Tuesday, December 27, 2011

ASSALAMUALAIKUM..LAMA TAK JUMPA...

Salam kepada pengunjung blog ini. Maaf kerana kesibukan menjaga anak yang cedera ketika bermain futsal, menjadikan kerja mengemaskini blog memang mustahil dalam masa dua bulan ini.
Banyak perkara hendak dikongsi sejak entri terakhir. Pertama, kematian sahabat penulis, Allahyarham Ruslie Sophian. Banyak kenangan bersama Allahyarham. Kini, hanya tinggal bacaan al-Fatihah. Dan ucapan semoga tabah kepada isterinya, Kak Intan.
Kedua, kontroversi Festival Filem Malaysia ke-24. Saya hanya sempat bercakap sepintas lalu dengan tuan punya badan yang mencetuskan kontroversi ini , penerbit Raja Azmi. Kami bertembung di lobi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur ketika anak saya dirawat di situ. Kak Raja Azmi pula mahu menziarahi seorang kawan. Kemudian, sempat ber-BBM dengan aktres Sofea Jane ketika dia bertanya khabar. Pada saya, "ini lah Malaysia..."
Ketiga, kontroversi filem Ombak Rindu. Saya memang ada bercakap panjang dengan tuan punya badan, novelis Fauziah Ashari yang menelefon dari Johor.
Secara tersurat, Fauziah memang tiada hak mempertikaikan bayaran kecil untuk adaptasi novelnya ke filem. Memandangkan beliau telah menandatangani perjanjian menyerahkan semua hak berkaitan perpindahan novel ke medium lain kepada penerbit novelnya.
Bagaimanapun, secara tersirat, semoga kontroversi ini membuka mata para penerbit buku di Malaysia. Elok kiranya penerbit buku tidak lagi memegang kesemua hak perpindahan medium untuk sesebuah buku yang mereka terbitkan. Biar lah penerbit buku membeli hak untuk menerbitkan karya itu dalam bentuk buku sahaja. Manakala hak untuk memindahkan karya itu ke medium lain - samada ke filem, televisyen, teater dan sebagainya – biar lah kekal di tangan pencipta karya asal yakni penulisnya.
Di barat, mereka yang mencipta ISI KANDUNGAN dianggap sebagai RAJA dan menjadi KAYA jika isi kandungannya itu mendapat sambutan daripada khalayak. Atas dasar itu lah wujud ungkapan CONTENT IS KING di sana, tetapi di sini….. jauh panggang dari api. Di sini, pencipta isi kandungan lah orang yang paling miskin.
Mengenai kontroversi adegan ranjang dalam filem itu pula, pada saya, elok lah ditiadakan kerana kita orang Melayu dan orang Islam.
Sekian dahulu, jumpa lagi di entri akan datang...

Thursday, November 3, 2011

NORA ELENA KE ANUGERAH SKRIN 2011

Esok, Jumaat 4 November 2011 akan berlangsung Anugerah Skrin untuk tahun ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra. Dan Nora Elena telah tercalon ke pusingan awal dalam kategori Drama Rantaian. Pada peringkat ini, sebanyak 10 drama telah terpilih seperti :
Juvana [skrip Alfie Palermo]; Syurga-Mu Ramadan [skrip Azlina Pa'Wan & Shahrulezad Mohamaden]; Aki Nabalu [skrip Mira Mustaffa]; Asmara 2 [skrip Sharifah Abu Salem]; Lagenda Budak Setan [skrip Ahadiat Akasyah]; Trilogi Cinta [skrip Sharifah Abu Salem]; Tanah Kubur, Roda-Roda KL dan Dia Bukan Maryam. [Maaf, tidak pasti siapa penulis skrip untuk tiga drama yang terakhir]
Drama manakah yang akan melepasi pusingan akhir TOP 5 dan seterusnya dinobatkan sebagai pemenang? Berdasarkan ramalan, mungkin JUVANA atas dasar kelainannya. Ditambah pula dengan kehadiran pengarahnya, Faisal Ishak ke studio Malaysia Hari Ini, pada pagi tadi untuk wawancara.
Sama-sama lah kita nantikan keputusannya malam esok.

Thursday, October 13, 2011

BAWAKU KE SYURGA, SABTU INI [15 OKTOBER] DI SLOT CEREKARAMA TV3

Setelah sekian lama menyepi diri dari arena telefilem, saya kini beransur-ansur kembali kepada kategori ini. Memang tidak dinafikan fokus yang berlebihan kepada drama rantaian, tanpa disedari telah mengabaikan genre yang tidak kurang menarik ini.
Minat terhadap telefilem semakin membara selepas mengikuti dua kursus Master Class di Finas. Mengaplikasikan kedua-dua teori oleh kedua-dua guru kelas berkenaan, Yasu Tanaka [Hollywood] dan Joko Anwar [Indonesia], lahir lah Bawaku Ke Syurga.
Telefilem ini arahan Raja Ahmad Alauddin, terbitan Zeel Production. Ia akan bersiaran pada Sabtu ini, 15 Oktober ini di slot Cerekarama TV3, jam 10 malam. Pelakonnya terdiri daripada Fasha Sanda, Fiza Elite, Eizlan Yusuf, Hamidah Wahab dan Maimon Talib.
Idea asal Bawaku Ke Syurga datang dari seorang rakan, Che Aida Dollah. Ia mengisahkan dua banduan wanita yang sedang menanti hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh. Bagaimanapun sebahagian besar skrip terpaksa dirombak atas nasihat pihak penjara. Alasannya, kisah Banduan Akhir tidak sesuai dipaparkan buat masa ini. Memandangkan pihak Majlis Peguam dan parti pembangkang telah mencadangkan agar hukuman mati dimansuhkan. Bagaimanapun pihak penjara [yang mewakili kerajaan] sedang menilai cadangan ini dan belum memberi sebarang jawapan - samada bersetuju dengannya atau tidak. [Wajarkah hukuman mati dimansuh atau diteruskan? Apa pendapat anda pula?]
Bagi menjaga sensitiviti yang berkaitan isu semasa, pihak penjara bertegas agar kisah Banduan Akhir di tukar kepada kisah Banduan Seumur Hayat. Arahan ini sedikit melemahkan semangat semua pihak yang terlibat, terutama penulis dan penerbit. [Tidak pasti apa reaksi pihak stesyen tentang perubahan di saat akhir ini]
Kisah Banduan Akhir yang mempunyai tempoh dua minggu sahaja untuk hidup [setelah semua ruang untuk rayuan tertutup] memberi impak suspen dan permainan emosi yang kuat. Apabila ia berubah kepada kisah Banduan Seumur Hayat, suspen dan emosi itu ternyata menurun.
Apa pun ceritanya, tema telefilem ini adalah "DOA IBU". Ia menceritakan bagaimana seseorang itu boleh terselamat hanya dengan doa ibu dan seorang lagi mendapat nasib buruk, juga dengan kata-kata negatif si ibu - yang pada pandangan Islam, kata-kata juga dianggap sebagai doa. Telefilem ini mungkin boleh menyedarkan para ibu supaya menjaga lidah masing-masing apabila berkata-kata dengan si anak.
Jangan lupa.... Sabtu ini....10 malam.... di TV3.

Tuesday, September 27, 2011

"CUT AMIRAH" DI SURIA TV MULAI HARI INI

PRESIDEN SWAM DIGANTUNG..!!

Sebelum Ramadan lepas, tercetus konflik di dalam Persatuan Penulis Skrin Malaysia yang dikenali sebagai SWAM [Screen Writers Guild of Malaysia]. Berpunca daripada tuduhan pecah amanah ke atas Presidennya, Ismail Ahmad dan Timbalannya, Wazata Zain.
Bagaimanapun, krisis itu berakhir dengan Mesyuarat Agung Khas pada Sabtu lepas, 24 September 2011. Mesyuarat yang dihadiri 46 ahli itu memutuskan bahawa Presiden dan Timbalannya telah bersalah. Dan hukumannya adalah menggantung keahlian mereka sehingga ke Mesyuarat Agung yang akan datang - dijadualkan pada awal tahun 2013.
Berikutan itu, kedua tokoh ini tidak layak lagi memegang jawatan tertinggi, lalu digantikan oleh saudara Jamil Mutalib dan Martias Mohd Ali. Selain itu, Setiausaha Kehormat, Dato' Seri Zaienal Abidin Omar dan Penolongnya, Mokhzan Ali, turut meletak jawatan secara sukarela. Kekosongan ini diisi oleh Shaari Wahab dan Asiah Mion.
Justeru, kepada barisan kepimpinan SWAM, sila perhatikan perkataan GUILD pada nama SWAM dan kembalikan peranannya sebagaimana namanya itu.
Semoga SWAM pada hari ini, tidak lagi menjadi 'SUAM-SUAM KUKU' seperti sebelum ini.

Sunday, August 7, 2011

Adaptasi Novel Sastera ke Layar Perak

ADAPTASI novel tempatan ke filem masih kurang rancak berbanding novel ke drama televisyen. Biarpun begitu, sejak akhir-akhir ini penerbit filem mula terbuka kepada adaptasi novel, tetapi lebih kepada novel pop. Faktor pasaran tersedia untuknya [ready-made market] di kalangan pembaca tegar dan nilai komersil novel genre itu telah membuka hati penerbit. Contohnya Lagenda Budak Setan [Ahadiat Aksyah], Ombak Rindu [Fauziah Shaari] dan beberapa tajuk lagi yang sedang dalam perancangan.
Bagi novel sastera, kebanyakan penerbit filem masih keberatan untuk melabur lantaran kurangnya nilai komersil yang mungkin mengurangkan jualan tiket di pawagam. Namun, atas dasar tanggungjawab sosial, seseorang atau sekumpulan karyawan atau mana-mana organisasi PERLU menggalas tugas ini, tanpa memikirkan sangat pulangannya dari segi kewangan.
Menyedari amanah dalam mengangkat pemikiran bangsa melalui filem, baru-baru ini, tiga pihak bekerjasama menganjurkan Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel ke Filem. Novel-novel yang terpilih itu merupakan novel sastera terbitan Dewan Bahasa & Pustaka [DBP] :
Sandera, karya Arenawati, Interlok (Abdullah Hussein), Empangan (Zakaria Ali), Pemberontakan (Chian Jong Lai) dan Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani).
Skrip yang menang akan difilemkan dengan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS].
Pertandingan ini anjuran bersama Finas, DBP dan Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Malaysia [FDAM]. Tarikh tutup pada 31 Disember 2011 dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada :
Urus Setia, Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460Kuala Lumpur - A. Wahab Hamzah (03-21482348), Roslinda Mustapha (03-21482924) atau Nurul Aina Borhan (03-21482914).
Semoga Berhasil!

Thursday, August 4, 2011

FILEM ISLAM : REALITI ATAU FANTASI...?

Program Bual Bicara TV al-Hijrah Rabu lalu bertukar topik kepada aspirasi filem Islami di Malaysia. Sedangkan asalnya untuk berbicara tentang pemikiran dalam filem. Sejauh manakah filem bertemakan Islam mampu bertapak di negara kita? Baca komentar tentangnya di blog berikut :
http://www.zabidiskrip.blogspot.com/
http://ummuaisyah-ummuaisyah.blogspot.com/

Sunday, July 24, 2011

RABU INI DI SALURAN AL-HIJRAH...

Televisyen al-Hijrah, sebagai saluran yang baharu, turut menyajikan rancangan bual bicara bertajuk BICARA setiap Rabu, 9.30 malam. Sejak ia bersiaran, pelbagai topik yang penting untuk ummah telah dikupas seperti ISLAMOPHOBIA, DAKWAH SAUDARA BARU, PEMIMPIN GLOBAL, MEDIA ISLAM, INDUSTRI FILEM ISLAM dan sebagainya.
Rabu ini, 27 Julai, penerbitnya sekali lagi memilih topik berkaitan filem bertajuk "PEMIKIRAN DALAM FILEM".
Saya telah dijemput sebagai ahli panel bersama pengarah dan penulis skrip Syamsul Yusuf, Farid Kamil dan Zabidi Mohamad. Program ini dikendalikan oleh pengantara Nizal Mohamad dan akan bersiaran selama satu jam.
al-Hijrah juga boleh ditonton melalui saluran 114 sekiranya menggunakan platform Astro.

Friday, July 8, 2011

5 Julai…5 minit…50 ahli panel…

Pada 5 Julai lalu, idea yang layak ke saringan kedua ‘pitching TV3’ diberi masa lima minit sahaja untuk dilontarkan di hadapan kira-kira 50 orang panel yang terdiri daripada bos-bos besar Media Prima Berhad, bos-bos kecil dan para penaja dari luar. Sesi itu berlangsung di hotel KL Hilton Sentral.
Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, saya sentiasa gagal membuatkan TV3 menerima idea yang dibawa oleh saya. Akur.
Apa pun, saya berpegang kepada rezeki di tangan Tuhan. Sebagai contoh, cadangan drama yang diambil inspirasi daripada kisah dalam al-Quran, tentang nabi Yunus Alaihis Salam, telah tidak dipanggil ke saringan kedua di Hotel Carcosa Seri Negara, tahun lepas. Namun, pada tahun ini, tiba-tiba sahaja saya mendapat panggilan daripada penerbit, mengatakan cadangan itu lulus, tetapi hanya untuk telefilem sepanjang 90 minit. [Cadangan asal untuk drama bersiri 26 episod x 1 jam siaran = 26 jam] Alhamdulillaaaaahhh…biarpun durasinya pendek, asalkan diterima, syukur....
Semoga berjaya kepada rakan penulis yang terpilih pada 5 Julai lalu…

Saturday, June 25, 2011

NORA ELENA...BERAKHIR DENGAN 2.7 JUTA

Saya tidak mengharapkan apa-apa ketika dipanggil menulis untuk slot Akasia, TV3, sekitar November lalu. Lantaran pengisiannya bukan datang dari saya, sebaliknya telah ditentukan oleh pihak stesyen yang berkenaan.
Stesyen waktu itu menerangkan bahawa mulai tahun ini, mereka menukar konsep Akasia dengan menumpukan kepada pengisian yang diadaptasikan daripada novel-novel popular. Tajuk-tajuk novel itu dipilih oleh pihak MEREKA. [perkataan MEREKA sengaja ditulis dalam huruf besar dan dihitamkan pula.]
Selain itu, MEREKA mahukan pengisian yang ringan, santai dan mudah untuk slot ini, dengan menumpukan kepada penonton luar bandar.
Keghairahan saya tidak lah seperti ketika menulis siri TV Nur Kasih di bawah penyeliaan Mira Mustaffa sebagai ketua panel skripnya, dua tahun lalu. Namun, tugas menghasilkan skrip adaptasi ini tetap dilaksanakan.
Nora Elena kemudiannya menarik dua juta penonton, dengan episod terakhir, 2.7 juta. Sebelum ini, penonton slot Akasia sekitar 1.8 juta.
Secara peribadi, saya melihat Nora Elena sebagai kejayaan material [duniawi] untuk semua pihak yang terlibat :
Syarikat penyiarannya mendapat hasil iklan melalui 'rating'.
Pelakon dan tenaga kerjanya mungkin dicari untuk tawaran demi tawaran kerja selepas ini.
Novelisnya mendapat lebih royalti.
Reputasi penerbitnya meningkat.
Dan penontonnya mendapat hiburan yang mereka dahagakan.
Namun, siri ini masih boleh dipertikaikan dari aspek bukan-material atau 'ukhrawi', lantaran unsur hiburan keterlaluan melalui kegilaan penonton terhadap rupa paras dan khayalan yang tidak pasti samada memberi manafaat atau mudarat kepada pembangunan jiwa insani. [Islam melihat kepada sejauh mana mudarat atau manafaat sesuatu tugas itu kepada masyarakat. Sebaliknya, industri melihat kepada sejauh mana sesuatu tugas itu dapat menarik keuntungan material].
Setakat ini, belum ada pihak yang mengukur manafaat sesuatu siri TV kepada pembentukan jiwa dan minda ummah, melalui kaji selidik yang tetap dan terancang. Yang diukur secara tetap dan terancang ialah 'jumlah penonton', [bukan pengisiannya] melalui agensi 'rating' antarabangsa untuk tujuan pengiklanan.
Justeru, dari perspektif industri, Nora Elena telah berjaya.

Tuesday, June 14, 2011

MARI BANTU RUSLIE SOPHIAN

Karyaku Dana Jantungku Ruslie Sophian, seorang penulis yang gigih menghasillkan karya dalam genre skrip drama televisyen dan novel. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam industri penerbitan drama TV dan novel. Selain itu, berpengalaman juga dalam industri permotoran. Bagaimanapun, baru-baru ini beliau disahkan mengidap penyakit jantung.
Justeru, bagi membantu kos rawatan di Institut Jantung Negara [IJN], beliau telah menjual karya beliau bertajuk BARA ESPLANADE dalam bentuk E-NOVEL secara on-line. Harganya cuma RM25 senaskah.
Sila dapatkan keterangan lanjut melalui blog beliau, htto://www.rusliesophian.blogspot.com, iaitu di entri bertajuk KARYAKU, DANA JANTUNGKU. [Klik tajuk entri di atas]. Akhir kata, mari lah kita sama-sama bantu membantu di waktu susah senang, InsyaAllah...

Friday, June 10, 2011

NORA ELENA…. MINGGU TERAKHIR

Drama bersiri Nora Elena bakal bersiaran untuk minggu terakhir mulai Isnin hadapan, 13 Jun. Menurut laman web gua.com, episod 1 hingga episod 16 drama ini telah berjaya menarik 800,000 penonton melalui tonton.com.my. Manakala episode 16 sahaja – babak berbulan madu di Cameron Highland – dapat menarik 80,000 penonton.
Sementara itu, jumlah yang menyukainya melalui halaman peminat [FAN PAGE ], mencecah 56,000 ketika entri ini ditulis.
Namun, masih tiada makkumat tentang rating di televisyen. Apa pun, dari segi kedudukan, khabarnya Nora Elena mungkin berada di tangga kedua selepas Juvana atau ketiga selepas Juvana dan Asmara. Perlu ditekankan bahawa Nora Elena bersiaran pada waktu Magrib – waktu orang Melayu jarang menonton televisyen. Sedangkan Juvana dan Asmara bersiaran ketika PRIME TIME, di TV3.
Jangan ketinggalan menontonnya minggu hadapan…

Tuesday, May 24, 2011

PANGGILAN ARWAH.... AHAD INI DI ASTRO CITRA

Skrip telemovie Panggilan Arwah sepanjang 104 minit atau 95 mukasurat itu saya tulis dengan minat yang membara. Hanya untuk dikecewakan akhirnya. Setelah pengarah, pelakon dan krew pengambaran berusaha bersungguh-sungguh menrealisasikannya ke dalam bentuk visual, juga dengan minat. Dan dengan restu pihak stesyen yang ’melepaskan’ naskah ini walaupun ragu-ragu pada mulanya. Keraguan dek adegan siksa kubur dan malaikat munkar nakir terlalu mendominasi.
Kecewa. Perasaan ini dikongsi dengan semua pihak – pelakon, krew, penerbit, stesyen - setelah JAKIM enggan membenarkan siksa kubur dan malaikatnya dipaparkan secara terperinci dan mendalam.
Siksa kubur itu benar. Namun, pada pendapat JAKIM, gambarannya tidak diperlihatkan secara visual – samada watak melihat dengan nyata atau melalui mimpi.
Kita akur pada kehendak JAKIM. Pelakon utamanya, Zizan Nin dan Mahmood Ali Basha mengakui naskah ini mempunyai pengisian yang bermanafaat berbanding drama seram lain sebelum ini. Namun, impaknya hilang setelah adegan penting itu dipotong.
Telemovie ini ditulis untuk menyedarkan penonton tentang dosa berzina dan hukuman ke atasnya - jika tidak sempat bertaubat - akan bermula daripada alam barzakh lagi. Idea asalnya datang daripada Puan Norma Hashim.
Panggilan Arwah diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd dan diarahkan oleh Faisal Ishak. Ia akan disiarkan di Astro Citra, pada Ahad ini, 29 Mei, jam 10 malam. Pelakon lain yang terlibat seperti Tasha Shila, Kuna, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi.
Selamat menonton kepada mereka yang melanggan pakej Mustika.
Untuk makluman, Mustika merupakan pakej tambahan dengan harga RM12 sebulan - menawarkan tiga saluran iaitu Citra [filem dan telemovie], Warna [komedi] dan B4U [Bollywood]. Hubungi 1300-82-3838 jika berminat dengan pakej ini.

Thursday, May 19, 2011

NUR KASIH THE MOVIE.....

Malam Gala Premier Nur Kasih The Movie [NKTM] pada 9 Mei lalu penuh sesak dengan tetamu jemputan. Menjadikan ruang legar Cineleisure Mutiara Damansara itu kepanasan. Sehingga ada yang mengipas diri dengan tiket di tangan.
Muka-muka terkenal seperti selebriti, wartawan, blogger, karyawan seni belakang tabir, VIP dan VVIP bergaul mesra bertemankan makanan, minuman, celoteh pengacara Ally Iskandar dan nyanyian Mila Jirin. [Turut diumumkan nombor cabutan bertuah yang saya sendiri tidak dapat dengar, kalau lah nombor tiket saya yang naik malam itu!]
Sebaik teserempak Fizz Fairuz , terus saya ucap tahniah kepadanya. Namun, Fizz enggan menerima ucapan tahniah itu apabila saya memberitahunya belum lagi menonton NKTM.
Sis tengok dulu, baru ucap tahniah...tengok dulu..." katanya sungguh-sungguh sebelum beredar mengekori krew TV3 yang mahu mewawancaranya.
Seterusnya saya bertegur sapa dengan orang-orang penting dalam industri, terutama orang kuat Filmscape Sdn Bhd - pasangan Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa [lihat gambar].
[Dua tahun lalu, saya dan Mariana Hashim pernah membantu Mira Mustaffa menulis siri televisyen Nur Kasih]
Kemudian, saya dan Mariana ke tandas. Lantas mendapat idea untuk ’mencilok’ ke Hall 9 lebih awal, secara senyap-senyap! [dengan bantuan kakitangan Filmscape, Siti Marzuliana yang menyuruh kami cepat-cepat menyorok dari dilihat petugas Cineleisure!]
Dalam kegelapan itu, Mariana berusaha gigih mencari nombor kerusinya dengan berpandukan cahaya lampu dari telefon bimbit. Ya, lebih baik duduk dalam kegelapan, asalkan hawanya dingin. Biar lah yang lain terus ’mingle’ di luar - yang sesak dan panas. [Esoknya, saya meminta maaf kepada Penerbit Eksekutif Filmscape, Mohd Frank Lewis kerana tidak sempat menegur beliau di celah-celah tetamu yang terlalu ramai. Diakuinya itu kerana dia langsung tidak nampak kelibat saya dek kerana 'crowd' yang sebegitu]
Melebihi jam sembilan, baharu lah 'crowd' dibenarkan beratur memasuki hall dengan kawalan petugas Cineleisure. [ha..ha..ha....kami sudah ada di dalam!] .
Sebaik tertera logo syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd, diikuti logo penerbit bersama, Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd, suasana dalam pawagam tiba-tiba senyap sunyi. Semua terpaku mengadap skrin besar di hadapan. Duduk tegak, tidak bergerak. Keheningan pun menjalar ke segenap ruang pawagam. Lalu berterusan sehingga sepuluh minit...setengah jam...satu jam... sehingga akhirnya muncul kredit penutup NKTM, tanda filem sudah tamat.
Kenapa agaknya tercipta keheningan yang berpadu selama satu jam setengah itu?
Saya enggan mengulas. Hanya satu pesanan...pergi lah menonton Nur Kasih The Movie di pawagam berdekatan [atau jauh pun boleh!], mulai hari ini,19 Mei 2011.

Sunday, May 8, 2011

TUDUNG EKSPRES DAN ROH KEMBALI DI SINGAPURA

Ketika ini, dua drama yang skripnya tulisan saya, sedang bersiaran di Singapura. Tudung Ekspres di saluran percuma berbahasa Melayu, SURIA, pada waktu prima [prime time], 9.30 malam, setiap Rabu.
Manakala Roh Kembali di saluran berbayar berbahasa Melayu, SENSASI, pada pagi, petang dan lewat malam.
Kedua-duanya sepanjang 13 episod dan ditayangkan di Malaysia pada pertengahan tahun lalu. Semoga ini menjadi makluman kepada rakan-rakan di Singapura.

NORA ELENA...DI SLOT AKASIA, TV3

Ada banyak sebab untuk saya ‘sakit jiwa’ menangani skrip Nora Elena. Terasa bagaikan Gambir, watak utama dalam Pintu Terlarang – novel Indonesia yang diadaptasi ke filem menggunakan tajuk sama. Mujur saya tidak menjadi seperti Gambir – menyembelih kepala orang!!!
Mujur juga lah dibantu oleh Azril Hamzah dan Shida Zali. [Setelah percubaan untuk menarik diri, gagal!]
Nora Elena bersiaran mulai Isnin, 9 Mei, di TV3, jam 7.00 hingga 8.00 malam melalui slot Akasia, TV3, setiap Isnin hingga Khamis.
Ini merupakan adaptasi daripada novel, KASIH YANG SUCI karya Meen Zulaikha, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.

Wednesday, April 20, 2011

'IDEA PITCH' DI TV3...MULAI PENGHUJUNG APRIL

Stesyen televisyen untuk pasaran massa [mass market] yang paling ditontoni kerana 'jenama'nya, membuka sesi lontaran idea [Idea Pitch atau disebut juga pitching] mulai hujung bulan ini hingga awal bulan hadapan.
Ini lah stesyen yang paling banyak menolak idea saya atas alasan "tidak sesuai untuk pasaran massa." Saya akur.
Bagi memenuhi kehendak massa, TV3 menyasarkan 60 peratus penonton wanita dengan menumpukan kepada yang di luar bandar. Maknanya, segmen pasaran yang terdiri daripada kakak-kakak dan makcik-makcik di kampung. Sebahagian lagi pasaran ditumpukan kepada golongan pekerja pinggir bandar, tetapi masih kepada gender perempuan. [sub-urban working class girl].
Semoga berjaya kepada rakan-rakan penulis dan penerbit yang terbabit dalam sesi ini.

Monday, April 11, 2011

GBPSM KEKAL SEBAGAI GRUP FACEBOOK

Seramai 33 ahli hadir di majlis Minum Petang Sempena Ulang Tahun pertama GBPSM, di Galeri Shah Alam, Selangor. Pengarah Filem, Saw Teong Hin dan Kartunis/Pelukis, Tuan Haji Zainal Buang Hussein juga hadir sebagai tetamu istimewa.
Justeru, satu ketetapan dicapai bahawa GBPSM akan terus kekal sebagai salah satu GRUP FACEBOOK sebagai mana asalnya. Grup ini akan terus menjadi platform untuk menghubungkan para penulis skrin di seluruh negara.
Fokus utama ialah mengenalpasti berapa ramai penulis yang aktif dalam membekalkan isi kandungan kepada industri. Satu ’data base’ yang lengkap tentang golongan ini - yang selama ini terlibat sebagai ’industry player’ – akan dibangunkan secara perlahan-lahan tetapi konsisten.
Usaha ini akan dijalankan TANPA PERSATUAN BERDAFTAR. Tidak ada makna menubuhkan persatuan berdaftar, sedangkan para penulis yang aktif masih tidak mahu bersatu, memilih untuk membawa haluan tersendiri dan leka di dalam ’comfort zone’ masing-masing.
Justeru, tumpuan sekarang ialah penyatuan di bawah satu platform yang longgar, bebas, santai, bersahaja, tetapi ’action-oriented’, khusus buat mereka yang aktif menulis sahaja.
Kumpulan ini tidak bersifat ortodoks. Sekali sekala, dari alam maya, kita bertemu di alam nyata untuk berbincang lanjut dan merapatkan hubungan. Ini sama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sekarang ini rancak bertemu rakan-rakan FB beliau di alam nyata.
Dengan ketetapan ini, harapan kami agar terjawab lah dua persoalan utama yang sering dilontarkan, ”ke mana hala tuju GBPSM?” dan ”kenapa GBPSM tidak didaftarkan ?”
Jawapannya, GBPSM ingin menyatukan semua penulis aktif tanpa perlu berpersatuan. Akan tetapi, biarpun bebas tanpa pertubuhan berdaftar, kita tetap mempunyai PAKSI nya. Sekian.

Thursday, April 7, 2011

SAW TEONG HIN....BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN GBPSM

Nama Saw Teong Hin tidak asing lagi dalam industri perfileman di Malaysia. Nama ini mula disebut selepas munculnya filem blockbluster Malaysia, Puteri Gunung Ledang. Setelah itu, beliau mengarahkan filem Apa Kata Hati, termasuk teater muzikal.
Berbekalkan pengalamannya, Saw Teong Hin akan hadir ke Sesi Perkongsian Pengalaman [Sharing Moment] yang pertama anjuran Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia [GBPSM]. Sesi ini diadakan sempena Sambutan Ulangtahun Pertama GBPSM di Galeri Shah Alam, Sabtu ini, 9 April 2011.
Pengarah ini akan membedah beberapa kelemahan yang terdapat di dalam skrip atau lakon layar tempatan. Selain itu akan memberitahu apakah yang dikehendaki oleh pengarah dalam sesebuah naskah. Justeru, penulis skrip perlu memberi apa dimahukan oleh pengarah.
Tetamu jemputan lain yang turut hadir adalah pelukis/kartunis, Tuan Haji Zainal Buang Hussein dan Pengarah Galeri Shah Alam, Tuan Syed Abu.
Mana-mana penulis yang belum membuat RSVP, sila segerakan dengan menghubungi saya atau Faznita.

Wednesday, April 6, 2011

MINUM PETANG GBPSM...SABTU, 9 APRIL 2011

Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia [GBPSM] akan mengadakan sambutan ulangtahun pertama pada Sabtu ini, 9 April 2011 jam 3.00 petang di Galeri Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Selain acara santai, makan-makan dan mengeratkan silaturahim, kita juga akan berforum tentang beberapa isu seperti bagaimana menghasilkan lakon layar yang mampu menarik ramai penonton, royalti, hak-hak penulis dan pelbagai isu yang difikirkan releven untuk dibincangkan secara bersama.
Sesiapa yang berminat untuk menghadiri majlis ini, boleh membuat RSVP melalui penganjur di nombor 017-349 2227. Bagi mereka yang kurang arif tentang lokasi Galeri Shah Alam, ia terletak di pusat bandaraya Shah Alam, berdekatan Taman Rekreasi Permai dan berhadapan dengan Bank Negara Malaysia.
http:// http://www.mbsa.gov.my/pelancongan_galerishahalam

Saturday, April 2, 2011

“PINTU TERLARANG”...DARI NOVEL KE FILEM

Banyak juga filem adaptasi dari novel terbitan Indonesia yang menarik minat rakyat negara ini. Dan kebanyakannya mengangkat subjek yang bernilai seperti agama [Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih]; kemiskinan [Laskar Pelangi] dan psikologi manusia [Pintu Terlarang].
Novel-novel ini mempunyai nilai sastera dan membawa pembaca ke arah pembangunan jiwa serta inspirasi.
Agak terkilan kerana terlepas mengikuti diskusi “Laskar Pelangi” arahan Riri Riza di Finas, dua tahun lepas. Namun semalam, berpeluang mengikuti diskusi “Pintu Terlarang” arahan Joko Anwar, juga di Finas.
Bagi menyesuaikan dengan medium filem, Joko membuat adaptasi longgar dengan mengambil hanya sepuluh peratus daripada bahan asal di dalam novel. Ini dibuat dengan kebenaran novelisnya, Sekar Ayu Asmara. Malah novelisnya enggan melihat skrip filem itu [di atas kertas], sebaliknya membuat keputusan untuk terus menonton tayangannya di layar perak.
Beberapa penyesuaian juga dibuat ke atas watak utama dalam novel ini, sehingga menjadikan nama watak sahaja yang serupa, sedangkan perwatakannya di filem adalah berbeza berbanding novel. Beberapa bahan baharu turut ditambah seperti kewujudan organisasi rahsia dan ‘penyembelihan’ ngeri pada malam sambutan Krismas.
Menurut Joko, novel itu menarik. Tetapi ditulis tanpa STRUKTUR lakon layar. Justeru, rombakan dan penambahan perlu dibuat bagi memudahkan penonton mengikutinya untuk jangkamasa tayangan selama 90 minit.
Dalam proses adaptasi itu, sebaik selesai membaca novel, Joko membiarkan novel itu ke tepi tanpa berbuat apa-apa selama tiga bulan. Setelah itu, baharu lah beliau mula menulis skripnya. Tujuannya supaya tidak terpengaruh dengan novel dalam membangunkan sebuah lakon layar yang hebat.
Bagaimanapun, filem itu tetap setia kepada novel asalnya dari segi genre iaitu thriller.
Katanya lagi, Pintu Terlarang versi filem mendapat sambutan baik di kalangan pembaca novel kerana mereka mahu menonton sesuatu yang baharu.
Tentang novelisnya pula, Ayu Asmara, mempunyai pelbagai jenis bakat seperti menulis lakon layar, mengarah filem, melukis dan menerbitkan muzik.
Selain Pintu Terlarang, dua lagi novelnya bertajuk “Kembar Keempat” dan “Doa Ibu”. Manakala karya filem Ayu Asmara seperti Biola Tak Berdawai, Belahan Jiwa, Selamanya dan Pesan dari Syurga. Sebahagian daripada filem Ayu Asmara mendapat pengiktirafan di festival filem.

Monday, March 28, 2011

ADAPTASI "KASIH YANG SUCI"… PRA-AMARAN!

Proses adaptasi novel terlaris, KASIH YANG SUCI [KYS] karya Meen Zulaikha, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd, masih berjalan sebagaimana jadualnya. Namun, bagi peminat novelnya, mereka sudah tidak sabar menantinya di layar kaca, berkemungkinan Mei ini.
Sebagaimana novel terlaris lain, KYS juga bersifat SELLING DREAMS, ROMANCE, FANTASY & ESCAPISM. Khusus buat perempuan muda [termasuk yang tak berapa muda]. Wanita memang perlukan waktu untuk duduk sendirian [private time] bagi melarikan diri [escape] dari realiti hidup yang lazimnya dipenuhi lelaki sebenar yang ‘KONTRADIK’ dengan gambaran lelaki dalam novel.
Penawaran impian dan pelarian ini cukup berjaya jika dilihat dari segi naratif, jumlah jualan dan obsesi peminat terhadapnya.
Namun, membaca komen peminat yang obses dan fanatik, agak mencemaskan karyawan yang terlibat dalam kerja adaptasi ini. Memandangkan adaptasi ini melibatkan tafsiran dan penyesuaian berdasarkan medium yang berbeza serta pandangan peribadi tenaga produksi terhadap naratifnya.
Selain itu, skrip TV berbeza dengan novel kerana mengambil kira latarbelakang penonton yang pelbagai - dari segi peringkat umur, pendidikan, jantina, pekerjaan, pemikiran dan pengaruh persekitaran.
Justeru, sebagai pra-amaran, pembaca yang telah membeli impian dan khayalan dalam novel ini, sangat digalakkan untuk membuat persediaan mental terlebih awal [sebaiknya mulakan dari sekarang] bagi menonton siri adaptasinya ke televisyen kelak.
Manakala karyawan yang terlibat, boleh lah bersiap-sedia untuk lari ke dalam gua – yang tiada akses internet – sekiranya tidak sanggup menghadapi kutukan peminat yang obses terhadap novel ini.

Friday, March 25, 2011

"TEH O AIS LIMAU"..KINI DI YOUTUBE

video

"TEH O AIS LIMAU"...HAMPIR CAPAI SEJUTA

Telefilem "Teh O Ais Limau" yang bersiaran pada Disember lalu di TV9 hampir-hampir mencapai sasarannya dengan rating melebihi 900,000. Rating lebih tinggi dikatakan untuk siaran ulangannya.
Ironi, di saat stesyen berlumba-lumba mengejar rating...rating...dan rating..., berlainan pula dengan saya. Kepuasan menulis buat saya terletak kepada 'isi kandungan' [content] yang bermanafaat, bukan hiburan kosong.
Bagaimanapun, jumlah penonton yang ramai merupakan matlamat stesyen. Saya yang mewakili pembekal isi kandungannya, akur pada kenyataan ini. Demi periuk nasi, TIDAK SEKALI-KALI saya kata, "go to hell with rating!".
Atas dasar itu, Alhamdulillah jika dimaklumkan rating memuaskan, bermakna mudah 'cari makan' lagi di masa akan datang.
Di sebalik angka [yang kadang-kadang memberi tekanan], kepuasan menulis "Teh O Ais Limau" sebenarnya diperolehi dari komen penonton di internet bahawa ia santai, bersahaja, menghiburkan tetapi ada pengisian. Ini sudah mencukupi.
Telemovie lain yang mengisi kempen sejuta penonton pada penghujung tahun itu, seperti Aku, Kau dan Dia ; Duda Berhias ; Haruskah Aku Mati ; dan 5 Disember. Akan tetapi, tiada maklumat diperolehi tentang prestasi rating drama-drama ini.

Monday, March 21, 2011

MASTER CLASS SCREEN WRITING...MULAI 28 MAC

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia [FINAS] sekali lagi menganjurkan kursus MASTER CLASS SCREEN WRITING mulai 28 Mac hingga 1 April ini. Kursus selama lima hari itu akan dikendalikan oleh karyawan dari Indonesia, Encik Joko Anwar.
Kursus ini terhad kepada 20 peserta sahaja. Syarat kemasukannya bergantung kepada proses penilaian oleh Panel Penilai FINAS. Yurannya sebanyak RM300. Bagaimanapun, ahli SWAM diberi diskaun sebanyak RM100.
Joko pernah menulis ARISAN! yang berjaya dari segi komersial dan kritikan, termasuk memenangi pelbagai anugerah seperti Filem Terbaik di Festival Filem Indonesia [2005] dan MTV Movie Indonesia [2004].
Beliau juga melahirkan JANJI JONI yang diiktiraf sebagai penceritaan [storytelling] yang inovatif.
KALA [2007], filemnya dalam genre Noir [bunyi sebutannya no-ah], yang bermaksud filem 'gelap',telah mendapat tempat di kalangan pengkritik. Filem ini memenangi Anugerah Khas Juri di Festival Filem Asian New York. Ia juga dirujuk sebagai 'a sophisticated noir whodunit in homage to Fritz Lang's "M"'
Terbaru, PINTU TERLARANG [2009] dalam genre psychological thriller dianggap sebagai tiket untuk beliau melangkah ke Hollywood.
Mereka yang berminat, sila dapatkan borang permohonan melalui Bahagian Latihan Finas di nombor 03-4104 1375/1373.

Friday, March 11, 2011

MARI MENULIS SKRIP

Setelah dua bulan setengah memasuki tahun 2011, nampaknya peluang kerja untuk penulis skrin sentiasa cerah. Seorang rakan penulis memberitahu dia sudah mendapat kerja sehinga bulan Jun ini. Saya juga begitu. Manakala seorang lagi perlu menyiapkan enam telemovie dalam tempoh tiga bulan.
Apa pun, yang paling glamor, seorang rakan GBPSM sudah pun menulis untuk produksi antarabangsa. Siapa orangnya dan apa projeknya masih dirahsiakan.
Rasanya ini cukup untuk memberi motivasi kepada penulis baru. Namun, bagi mereka yang berasakan ilmu belum cukup, boleh lah mengikuti pelbagai kursus anjuran pelbagai pihak. Bagi kursus yang terdekat, pengarah dan penulis skrin KAMAL ISHAK akan menganjurkan :
Bengkel Penulisan Skrip pada 12 dan 13 Mac ini [esok dan lusa] di Unggul Filem Academy , Taman Permata, Ulu Klang, mulai 8 pagi hingga 5 petang.
Bengkel Adaptasi Novel ke Skrip pada 16-18 Mac ini di tempat yang sama. Bagaimanapun, kursus ini untuk mereka yang sudah mengetahui asas penulisan skrip drama TV atau filem.
Sesiapa yang berminat menyertainya, sila hubungi nombor 016-269 4527 [Haslee] atau e-mel kepada kerismadura@yahoo.com

Thursday, February 24, 2011

GBPSM BERUSIA SETAHUN

Gabungan Bebas Penulis Skrip Malaysia [GBPSM] berusia setahun pada 21 Februari lalu. Justeru, satu sambutan hari ulangtahun akan diadakan tidak lama lagi, berkemungkinan besar di Galeri Shah Alam pada sebelah petang.
Selain itu, perkataan Penulis Skrip pada nama gabungan ini juga akan ditukar kepada Penulis Skrin. Perubahan ini akan diumumkan secara rasmi dalam majlis yang akan datang.
Sementara itu, Facebook GBPSM kini mencecah 780 ahli. Manakala dari segi kehadiran, apabila dicampurkan kesemua siri perjumpaan sebelum ini, mencatatkan seramai 60 orang sebagai pernah hadir.
Tunggu maklumat lanjut tentangnya...

Friday, February 18, 2011

ANUGERAH SERI ANGKASA MUNCUL KEMBALI

Setelah empat tahun menyepi, Anugerah Seri Angkasa muncul kembali pada tahun ini. Anugerah ini anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan mendapat sokongan dan penyertaan kesemua stesyen televisyen tempatan. Ia diberi kepada rancangan yang tersiar di semua saluran TV kita sejak awal sehingga pertengahan tahun 2010.
Kehadiran semula majlis ini memang dinanti-nantikan oleh karyawan seni tempatan. Memandangkan anugerah ini diberi berdasarkan penjurian profesional sepenuhnya, tentu lah ia dianggap lebih berwibawa berbanding anugerah lain yang dianjurkan oleh stesyen TV lain.
Selamat maju jaya diucapkan kepada para penulis yang tercalon dalam kategori Skrip Drama TV terbaik. Mereka adalah :
Sebelum Akhirat – Jumal Yunus (TV3); Denai Berbisik – Danial (Astro Prima); Anak-Anak Lorong – Mohd Rohizan Ramli (Astro Prima); Bebayang Fitri – A Wahid Nasir (RTM TV2); Perempuan – Siti Jasmina Ibrahim (RTM TV2)
Sebagai penulis drama rantaian, tentu lah saya tercari-cari kategori untuk Drama Rantaian. Malangnya, tiada kategori berkenaan. Manakala drama rantaian ’Apa Dosa Ku’ telah dicalonkan dalam kategori drama terbaik bersama-sama calon drama telemovie yang lain. Ini bermakna format anugerah ini telah merangkumkan drama telemovie dan drama rantaian untuk bersaing dalam kategori yang sama.
Senarai penuh calon-calonnya boleh di baca dalam :
http://mforum1.cari.com.my/viewthread.php?tid=527786&extra=&page=1

Sunday, February 13, 2011

GBPSM DI MESYUARAT AGUNG SWAM

Sabtu lalu, ahli-ahli Gabungan Bebas Penulis Skrip Malaysia [GBPSM] telah hadir ke Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Persatuan Penulis Skrin Malaysia [SWAM] di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Kehadiran itu atas dasar ingin membuat perubahan dalam SWAM. Bagaimanapun, hasrat ini tidak kesampaian apabila bilangan mereka yang hadir amat kecil berbanding ahli SWAM sedia ada - yang masih mahu SWAM kekal dipimpin oleh barisan Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada ’warga-warga tua’ yang langsung tidak pernah menulis skrip.
GBPSM merupakan badan tidak berdaftar yang memperjuangkan hak dan kebajikan setiap insan bergelar penulis skrip. Ia ditubuhkan oleh segelintir penulis skrip yang aktif dalam industri untuk manafaat semua penulis skrip secara keseluruhannya. GBPSM memandang usaha ke AGM SWAM sebagai sesuatu positif dalam membawa angin perubahan yang kecil. Akan tetapi, GBPSM tidak mampu melaksanakan misi perubahan ini jika masih ramai penulis skrip tidak berada dalam bahtera perjuangannya.
Justeru, GBPSM akan meneruskan usaha mendekati semua penulis skrip bagi mendapatkan angka yang mencukupi untuk membuat perubahan samada melalui SWAM atau tanpa SWAM, bergantung kepada mana yang lebih releven untuk difikirkan secara bersama.
InsyaAllah, GBPSM akan bersidang lagi dalam masa yang terdekat ini. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan GBPSM, tunggu maklumat lanjut melalui blog, FB, SMS, email dan sebagainya.

Sunday, January 23, 2011

PROMO TRAILER...GEMILANG, TV3

video

DRAMA ”GEMILANG” MULAI ESOK DI TV3

Setelah berjaya dengan Nur Kasih, penulis berwibawa, Mira Mustaffa tampil dengan karya terbaru, Gemilang, mulai esok, Isnin, 24 Januari, jam 9 malam di TV3.
Tulisannya ini memang 'menyengat’. Sungguh mencabar ketika diminta membantunya dalam satu episod. Nampak mudah bila membacanya, tetapi susah bila menulisnya.
Gemilang mengisahkan perjuangan guru dalam bidang pendidikan swasta – yang bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar yang gagal dalam SPM. Latar masanya lewat 70-an iaitu era yang releven dengan perkembangan pendidikan negara.
Drama ini arahan Kabir Bhatia, Faisal Ishak dan Joeza Rasidi. Penulis Nik Naemah turut membantu Mira menulis beberapa episod. Pelakonnya terdiri daripada Shah Jaszle, Tiz Zaqyah, Kamal Adli dan Tasha Shilla serta dibantu oleh Dato’ Jalaludin Hassan.

Sunday, January 16, 2011

AGM SWAM...PADA 12 FEBRUARI 2011

Persatuan Penulis Skrin Malaysia atau ringkasnya SWAM akan mengadakan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan pada 12 Februari 2011. Kepada mereka yang belum menjadi ahli, tetapi tiba-tiba sahaja 'sampai seru' untuk menyertainya, jangan malu dan segan untuk menjenguk di pejabatnya di :
27-1, Jalan 3/4C, Desa melawati, Kuala Lumpur, Malaysia, 53100
. Yurannya adalah seperti berikut :
Pendaftaran RM100
Ahli Biasa RM50 setahun
Ahli Siswa RM20 setahun
Ahli Bersekutu RM350 setahun
Ahli Seumur Hidup RM500
Maklumat lanjut dan borang keahlian boleh diperolehi melalui laman web :
http://swammalaysia.wordpress.co

Friday, January 14, 2011

SLOT AKASIA....DI TV3

Slot Akasia di TV3 menumpukan kepada drama berkonsep ringan dan santai, biasanya berkisar tentang cinta dan wanita. Sasarannya ialah kelumpuk masyarakat umum berbangsa Melayu yang digelar "Malay Mass Market" atau "kampung" atau "kpg.com".
Slot ini menumpukan kepada adaptasi daripada samada novel-novel atau filem-filem tempatan atau luar negara yang mendapat sambutan.
Waktu siaran telah diubah daripada pukul 6.30 - 7.30 petang kepada 7.00-8.00 malam.
Menurut stesyen berkenaan, anjakan waktu ini bagi membolehkan penonton yang bekerja sempat sampai di rumah untuk menonton.
Slot ini berjaya menarik kira-kira 1.8 juta penonton. Pada masa ini bersiaran drama Tiramisu terbitan Filmscape Sdn Bhd.
Sementara itu, saya sedang menulis untuk slot berkenaan, bertajuk KASIH YANG SUCI, adaptasi daripada novel bertajuk sama karya Meen Zulaikha. Novel ini terbitan Alaf 21 Sdn Bhd. Drama sepanjang 24 episod ini akan diterbitkan oleh Asia Media Content Sdn Bhd.
Bagi yang tidak gemar menonton pada waktu Magrib, boleh lah menonton pada bila-bila masa yang lapang melalui :
http://tonton.com.my

Friday, January 7, 2011

TAKUT SIKSA KUBUR, BUKAN 'HANTU KUBUR'

Apabila Kak Norma Hashim dari Penjara Sungai Buloh melontarkan idea berkaitan siksa kubur, saya terus berminat. Tidak sangka, dalam banyak-banyak idea yang dilontarkan kepada pengarah merangkap penerbit, Kabir Bhatia, beliau juga tertarik pada idea ini.
Bagi saya, yang perlu ditakuti bukan lah hantu kubur, tetapi siksa kubur. Kerana siksa kubur itu adalah benar.
Setelah beberapa bulan, Astro Prima [Saluran 105] memberi lampu hijau kepada idea ini untuk dilaksanakan. Telemovie sepanjang 85 minit akan memaparkan sebahagian kecil daripada gambaran siksa kubur - sebagaimana di dalam hadis-hadis sahih. Bagaimanapun, ia akan dibuat dengan bajet terhad, tanpa melibatkan kesan Computer Generated Image [CGI] dan diarahkan Faisal Ishak.
Perbincangan dengan tenaga kerja dari Filmscape Sdn Bhd telah memberi sedikit pencerahan. Tanpa CGI dan bajet rendah, kemunculan ular dihadkan kepada satu dua babak sahaja. Malaikat Munkar dan Nakir pula, setakat ini hanya dalam bentuk ’bayang’. Faisal turut memikirkan gerakan kamera [POV] sebagai Malaikat. Apa pun, ia tertakluk kepada pihak penapisan jua, akhirnya.
Kisah ini bermula selepas tujuh langkah manusia meninggalkan pusara yang tersimpan mayat seorang isteri yang telah berzina dengan lelaki lain..