Saturday, June 25, 2011

NORA ELENA...BERAKHIR DENGAN 2.7 JUTA

Saya tidak mengharapkan apa-apa ketika dipanggil menulis untuk slot Akasia, TV3, sekitar November lalu. Lantaran pengisiannya bukan datang dari saya, sebaliknya telah ditentukan oleh pihak stesyen yang berkenaan.
Stesyen waktu itu menerangkan bahawa mulai tahun ini, mereka menukar konsep Akasia dengan menumpukan kepada pengisian yang diadaptasikan daripada novel-novel popular. Tajuk-tajuk novel itu dipilih oleh pihak MEREKA. [perkataan MEREKA sengaja ditulis dalam huruf besar dan dihitamkan pula.]
Selain itu, MEREKA mahukan pengisian yang ringan, santai dan mudah untuk slot ini, dengan menumpukan kepada penonton luar bandar.
Keghairahan saya tidak lah seperti ketika menulis siri TV Nur Kasih di bawah penyeliaan Mira Mustaffa sebagai ketua panel skripnya, dua tahun lalu. Namun, tugas menghasilkan skrip adaptasi ini tetap dilaksanakan.
Nora Elena kemudiannya menarik dua juta penonton, dengan episod terakhir, 2.7 juta. Sebelum ini, penonton slot Akasia sekitar 1.8 juta.
Secara peribadi, saya melihat Nora Elena sebagai kejayaan material [duniawi] untuk semua pihak yang terlibat :
Syarikat penyiarannya mendapat hasil iklan melalui 'rating'.
Pelakon dan tenaga kerjanya mungkin dicari untuk tawaran demi tawaran kerja selepas ini.
Novelisnya mendapat lebih royalti.
Reputasi penerbitnya meningkat.
Dan penontonnya mendapat hiburan yang mereka dahagakan.
Namun, siri ini masih boleh dipertikaikan dari aspek bukan-material atau 'ukhrawi', lantaran unsur hiburan keterlaluan melalui kegilaan penonton terhadap rupa paras dan khayalan yang tidak pasti samada memberi manafaat atau mudarat kepada pembangunan jiwa insani. [Islam melihat kepada sejauh mana mudarat atau manafaat sesuatu tugas itu kepada masyarakat. Sebaliknya, industri melihat kepada sejauh mana sesuatu tugas itu dapat menarik keuntungan material].
Setakat ini, belum ada pihak yang mengukur manafaat sesuatu siri TV kepada pembentukan jiwa dan minda ummah, melalui kaji selidik yang tetap dan terancang. Yang diukur secara tetap dan terancang ialah 'jumlah penonton', [bukan pengisiannya] melalui agensi 'rating' antarabangsa untuk tujuan pengiklanan.
Justeru, dari perspektif industri, Nora Elena telah berjaya.

Tuesday, June 14, 2011

MARI BANTU RUSLIE SOPHIAN

Karyaku Dana Jantungku Ruslie Sophian, seorang penulis yang gigih menghasillkan karya dalam genre skrip drama televisyen dan novel. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam industri penerbitan drama TV dan novel. Selain itu, berpengalaman juga dalam industri permotoran. Bagaimanapun, baru-baru ini beliau disahkan mengidap penyakit jantung.
Justeru, bagi membantu kos rawatan di Institut Jantung Negara [IJN], beliau telah menjual karya beliau bertajuk BARA ESPLANADE dalam bentuk E-NOVEL secara on-line. Harganya cuma RM25 senaskah.
Sila dapatkan keterangan lanjut melalui blog beliau, htto://www.rusliesophian.blogspot.com, iaitu di entri bertajuk KARYAKU, DANA JANTUNGKU. [Klik tajuk entri di atas]. Akhir kata, mari lah kita sama-sama bantu membantu di waktu susah senang, InsyaAllah...

Friday, June 10, 2011

NORA ELENA…. MINGGU TERAKHIR

Drama bersiri Nora Elena bakal bersiaran untuk minggu terakhir mulai Isnin hadapan, 13 Jun. Menurut laman web gua.com, episod 1 hingga episod 16 drama ini telah berjaya menarik 800,000 penonton melalui tonton.com.my. Manakala episode 16 sahaja – babak berbulan madu di Cameron Highland – dapat menarik 80,000 penonton.
Sementara itu, jumlah yang menyukainya melalui halaman peminat [FAN PAGE ], mencecah 56,000 ketika entri ini ditulis.
Namun, masih tiada makkumat tentang rating di televisyen. Apa pun, dari segi kedudukan, khabarnya Nora Elena mungkin berada di tangga kedua selepas Juvana atau ketiga selepas Juvana dan Asmara. Perlu ditekankan bahawa Nora Elena bersiaran pada waktu Magrib – waktu orang Melayu jarang menonton televisyen. Sedangkan Juvana dan Asmara bersiaran ketika PRIME TIME, di TV3.
Jangan ketinggalan menontonnya minggu hadapan…