Showing posts with label RTM. Show all posts
Showing posts with label RTM. Show all posts

Monday, September 7, 2015

PITCHING RTM ... SEKARANG!

Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memulakan pitching terbuka (open pitch) mulai hari ini sehingga Oktober nanti. Pitching ini dibuka kepada semua syarikat penerbitan yang berdaftar sebagai pembekal program untuk RTM samada untuk tv1, tv2 atau tv-i. Pitching ini merangkumi pelbagai jenis program termasuk yang bukan berbahasa Melayu.

Terdapat kira-kira 700 hingga 800 syarikat penerbitan yang berdaftar di negara ini. Daripada jumlah itu, tidak pasti berapa banyak syarikat yang aktif dan akan menyertai pitching kali ini.

Dalam pitching yang lepas (Disember 2014-Januari 2015), RTM telah menerima kira-kira 1,500 kertas cadangan program. Saya tidak sempat menyertai pitching yang lepas tetapi telah ditawarkan satu tajuk yang telah diluluskan iaitu Balang Bawah Bulan. Tajuk ini sudah melalui  mesyuarat penerbitan pada Ogos lalu. Khabarnya, tajuk ini adalah yang terakhir dalam kelumpuk pitching berkenaan yang dipanggil untuk mesyuarat penerbitan.  Durasinya 13 episod setengah jam.

Penulisan skrip Balang Bawah Bulan sedang berlangsung sekarang. Saya dibantu oleh penulis baharu, Nur Azilah Arif. Drama terbitan  Alternate Studios Sdn Bhd ini  akan diarahkan oleh Shahrulezad Mohamaden.

Monday, April 22, 2013

Drama Bersiri "MASKARA" di Singapura

Selain tayangan di Malaysia melalui TV1, web portal tonton.com.my dan telefon pintar menggunakan talian Maxis dan Digi, drama bersiri MASKARA turut bersiaran di negara jiran melalui saluran kabel berbayar  Singtel Mio TV Channel [Saluran 851]

Sama seperti di Malaysia, episod baharu menemui penonton pada setiap hari Khamis.  Bagaimanapun, saya tidak mendapat maklum balas tentang harga setiap episod.

Pembabitan saya dalam drama ini sebagai pereka konsep, penulis jalan cerita [treatment] dan pembinaan watak. Skrip penuh dibantu oleh dua penulis lagi iaitu Ain Fazrin Abd Rahman dan Louise Manjaji. 

Drama arahan  Nizam Zakaria ini diterbitkan oleh KRU Studios.






Wednesday, March 21, 2012

PITCHING DI RTM & MEDIA PRIMA....

Bulan Mac dan April mungkin bulan paling sibuk buat para penulis skrin. Lantaran ini lah masanya stesyen televisyen seperti RTM dan Kumpulan Media Prima Berhad [MPB] membuka tawaran Pitching untuk program-program yang bakal mengisi pelbagai slot pada tahun hadapan [2013].
Justeru, hari ini saya mengulangi ucapan klise seperti tahun-tahun yang lepas iaitu, "Selamat maju jaya kepada rakan-rakan yang menyertainya".
Perkataan 'klise' mengingatkan saya kepada surat tawaran Pitching dari TV9. Antara syaratnya, idea mesti lah yang segar, asli dan tidak klise. Saya sekadar tersenyum membaca syarat ini....
Sekian, jumpa lagi di lain kali.

Monday, August 24, 2009

PITCHING RTM....ADAPTASI 'MAHLIGAI' DAN 'TBM 2'

Khamis lalu, saya melontarkan idea untuk slot adaptasi drama tempatan. Mahligai karya Salina Ibrahim dan Tangisan Bulan Madu (TBM) musim kedua karya Samsiah Mohd Nor. Kepada mereka yang akan pitching slot ini, ada soalan cepu emas yang perlu diberi perhatian.
"Novel ini bagus. Tetapi bagaimana kamu hendak mempastikan bahawa skripnya nanti menjadi sebagus novel?"
Wah! Tu diaaaaaaa...! Bagi sekuel TBM pula, soalan 'maut'nya berbunyi :
"Musim kedua drama tempatan selalunya tidak sebaik musim pertama. Jadi, bagaimana kamu mempastikan bahawa sambungannya nanti akan jadi sebaik yang asal?"
Soalan maut itu terlontar kerana ahli panel telah membaca novel Mahligai dan menonton TBM musim pertama. Mereka mengakui kedua-dua karya ini sebagai karya yang bagus. Ini menyebabkan mereka meragui kualiti karya seterusnya. Berdasarkan karya-karya terdahulu yang pernah tersiar - samada adaptasi novel atau sekuel - sering gagal menyaingi kredibiliti naskah asalnya. Jadi, keraguan mereka itu memang munasabah dan wajar.
Apa pun, selamat maju jaya kepada HANISAH OTHMAN, yang akan pitching novelnya sendiri, OBSESI CINTA, pada hari ini. Hanisah seorang guru dan penulis genre sastera. Ini adalah percubaan pertama beliau dalam bidang penulisan skrip drama televisyen.
Dan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pembaca blog ini.

Tuesday, August 18, 2009

TANGISAN BULAN MADU KE SINGAPURA

Drama bersiri Tangisan Bulan Madu (TBM) yang diadaptasi daripada novel popular bertajuk sama, karya Samsiah Mohd Nor, kini sedang bersiaran di Singapura. Drama 30 episod itu menemui penonton negara berkenaan melalui saluran TV Suria, setiap Sabtu dan Ahad, jam 9.30 malam. Dalam perkembangan lain, sekuelnya yang masih di peringkat konsep sudah dipanggil untuk 'pitching' di RTM pada khamis ini. Ia dirancang untuk mengisi slot Cindai iaitu slot telenovela 40 episod x 1 jam yang diadaptasi daripada novel tempatan.
TBM menemui penonton pada Mei hingga Ogos tahun lalu dan berjaya menarik 1.3 juta penonton. Ia diulangtayang pada Januari hingga Februari tahun ini dan tercalon ke Anugerah Skrin 2008 dalam kategori drama rantaian.
Kepada peminat setia TBM, sama-sama lah kita mendoakan agar hasrat meneruskan 'sekuel' ini terlaksana.

Thursday, August 6, 2009

'PITCHING' RTM KEMBALI LAGI...

Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membuka sekali lagi sesi pitching atau idea pitch (lontaran idea). Kali ini tawaran untuk slot drama Melayu lebih banyak. Ia tidak seperti pada Februari lalu yang hanya slot telemovie dan mini-series untuk sambutan hari tertentu. Bermakna, sesiapa yang berhajat menulis drama rantaian 13 atau 26 episod, sila lah mencuba kali ini.
Tidak terkecuali untuk slot telenovela CINDAI yang mengkhusus kepada drama adaptasi daripada novel-novel tempatan masakini. Slot berkenaan menawarkan drama rantaian 40 episod dengan durasi satu jam setiap episod
Bagi drama rantaian (biasanya disebut drama bersiri), RTM lazimnya meminta penulis skrip mengemukakan sinopsis untuk setiap episod (episodic synopsis). Bagaimanapun, untuk pitching kali ini, tidak perlu lagi. Cukup sekadar menghantar sinopsis keseluruhan yang tidak melebihi tiga mukasurat. Peraturan ini pastinya lebih 'mesra alam' kepada golongan penulis skrip yang biasanya kesuntukan masa untuk menulis.
RTM juga membuka tawaran kepada program lain seperti Dokumentari, Majalah dan Muzik.
Taklimat mengenainya diadakan pagi tadi, jam 9.30 untuk para penerbit. Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Ogos ini. Seterusnya, RTM akan memanggil penerbit dan penulis skrip mulai 17 Ogos hingga 11 September. Kepada semua penerbit dan penulis skrip, pada bulan puasa nanti, mari lah sama-sama kita 'berkampung' di Bukit Angkasa, ya. Best of luck!!
p.s. - sesiapa yang ingin membaca pengalaman pitching saya pada Februari lalu, boleh lah klik tajuk RTM pada ruangan 'LABELS' di sebelah kiri blog ini.

Tuesday, June 9, 2009

“PITCHING” RTM…..TONTON LAH HASILNYA

Jika Februari lalu, warga kerja produksi sibuk turun naik RTM untuk ‘pitching’, sekarang masa untuk menonton hasilnya. Sejak Mei lalu, beberapa telemovie sempena hari sambutan tertentu telah ditayangkan melalui Slot Citra di TV2. Semuanya yang lulus ‘pitching’ tempohari. Tawaran "pitching" berkenaan hanya membabitkan telemovie dan mini-series sempena sambutan tertentu seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, wanita kerjaya, ibu tunggal, cuti sekolah, Ramadhan dan Aidilfitri. Ada yang menghantar SMS memaklumkan hasil kerja mereka yang tersiar. Saya hanya sempat menonton telemovie PAYUNG KASIH arahan T.S. Jeffrey sempena Hari Ibu. Seorang penulis skrip yang juga pensyarah filem di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) turut berjaya dengan idea di saat akhir. Tetapi dia tidak berpuas hati kerana idea itu tidak lah sebagus ideanya yang lain yang tidak lulus. Berikut adalah SMS beliau :
“Malu nak bagi tau…. cerita tu bagi saya last minit idea. Idea yang bagus tak lekat pulak. Tak tau lah RTM ni…Bagi 25 tajuk, lekat 2..ha..ha… Tak pe, balik umrah nanti, saya produce sendiri dengan TV stesyen lain…”
25 tajuk!! Tabik lah! Sedangkan saya hanya mampu melontarkan dua idea yang kedua-duanya gagal. Apa pun, kejayaan bukan bergantung kepada kuantiti. Seorang pelajar IPTA yang mengkhusus dalam bidang penulisan skrip hanya mencuba nasib dengan satu idea yang diperolehi secara spontan di saat akhir. Dan melekat pula. Namun, setelah siap skrip, penerbit pula pening kepala. Pengarah berterus terang mengatakan bahawa idea ini hanya sesuai untuk filem. Sudahnya, skrip terpaksa dirombak bagi menyesuaikan dengan budget telemovie. Kasihan penerbit terpaksa berbelanja lebih sehingga untungnya berkurangan. Kasihan juga penulis skrip kerana apa yang tertera di skrip tidak dapat dipersembahkan secara bulat-bulat di kaca TV lantaran kos terlalu tinggi. Jadi, siapa yang harus dipersalahkan?

Tuesday, June 2, 2009

RTM SIASAT PENERIMA TENDER TV

Dalam ruangan hiburan Utusan Malaysia hari ini ada berita agak menarik. Bukan berita tentang drama bersiri Datin Wan Abe di mukasurat 24. Tetapi yang lebih menarik perhatian saya ialah berita mukasurat 22. Tajuknya, “RTM siasat penerima tender TV”. Dalam pertemuan dengan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) baru-baru ini, Menteri Penerangan yang baru, Datuk Seri Dr Rais Yatim berjanji akan menyiasat syarikat mana yang mendapat kuota 70% rancangan terbitan produksi tempatan. Siasatan itu bagi mempastikan bahawa tender pembekalan rancangan-rancangan TV daripada syarikat produksi tempatan diagih-agihkan secara lebih adil pada masa hadapan.
Kenapa Dr Rais mengeluarkan kenyataan ini? Adakah ini bermakna selama ini pemberian tender diberikan secara tidak adil? Adakah ini bermakna ada segelintir syarikat swasta yang membolot sebahagian besar daripada kuota 70 peratus itu?
Apa pun, kata Dr Rais lagi, RTM memperuntukkan sekitar RM200 juta setahun bagi membeli rancangan-rancangan televisyen termasuk drama, animasi dan muzik untuk siaran TV1 dan TV2. Bermakna sebanyak RM140 juta wang rakyat telah diperuntukan kepada syarikat produksi swasta tempatan manakala yang selebihnya (RM60 juta) adalah untuk membeli produk dari luar negara.

Friday, May 8, 2009

KHUSUS UNTUK KETUA PENGARAH RTM YANG BARU

Mungkin saya menjadi bekas anak didik Datuk Ibrahim Yahya yang paling akhir mengucap tahniah kepada beliau.
"Tahniah, datuk! Atas perlantikan sebagai Ketua Pengarah RTM yang baru."
Dahulu saya memanggilnya, “Tiger” seperti semua orang lain di Balai Berita, Jalan Riong, Kuala Lumpur. Waktu itu saya bergelar wartawan kadet. Manakala beliau Ketua Pengarang Berita. Sebagai wartawan baru, banyak sekali teguran dan didikan termasuk denda olehnya. Paling saya ingat :
didenda menulis semula perkataan “televisyen” sebanyak 10 kali. Gara-gara tersilap menulisnya sebagai "television”.
Dan saya masih ingat kata-kata semangat darinya :
“I’m proud of you”.
Kata-kata ini dilontarkannya setelah saya menulis :
laporan penyiasatan secara bersiri tentang penyelewengan dalam kumpulan al-Arqam pada 1994. Setelah tamat laporan bersiri itu, pihak berkuasa kemudiannya mencekup Abuya Ashaari di Bangkok, Thailand.
Beberapa tahun kemudian, masing-masing membawa haluan. Tidak sangka, beliau akhirnya menjadi bos besar RTM. Manakala saya menulis skrip untuk RTM. Setakat ini, saya menulis dalam kuantiti melebihi 100 jam untuk RTM. Hampir semuanya drama bersiri 20, 26 dan 30 episod. Dan saya terus menulis rencana untuk beberapa majalah. Saya tidak pernah bertemu Datuk Tiger sejak meninggalkan Balai Berita pada 1997. Lantas, kepada bekas bos saya itu, saya ingin memberitahu :
"Datuk, saya sekarang penulis skrip tetapi saya masih wartawan. Benar lah kata orang, once a reporter, always a reporter."

Wednesday, April 22, 2009

Idea Pitch di RTM..."Satu Kenyataan Maaf”

Rupanya, entry saya tentang Idea Pitch di RTM telah mengecilkan hati orang tertentu. (Mungkin juga beberapa pihak tertentu samada penerbit atau organisasi yang seangkatan dengannya) . Ada SMS yang diterima, pengirimnya seorang penulis, menyangka saya “marah-marah” pada RTM kerana pitching saya gagal. Terserah lah kepada pembaca untuk mentafsirkan kesemua entry saya tentang “pitching” berkenaan. Saya hanya menulis dari hati dan hati jua lah yang menerimanya. Sungguh, saya tidak bermaksud untuk mempertikaikan kredibiliti penulis lain atau syarikat penerbit yang berjaya. Namun, sekiranya ada yang terasa hati,
beribu kemaafan saya pohonkan dengan ikhlas dari lubuk hati sanubari ini.
Kehadiran saya di ruang maya ini hanya untuk berkongsi maklumat dan pandangan. Itu sahaja. Tetapi ada kala, disalahfahami. Jadi, kepada semua, kemaafan jua yang dipinta. Kenyataan ini bukan sahaja untuk entry pitching RTM, tetapi merangkumi entry yang lain juga.

Thursday, March 19, 2009

PITCHING RTM....’and the winner is...’

Minggu lalu keputusan pitching RTM sudah pun diumumkan. Seperti yang dijangkakan, kedua-dua proposal saya gagal. Dan seperti yang dijangkakan juga, saya mendapat ‘rezeki’ daripada proposal penulis lain yang berjaya. Seorang penulis baru, meminta bantuan saya untuk menulis bersama-sama dengannya. Alasannya, tidak yakin dengan kebolehan, mahu belajar dari saya.
Saya dapati ideanya sangat ringan dan jalan ceritanya mudah. Berbeza dengan idea saya yang kononnya berat, jalan cerita sukar dan mempunyai idealisme (kononnya...ha..ha...).
Minggu ini, idea itu dipanggil untuk pembentangan. Dan penulis itu yang masih belajar di IPT, perlu pulang ke kampung untuk menguruskan pinjamannya. Lalu saya menjadi ‘bidang terjun'. Apa jadi?
Saya telah ‘dibantai’ oleh panel dengan teruk sekali.
Aduh!!! Ini lah akibatnya jika membentangkan idea orang lain! Sebenarnya, kumpulan kami yang terakhir, sekitar jam 5 petang. Sebaik masuk ke bilik pembentangan, ketua panel terus berkata,
“Setengah jam cukup lah ye, kami dah nak balik”.
Balas penerbit secara bergurau,
“Sepuluh minit pun tak apa, puan.”
Tidak sangka pulak dalam setengah jam itu, saya boleh mendapat 'habuan'nya...
Sila klik alamat di bawah untuk mengetahui keputusannya :
http://www.moi.gov.my/images/files/tender2009/pembekal_pitching.pdf

Tuesday, February 17, 2009

Pitching RTM....’Satira of The Year’

Sesi pitching RTM masuk minggu ke-tiga. Baru hari ini saya menyertainya. Ketika di kantin, saya dengar satu cerita. Tidak pasti samada ia cerita benar atau sekadar satira untuk melepaskan ‘tension’ turun naik Bukit Angkasa setiap hari sejak dua minggu lalu. Ceritanya begini :
Seorang penerbit dipanggil untuk pitching pada sekian-sekian masa dan tarikh. Dia pun datang tanpa membawa penulis skrip dan kertas konsep. Hanya membawa dirinya semata-mata. Sementara menunggu nama syarikatnya dipanggil, dia mundar-mandir mencari krew produksi yang boleh membantunya pitching. Akhirnya bertemu seorang pengarah veteren yang terkenal.
Berikut ialah dialog antara mereka :
Penerbit : Boleh tolong pitching?
Pengarah : Apa ceritanya?
Penerbit : Cerita belum ada.
Pengarah : Oh tak pe....tunggu kejap ya....(TERUS TUNDUK SAMBIL PEGANG KEPALA DAN MENGERUTKAN WAJAH A.K.A. BERFIKIR)
Lima minit kemudian .....
Pengarah : Ok, dah ada cerita. (YAKIN)
Pegawai RTM : Syarikat ABC...!!
Mereka pun masuk ke bilik pembentangan. Selepas 10 minit, mereka keluar. Seseorang yang menanti giliran di luar terus bertanya, “macamana?” Soalan ini merujuk kepada reaksi ahli panel. Adakah wajah mereka berminat? Atau wajah mereka bosan? Balas penerbit, ahli panel hanya terangguk-angguk sambil merenung tepat ke wajah si pengarah. Orang itu bertanya lagi, “kenapa?” Dengan selamba, penerbit itu menjawab, “mereka tengah fikir samada cerita itu logik ke tidak.”

Wednesday, February 11, 2009

IDEA PITCH 3...SIKAP PENULIS

Apa pun, penulis jarang mengalah. Mereka terus membangunkan konsep baru. Bentang lagi. Ditolak lagi. Kecewa. ... Biasanya, saya akan tulis semula (re-write) konsep yang sama dalam ayat-ayat yang berlainan untuk dihantar ke stesyen lain pula. Kalau ada rezeki, stesyen lain akan menerimanya. Mungkin juga hari ini konsep kita tidak lulus. Tetapi kita tetap mendapat job esoknya. Ini terjadi apabila penulis sesuatu konsep yang lulus telah mendapat 2-3 job serentak atau mempunyai komitmen lain. Dalam hal ini, samada penerbitnya atau penulis itu sendiri menyerahkannya kepada kita. Jadi, jangan serik untuk panjat bukit pergi ‘pitching’. Sementara menunggu nama dipanggil, beramah mesra lah dengan seberapa ramai yang ditemui. Dan jangan lupa, bawa lah business card sebanyak-banyaknya. InsyaAllah, akan dapat job. Mungkin job yang kita dapat itu lebih menarik dari konsep yang kita cadangkan tetapi gagal. Keadaan ini tentu dapat mengubat kekecewaan.

IDEA PITCH 1 ... APA DAN BAGAIMANA?

“Idea pitch” adalah kerja wajib penulis skrip. Sebahagian besar masa penulis diluangkan dengan menyediakan kertas konsep untuk idea pitch. Maksudnya, menulis kertas cadangan yang disebut sebagai “concept paper” untuk dinilai oleh stesyen TV. Ia mengandungi judul, tema, genre, durasi, sinopsis, watak, perwatakan, cadangan pelakon (casting) dan plot untuk setiap episod (sekiranya drama bersiri). Ketebalannya berbeza-beza. Antara 2-5 halaman untuk telemovie 90 minit atau 20-40 halaman untuk drama bersiri 13, 26 atau 30 episod. Biasanya, dalam setahun, penulis menyediakan minimum antara 5-10 konsep. Namun, dalam 10 yang dihantar, yang sangkut mungkin satu. Maknanya, satu dipanggil untuk pembentangan manakala status yang sembilan lagi, “senyap sahaja”. Pun begitu, jika dipanggil untuk pembentangan, ia tidak semestinya lulus. Ramai yang hanya mendapat “penat”. Biasanya, kalau ‘pitching’, agak susah sedikit hendak lulus kerana persaingan sangat tinggi. Bayangkan, dalam sehari, ada 10-30 syarikat dipanggil dengan masa pembentangan hanya 10 minit untuk setiap satu syarikat. Lain lah kalau “direct nego”. Melalui ‘direct nego’, stesyen memang sudah ada niat hendak membeli sesuatu konsep dari sesuatu penerbit . Mereka memanggil krew yang terdiri daripada penulis skrip, pengarah dan penerbit eksekutif untuk pembentangan, sekadar untuk mematuhi 'syarat'.

Monday, February 9, 2009

IDEA PITCH DI RTM...”MACAM AMERICAN IDOL...”

Sekarang, musim sibuk buat warga kerja produksi TV. Paling sibuk, tentunya penulis skrip kerana mereka lah yang bertanggungjawab menyediakan kertas konsep (concept paper) sesuatu rancangan TV. Apa lagi, berduyun-duyun lah memanjat Bukit Angkasa di Pantai Dalam untuk melontarkan idea masing-masing. Saya juga sepatutnya ke sana pada Jumaat lepas. Namun, Tuhan menetapkan sesuatu yang lain untuk saya. Nenda saya meninggal dunia akibat sakit tua pada hari Khamis, jam 8 pagi. Jadi, saya membuat keputusan untuk melupakan idea pitch itu. Bergegas pulang ke kampung pagi itu juga. Sempat lah saya melihat perjalanan terakhir nenda tercinta untuk kembali kepada Tuhannya. (Al-Fatihah) Menurut kawan saya, pada pagi Jumaat itu, ada 30 syarikat produksi dipanggil membentangkan konsep. Kumpulannya yang terdiri dari penulis skrip, pengarah dan penerbit eksekutif diberi masa 10 minit sahaja untuk melontarkan idea. Apa lagi, terpinga-pinga lah jawabnya. Panel penilai pula enggan melihat langsung pada kertas konsep yang disediakan. Mungkin mereka mahu mengejar masa memandangkan ada 30 kumpulan lain sedang menanti di luar. Komen kawan saya, “macam American Idol pulak!”