Showing posts with label SASTERA. Show all posts
Showing posts with label SASTERA. Show all posts

Sunday, January 22, 2017

ISTIRAHATLAH KATA-KATA

Sudah enam bulan saya tidak aktif 'bertuwit' (twitter). Hanya beberapa hari lepas saya terpanggil untuk kembali menjengah ke laman sosial itu. Lantas mendapati pengarah-pengarah filem berwibawa Indonesia beriya-iya mempromosi sebuah filem baharu yang sedang ditayangkan di pawagam negara mereka pada bulan ini. 

Istirahatlah Kata-Kata. Ini judulnya. Lantaran yang mempromosi itu semuanya karyawan hebat seperti Garin Nugroho, Joko Anwar, Riri Reza, Hanung Bramantyo, Salman Aristo dan ramai lagi, saya jadi hairan pula, filem karya siapakah ini?  Sehingga nama-nama besar itu menghebahkannya di laman twitter masing-masing?

Poster rasmi filem
Setelah menghubungi  'pakcik google', baharu lah saya tahu, filem ini bukan sebarang filem. Ia berdasarkan kisah seorang penyair yang juga aktivis hak asasi manusia, Wiji Thukul. Tokoh berbangsa Indonesia ini pernah terlibat di dalam perjuangan menentang penindasan rejim oder baru Presiden Suharto pada tahun 1998 melalui puisi dan demonstrasi. Wiji kemudiannya 'hilang' dan tidak ditemui sehingga ke hari ini. Beliau dipercayai diculik oleh tentera pemerintah tanpa diketahui samada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Mas Anggi ketika meraih anugerah filem pendek di Jepun.
Istirahatlah Kata-Kata diarahkan oleh penggiat filem muda Indonesia, Yosep Anggi Noen, 33, yang berkelulusan Komunikasi dari Universitas Gajah Mada. Beliau memulakan kerjaya dengan menghasilkan filem-filem pendek yang layak ke festival antarabangsa. Beliau juga pernah mengarahkan filem cereka dengan dana daripada Asian Cinema Fund.

Pada saya yang belum menonton ini, selain subject matter yang kuat, filem ini juga dianggap sebagai berjaya menarik perhatian para karyawan filem Indonesia untuk meraikan filem baik yang diterbitkan di tanahair mereka.

Persoalannya, akan adakah karyawan di tanahair kita nanti yang 'bisa' menghasilkan filem seperti ini?







Saturday, June 22, 2013

ADAPTASI KARYA SASTERA KE FILEM & TV





Minggu hadapan, Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi menganjurkan Bengkel Adaptasi Karya Sastera ke  Filem & Drama TV. Penganjuran kali kedua untuk tahun ini, mengekalkan pembimbing yang sama iaitu saya dan penulis skrip/penggiat sastera terkenal, Siti Jasmina Ibrahim. 

Bengkel yang bermula pada 27  hingga 29 Jun ini turut menampilkan dua tokoh sebagai tetamu iaitu Sabri Yunus dan Encik Kamarudin Ambak daripada Unit Drama RTM.  Kedua tokoh ini diberi satu slot sebagai pembuka dan penutup bengkel ini.

Sabri Yunus merupakan karyawan yang telah mengangkat novel sastera, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman karya Sasterawan Negara, Dato' Anwar Ridhuan ke telemovie untuk slot Tayangan Hebat, Astro Box Office saluran 952 yang bersiaran di sepanjang Jun ini.

Kamarudin Ambak pula terlibat dalam pelbagai program adaptasi karya sastera ke televisyen yakni saluran TV1, antaranya seperti Sangheeta karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Seramai 30 peserta dijangka hadir dalam bengkel selama tiga hari ini, di Hotel Star Point, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali ketiga saya diundang sebagai pembimbing skrip oleh pihak DBP.  Manakala pentauliahan sebagai 'Munsyi Dewan' diberikan pada April lalu.

Kepada mereka yang terpilih menyertai bengkel ini, jumpa di sana untuk berkongsi ilmu.

Semoga bermanafaat!



Friday, May 31, 2013

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN... SEPANJANG JUN INI DI ASTRO 952

Sebuah lagi karya sastera,  Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman [HHTSS] telah di angkat ke medium televisyen pada Jun ini di slot Tayangan Hebat Astro Box Office Movies  - Saluran 952.  Saluran yang juga dikenali sebagai ABO  ini  mengkhusus kepada telemovie berkualiti tinggi dengan bajet besar dan lebih artistik persembahannya berbanding drama telemovie atau drama bersiri yang biasa kita lihat di televisyen. Slot ini sering menampilkan tema berbentuk kemasyarakatan dan budaya. Dalam industri tempatan, karya jenis ini dirujuk sebagai Super Telemovie atau Super Tele. Bagaimanapun, istilah yang lebih tepat  ialah "Made-for-tv Movie". 

Berbalik kepada HHTSS,  karya ini merupakan adaptasi daripada novel Sasterawan Negara yang ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan. Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini, pernah memenangi Peraduan  Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah-Gapena pada  1979.  Dan juga pernah diangkat ke  teater pada 1984 oleh aktivis teater, Datuk Johan Jaafar sebagai penulis dan pengarah.

Kini, mulai 1  Jun 2013,  ia kembali dalam bentuk layar televisyen pula.  Kali ini dengan sentuhan daripada Sabri Yunus sebagai pengarah dan penulis skrip. Umum mengenali Sabri  sebagai pelakon televisyen, pelakon teater dan pelawak yang  berwibawa. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Sabri mula menyerlah dalam bidang pengarahan. Telemovie arahannya, Sanggul Beracun pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2011. Drama TV arahannya yang lain seperti Parut Asyikin dan Sebuah Piala Seekor Kambing.

HHTSS   dibawakan  oleh pelakon hebat, Wan Hanafi Su sebagai Pak Hassan dan akan menemui penonton di sepanjang bulan Jun ini.




Thursday, November 12, 2009

TABUNG AMIRUL FAKIR..SABTU INI DI IPOH, PERAK

Saya hanya kenal Amirul Fakir, melalui karya beliau, Mea Culpa, bukan secara peribadi.
Amirul Fakir tergolong dalam kategori sasterawan Angkatan 21. Beliau berpegang pada aliran yang cenderung menghasilkan karya abstrak dan menggunakan simbol serta isyarat.
Kini, setelah mengetahui keadaan beliau yang sedang diuji dengan sejenis penyakit, saya terpanggil mewar-warkan program amal untuk meringankan bebannya. Program seni Tabung Amirul Fakir (TAF) akan menampilkan persembahan daripada sekumpulan pemuzik, pelukis dan penulis tempatan. Antaranya :
Meor Yusuf Izuddin, Pyanhabib, Fathullah Luqman, S.M Zakir, Shamsuddin Othman, Jay Freelove, Lee Kwang Goh, Kamal Sabran dan Nur Hanim.
Ia akan diadakan pada Sabtu ini, 14 November 2009 di Rumah Yayasan Keseniaan Perak (YKP), Ipoh, Perak Darul Ridzuan, bermula pada jam 3.00 petang hingga 11.00 malam.
Program ini hasil inisiatif penyanyi pop folk, Meor Yusuf Azidin yang merupakan rakan seperjuangan beliau. Untuk makluman, lagu Meor bertajuk "Ruang Sempit Ini" telah tersiar dalam salah satu episod drama bersiri Tangisan Bulan Madu.
Baca tentang Meor dalam blognya : http://www.pestajiwa.net

Monday, May 25, 2009

KERANA SKRIP TV...MANTAN MPR DIHENTAM?

Seorang mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) berkecil hati. Katanya, ada ahli panel dalam Perhimpunan Penulis Nasional ke-2 di Melaka, hujung minggu lalu, menghentam mantan-mantan MPR yang tidak lagi menulis sastera dan agama. Sebaliknya menulis skrip filem dan drama TV. Betul ke? Kalau betul, kenapa mereka dihentam? Mungkin juga kerana penulisan mereka di kaca TV bersifat popular dan komersial. Tiada idealisme, tidak menghubungkan jiwa dengan jiwa atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Teringat pengakuan seorang mantan MPR :
"tidak menulis skrip yang serius kerana ia satu kerja yang susah. Ia tidak semudah menulis novel atau cerpen.”
Mungkin betul. Kalau tidak, masakan seorang penulis karya sastera bermutu tinggi, tetapi skripnya mengecewakan.
Opss! Bukan kata saya, tapi kata penerbit dan pengarah yang berkenaan!!
Saya percaya pada rungutan mereka itu. Kerana skrip memerlukan bakat meluahkan visual yakni imej-imej tertentu (show). Sedangkan novel, cerpen atau puisi, cukup dengan memberitahu (tell). Selain itu, pasaran televisyen tidak terbuka kepada “concept proposal” yang berat, unik, terlalu Islamik, sarat dengan idealisme atau bereksperimen. Bagaimanapun, TV menawarkan pendapatan agak lumayan untuk mereka yang berbakat dalam memvisualkan sesuatu dengan jelas, kreatif dalam mempersembahkan idea dengan cara menarik (catchy) dan menghiburkan (fun). Di sini, bukan idea yang penting tetapi persembahannya. Di sini, kita tidak mengembangkan kreativiti atau ekspresi seni secara maksimum. Sebaliknya lebih kepada bekerja mencari makan.
Ya, memang ada penggiat industri yang berkesedaran agama. Namun, bukan mudah untuk golongan ini kerana dugaannya cukup besar. Ada yang mengalah lalu keluar dari industri. Ada yang masih bertahan atas dasar melakukan “fardhu kifayah”. Golongan ini membentuk minoriti yang kecil. Mereka biasanya tidak banyak bercakap. Sebaliknya banyak bekerja. Agaknya mereka lebih banyak bercakap dengan Tuhan daripada bercakap dengan manusia.
Dan akhir-akhir ini, timbul golongan yang menghasilkan produk ala-ala Islami atas dasar keperluan pasaran. Selepas fenomena filem “Ayat-Ayat Cinta” dan sinetron seperti “Hikmah” dari seberang, penerbit filem dan stesyen TV tempatan mula membuka ruang untuk drama berlatarkan Islam (yang dahulu tidak dilayan atas alasan tiada market!) Produk ini dihasilkan bukan atas dasar “fadhu kifayah” tetapi atas dasar memenuhi permintaan dari pasaran. Contohnya “Syurga Cinta” yang mula ditayangkan di panggung mulai 21 Mei lalu dan “Nur Kasih” yang bakal ditayangkan mulai 29 Mei ini di TV3. Kedua-duanya bukan lah produk dakwah. Ia sekadar memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang rentetan dari situasi di negara jiran. Berbalik kepada mantan MPR, kita perlu bertanya mereka :
Kenapa menulis skrip TV? Adakah kerana mahu memberi pendidikan secara tidak langsung (indirect) kepada khalayak yang lebih besar (kita bercakap tentang angka tiga juta penonton kalau untuk TV3)? Atau kerana mahu buat duit banyak-banyak sementara industri memerlukan mereka? Apakah produk-produk mereka itu langsung tidak bermanafaat kepada ummah? Adakah konsep asal itu datangnya daripada ilham mereka sendiri? Atau konsepnya awal-awal lagi sudah ditetapkan oleh stesyen TV?
Hemm...banyak pula soalannya....siapa nak jawab...?

Thursday, April 16, 2009

BACA NASKHAH SN ARENAWATI

Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) akan menganjurkan program Baca Naskah Sasterawan Negara (SN) Arenawati, pada 23 April ini, jam 9 pagi-4.30 petang di Galeri Bahasa Jiwa Bangsa, DBP. Naskah yang akan dibaca adalah kumpulan cerpen terawal allahyarham antara tahun 1954-1959. Majlis ini dianjurkan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Ia terbuka kepada semua yang berusia 18 tahun ke atas. Hanya 50 penyertaaan terawal akan dipilih sebagai pembaca naskah. Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pembaca naskah, sila hubungi Encik Mohd Hiezam Hj Hashim (03-21483541) sebelum 17 April. Boleh juga e-mel ke : rakandbp@dbp.gov.my