Showing posts with label INSPIRASI NOVEL. Show all posts
Showing posts with label INSPIRASI NOVEL. Show all posts

Thursday, September 3, 2015

KEMBOJA DI HATI - LANGKAH PERTAMA

Hari ini bermulanya langkah pertama untuk skrip yang diilhamkan daripada novel Kemboja Di Hati (KDH) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya Ramlah Rashid ini tentang seorang aktivis NGO yang terpaksa mengorbankan banyak perkara dalam hidupnya, termasuk keluarga, demi sebuah perjuangan.

Perbincangan  pertama di TV Al-Hijrah (TVAH) telah berlangsung pada 2 Jun lepas. Perbincangan dengan tim produksi pada siang tadi, dihadiri oleh novelis, penulis skrip, pengarah, penerbit eksekutif, pengurus produksi dan editor. Penerbit, Ashraf Muslim tidak dapat hadir kerana jadualnya yang padat.

Novelis telah bersetuju dengan kehendak pihak stesyen televisyen yang hanya mahu mengambil sebahagian kecil isi kandungan novel. Atas dasar itu, proses perpindahan medium ini lebih sesuai digelar 'inspirasi' atau 'diilhamkan daripada' (Inspired By)

KDH yang diterbitkan oleh Al-Hidayah Production (AHP) akan bersiaran mulai 17 November ini, jam 10 malam, setiap Selasa.

Memandangkan tiada gambar perbincangan siang tadi, saya kongsikan di bawah ini gambar-gambar tim AHP dalam projek yang lepas, Pelangi Kita. Skrip Pelangi Kita adalah karya  pertama saya untuk AHP dan telah bersiaran di TVAH pada hari raya pertama yang lepas. KDH  akan menggunakan khidmat tim yang sama kecuali pengarahnya digantikan dengan Shahrulezad Mohamaden.





Monday, November 17, 2014

CAHAYA DI HUJUNG NYAWA - KONSEP ASAL

Hud, seorang wartawan. Tiara pula aktivis alam sekitar. Mereka bertemu pada sambutan Hari Bumi di Kuala Lumpur.  Bercinta. Kemudiannya, berkahwin secara 'wali hakim' di Florence, Itali.

Belum sempat berbulan madu, Hud terpaksa pulang ke Malaysia untuk menyelamatkan Cameron Highland yang sedang 'nazak'. Ekoran tanah runtuh dan mendapan daripada pembukaan tanah oleh syarikat milik kroni pak menteri.

Malang sekali, kapalterbang yang dinaiki Hud telah terhempas di Lautan  Mediteranean.

Seminggu kemudian...

Kelihatan sekeping objek terapung di Lautan Mediteranean. Sayap kapalterbang!

Hud tertiarap di atasnya –  dengan memakai jaket keselamatan – tangan berpaut erat pada kepingan itu. Masih hidup.

Siang berganti malam. Hud kesejukan.

Malam berganti siang. Hud kepanasan.

Hud tidak makan dan tidak minum.

Hud tidak tahu sudah berapa hari dia terdampar di dada laut.

Hud hanya tahu menyebut nama ALLAH.

Apa yang harus dilakukan oleh Hud untuk kembali kepada isterinya  dalam keadaan masih bernyawa?

Dan selama mana harapan boleh disandarkan?