan untuk membela penulis skrip dalam hal yang sebegini.
Tidak sangka, dalam masa singkat, ramai yang ‘setuju’. Siap ada yang angkat dua kaki dan dua tangan supaya jumlah sokongan meningkat. Saya bertanya...
Bukan kah sudah ada beberapa persatuan untuk penulis skrip? Ada yang menjawab, persatuan tidak akan berbuat apa-apa kalau mengadu pun.
Mujur lah mesej itu dikongsi dengan sekelumpuk nama sahaja, bukan sebahagian besar penulis atau secara terbuka. Jika tidak, lagi lah hangat jadinya. Dan kepada bakal penulis skrip di luar sana, maaf sekiranya tulisan ini tidak memberi inspirasi kepada kalian. Apatah lagi jika ia melemahkan atau menakutkan untuk berkarya. Apa pun yang berlaku, hidup mesti diteruskan. Langkah mesti selalu ke hadapan, bukan ke belakang.
Selamat Tahun Baru Masehi 2010!

Wednesday, December 23, 2009

MENGIMBAS DETIK MANIS 17 TAHUN LALU

Pelancaran karya terbaru slot SUATU KETIKA semalam disempurnakan dalam suasana sederhana lantaran ketiadaan seorang pun para pelakonnya. Memandangkan tarikh tayangannya makin hampir, pelakon terpaksa meneruskan pengambaran di Batu Pahat, Johor di bawah arahan pengarah kedua, James Lee. Malah sidang telefon (tele-conference) yang pada awalnya dirancangkan untuk para pelakon dari set pengambaran juga tidak dapat diadakan.
Apa pun, majlis diserikan dengan kehadiran wira badminton negara, JALANI SIDEK dan FOO KOK KEONG. Biarpun 17 tahun sudah berlalu selepas kejayaan Thomas Cup 1992, mereka nampaknya tidak banyak berubah dari segi fizikal. Hanya berat badan yang kelihatan sedikit bertambah.
Majlis berkenaan mempersembahkan tayangan ekslusif dua karya yang akan mengisi slot SUATU KETIKA pada Januari ini.
Dokumentari THOMAS CUP 1992 akan bersiaran pada 3 Januari 2010, jam 6 petang di saluran Astro Prima (105).
Manakala drama siri mini (8 episod) berlatarkan era badminton negara, BIAR PUTIH TULANG JANGAN PUTIH MATA, mulai 6 Januari, setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di saluran Astro Citra (131).
Slot SUATU KETIKA diperkenalkan mulai Jun tahun ini untuk mengimbas detik bersejarah negara samada gembira mahu pun duka dalam bentuk fiksyen dan bukan-fiksyen. Sebelum ini, telah bersiaran drama dan dokumentari tentang perjuangan nasionalis Sarawak, Rosli Dhobi ; krisis rasuah dalam liga bolasepak semi-pro ; tragedi tanah runtuh Pos Dipang ; dan kegigihan skuad polis hutan orang asli, Senoi Praaq menentang gerila komunis.

Friday, December 18, 2009

TAHUN BARU..MENANTI PITCHING, 40 DAN UPSR...

Tahun baru datang lagi. Bagi sesetengah orang, hari ini mungkin sama seperti hari-hari sebelumnya. Bagi sesetengah orang pula, ia hari untuk perubahan. Namun, perubahan tidak hanya pada tahun baru. Sesetengah orang menjadikan setiap hari sebagai hari untuk berubah.
Jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.
Secara peribadi, saya takut dengan tahun ini kerana ini lah tahunnya saya akan melangkah ke angka 40. Dan anak sulung saya yang dilahirkan sebagai ‘disleksia’ (Dyslexia) nekad untuk menduduki peperiksaan UPSR dalam tahun ini setelah menangguhkannya selama setahun.
Bagi warga kerja produksi pula, tentu sekali semua tertunggu-tunggu keputusan ‘pitching’ RTM pada bulan puasa lepas (Ogos-September). Atau adakah sudah keluar, saya yang tidak tahu? Apa pun, saya tidak begitu mengharap kerana takut kecewa.
Akhir kata, selamat tahun baru 1431 Hijrah kepada semua.

Wednesday, December 16, 2009

GABUNGAN “J” UNTUK “SUATU KETIKA”

Kini saya sedang mengerjakan skrip terbaru, BIAR PUTIH TULANG, JANGAN PUTIH MATA. Drama bersiri mini (mini-series) lapan episod ini merupakan drama berbajet tinggi bagi mengisi slot SUATU KETIKA di ASTRO CITRA (SALURAN 131). Slot ini baru diperkenalkan pada Ogos lalu yang bertemakan kisah benar, saat bersejarah, tragedi atau ikon negara.
Memandangkan tajuknya panjang, saya selesa merujuknya dengan tajuk asal (working title) iaitu Match Point (Mata Akhir). Ia sebuah fiksyen yang berlatarkan zaman gemilang sukan badminton negara pada era 80-an dan awal 90-an.
Tenaga kerja penting dalam produksi ini merupakan mereka yang namanya bermula dengan huruf J.
Idea asal datangnya dari J.S. Foo, pemilik rumah produksi Asia Media Content Sdn Bhd (AMC). Pengarahnya, Jocye Lee yang sebelum ini mengarahkan drama slot sama, “10” dan “Ghost”(8TV). James Lee (Filem Histeria) pula membantu Joyce sebagai pengarah bersama. Manakala Julian Cheah merupakan penerbit eksekutif bagi pihak stesyen. Dan saya sebagai penulis skrip telah dibantu oleh penulis bersama (co-writer) Mohd Rohizan Ramli (telemovie Aku Jebat) yang digelar “Jai” .
Dari segi pencapaian pula, tenaga kerjanya seperti :
Jurukamera, Asrar, yang baru-baru ini menang kategori Videografi Terbaik di ASK 09 melalui telemovie Tersasar Di Jalan-Mu. Zahiril sebagai watak utama menang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia 2008 melalui filem Kami The Movie. Zamarul Hisham sebagai bintang undangan pula menang Pelakon Lelaki Terbaik ASK 08 melalui telemovie Ihsan. Sementara James Lee menang anugerah peringkat Asia dan antarabangsa melalui filem indienya, The Beautiful Washing Machine. Dan AMC sendiri dua kali menang kategori Drama Rantaian Terbaik di ASK 06 dan Drama Komedi Terbaik di ASK 09.
Adakah gabungan “J” dan para pemenang anugerah ini mampu memberikan yang terbaik buat drama ini? Sama-sama lah kita saksikan Januari ini, insyaAllah.
Nota : Astro Citra termasuk dalam Pakej Mustika yang baru diperkenalkan dengan harga tambahan RM12.00. Selain Astro Citra, pakej ini turut menawarkan Astro Warna (komedi) dan B4U (Bollywood).