Tuesday, October 23, 2012

Sudah Muncul.... Projek Bank Skrip

Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi telah mengambil inisiatif untuk memajukan isi kandungan bagi  industri kreatif tempatan melalui projek yang dikenali sebagai Bank Skrip. Projek ini dikendalikan oleh Majlis Kandungan Kreatif Filem dan Televisyen atau lebih dikenali sebagai FSCCC  atau F3C iaitu singkatan dari Film, Script & Creative Content Council.

Ahli majlis ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam menghasilkan  isi kandungan tempatan. Penerbit dan pengarah filem terkenal, Yang Berbahagia Datin Paduka Shuhaimi Baba merupakan tenaga penting dalam projek ini.

Bank Skrip akan memilih 50 tajuk bagi melalui proses "pembangunan"  [development] sehingga terhasilnya skrip-skrip yang berkualiti untuk pasaran tempatan - samada di televisyen atau pawagam.  Tajuk-tajuk ini merangkumi untuk filem, drama bersiri televisyen, telemovie dan animasi. Bagi pasaran televisyen, ia mengutamakan saluran milik kerajaan, TV1 & TV2.

Bank Skrip turut melantik sekumpulan editor atau mentor untuk membantu memperbaiki skrip-skrip yang terpilih itu, bermula dari peringkat idea asal sehingga lah kepada terhasilnya skrip penuh.  Para editor atau mentor ini terdiri daripada penulis-penulis  berpengalaman dan mempunyai "rekod" dalam menghasilkan skrip-skrip yang bermutu di kaca televisyen dan di layar perak.

Bayaran untuk penulis [sekiranya cadangan kalian terpilih] akan dijelaskan oleh pihak kementerian, menggunakan dana yang diperuntukan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara. Dalam hal ini, penulis tidak lagi berurusan dengan penerbit filem atau televisyen, sebaliknya berurusan dengan sekretariat yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Bank Skrip ini.

Permohonan masih terbuka untuk para penulis dan bakal penulis di luar sana yang berminat menyertai Bank Skrip. Sila hantar satu mukasurat cadangan cerita [proposal] kepada sekretariat sebelum 30 OKTOBER 2012.  Satu mukasurat itu perlu merangkumi logline, sinopsis cerita dan keterangan untuk dua atau tiga watak utama. Cadangan [Proposal] juga boleh terdiri daripada idea asal penulis sendiri atau adaptasi daripada mana-mana karya dari medium lain.

Untuk maklumat lanjut seperti syarat-syarat penyertaan dan alamat penghantaran, sila klik ke link berikut :

http://www.industrikreatif.gov.my/komuniti

atau boleh muat turun borang melalui link di bawah :

http://www.industrikreatif.gov.my/permohonan-bank-skrip

Selamat memohon dan semoga berjaya!