Showing posts with label KARYA MAIZURA MOHD EDERIS. Show all posts
Showing posts with label KARYA MAIZURA MOHD EDERIS. Show all posts

Friday, October 13, 2017

BISIK PADA LANGIT ... MASIH DI PAWAGAM PADA MINGGU KE-EMPAT

Alhamdulillah, filem Bisik Pada Langit  (BPL) masih bertahan di pawagam pada minggu ke-empat. Sebanyak 50 pawagam masih menayangkannya pada minggu ini, hanya berkurangan 10 buah pawagam daripada minggu lepas. Bermakna, BPL masih kuat dan terus mendapat sambutan dari penonton yang sudah lama tidak menonton kisah keluarga di layar lebar.

Saya ada mendapat makluman tentang jualan tiket pada Ahad lepas. Tetapi belum boleh diumumkan lagi secara rasmi. Apa pun, kutipannya sangat memberangsangkan. Sesuatu yang tidak pernah diduga oleh filem yang pada asalnya dibuat untuk televisyen atau istilah yang tepat, Film Made for Television atau ringkasnya, FTV.  Bagaimanapun, pengamal industri tempatan lebih selesa menggelarkannya Super Telemovie atau Super Tele.

BPL ditulis bersama oleh saya dan sahabat saya, Sofia J Rhyland. Idea asal oleh Saniboey Mohd Ismail. Naskah ini diangkat ke layar oleh pengarah tidak asing lagi, Kabir Bhatia. Pelakon-pelakonnya pula terdiri daripada Jalil Hamid, Beto Kusyairy, Umi Nazeera, Naim Daniel, Erwin Dawson, Datin Fadhilah Mansor dan beberapa lagi pelakon tambahan. Penerbitnya Ram Punjabi manajala penerbit eksekutif Dato Khairul Anwar Salleh dan Saniboey Mohd Ismail. Filem ini melibatkan kerjasama tiga syarikat iaitu Astro Shaw, Nusantara Seni Karya dan Filmscape Sdn Bhd.

Skrip filem ini juga telah diadaptasikan ke novel pada tahun lepas oleh novelis Siti Khadijah dan diterbitkan oleh Karya Seni Sdn Bhd.

Jom.... panggung!



Friday, March 13, 2015

"PITCHING' TERBUKA TV3 & TV9

Tahun ini merupakan tahun kedua pihak TV3 dan TV9 membuka peluang kepada orang awam dan penulis baharu untuk menjual idea drama kepada kedua-dua saluran berkenaan. Acara pitching terbuka ini diadakan  sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL)  tahun ini. Keutamaan diberikan kepada penulis skrin baharu yang belum pernah menulis di TV3 dan TV9.

Ayuh, ini lah peluang untuk mencuba bakat menjual idea, mana tahu ia berhasil?

Pitching terbuka ini diadakan pada hari Sabtu dan Ahad ini (14 hingga 15 Mac) di bangunan The New Straits Times Press (M) Berhad, Jalan Riong, Kuala Lumpur. Tidak perlu mendaftar lebih awal. Peserta hanya perlu datang antara jam 9 pagi sehingga 5 petang, mendaftarkan nama dan kemudian…pitch!

Pada hari yang sama dan di tempat yang sama  juga, akan  berlangsung bengkel-bengkel seni oleh penggiat industri berpengalaman (sila rujuk entri tentang DFKL sebelum ini untuk nama-nama pembimbing bengkel)

Sementara itu, undian di atas talian untuk Anugerah DFKL 2015 juga masih dibuka. Manakala siaran ulangan drama rantaian Cinta Pandang Ke-2  di Slot Aurora TV9 sempena DFKL telah ditukar ke hari Ahad, jam 8.30 malam. (Sebelum ini, bersiaran pada setiap Khamis waktu yang sama)

Kepada mereka yang menyukai Cinta Pandang Ke-2, jangan lupa mengundi karyawan drama ini (termasuk penulis skrip nya!) di laman sesawang DFKL iaitu di pautan ini -  UNDIAN DFKL 2015

Selamat maju jaya kepada semua.

Monday, March 2, 2015

DRAMA FESTIVAL KUALA LUMPUR (DFKL 2015)

Tahun ini masuk tahun kedua pihak TV3 dan TV9 menganjurkan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Seperti tahun lalu, penganjuran kali ini juga menampilkan acara seperti bengkel, filem pendek, uji bakat dan  anugerah drama-drama popular di  saluran berkenaan sepanjang tahun lalu.

Cinta Pandang Ke-2 (CPK2) terbitan ZK Creative Production Sdn Bhd (ZKCPRO)  turut tercalon.

Skrip saya ini,  merupakan inspirasi daripada novel bertajuk sama karya Laila Kamilia terbitan Grup Buku Karangkraf (GBK). Penulisannya dibantu oleh Zuli Ismail manakala Laila turut menyumbang sebahagian kecil daripada skrip.

Sekarang, CPK2 sedang diulang siaran di Slot Aurora TV9, setiap Khamis, jam 8.30 hingga 9.30 malam. Sebelum ini, CPK2 turut tercalon dalam lima teratas (TOP 5) kategori drama adaptasi pilihan pembaca Anugerah GBK.

Penyampaian anugerah akan berlangsung pada 15 Mac ini dengan kategori seperti drama pilihan, pelakon lelaki pilihan, pelakon wanita pilihan, pengarah pilihan dan penulis skrip pilihan.

Bagi yang ingin  mengundi, sila ke link DFKL 2015 - undi

Sementara itu, beberapa karyawan  akan berkongsi pengalaman melalui bengkel lakonan, arahan, animasi dan komedi. Mereka adalah pengarah terkenal,  Datuk Yusuf Haslam, Mamat Khalid, Nik Amir Nik Mustafa,  Jinggo, Khai Bahar, Nizam Razak, Faizu, Tariq Usamah Zaid, Shiela Rusly, Adi Putra, Remy Ishak,  Ebi Yus, Didie Alias, Sharifah Shahira dan NorKhiriah.


Bengkel ini terbuka kepada orang ramai pada 14-15 Mac, dengan yuran RM100 seorang,  di Balai Berita, The New Straits Time Press Berhad, Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.  (Harga pelajar RM60 seorang)

Bagi filem pendek pula, sila ke link ini untuk  Undi Filem Pendek DFKL 2015

Semoga DFKL 2015 berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam usaha  mengembangkan lagi industri drama televisyen dan perfileman tempatan.



Monday, November 17, 2014

CAHAYA DI HUJUNG NYAWA - KONSEP ASAL

Hud, seorang wartawan. Tiara pula aktivis alam sekitar. Mereka bertemu pada sambutan Hari Bumi di Kuala Lumpur.  Bercinta. Kemudiannya, berkahwin secara 'wali hakim' di Florence, Itali.

Belum sempat berbulan madu, Hud terpaksa pulang ke Malaysia untuk menyelamatkan Cameron Highland yang sedang 'nazak'. Ekoran tanah runtuh dan mendapan daripada pembukaan tanah oleh syarikat milik kroni pak menteri.

Malang sekali, kapalterbang yang dinaiki Hud telah terhempas di Lautan  Mediteranean.

Seminggu kemudian...

Kelihatan sekeping objek terapung di Lautan Mediteranean. Sayap kapalterbang!

Hud tertiarap di atasnya –  dengan memakai jaket keselamatan – tangan berpaut erat pada kepingan itu. Masih hidup.

Siang berganti malam. Hud kesejukan.

Malam berganti siang. Hud kepanasan.

Hud tidak makan dan tidak minum.

Hud tidak tahu sudah berapa hari dia terdampar di dada laut.

Hud hanya tahu menyebut nama ALLAH.

Apa yang harus dilakukan oleh Hud untuk kembali kepada isterinya  dalam keadaan masih bernyawa?

Dan selama mana harapan boleh disandarkan?


Tuesday, September 30, 2014

CAHAYA DI HUJUNG NYAWA - DOA SELAMAT & TAKLIMAT PERWATAKAN

Sehari sebelum pengambaran, penerbit Kota Rentang Sdn Bhd telah mengadakan majlis doa selamat dan sesi taklimat tentang perwatakan kepada para pelakon. Majlis diadakan di pejabat penerbit di Sri Kembangan, Selangor.

Semoga pengambaran di sekitar Kuala Lumpur yang masuk hari keempat hari ini berjalan lancar.  Pengambaran juga melibatkan lokasi luar negara iaitu  Rome, Itali, dijadualkan berlepas selepas Hari Raya Korban, InsyaAllah.



Monday, September 29, 2014

ULASAN NOVEL CAHAYA DI HUJUNG NYAWA (AKAN MUNCUL DI TELEVISYEN)

Saya menulis novel Cahaya Di Hujung Nyawa pada tahun 2005 iaitu sejurus selepas kejadian Tsunami  yang melanda Asia Tenggara.  Ini adalah sebuah kisah cinta berlatarkan perjuangan alam sekitar, dengan  menumpukan kepada isu-isu pembukaan tanah di Lembah Klang, kerakusan kapitalisme dan Tsunami. Novel ini diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn Bhd pada tahun 2008.

Baca  ulasan di sini :
  KUCC-APRILSNOW

Novel ini menjadi inspirasi untuk drama bersiri Hypp TV Telekom Unifi.   Lawati Facebook Fan Page Cahaya Di Hujung Nyawa Hypp TV Sensasi 116



ADAPTASI NOVEL YA MAULANA & CAHAYA DI HUJUNG NYAWA KE LAYAR KACA

Demam adaptasi novel ke televisyen dan filem  masih belum 'kebah' nampaknya.  Drama yang diangkat dari novel tempatan semakin  membanjiri kaca televisyen dan panggung wayang.

Saya sendiri baru selesai mengangkat sebuah novel Islami terbitan Karya Seni Sdn Bhd, bertajuk Ya Maulana ke TV Al-Hijrah. Novel ini adalah hasil karya Hana Ilhami (juga penulis Perempuan Lindungan Kaabah). Pengambaran sudah bernula di sekitar negeri Melaka. Skrip ditulis bersama dengan Zuli Ismail dan Eja Lorena. Pelakon utama, Zahiril Adzim dan Shiera Aiyob. Pengarahnya, Keoi Haji Khalid,  manakala penerbitnya, Global Station Sdn Bhd.

Waktu yang sama, saya menghasilkan skrip drama bersiri 30 episod daripada novel karya sendiri pula, berjudul Cahaya Di Hujung Nyawa terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd. Skrip ditulis bersama dengan Fairul Nizam Ablah, Nazri Anuar dan Azmy Ariff. Pelakonnya terdiri daripada Razali Hussain, Farah Dhiya, Jalaludin Hassan, Shahrolnizam, Omar Abdullah, Azza AF dan Man Belon (Raja Lawak). Pengarahnya, Muhibudin Ahmad manakala penerbit, Kota Rentang Sdn Bhd.

Keduanya mungkin bersiaran mulai November ini di TV Al-HIJRAH (Astro 114) dan HYPP TV SENSASI (Unifi 116) … Tunggu makluman lanjut, ya!!


Friday, August 2, 2013

RAMADAN YANG HILANG... MINGGU AKHIR

Sejak lima tahun kebelakangan ini, slot Samarinda TV3 untuk bulan Ramadan seolah-olah ekslusif untuk seorang karyawan iaitu pengarah dan penulis skrip berbakat, Shahrulezad Mohameddin [Ezad].  Ini berdasarkan reputasi beliau menghasilkan karya yang meruntun emosi dan mencengkam kalbu setiap jam 10 malam - waktu kebanyakan penonton Melayu selesai  solat terawih.

Ezad dan Fazli merangkul tropi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010
Tentu ramai yang masih ingat drama bulan puasa seperti Seputeh Qaseh Ramadan, Kerana Cintaku Saerah, Syurga-Mu Ramadan, Ramadan Terakhir dan 7 Ramadan. Kesemua drama ini bukan sahaja mendapat sambutan daripada khalayak umum [mass], malah berjaya menarik sekelompok pengikut setia  - yang akan menunggu hasil karya beliau setiap kali tiba bulan mulia ini.

Drama-drama terbitan syarikatnya, Radius One Sdn Bhd ini,  sering bertemakan hubungan kekeluargaan. Ia berligar sekitar perselisihan ahli keluarga kerana perbezaan prinsip, berkecil hati, membawa diri dan akhirnya pulang ke pangkuan masing-masing untuk saling memaafkan dan melupakan sengketa lalu. Biasanya, tiada watak jahat [hitam] atau baik [putih]. Beliau lebih cenderung mempersembahkan watak-watak kelabu yang mana sesuatu watak boleh jadi baik berdasarkan situasi/prinsip tertentu dan boleh jadi jahat berdasarkan situasi/prinsip yang lain pula.  Setiap tindakan yang dilihat seolah-olah  'jahat'  atau 'kejam' itu, semuanya ada sebab tertentu yang akhirnya membuatkan watak itu tersedar sendiri akan kesilapannya. Pendekata, drama-drama ini sangat 'character driven' [bergerak berdasarkan watak], bukan 'plot driven' [bergerak berdasarkan plot] seperti kebanyakan drama tempatan yang kita lihat di TV.

Tahun ini, Ezad kembali dengan tajuk Ramadan Yang Hilang yang mengangkat perselisihan dua beradik dalam sebuah keluarga kecil.  Saya turut membantu menulis, disebabkan kesuntukan masa beliau dalam menghasilkan naskah ini. Kami bekerja dalam masa yang sangat singkat dan tergesa-gesa. Perbincangan dengan pihak TV3 hanya diadakan pada pertengahan April, penulisan skrip bermula pada awal Mei, pengambaran pada hujung Mei dan episod pertama bersiaran pada 26 Jun iaitu dua minggu sebelum bulan puasa.

Ramadan Yang Hilang diarahkan oleh Ezad bersama dengan Ramli Long dan diterbitkan bersama dengan Fazli Haji Baharom.  Pelakonnya terdiri daripada Eira Syazira, Syatilla Melvin, Arja Lee, Zamarul Hisyam, Zila Bakarin, Noryati Taib, Zulin Aziz,  Ijoi dan ramai lagi.

Kepada mereka yang mengikuti drama ini, jangan lupa menonton baki dua episod lagi iaitu episod 17 dan episod 18 pada 5 - 6 Ogos ini,  [Isnin- Selasa] , jam 10 malam. 

Untuk makluman kepada pengikut slot Samarinda TV3, mulai tahun ini, waktu siaran slot ini bertambah kepada satu jam berbanding setengah jam pada tahun-tahun sebelum ini.

Jangan lupa...minggu hadapan...minggu akhir Ramadan Yang Hilang!

Sunday, July 14, 2013

DAHLIA.. BAHAGIA KAH AKHIRNYA?


Minggu ini minggu terakhir drama Dahlia bersiaran di Astro. Tentunya soalan yang sering ditanya pengikut-pengikut drama ini adalah samada Dahlia akan bahagia atau terus menderita?

Mungkin ada yang membuat pelbagai ramalan setelah dikejutkan oleh hubungan  Zara dengan Fuad  pada minggu lepas dan siapa sebenarnya Fuad suatu ketika dahulu.

Ini membawa kepada kemungkinan kisah ini tidak berakhir dengan kebahagiaan [Happy Ending] dan hidup perlu diteruskan oleh Dahlia walau apa pun yang berlaku... [Life goes on]

Persoalan ini akan terjawab pada minggu ini melalui Astro Mustika HD Saluran 134.

Tuesday, July 9, 2013

DAHLIA TERUS BANGKIT PADA MINGGU KE-12



Kematian Razman tidak mematahkan semangat Dahlia. Wanita ini terus bangkit. Dia kuatkan hati membuat semakan di syarikat insurans tentang pampasan insurans nyawa Razman. Dia juga menyiasat melalui Hairi tentang samada Razman ada meninggalkan wasiat atau tidak. Jika ada, berapa kah bahagian untuk anak-anaknya? Jika tiada, dia akan menuntutnya berdasarkan Hukum Faraid. Semua ini dilakukan demi anak-anaknya,  bukan untuk diri sendiri.


Bagaimana pula dengan Fuad? Selain rahsianya sebagai ahli korporat yang terbongkar beberapa minggu sebelum ini, tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan peribadi beliau. Adakah dia pernah beristeri dan mempunyai anak? Atau...confirm bachelor? 

Apa pun, yang pasti, Haliza akan terus berdendam dengan Dahlia setelah Razman meninggalkannya seorang diri di majlis resepsi mereka.

Teruskan mengikut Dahlia yang kini sudah menghampiri penghujungnya. Astro Mustika HD, 134, ya!

Tuesday, July 2, 2013

"PASPORT DUNIAWI".... 5 JULAI, 10 MALAM

Setiap Jumaat, jam 10 malam, stesyen TV al-Hijrah [TVAH] akan menyiarkan telemovie tempatan selama 2 jam.

Pada 5 Julai ini [Jumaat], buat pertama kali telemovie hasil tulisan saya akan bersiaran di slot berkenaan. Pasport Duniawi merupakan idea dan skrip bersama saya dengan Nurull Halawati Haron. Ia mengisahkan dua jiran yang mempunyai pendapat ekstrim tentang cara berbelanja. Seorang sangat boros sehingga banyak berhutang. Seorang lagi sangat kedekut sehingga enggan menderma dan bersedekah.

Telemovie ini diterbitkan oleh H&J Pictures Sdn Bhd dan diarahan oleh Zul Arshad. Pelakonnya terdiri daripada Radhi Khalid, Dira Abu Zahar, Fizza Elite dan Wan Raja.

Semoga terhibur dengan paparan dari genre komedi ringan dan santai ini tetapi mengandungi mesej tentang bagaimana hendak berbelanja dan untuk hidup berjiran.

Monday, June 24, 2013

SIAPA SEBENARNYA FAIZAL HUSSEIN?

 Suspen tak tajuk ni?


Sebenarnya tak ada apa-apa pun.

Tajuk ini sekadar merujuk kepada watak lakonan Faizal Hussein dalam drama Dahlia yang sudah memasuki episod ke 28 [minggu ke-10] pada malam ini.

Watak Fuad Sidek lakonan beliau, sebelum ini dilihat sebagai pemandu lori. Kemudian, didedahkan bahawa beliau seorang ahli korporat dalam bidang Teknologi Maklumat tetapi sudah bersara dari bidang ini. Bagaimanapun, beliau mengekalkan saham beliau dalam syarikat milik sahabatnya, Halim, lakonan Rashidi Ishak.

Mulai minggu ini, Dahlia mula mengetahui siapa Fuad yang sebenarnya. Penonton juga akan dikejutkan oleh beberapa rahsia peribadi Fuad yang belum diketahui sebelum ini. Manakala watak Razman lakonan Hans Isaac juga akan mengalami "twist" yang mungkin tidak dijangka oleh penonton.

Teruskan setia bersama saluran Astro Mustika HD - 134  yang kini bersiaran selama satu jam, setiap Isnin hingga Rabu, 10 hingga 11 malam.


Monday, June 17, 2013

Dahlia...Faizal Hussein semakin menyerlah


Drama Dahlia memasuki minggu ke-9 malam ini dengan episod 25 yang  banyak menampilkan lokasi di rumah percutian milik Dahlia di tepi pantai. Bermula dari episod ini, watak Fuad Sidek yang dilakonkan oleh pelakon 'otai', Faizal Hussien semakin menyerlah dan berkembang.

Minggu ini menyaksikan kebangkitan Dahlia untuk  menyara hidup  sendiri sebagai ibu tunggal. Razman pula memberi kebenaran kepada anak-anak mereka untuk  tinggal bersama Dahlia di 'beach house' itu kerana waktu ini adalah waktu cuti persekolahan yang panjang di hujung tahun.  

Dahlia semakin banyak mendapat tawaran kerja sebagai 'freelance' di syarikat perisian komputer.  Lantas sering terserempak dengan Fuad, jiran tepi pantai itu, di sebuah gerai kecil yang berdekatan.

Seterusnya, terjalin perkenalan yang lebih erat antara mereka - yang sebelum ini sekadar bersua dan bertegur sapa sepintas lalu. Fuad juga semakin mesra dengan emak dan anak-anak Dahlia.

Jangan lupa malam ini, jam 10 di Astro Mustika HD [Saluran 134]


Monday, June 3, 2013

SINOPSIS DRAMA DAHLIA MINGGU KE-7

Diam tak diam, drama bersiri Dahlia sudah masuk minggu ke-7.  

Mulai minggu ini,  Dahlia  mengambil keputusan untuk  keluar dari rumah sementara di Kuala Lumpur kerana rumah itu milik Encik Halim. Dahllia enggan difitnah lagi kononnya dia ada hubungan sulit dengan Encik Halim.  Ini tentu akan menyukarkan usaha mendapatkan hak penjagaan anak-anak di mahkamah syariah.

Dahlia pergi ke rumah percutian tepi pantai yang dibelinya secara tunai dengan wang simpanan hasil bekerja selama 10 tahun, pada ulangtahun perkahwinanya yang ke-10 bersama Razman, beberapa bulan lalu.  Rumah yang kononnya hendak dihadiahkan kepada suami dan anak-anak itu - yang dianggap lambang cinta kasih mereka sekeluarga - kini menjadi tempatnya berteduh.

Tanpa anak-anak, Dahlia membawa diri ke tepi pantai itu bersama emaknya. Rumah itu lah satu-satu 'harta' yang ada padanya. Namun baginya, apa guna harta itu jika anak-anak tiada bersamanya.  Atas dasar itu, Dahlia nekad mahu terus berjuang mendapatkan hak penjagaan anak-anak dengan bantuan kawannya, Adilah, seorang peguam syariah.

Pada masa yang sama, Fuad yang tinggal di rumah  berdekatan, sering mengambil berat terhadap Dahlia. Fuad bekerja sebagai pemandu lori, tetapi   mempunyai banyak masa lapang untuk membantu Dahlia.

Teruskan mengikuti kesudahan kisah ini....

Monday, May 20, 2013

DRAMA DAHLIA...SINOPSIS MINGGU KE-5 & 6



Semasa bercuti di Phuket, malang lagi menimpa Dahlia. Kedua anaknya telah  diculik dan dibawa lari ke Malaysia.

Rupanya Haliza adalah dalang kepada penculikan ini. Tujuannya untuk memerangkap Dahlia di Mahkamah Syariah dengan alasan Dahlia cuai dan tidak layak menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Haliza juga memerangkap Dahlia dengan gambar-gambar bersama lelaki dan arak di kelab malam. Dia merancang semua ini ketika mereka  bersahabat dahulu - sewaktu mula menubuhkan syarikat usahasama HD Solutions Sdn Bhd - yang tiada kaitan dengan Razman. Waktu itu, Razman sibuk dengan syarikatnya bersama Dahlia, Tera-Scan Sdn Bhd.

Akhirnya, mahkamah memberikan hak jagaan sementara kepada Razman.

Thursday, May 9, 2013

DAHLIA...SINOPSIS MINGGU KE-4 [13-15 MEI]




Dahlia tiada apa-apa lagi kecuali anak-anak yang kini menjadi harta tidak ternilai baginya. Dia membawa anak-anak berpindah ke apartmen kos sederhana - tanpa  perabot atau kelengkapan kediaman yang sempurna.

Ibu Dahlia, Makcik Fatimah,  datang dari kampung untuk memberi semangat kepada Dahlia yang kini bergelar ibu tunggal.


Tidak lama kemudian, Dahlia membawa anak-anak ke Phuket untuk tenangkan perasaannya yang berkecamuk.