Showing posts with label TV9. Show all posts
Showing posts with label TV9. Show all posts

Monday, March 2, 2015

DRAMA FESTIVAL KUALA LUMPUR (DFKL 2015)

Tahun ini masuk tahun kedua pihak TV3 dan TV9 menganjurkan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Seperti tahun lalu, penganjuran kali ini juga menampilkan acara seperti bengkel, filem pendek, uji bakat dan  anugerah drama-drama popular di  saluran berkenaan sepanjang tahun lalu.

Cinta Pandang Ke-2 (CPK2) terbitan ZK Creative Production Sdn Bhd (ZKCPRO)  turut tercalon.

Skrip saya ini,  merupakan inspirasi daripada novel bertajuk sama karya Laila Kamilia terbitan Grup Buku Karangkraf (GBK). Penulisannya dibantu oleh Zuli Ismail manakala Laila turut menyumbang sebahagian kecil daripada skrip.

Sekarang, CPK2 sedang diulang siaran di Slot Aurora TV9, setiap Khamis, jam 8.30 hingga 9.30 malam. Sebelum ini, CPK2 turut tercalon dalam lima teratas (TOP 5) kategori drama adaptasi pilihan pembaca Anugerah GBK.

Penyampaian anugerah akan berlangsung pada 15 Mac ini dengan kategori seperti drama pilihan, pelakon lelaki pilihan, pelakon wanita pilihan, pengarah pilihan dan penulis skrip pilihan.

Bagi yang ingin  mengundi, sila ke link DFKL 2015 - undi

Sementara itu, beberapa karyawan  akan berkongsi pengalaman melalui bengkel lakonan, arahan, animasi dan komedi. Mereka adalah pengarah terkenal,  Datuk Yusuf Haslam, Mamat Khalid, Nik Amir Nik Mustafa,  Jinggo, Khai Bahar, Nizam Razak, Faizu, Tariq Usamah Zaid, Shiela Rusly, Adi Putra, Remy Ishak,  Ebi Yus, Didie Alias, Sharifah Shahira dan NorKhiriah.


Bengkel ini terbuka kepada orang ramai pada 14-15 Mac, dengan yuran RM100 seorang,  di Balai Berita, The New Straits Time Press Berhad, Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.  (Harga pelajar RM60 seorang)

Bagi filem pendek pula, sila ke link ini untuk  Undi Filem Pendek DFKL 2015

Semoga DFKL 2015 berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam usaha  mengembangkan lagi industri drama televisyen dan perfileman tempatan.



Tuesday, July 31, 2012

"ANDAI KU TAHU" DI ATAS TALIAN

Bagi yang terlepas tayangan drama bersiri Andai Ku Tahu di TV9, boleh menontonnya di laman web milik Media Prima Berhad, tonton.com. Laman web ini menyiarkan program-program televisyen secara percuma untuk tempoh yang tertentu. Ini pautannya  : Andai Ku Tahu - TV9

Monday, June 25, 2012

ANDAI KU TAHU....TV9, SETIAP ISNIN & SELASA, 8.30 MALAM


"...Hanya kesabaran  dan kasih sayang seorang wanita, dapat lembutkan hati keras seorang lelaki..." 

Ini hasil terbaharu untuk Slot Ratu TV9 yang bertemakan kewanitaan. Tahun lalu, saya menulis Nora Elena untuk Slot  Akasia TV3 yang juga bertemakan kewanitaan.

Andai Ku Tahu merupakan genre ‘melodarama’. Sesuai untuk kakak-kakak, makcik-makcik dan anak-anak gadis mereka. Tetapi, rasanya abang-abang juga boleh ‘melayan’ drama ini, kalau mereka sanggup ketepikan sedikit ‘ego’ itu. 

Berdasarkan maklumbalas Nora Elena pada tahun lalu, kaum suami menontonnya setelah melihat si isteri gigih mengadap televisyen pada waktu Magrib [tentunya dengan rasa berdosa kerana melewatkan solat!] ketika ia bersiaran untuk pertama kali. Ada kaum ibu singgah membeli lauk  ‘ready made’ dalam perjalanan pulang dari pejabat. Ada kaum ibu  berulang-alik dari dapur ke ruang tamu dengan senduk  di tangan  kerana tidak mahu ketinggalan babak penting. Manakala lelaki bujang mengetahuinya melalui perbualan gadis-gadis di sekeliling mereka. Ketika kaum bapa tertarik untuk mengikuti konflik rumahtangga dalam Nora Elena, lelaki bujang memberitahu, mereka menontonnya semata-mata kerana wajah ayu heroinnya Siti Saleha Baharom dan gelagat ‘gedik manja’ pelakon pembantu, Wan Sharmila.

Lalu ketika mesyuarat Andai Ku Tahu dengan eksekutif TV9, mereka mengharapkan drama ini juga menjadi seperti Nora Elena. Pertama, “talk of the town [bualan ramai]”. Kedua, “menangkap di hati”, kata salah seorang dari mereka sambil mengenggam jari jemarinya dan meletakkan ke dadanya sendiri. Harapan mereka membuatkan saya ‘cuak’ tiba-tiba.  Bilik mesyuarat itu pun ditinggalkan dengan perasaan takut hendak menulis. 

Andai Ku Tahu sudah bermula minggu lepas. Malam ini, Isnin, 25 Jun, jam 8.30, akan bersambung episod kedua.  Kesemuanya 14 episod. Ia diarahkan oleh Heykal Hanifah dan diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd. Idea asal ditulis oleh bos besar Radius One sendiri yang juga seorang penulis dan pengarah muda berbakat besar, Shahrulezad Mohameddin. Pendukung watak terdiri daripada Natasya Hudson, Faezah Elai, Ezany Nizariff dan Tengku Ismail. 

Jangan lupa, episod kedua malam ini. Semoga ia memberi manafaat.

Wednesday, March 21, 2012

PITCHING DI RTM & MEDIA PRIMA....

Bulan Mac dan April mungkin bulan paling sibuk buat para penulis skrin. Lantaran ini lah masanya stesyen televisyen seperti RTM dan Kumpulan Media Prima Berhad [MPB] membuka tawaran Pitching untuk program-program yang bakal mengisi pelbagai slot pada tahun hadapan [2013].
Justeru, hari ini saya mengulangi ucapan klise seperti tahun-tahun yang lepas iaitu, "Selamat maju jaya kepada rakan-rakan yang menyertainya".
Perkataan 'klise' mengingatkan saya kepada surat tawaran Pitching dari TV9. Antara syaratnya, idea mesti lah yang segar, asli dan tidak klise. Saya sekadar tersenyum membaca syarat ini....
Sekian, jumpa lagi di lain kali.

Thursday, February 2, 2012

DRAMA REMAJA BERKONSEPKAN "YFM" di TV9

Di awal kemunculannya lima tahun dahulu, saluran TV9 mengkhusus kepada isi kandungan yang bersifat ilmu pengetahuan dan keagamaan. Sasarannya ialah golongan dewasa yang matang dan berpemikiran. Bagaimanapun, setelah dua tahun sahaja bersiaran, saluran di bawah syarikat gergasi Media Prima Berhad itu mula beralih arah kepada golongan muda Melayu umum. Segmen pasaran yang digelar Young Fresh Malay Mass atau ringkasnya YFM. Berkemungkinan segmen pasaran ini lebih mudah menjana pendapatan iklan dan sumber tajaan untuk stesyen swasta itu. Sebagai contoh, Konsert GIG tentunya menarik tajaan syarikat telekomunikasi.
Justeru, kebanyakan programnya kini lebih berbentuk ringan, santai, humor dan segar. Dramanya juga disesuaikan dengan citarasa orang muda yang memaparkan jalan cerita pantas, mudah, montaj yang catchy dan lagu-lagu dari band Indie/Underground. Saluran ini juga terbuka kepada muka-muka baru dari segi pemilihan pelakon dan tenaga kerja utama iaitu pengarah dan PENULIS SKRIP. Ia tidak seperti saluran TV3 yang lebih mengutamakan nama-nama besar yang sudah lama berada di dalam industri. Genre yang popular untuk orang muda pastinya Komedi Romantik. Penceritaannya juga banyak melibatkan watak-watak menggunakan teknologi komunikasi moden yang sinonim dengan orang muda seperti Facebook dan Twitter. Semalam saya menonton telemovie bertajuk Aku, Dia dan FB. Sebelum ini, telemovie Si Tudung Tweet.
Saya turut diberi peluang oleh TV9 untuk mengisi slot Aurora bagi penonton remaja. Lahir lah drama bersiri AISHITERU yang ditulis bersama penulis baharu, Haida Mazni Mohamed dan Keyrool Kiasan. Drama 13 episod ini sedang bersiaran sejak Disember lalu pada setiap Khamis, jam sembilan malam. Aishiteru merupakan istilah bahasa Jepun yang bermaksud "Saya cintakan awak". Istilah ini memang popular di kalangan remaja sekarang, termasuk di Indonesia. Drama arahan Aidil Ftiri Mohamed Yunus ini akan berakhir pada minggu pertama Mac 2012.
Pada tahun 2010, saya menghasilkan telemovie bertajuk Teh O Ais Limau yang juga berkonsepkan YFM dengan kerjasama penulis baharu, Khairul Aswad Ramli.
Bagaimanapun, saluran ini tetap mempunyai slot drama Melayu untuk penonton dewasa dan matang iaitu slot Ratu yang bersiaran setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam. Genre yang popular untuk dewasa tentunya melodrama.
Selamat Menonton Aishiteru...

SIRI AISHITERU, SETIAP KHAMIS, 9 MLM, TV9

Friday, March 25, 2011

"TEH O AIS LIMAU"..KINI DI YOUTUBE

"TEH O AIS LIMAU"...HAMPIR CAPAI SEJUTA

Telefilem "Teh O Ais Limau" yang bersiaran pada Disember lalu di TV9 hampir-hampir mencapai sasarannya dengan rating melebihi 900,000. Rating lebih tinggi dikatakan untuk siaran ulangannya.
Ironi, di saat stesyen berlumba-lumba mengejar rating...rating...dan rating..., berlainan pula dengan saya. Kepuasan menulis buat saya terletak kepada 'isi kandungan' [content] yang bermanafaat, bukan hiburan kosong.
Bagaimanapun, jumlah penonton yang ramai merupakan matlamat stesyen. Saya yang mewakili pembekal isi kandungannya, akur pada kenyataan ini. Demi periuk nasi, TIDAK SEKALI-KALI saya kata, "go to hell with rating!".
Atas dasar itu, Alhamdulillah jika dimaklumkan rating memuaskan, bermakna mudah 'cari makan' lagi di masa akan datang.
Di sebalik angka [yang kadang-kadang memberi tekanan], kepuasan menulis "Teh O Ais Limau" sebenarnya diperolehi dari komen penonton di internet bahawa ia santai, bersahaja, menghiburkan tetapi ada pengisian. Ini sudah mencukupi.
Telemovie lain yang mengisi kempen sejuta penonton pada penghujung tahun itu, seperti Aku, Kau dan Dia ; Duda Berhias ; Haruskah Aku Mati ; dan 5 Disember. Akan tetapi, tiada maklumat diperolehi tentang prestasi rating drama-drama ini.

Wednesday, December 8, 2010

"TEH O AIS LIMAU".....TELEMOVIE KHAS DI TV9

Sepanjang Disember ini, TV9 mengadakan kempen istimewa bagi menarik penonton mengikuti saluran berkenaan. Sasarannya satu juta penonton pada waktu perdana [prime time] iaitu daripada pukul 9 malam hingga 11 malam. Begitu lah kata Ketua Pengurusan Jenama Kumpulan TV9, Feisal Abd Malik dalam sidang media baru-baru ini. Antara usaha itu ialah menyiarkan lima telemovie khas setiap minggu, pada Rabu, jam 10.30 malam.
Telemovie nukilan saya, berjudul ”TEH O AIS LIMAU” telah terpilih untuk mengisi slot berkenaan. Idea asal Khairul Aswad Ramli, arahan Along Kamaluddin. Ia tentang seorang pemuda yang bercita-cita besar. Tetapi gagal mencapainya ekoran sikapnya yang pemalas, hanya hebat dari segi percakapan, sedangkan perlaksanaannya, hampeh! Falsafah cintanya juga hebat, tapi itu sekadar falsafah, sedangkan hubungan dengan kekasihnya tidak pernah berkesudahan.
Telemovie lain yang mengisi kempen hujung tahun ini, seperti Aku, Kau dan Dia (1 Disember, 10.30 malam) , Duda Berhias (15 Disember, 10.30 malam), Haruskah Aku Mati (22 Disember, 10.30 malam) dan 5 Disember (29 Disember, 9.30 malam).
Sewaktu dipanggil untuk kempen ini, saya diberitahu oleh eksekutifnya bahawa TV9 yang pada mulanya menyasarkan golongan matang dan berilmu, kini berubah haluan kepada golongan muda pula yang dikategorikan sebagai "young mass market".
Atas dasar itu, lahir lah TEH O AIS LIMAU, sebuah genre komedi romantik yang cuba memberitahu secara santai tentang impian golongan muda dan tatacara berpacaran mengikut adab Melayu Islam. Lagu latarnya, "KALAU BERPACARAN" oleh Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafali dan Altimet
Jangan lupa, TEH O AIS LIMAU, malam ini, Rabu, 8 Disember, jam 10.30 malam di TV9...!!

Wednesday, October 27, 2010

MEDIA PRIMA PERTINGKATKAN KANDUNGAN

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Media Prima Berhad akan melabur sebanyak RM200 juta untuk kandungan tempatan dan antarabangsa, pada tahun hadapan. Namun, tidak disebutkan berapa peratusan tempatan dan berapa pula peratusan untuk antarabangsa. Adakah 70-30 seperti RTM? Atau sebaliknya?
Apa pun, selama ini kandungan tempatan di TV3 dan TV9 memang menyerlah walaupun kita tidak tahu kadar peratusan yang sebenarnya.
Jika benar adanya pelaburan berkenaan, mungkin ini boleh menjadi satu berita yang positif untuk warga kerja di sektor televisyen.
Laporan yang sama turut menyebut bahawa rancangan Akademi al-Quran di TV9 akan diteruskan tetapi dengan membuat sedikit perubahan iaitu menyelitkan unsur hiburan.
Saya tidak pasti sejauh mana hiburan boleh dicampur aduk dengan al-Quran. Serah sahaja kepada pakar agama untuk komen tentang kenyataan ini. Apa pun, di sebalik berita tidak berapa gembira di sektor filem melalui keputusan Festival Filem Malaysia ke-23 Ahad lalu, mungkin terselit sedikit harapan untuk sektor televisyen berkembang maju dengan rancangan lebih berkualiti dan membuka minda masyarakat, InsyaAllah.

Sunday, March 8, 2009

ADUHAI TV9...TOLONG LAH KEMBALI PADA ASALMU...

Saya cukup setuju dengan tulisan Siti Jarum hari ini - "TV9 Mahu ke Mana?". TV9 ditegur kerana mengalih sasaran penonton dari Melayu, dewasa, luar bandar kepada Melayu muda bandar. Ini bermakna daripada program bercorak Islam dan ilmu kepada pop, komersil dan kosumerisme - yakni sama seperti TV3 dan Astro Ria. Yang peliknya, bagaimana Media Prima boleh membenarkan TV3 dan TV9 bersaing merebut penonton yang sama? Sedangkan kedua-dua saluran itu adalah miliknya? Saya mendapat tahu ini idea salah seorang bos besar Media Prima (tak perlu sebut nama). Bagaimanapun, khabarnya, tidak lama lagi Media Prima akan mendapat pengerusi baru.
( Biasa lah...Perdana Menteri baru, menteri-menteri pun baru, dan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (Government Link Company) mesti lah baru juga!).
Dan khabarnya, pengerusi baru akan membawa masuk kroni-kroninya yang merupakan otai-otai media yang terbuang suatu ketika dahulu. Lalu akan "bungkus" lah bos-bos yang sedia ada sekarang. Kalau khabar angin ini benar, harap sangat lah agar bos-bos baru dapat mengembalikan TV9 ke konsep asalnya. Toloooong lah... Sementara itu, khabar angin di Bukit Jalil :
Astro Ria akan menjadi saluran hiburan semata-mata.
Lalu drama-drama yang sekarang mengisi slot DramaRia dan Layaria akan ditolak ke Astro Prima. Ini juga khabar tidak gembira. Selain itu, khabar yang sahih ialah kemunculan satu lagi saluran di Astro iaitu saluran komedi yang entah apa namanya belum diumumkan.