Thursday, November 18, 2010

"....DALAM BOTOL", ULASAN SEPARUH JALAN

Sayang sekali, saya cuma sempat menonton pertengahan cerita ..Dalam Botol, filem terbitan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman. Saya tiba lewat setengah jam ke private screening filem berkenaan di FINAS dan keluar awal setengah jam sebelum ia berakhir kerana terpaksa mengambil anak di kelas al-Quran. Tidak adil lah untuk mengulas cerita yang ditonton separuh jalan. Apa pun, berdasarkan tontonan selama satu jam di tengah-tengah, saya mendapati :
Plot atau jalan cerita filem ini agak menarik untuk diikuti. Ada sesuatu yang membuatkan kita tertunggu-tunggu apa akan berlaku dalam babak seterusnya.
Dari segi emosi, ia agak menyentuh perasaan, terutama dalam babak Ruby @ Rubidin balik kampung menemui ayah ibunya dalam pakaian dan bentuk tubuh seorang wanita. Terima kasih kepada pengarah dan penulis skrip kerana tidak mengulang babak cliche bapa menengking, "Anak tak guna!" dan melempang anak hingga jatuh tangga.
Babak Rubi memandikan jenazah bapanya juga menyentuh hati.
Dari segi tema, filem ini dianggap taboo oleh pengamal industri perfileman Malaysia. Bagaimanapun, al-Quran tidak pula berselindung atau mengelak daripada tema ini. Saya sempat menyemak tafsir al-Quran pimpinan ar-Rahman Jakim dan mendapati ia diceritakan dalam Surah Hud, Ayat 77-83 dan Surah al-A'araaf, Ayat 80-84.
Ia tentang Nabi Lut bersama kaumnya di negeri Sodom. Menyentuh tentang pendirian golongan ini, bagaimana Lut menasihati mereka, hukuman terhadap mereka dan betapa perlunya larangan ini dipatuhi sehingga kesan hukuman itu dikekalkan untuk tatapan umat Muhammad hingga ke hari ini iaitu di Laut Mati, Palestin.
Saya sempat juga mengintai ke halaman Bible [New International Version] - yang sudah berhabuk akibat jarang sekali dirujuk. Mukasurat 623, Surah Romans 1, Ayat 25-27 memberitahu bahawa golongan ini merupakan mereka yang terhukum setelah engkar menyembah Tuhan. Akibat menyembah makhluk lain termasuk binatang, Tuhan menukarkan nafsu mereka agar kontra dengan sifat semulajadi [fitrah] manusia iaitu lelaki berkehendakkan lelaki manakala perempuan berkehendakkan perempuan.
Pada pandangan Islam, kisah yang berlawanan dengan fitrah manusia seperti ini boleh diangkat [diceritakan] asalkan ia bertujuan untuk memberi pengajaran dan dijadikan sebagai sempadan, seperti mana yang diceritakan dalam al-Quran. Apabila terbaca ulasan beberapa blogger yang mengatakan ... Dalam Botol sebuah filem anti-gay, mungkin juga TEMA FILEM INI selaras dengan prinsip Islam itu sendiri yang sememangnya anti-gay! Akan tetapi terdapat paparan visual aksi terlarang yang berlebihan sehingga tidak melayakkan filem ini digelar 'dakwah' sebagaimana yang didakwa Raja Azmi dalam kenyataan akhbar pada tahun lalu : "saya ingin berdakwah [melalui filem ini]". Jika benar pendapat mengatakan ia filem anti-gay, memadai lah dengan pendapat itu tanpa mencemarkannya dengan perkataan 'dakwah' kerana dakwah dalam Islam mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk dipatuhi.
Justeru, nantikan tayangannya di pawagam pada Februari tahun hadapan. Manakala pra-tonton untuk media tempatan akan diadakan pada tahun ini.
Tontonan pada 10 November lalu dikhususkan kepada blogger tempatan termasuk media asing seperti Associate Press, BBC dan Reuters. Ia mendapat maklumbalas positif dari blogger.
...Dalam Botol yang pada mulanya bertajuk "Anu Dalam Botol" dilakonkan oleh pendatang baru, Arja Lee dan Wan Raja. Turut dibantu Diana Danielle, Normah Damanhuri, Jalil Hamid dan Ogy Ahmad Daud. Filem ini merupakan arahan pertama Khir Rahman, yang juga seorang pelakon, aktivis teater dan pengacara.

2 comments:

Anonymous said...

Slm. Saya kira ulasan yg sdri berikan adalah tidak adil kerana menonton separuh dari filem tersebut. Adalah lebih afdal jika sdri menonton sepenuhnya barulah diberi ulasan yg mantap. apapun jgnlah lakukan ulasan dgn separuh masak !

Maizura Mohd Ederis said...

Terima kasih anon atas teguran. Ya, ulasan di atas memang lah separuh masak. Saya minta berbanyak-banyak maaf kalau ada sesiapa yang tersinggung dgn ulasan separuh masak saya. Manakala pendapat saya mengatakan filem di atas adalah "anti-gay" berdasarkan pembacaan/pendapat blogger lain dan pengulas lain di internet. Saya cuma memetik pendapat mereka bahawa filem ini adalah "anti-gay".
Ini akan dielakkan di masa akan datang.