Showing posts with label ADAPTASI NOVEL KASIH YANG SUCI. Show all posts
Showing posts with label ADAPTASI NOVEL KASIH YANG SUCI. Show all posts

Saturday, June 25, 2011

NORA ELENA...BERAKHIR DENGAN 2.7 JUTA

Saya tidak mengharapkan apa-apa ketika dipanggil menulis untuk slot Akasia, TV3, sekitar November lalu. Lantaran pengisiannya bukan datang dari saya, sebaliknya telah ditentukan oleh pihak stesyen yang berkenaan.
Stesyen waktu itu menerangkan bahawa mulai tahun ini, mereka menukar konsep Akasia dengan menumpukan kepada pengisian yang diadaptasikan daripada novel-novel popular. Tajuk-tajuk novel itu dipilih oleh pihak MEREKA. [perkataan MEREKA sengaja ditulis dalam huruf besar dan dihitamkan pula.]
Selain itu, MEREKA mahukan pengisian yang ringan, santai dan mudah untuk slot ini, dengan menumpukan kepada penonton luar bandar.
Keghairahan saya tidak lah seperti ketika menulis siri TV Nur Kasih di bawah penyeliaan Mira Mustaffa sebagai ketua panel skripnya, dua tahun lalu. Namun, tugas menghasilkan skrip adaptasi ini tetap dilaksanakan.
Nora Elena kemudiannya menarik dua juta penonton, dengan episod terakhir, 2.7 juta. Sebelum ini, penonton slot Akasia sekitar 1.8 juta.
Secara peribadi, saya melihat Nora Elena sebagai kejayaan material [duniawi] untuk semua pihak yang terlibat :
Syarikat penyiarannya mendapat hasil iklan melalui 'rating'.
Pelakon dan tenaga kerjanya mungkin dicari untuk tawaran demi tawaran kerja selepas ini.
Novelisnya mendapat lebih royalti.
Reputasi penerbitnya meningkat.
Dan penontonnya mendapat hiburan yang mereka dahagakan.
Namun, siri ini masih boleh dipertikaikan dari aspek bukan-material atau 'ukhrawi', lantaran unsur hiburan keterlaluan melalui kegilaan penonton terhadap rupa paras dan khayalan yang tidak pasti samada memberi manafaat atau mudarat kepada pembangunan jiwa insani. [Islam melihat kepada sejauh mana mudarat atau manafaat sesuatu tugas itu kepada masyarakat. Sebaliknya, industri melihat kepada sejauh mana sesuatu tugas itu dapat menarik keuntungan material].
Setakat ini, belum ada pihak yang mengukur manafaat sesuatu siri TV kepada pembentukan jiwa dan minda ummah, melalui kaji selidik yang tetap dan terancang. Yang diukur secara tetap dan terancang ialah 'jumlah penonton', [bukan pengisiannya] melalui agensi 'rating' antarabangsa untuk tujuan pengiklanan.
Justeru, dari perspektif industri, Nora Elena telah berjaya.

Friday, June 10, 2011

NORA ELENA…. MINGGU TERAKHIR

Drama bersiri Nora Elena bakal bersiaran untuk minggu terakhir mulai Isnin hadapan, 13 Jun. Menurut laman web gua.com, episod 1 hingga episod 16 drama ini telah berjaya menarik 800,000 penonton melalui tonton.com.my. Manakala episode 16 sahaja – babak berbulan madu di Cameron Highland – dapat menarik 80,000 penonton.
Sementara itu, jumlah yang menyukainya melalui halaman peminat [FAN PAGE ], mencecah 56,000 ketika entri ini ditulis.
Namun, masih tiada makkumat tentang rating di televisyen. Apa pun, dari segi kedudukan, khabarnya Nora Elena mungkin berada di tangga kedua selepas Juvana atau ketiga selepas Juvana dan Asmara. Perlu ditekankan bahawa Nora Elena bersiaran pada waktu Magrib – waktu orang Melayu jarang menonton televisyen. Sedangkan Juvana dan Asmara bersiaran ketika PRIME TIME, di TV3.
Jangan ketinggalan menontonnya minggu hadapan…

Sunday, May 8, 2011

NORA ELENA...DI SLOT AKASIA, TV3

Ada banyak sebab untuk saya ‘sakit jiwa’ menangani skrip Nora Elena. Terasa bagaikan Gambir, watak utama dalam Pintu Terlarang – novel Indonesia yang diadaptasi ke filem menggunakan tajuk sama. Mujur saya tidak menjadi seperti Gambir – menyembelih kepala orang!!!
Mujur juga lah dibantu oleh Azril Hamzah dan Shida Zali. [Setelah percubaan untuk menarik diri, gagal!]
Nora Elena bersiaran mulai Isnin, 9 Mei, di TV3, jam 7.00 hingga 8.00 malam melalui slot Akasia, TV3, setiap Isnin hingga Khamis.
Ini merupakan adaptasi daripada novel, KASIH YANG SUCI karya Meen Zulaikha, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.

Monday, March 28, 2011

ADAPTASI "KASIH YANG SUCI"… PRA-AMARAN!

Proses adaptasi novel terlaris, KASIH YANG SUCI [KYS] karya Meen Zulaikha, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd, masih berjalan sebagaimana jadualnya. Namun, bagi peminat novelnya, mereka sudah tidak sabar menantinya di layar kaca, berkemungkinan Mei ini.
Sebagaimana novel terlaris lain, KYS juga bersifat SELLING DREAMS, ROMANCE, FANTASY & ESCAPISM. Khusus buat perempuan muda [termasuk yang tak berapa muda]. Wanita memang perlukan waktu untuk duduk sendirian [private time] bagi melarikan diri [escape] dari realiti hidup yang lazimnya dipenuhi lelaki sebenar yang ‘KONTRADIK’ dengan gambaran lelaki dalam novel.
Penawaran impian dan pelarian ini cukup berjaya jika dilihat dari segi naratif, jumlah jualan dan obsesi peminat terhadapnya.
Namun, membaca komen peminat yang obses dan fanatik, agak mencemaskan karyawan yang terlibat dalam kerja adaptasi ini. Memandangkan adaptasi ini melibatkan tafsiran dan penyesuaian berdasarkan medium yang berbeza serta pandangan peribadi tenaga produksi terhadap naratifnya.
Selain itu, skrip TV berbeza dengan novel kerana mengambil kira latarbelakang penonton yang pelbagai - dari segi peringkat umur, pendidikan, jantina, pekerjaan, pemikiran dan pengaruh persekitaran.
Justeru, sebagai pra-amaran, pembaca yang telah membeli impian dan khayalan dalam novel ini, sangat digalakkan untuk membuat persediaan mental terlebih awal [sebaiknya mulakan dari sekarang] bagi menonton siri adaptasinya ke televisyen kelak.
Manakala karyawan yang terlibat, boleh lah bersiap-sedia untuk lari ke dalam gua – yang tiada akses internet – sekiranya tidak sanggup menghadapi kutukan peminat yang obses terhadap novel ini.

Friday, January 14, 2011

SLOT AKASIA....DI TV3

Slot Akasia di TV3 menumpukan kepada drama berkonsep ringan dan santai, biasanya berkisar tentang cinta dan wanita. Sasarannya ialah kelumpuk masyarakat umum berbangsa Melayu yang digelar "Malay Mass Market" atau "kampung" atau "kpg.com".
Slot ini menumpukan kepada adaptasi daripada samada novel-novel atau filem-filem tempatan atau luar negara yang mendapat sambutan.
Waktu siaran telah diubah daripada pukul 6.30 - 7.30 petang kepada 7.00-8.00 malam.
Menurut stesyen berkenaan, anjakan waktu ini bagi membolehkan penonton yang bekerja sempat sampai di rumah untuk menonton.
Slot ini berjaya menarik kira-kira 1.8 juta penonton. Pada masa ini bersiaran drama Tiramisu terbitan Filmscape Sdn Bhd.
Sementara itu, saya sedang menulis untuk slot berkenaan, bertajuk KASIH YANG SUCI, adaptasi daripada novel bertajuk sama karya Meen Zulaikha. Novel ini terbitan Alaf 21 Sdn Bhd. Drama sepanjang 24 episod ini akan diterbitkan oleh Asia Media Content Sdn Bhd.
Bagi yang tidak gemar menonton pada waktu Magrib, boleh lah menonton pada bila-bila masa yang lapang melalui :
http://tonton.com.my