Showing posts with label JALAN MERDEKA. Show all posts
Showing posts with label JALAN MERDEKA. Show all posts

Friday, November 20, 2009

Kerana al-Kulliyyah…terlepas Jalan Merdeka

Malam tadi, saya teruja mahu menonton siaran langsung al-Kulliyyah Khas bertajuk Satu Akidah di TV3. Program itu menampilkan tiga panelis - Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Dr Fauzi Deraman dan Prof Dr Muhammad Uthman el-Muhammady.
Dua tokoh – Dr Asri dan Prof Uthman - tidak asing buat saya. Sebagai wartawan, saya kerap mewawancara mereka tentang pelbagai isu agama samada secara bersemuka, melalui e-mail mahupun telefon. Kedua mereka sangat ‘media friendly’ – mudah dibuat temujanji, tidak cerewet dan dapat memberikan jawapan seperti yang dikehendaki, pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Namun hampa apabila siaran langsung itu ditukar menjadi siaran rakaman untuk tarikh dan waktu yang belum ditetapkan. Dan kerana menunggu al-Kulliyyah itu, saya terlepas menonton drama bersiri Jalan Merdeka di Astro Warna (saluran 132). Skrip Jalan Merdeka dikerjakan oleh saya dengan bantuan Alfie Palermo (Tower 13), Sofia J Rhyland (Awan Dania), Ayuni Zamani (Impian 2) dan Khairul Aswad Ramli (Cicakman The Series).
Nantikan al-Kulliyyah berkenaan manakala Jalan Merdeka akan berakhir pada minggu hadapan, Khamis, 27 November, jam 9.00 malam.

Monday, August 31, 2009

JALAN MERDEKA...MULAI KHAMIS INI, 9 MALAM

"JALAN MERDEKA" bermaksud 'Road To Freedom'. Ini lah antara naskah yang sukar saya tangani dalam kerjaya sebagai penulis skrip. Ia mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan keseluruhan skrip yang durasinya sebanyak 13 episod x 45 minit. Dan memerlukan bantuan tiga penulis bersama iaitu Sofia J Rhyland (Awan Dania), Alfie Palermo (Tower 13), Ayuni Zamani (Impian 2) dan Khairul Aswad Ramli (Cicakman The Series).
Drama ini menjejaki perjalanan hidup tiga lelaki berbeza bangsa, berlatarkan pelbagai peristiwa penting negara (1955-2010) secara humor, ringan dan santai.
Agak menarik, ia diarahkan oleh bukan anak Malaysia iaitu Kabir Bhatia (India) dan Faisal Ishak (Singapura). Selain itu, kedua-dua eksekutif yang mewakili penerbit dan stesyen adalah juga warga asing. Anak tempatan yang turut membantu mengarahkannya ialah Nor Hisyam Mohd (LABU) dan Prem Annad Pillai.
JALAN MERDEKA tidak terkecuali melalui proses penapisan oleh pihak stesyen. Mana-mana isu yang dianggap sensitif pada kaca mata kerajaan, terlebih dahulu dicantas.
Harap-harap JALAN MERDEKA tidak menerima nasib seperti TUK KETUA terbitan Adlin Aman Ramli, arahan Sofi Jikan. Drama bersiri itu dianggap sebagai contoh negatif bagaimana eksekutif stesyen boleh 'terlepas pandang' akan isu-isu politik tanahair pada naskah itu.
JALAN MERDEKA dilakonkan oleh Sathiya sebagai Jegathesan, Mustafa Kamal sebagai Piramli dan Chen Kin Wah sebagai Chow Kit. Salleh Yaacob turut muncul sebagai bintang undangan, memegang watak Saidon Pisang a.k.a. Donny.
Drama 13 episod ini akan ditayangkan di saluran Astro Warna (Comedy Channel-Saluran 132) mulai 3 Spetember ini, Khamis jam 9 malam. Astro Warna adalah saluran baru yang diperkenalkan bersama Astro Citra dan B4U (Bollywood). Ketiga-tiga saluran ini berada di bawah Pakej Mustika dengan harga RM12.00
Selamat Hari Merdeka dan selamat menonton Jalan Merdeka.