Thursday, November 25, 2010

NUR KASIH MENANG SHOUT! AWARDS

Drama Bersiri NUR KASIH, berjaya memenangi SHOUT! AWARDS, dalam kategori FRESH DRAMA SERIES. Calon lain dalam kategori ini seperti Qalesya, Blogger Boy, Gelora Di Hati Sara, Arjuna dan Adamaya.
Bagaimanapun pasangan watak utamanya, Remy Ishak dan Tiz Zaqiyah tidak pula terpilih sebagai pemenang kategori Best On Screen Chemistry. Sebaliknya dimenangi oleh Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay melalui filem Papadom.
Sementara itu, hadiah utama yang digelar ULTIMATE SHOUT, diraih YUNA berdasarkan kejayaannya mencipta pembaharuan dalam industri muzik tempatan. Gadis ini turut menyapu bersih dua lagi kategori.
Anugerah ini merupakan kali kedua anjuran 8TV, diadakan di Bukit Jalil pada Jumaat lalu. Ia bertujuan untuk meraikan karyawan di dalam industri hiburan secara keseluruhan yang merangkumi muzik, televisyen, filem dan radio. Semua pemenang ditentukan secara undian orang ramai melalui internet kecuali anugerah utama ditentukan oleh juri.

Monday, November 22, 2010

"AYOUB"...MULAI 23 NOVEMBER IINI

Kisah ini pada mulanya hanya sepanjang lima muka surat power point. Diilhamkan daripada perjalanan hidup Nabi Ayub Alaihisalam, ia ditulis untuk sesi idea pitch TV3 pada Mei lalu.
Idea ini kemudiannya melalui banyak penambahbaikan dan improvisasi di tangan rakan saya, Faznita Mohd Nor. Daripada tajuk asalnya, FILANTROPI, berubah menjadi AYOUB. Di tangan Faznita juga, skripnya digarap sehingga lah menemui penonton mulai esok, Selasa, 23 November 2010, jam 10.30 malam.
Semoga drama ini mendapat perhatian penonton sebagaimana "YUSOFF", drama slot Samarinda sebelum ini, yang juga ditulis oleh Faznita. Drama ini juga diilhamkan daripada kisah nabi. Ia mendapat sambutan baik daripada penonton sehingga tercalon ke Anugerah Skrin 2009 dalam kategori Drama Rantaian.
Keterangan Gambar : Barisan pelakon utama Ayoub terdiri daripada Iqram Dinzly, Fizz Fairuzz, Fiza Halim dan Watie Elit.

Thursday, November 18, 2010

"....DALAM BOTOL", ULASAN SEPARUH JALAN

Sayang sekali, saya cuma sempat menonton pertengahan cerita ..Dalam Botol, filem terbitan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman. Saya tiba lewat setengah jam ke private screening filem berkenaan di FINAS dan keluar awal setengah jam sebelum ia berakhir kerana terpaksa mengambil anak di kelas al-Quran. Tidak adil lah untuk mengulas cerita yang ditonton separuh jalan. Apa pun, berdasarkan tontonan selama satu jam di tengah-tengah, saya mendapati :
Plot atau jalan cerita filem ini agak menarik untuk diikuti. Ada sesuatu yang membuatkan kita tertunggu-tunggu apa akan berlaku dalam babak seterusnya.
Dari segi emosi, ia agak menyentuh perasaan, terutama dalam babak Ruby @ Rubidin balik kampung menemui ayah ibunya dalam pakaian dan bentuk tubuh seorang wanita. Terima kasih kepada pengarah dan penulis skrip kerana tidak mengulang babak cliche bapa menengking, "Anak tak guna!" dan melempang anak hingga jatuh tangga.
Babak Rubi memandikan jenazah bapanya juga menyentuh hati.
Dari segi tema, filem ini dianggap taboo oleh pengamal industri perfileman Malaysia. Bagaimanapun, al-Quran tidak pula berselindung atau mengelak daripada tema ini. Saya sempat menyemak tafsir al-Quran pimpinan ar-Rahman Jakim dan mendapati ia diceritakan dalam Surah Hud, Ayat 77-83 dan Surah al-A'araaf, Ayat 80-84.
Ia tentang Nabi Lut bersama kaumnya di negeri Sodom. Menyentuh tentang pendirian golongan ini, bagaimana Lut menasihati mereka, hukuman terhadap mereka dan betapa perlunya larangan ini dipatuhi sehingga kesan hukuman itu dikekalkan untuk tatapan umat Muhammad hingga ke hari ini iaitu di Laut Mati, Palestin.
Saya sempat juga mengintai ke halaman Bible [New International Version] - yang sudah berhabuk akibat jarang sekali dirujuk. Mukasurat 623, Surah Romans 1, Ayat 25-27 memberitahu bahawa golongan ini merupakan mereka yang terhukum setelah engkar menyembah Tuhan. Akibat menyembah makhluk lain termasuk binatang, Tuhan menukarkan nafsu mereka agar kontra dengan sifat semulajadi [fitrah] manusia iaitu lelaki berkehendakkan lelaki manakala perempuan berkehendakkan perempuan.
Pada pandangan Islam, kisah yang berlawanan dengan fitrah manusia seperti ini boleh diangkat [diceritakan] asalkan ia bertujuan untuk memberi pengajaran dan dijadikan sebagai sempadan, seperti mana yang diceritakan dalam al-Quran. Apabila terbaca ulasan beberapa blogger yang mengatakan ... Dalam Botol sebuah filem anti-gay, mungkin juga TEMA FILEM INI selaras dengan prinsip Islam itu sendiri yang sememangnya anti-gay! Akan tetapi terdapat paparan visual aksi terlarang yang berlebihan sehingga tidak melayakkan filem ini digelar 'dakwah' sebagaimana yang didakwa Raja Azmi dalam kenyataan akhbar pada tahun lalu : "saya ingin berdakwah [melalui filem ini]". Jika benar pendapat mengatakan ia filem anti-gay, memadai lah dengan pendapat itu tanpa mencemarkannya dengan perkataan 'dakwah' kerana dakwah dalam Islam mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk dipatuhi.
Justeru, nantikan tayangannya di pawagam pada Februari tahun hadapan. Manakala pra-tonton untuk media tempatan akan diadakan pada tahun ini.
Tontonan pada 10 November lalu dikhususkan kepada blogger tempatan termasuk media asing seperti Associate Press, BBC dan Reuters. Ia mendapat maklumbalas positif dari blogger.
...Dalam Botol yang pada mulanya bertajuk "Anu Dalam Botol" dilakonkan oleh pendatang baru, Arja Lee dan Wan Raja. Turut dibantu Diana Danielle, Normah Damanhuri, Jalil Hamid dan Ogy Ahmad Daud. Filem ini merupakan arahan pertama Khir Rahman, yang juga seorang pelakon, aktivis teater dan pengacara.

Monday, November 8, 2010

AKHIRNYA SAYA MASUK SWAM

Setelah sekian lama menangguhkan hasrat menyertai Screen Writer's Association of Malaysia [SWAM], sekarang baharu lah terlaksana. Kenapa saya masuk SWAM? Jawapannya kerana ini lah takdir yang telah tertulis.
Keterangan gambar : Bergambar dengan AJK SWAM, Asmira, Rashidah dan Leni dalam majlis Jom Mesra bersama SWAM di Dataran Finas, Ahad lalu.