Saturday, December 29, 2007
PUISI DALAM KARYA KOMERSIL
Karya ini pada dasarnya sarat dengan elemen komersil bagi memenuhi selera penonton televisyen. Namun pengarangnya, Samsiah Mohd Nor, cuba menyuntik elemen seni dan sastera secara tidak langsung melalui puisi. Ini bertujuan untuk mendekatkan penonton televisyen dengan karya sastera khususnya puisi yang selama ini agak asing buat mereka.
Dalam cerita ini, watak utama, Amira merupakan seorang guru sastera yang meminati puisi. Namun, dia menulis puisi sekadar untuk meluahkan perasaannya secara peribadi. Berselindung di sebalik nama Delima, Amira menulis puisi untuk dirinya sendiri. Namun, sesekali puisi itu tetap dikirimnya ke dada akhbar seperti Pengantin, Laungan dan Rimba Hidup.
Sementara itu, RQ adalah seorang penyair sepenuh masa yang terkenal di daerahnya. Selain aktif dalam persatuan penulis, RQ mencipta dan menyanyikan lagu puisi. Dia turut aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa, antaranya dengan menyertai misi ke Iraq dan Darfur, Sudan. Dalam cerita ini, RQ menulis tiga puisi bertajuk Cinta itu, Cerita Seorang Perempuan dan Surat Luka Dari Bumi Tak Berdapur.
Pengambaran untuk adegan deklamasi Cinta Itu dan Cerita Seorang Perempuan dibuat di Rumah Pena, Kuala Lumpur. Ia dilakukan dalam majlis deklamasi sebenar anjuran Pena. Ribuan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Pena terutama Dr Ahmad Razali yang sudi memberi kebenaran. Malang sekali, berlaku pula perkara tidak diingini rentetan dari pengambaran itu. Perkara ini amat dikesali. Ribuan kemaafan pula dipinta kepada Dr termasuk orang kuat Pena, SM Zakir dan Shamsudin Othman.
Sementara itu, adegan untuk deklamasi Surat Luka Dari Bumi Tak Berdapur diadakan di set drama yang direka khusus untuk menggambarkan Malam Amal Tabung Kemanusiaan Darfur.
Kesemua puisi berkenaan dikarang sendiri oleh Samsiah.
Pengantin
Kuhirup kenangan itu
Meski pahitnya bak hempedu
Sedang yang kumimpi madunya
Yang nyata hanya khayalan
Kepedihan berterusan
Kularikan diri
Terlarikah
Akhirnya ku kembali menyembah
Pada kenyataan
Pada kehidupan
Dan kuterima
Bulan madu kita
Hanya tangisan
Cinta Itu
Kutemukan cinta secara tidak sengaja.
Cinta itu berhenti sedang aku tidak peduli
Cinta itu memerhati
Kala aku berdiri
Cinta itu mendekati
Apabila aku bersembunyi.
Kulihat cinta yang melayang-layang di udara
Menunggu genggaman tangan perkasa.
Aku teruja
Cinta itu kaku apabila aku mendekatnya.
Cinta lari apabila aku mengejarnya
Cinta itu palsu apabila aku mencarinya
Cinta itu pekak apabila aku
Memanggilnya
Cinta itu
Bisu apabila aku berkata-kata
Dengannya
Cinta itu syahdu apabila aku menemuinya
Cinta itu sebuah misteri
Apabila terlintas kelibatnya
Cinta itu indah apabila datang bebayangnya...
Cinta itu....abadikah ia Apabila aku bisa memilikinya?
Cerita Seorang Perempuan
I
Perempuan itu yang kulihat
Enigma barangkali
Ditimpa badai bertali-tali
Di tabir mimpi yang luput
Sedang mengutip kulit siput
Waktu laut surut
Tika mentari menyeberangi ufuk…
Perempuan itu yang kuturut
Selalu bercerita pada laut
Tentang rindu yang tak pernah luput
tentang cinta tak sempat berpaut
Perempuan itu
Tak kenal jemu aku membacanya
Tak kenal jenuh ingin kuterokai dasar hatinya
Sesekali diajak bulan berbicara
Tentang laranya cinta
Sesekali dibisikkan ombak yang menyapa
Perihal hiba hatinya
Perempuan itu
Kudengar tangisnya yang mendesah
Dibaur gelisah yang resah
Aduhai….
II
Perempuan itu terus kuekori
Kuintai dia melarik cerita
Lalu matanya memanah istana pasir
Yang berkecai dilarik air
Lalu rebahlah dia di pantai yang luka
Perempuan itu persis hauri
Masih di ujana cinta yang kelabu
menjadi bunga-bungaan penghias lesu pantai
Daun-daun asmara digulung badai
Ranting-ranting kasih untai menguntai
Tak akan dia bertemu bahagia
Tapi dia bukan madu…bukan buahnya
Bukan hirup.. bukan nikmatnya
Siapalah dia…perempuan yang gerimis hatinya
Surat Luka Dari Bumi Tak Berdapur
Aku kembali ke rumahku...
Bersama Surat luka yang kuusung dari darfur
Di penjuru dunia yang tidak ada dapur
Yang ada hanya mulut-mulut yang kebulur
Anak-anak telanjang, kepala yang gersang
Ibu yang memandang di bawah langit yang kontang
Padang yang bukan hijau, tanah yang pijar
Di rumahku sendiri
Tanpa sedar
Aku Bertasbih dalam nafas duka
Bertahmid dalam denyut hiba
Masih terbayang
aku sudah berlari di padang yang bukan hijau
sebelum mereka sempat bangkit
Tangan kuhulur pada mereka
Mana mampu tanganku tersambut
sedang
Mereka berdiri di hujung tanduk
Salah apakah mereka pada dunia?
Hingga terhumban di lembah sengsara
Tangan-tangan raksasa
Tanpa belas
Mencekau leher mereka
Melihat tanpa mata
padahal
Mata hiba yang meminta
Mulut lapar yang ternganga
Tidak mengerti apa-apa
Lalu...kuhulur buat mereka
Sekeping roti yang nyaris masuk ke mulutku.
Di rumahku
Ingatan-ingatan pada bumi yang tidak berdapur
sering menghantui.
BOGATT
Dalam drama atau novel Melayu tipikal, watak anak orang kaya sering digambarkan secara agak negatif - sekurang-kurangnya 'buaya', nakal, agresif, kurang kasih sayang, tidak rapat dengan keluarga dan kurang didikan agama. Dalam Tangisan Bulan Madu, Bogatt sedikit berbeza wataknya. Dia seorang pemuda yang berjiwa luhur - sangat menyayangi keluarga dan mengambil berat akan kebajikan semua orang di sekelilingnya. Sekiranya berlaku sesuatu masalah, dia merupakan orang pertama yang tiba di tempat kejadian. Dia membela semua orang sekalipun tidak mengenali orang itu. Malah turut membela orang yang pernah berbuat jahat kepadanya. Prinsip hidupnya, membalas kejahatan dengan kebaikan. Sekalipun dia berjawatan Construction Manager di syarikat milik bapanya, kawan baiknya hanya berjawatan sebagai Despatch.
Bogatt lah orangnya yang kalau berjanji, sanggup mencederakan jari dengan menitiskan darah di atas sekeping kertas. Ini menyebabkan orang sekeliling percaya kepadanya. Mereka menyandarkan harapan kepadanya untuk menyelesaikan masalah mereka. Bogatt berjaya menyentuh hati semua orang - termasuk pakcik-pakcik di kedai kopi dan si kacang hantu yang "haprak" dan "mengabihkan bogheh" itu.
Namun, di sebalik kebaikan-kebaikan yang dilakukannya, Bogatt tetap merasakan jiwanya kosong. Dia bertanya tentang ini kepada Pak Samad, bapa Amira. Pak Samad menjawab,"Orang seperti kau ramai. Baik, memang baik. Tapi adakah kau tahu untuk tunduk pada Tuhan?"
Kata-kata itu menyedarkan Bogatt tentang satu-satunya kekurangan diri. Sejak kecil, dia tidak pernah diajar untuk tunduk kepada Tuhan.....
AMIRA
Dalam mencari kebahagiaan, dia sering berkorban lalu akhirnya terkorban. Malah dia menjadi korban kepada perasaan sendiri. Itu lah Amira, watak utama dalam cerita ini. Hidupnya sentiasa dimamah derita. Pun begitu, dia tetap cekal dan tabah. Air matanya jarang kelihatan. Air matanya lebih banyak menitis di dalam hati.
Amira seorang perempuan terpelajar yang masih kental dengan ciri ketimuran. Sentiasa berbaju kurung, bersikap lemah lembut, berjiwa murni dan menghormati orang tua. Anak kelahiran kampung nelayan ini berpendidikan ijazah sarjana muda ekonomi dan diploma pendidikan. Sebagai anak sulung, dia bertanggungjawab membantu meringankan beban ibu bapa. Pernah bekerja sebagai jurujual di butik sebelum menjadi guru sastera. Berjiwa seni dan meminati puisi.
Subscribe to:
Posts (Atom)