Showing posts with label DRAMA TV. Show all posts
Showing posts with label DRAMA TV. Show all posts

Monday, September 7, 2015

PITCHING RTM ... SEKARANG!

Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memulakan pitching terbuka (open pitch) mulai hari ini sehingga Oktober nanti. Pitching ini dibuka kepada semua syarikat penerbitan yang berdaftar sebagai pembekal program untuk RTM samada untuk tv1, tv2 atau tv-i. Pitching ini merangkumi pelbagai jenis program termasuk yang bukan berbahasa Melayu.

Terdapat kira-kira 700 hingga 800 syarikat penerbitan yang berdaftar di negara ini. Daripada jumlah itu, tidak pasti berapa banyak syarikat yang aktif dan akan menyertai pitching kali ini.

Dalam pitching yang lepas (Disember 2014-Januari 2015), RTM telah menerima kira-kira 1,500 kertas cadangan program. Saya tidak sempat menyertai pitching yang lepas tetapi telah ditawarkan satu tajuk yang telah diluluskan iaitu Balang Bawah Bulan. Tajuk ini sudah melalui  mesyuarat penerbitan pada Ogos lalu. Khabarnya, tajuk ini adalah yang terakhir dalam kelumpuk pitching berkenaan yang dipanggil untuk mesyuarat penerbitan.  Durasinya 13 episod setengah jam.

Penulisan skrip Balang Bawah Bulan sedang berlangsung sekarang. Saya dibantu oleh penulis baharu, Nur Azilah Arif. Drama terbitan  Alternate Studios Sdn Bhd ini  akan diarahkan oleh Shahrulezad Mohamaden.

Tuesday, August 25, 2015

ADAPTASI NOVEL ACI PATMABI DAN KEMBOJA DI HATI TERBITAN DBP

Pagi tadi saya selesai membentangkan progres penulisan adaptasi novel Aci Patmabi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Projek ini untuk Bahagian Sastera, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Penulisannya sudah 60% siap dan tarikh penghantaranya pada hujung Oktober ini.

Novel karya Azmi Iskandar Merican ini tentang masalah sosial yang melanda masyarakat Melayu Jawi Peranakan di  Pulau Pinang pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Minggu hadapan pula, saya akan memulakan satu lagi  projek adapatasi novel bertajuk Kemboja Di Hati yang juga terbitan DBP.  Novel ini untuk TV Al-Hijrah, setiap Selasa, jam 10 malam. Drama bersiri ini mengekalkan tajuk yang sama seperti novelnya. Novelisnya, Ramlah Rashid telah menghasilkan 12 buah novel setakat ini.

Drama ini akan menggunakan khidmat Shahrulezad Mohamaden sebagai pengarah dan penerbitnya, Ashraf Muslim. Syarikat produksi milik Ashraf ini, Al-Hidayah Production, telah memenangi drama terbaik Anugerah Skrin 2014  dan banyak lagi kategori melalui drama bertajuk Matahari Terbit Lagi.

Friday, March 13, 2015

"PITCHING' TERBUKA TV3 & TV9

Tahun ini merupakan tahun kedua pihak TV3 dan TV9 membuka peluang kepada orang awam dan penulis baharu untuk menjual idea drama kepada kedua-dua saluran berkenaan. Acara pitching terbuka ini diadakan  sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL)  tahun ini. Keutamaan diberikan kepada penulis skrin baharu yang belum pernah menulis di TV3 dan TV9.

Ayuh, ini lah peluang untuk mencuba bakat menjual idea, mana tahu ia berhasil?

Pitching terbuka ini diadakan pada hari Sabtu dan Ahad ini (14 hingga 15 Mac) di bangunan The New Straits Times Press (M) Berhad, Jalan Riong, Kuala Lumpur. Tidak perlu mendaftar lebih awal. Peserta hanya perlu datang antara jam 9 pagi sehingga 5 petang, mendaftarkan nama dan kemudian…pitch!

Pada hari yang sama dan di tempat yang sama  juga, akan  berlangsung bengkel-bengkel seni oleh penggiat industri berpengalaman (sila rujuk entri tentang DFKL sebelum ini untuk nama-nama pembimbing bengkel)

Sementara itu, undian di atas talian untuk Anugerah DFKL 2015 juga masih dibuka. Manakala siaran ulangan drama rantaian Cinta Pandang Ke-2  di Slot Aurora TV9 sempena DFKL telah ditukar ke hari Ahad, jam 8.30 malam. (Sebelum ini, bersiaran pada setiap Khamis waktu yang sama)

Kepada mereka yang menyukai Cinta Pandang Ke-2, jangan lupa mengundi karyawan drama ini (termasuk penulis skrip nya!) di laman sesawang DFKL iaitu di pautan ini -  UNDIAN DFKL 2015

Selamat maju jaya kepada semua.

Friday, May 25, 2012

TENTANG INTEGRITI


Petang ini, Jumaat, 25 Mei, InsyaAllah saya ke Institut Integriti Malaysia [IIM] untuk  Sesi Dialog Bersama Bloggers. Niat IIM semoga para blogger turut menyampaikan mesej tentang integriti.  Seramai 20 blogger dijangka hadir, kebanyakannya  dari bidang politik, isu semasa, sosial dan keagamaan.  Harap usaha ini ada manafaatnya dan mampu menyumbang sesuatu walaupun sedikit.

Integriti berasal dari perkataan Latin. Ia bermaksud satu tindakan menyeluruh yang berkaitan dengan kejujuran seseorang. Tindak tanduk orang yang berintegriti adalah selaras dengan prinsip moral , etika dan undang-undang.  

Tentang  integriti dalam industri  penyiaran televisyen, memang banyak yang boleh dikongsi berdasarkan pengalaman aktif dalam bidang ini. Namun, untuk kali ini cukup lah dengan merujuk tulisan blogger Syed Azidi [Blog Kickdefella] tentang   ‘orang nombor dua’ kepada pemilik Astro. Ini pautannya :


Terima kasih kepada sahabat saya, Nor Faznita Mohd Nor yang mula-mula meletakkan pautan kepada entri blog berkenaan di laman FB, Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia.

Akhir kata, terus menulis walau apa pun rintangannya....

Monday, November 22, 2010

"AYOUB"...MULAI 23 NOVEMBER IINI

Kisah ini pada mulanya hanya sepanjang lima muka surat power point. Diilhamkan daripada perjalanan hidup Nabi Ayub Alaihisalam, ia ditulis untuk sesi idea pitch TV3 pada Mei lalu.
Idea ini kemudiannya melalui banyak penambahbaikan dan improvisasi di tangan rakan saya, Faznita Mohd Nor. Daripada tajuk asalnya, FILANTROPI, berubah menjadi AYOUB. Di tangan Faznita juga, skripnya digarap sehingga lah menemui penonton mulai esok, Selasa, 23 November 2010, jam 10.30 malam.
Semoga drama ini mendapat perhatian penonton sebagaimana "YUSOFF", drama slot Samarinda sebelum ini, yang juga ditulis oleh Faznita. Drama ini juga diilhamkan daripada kisah nabi. Ia mendapat sambutan baik daripada penonton sehingga tercalon ke Anugerah Skrin 2009 dalam kategori Drama Rantaian.
Keterangan Gambar : Barisan pelakon utama Ayoub terdiri daripada Iqram Dinzly, Fizz Fairuzz, Fiza Halim dan Watie Elit.

Saturday, October 10, 2009

KONSEP ‘GEMPAK’ BUDGET ‘CIPUT’

Beberapa tahun dahulu saya ada menulis senaskah skrip yang dianggap sebagai ‘mala petaka’. Ia tentang
sekumpulan ahli arkeologi yang menemui ‘mumia’ seorang puteri kerajaan purba – sebuah kerajaan yang sudah lenyap 1,000 tahun lalu dari rantau nusantara ini (The lost civillazation).
Lokasi utamanya di Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, Sabah. Di situ memang terdapat kubur purba di dalam gua. Dan menjadi tumpuan para pengkaji purba. Lokasi lain di England iaitu tempat heroin dan si jahat (antagonis) menuntut ilmu arkeologi di sebuah unversiti. Ia juga lokasi untuk watak jahat - seorang pencuri artifek - menjual pelbagai khazanah berharga warisan negara di pasaran gelap.
Kurator Muzium Negara, Encik Yusuf yang merupakan anak jati Kampung Batu Puteh sendiri, sudi menjadi pakar rujuk untuk drama ini. Manakala konsepnya hasil idea seorang rakan wartawan, Azman Mohd Nawi.
Namun, semuanya ‘hampeh’ apabila ‘budget’ yang dikeluarkan oleh produksi itu tersangat kecil. Di tambah pula dengan masalah seperti penyelewengan wang pengambaran, kekurangan ilmu pengetahuan, pengalaman,kemahiran serta bakat , kelemahan pengurusan, ketiadaan budaya ‘research’ dan sikap sambil lewa, mahu enjoy serta mengambil kesempatan ketika bekerja.
Drama ini siap dalam tempoh 18 bulan iaitu menyamai tempoh pengambaran filem Lord of The Ring. Ia membabitkan beberapa kali rombakan skrip, pertukaran lokasi, pelakon (cast) dan tenaga kerja (kru). Tidak terkecuali 'drama dalam drama' seperti pergaduhan sesama kru-cast-penerbit, missing in action, laporan polis dan sebagainya.
Memandangkan kualitinya teramat buruk, RTM menayangkannya pada pukul 12.00 tengah malam!

Monday, May 25, 2009

KERANA SKRIP TV...MANTAN MPR DIHENTAM?

Seorang mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) berkecil hati. Katanya, ada ahli panel dalam Perhimpunan Penulis Nasional ke-2 di Melaka, hujung minggu lalu, menghentam mantan-mantan MPR yang tidak lagi menulis sastera dan agama. Sebaliknya menulis skrip filem dan drama TV. Betul ke? Kalau betul, kenapa mereka dihentam? Mungkin juga kerana penulisan mereka di kaca TV bersifat popular dan komersial. Tiada idealisme, tidak menghubungkan jiwa dengan jiwa atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Teringat pengakuan seorang mantan MPR :
"tidak menulis skrip yang serius kerana ia satu kerja yang susah. Ia tidak semudah menulis novel atau cerpen.”
Mungkin betul. Kalau tidak, masakan seorang penulis karya sastera bermutu tinggi, tetapi skripnya mengecewakan.
Opss! Bukan kata saya, tapi kata penerbit dan pengarah yang berkenaan!!
Saya percaya pada rungutan mereka itu. Kerana skrip memerlukan bakat meluahkan visual yakni imej-imej tertentu (show). Sedangkan novel, cerpen atau puisi, cukup dengan memberitahu (tell). Selain itu, pasaran televisyen tidak terbuka kepada “concept proposal” yang berat, unik, terlalu Islamik, sarat dengan idealisme atau bereksperimen. Bagaimanapun, TV menawarkan pendapatan agak lumayan untuk mereka yang berbakat dalam memvisualkan sesuatu dengan jelas, kreatif dalam mempersembahkan idea dengan cara menarik (catchy) dan menghiburkan (fun). Di sini, bukan idea yang penting tetapi persembahannya. Di sini, kita tidak mengembangkan kreativiti atau ekspresi seni secara maksimum. Sebaliknya lebih kepada bekerja mencari makan.
Ya, memang ada penggiat industri yang berkesedaran agama. Namun, bukan mudah untuk golongan ini kerana dugaannya cukup besar. Ada yang mengalah lalu keluar dari industri. Ada yang masih bertahan atas dasar melakukan “fardhu kifayah”. Golongan ini membentuk minoriti yang kecil. Mereka biasanya tidak banyak bercakap. Sebaliknya banyak bekerja. Agaknya mereka lebih banyak bercakap dengan Tuhan daripada bercakap dengan manusia.
Dan akhir-akhir ini, timbul golongan yang menghasilkan produk ala-ala Islami atas dasar keperluan pasaran. Selepas fenomena filem “Ayat-Ayat Cinta” dan sinetron seperti “Hikmah” dari seberang, penerbit filem dan stesyen TV tempatan mula membuka ruang untuk drama berlatarkan Islam (yang dahulu tidak dilayan atas alasan tiada market!) Produk ini dihasilkan bukan atas dasar “fadhu kifayah” tetapi atas dasar memenuhi permintaan dari pasaran. Contohnya “Syurga Cinta” yang mula ditayangkan di panggung mulai 21 Mei lalu dan “Nur Kasih” yang bakal ditayangkan mulai 29 Mei ini di TV3. Kedua-duanya bukan lah produk dakwah. Ia sekadar memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang rentetan dari situasi di negara jiran. Berbalik kepada mantan MPR, kita perlu bertanya mereka :
Kenapa menulis skrip TV? Adakah kerana mahu memberi pendidikan secara tidak langsung (indirect) kepada khalayak yang lebih besar (kita bercakap tentang angka tiga juta penonton kalau untuk TV3)? Atau kerana mahu buat duit banyak-banyak sementara industri memerlukan mereka? Apakah produk-produk mereka itu langsung tidak bermanafaat kepada ummah? Adakah konsep asal itu datangnya daripada ilham mereka sendiri? Atau konsepnya awal-awal lagi sudah ditetapkan oleh stesyen TV?
Hemm...banyak pula soalannya....siapa nak jawab...?

Saturday, May 23, 2009

MALAM INI...CEREKARAMA TV3 "SAMPAI SYURGA"

Saya jarang menulis telemovie 90 minit. Tumpuan saya lebih kepada drama bersiri. Kini, setelah lima tahun tidak menulis telemovie, saya kembali dengan “SAMPAI SYURGA”. Namun, ia bukan lah idea asal saya. Sebaliknya, idea penerbit. Saya hanya diminta menulis skripnya setelah idea ini diluluskan oleh stesyen.
Plot utamanya (main-plot) berkisar kepada seorang anak tunggal yang dimanjakan sangat oleh bapa tunggal. Tidak lulus SPM tetapi menjadi penyanyi dan kemudian menderhaka pada bapanya.
Saya kemudiannya memasukkan plot sampingan (sub-plot) yang berkisar kepada dunia hiburan tanahair. Ini lah sahaja yang boleh dikatakan idea saya sepenuhnya. Plot ini tentang industri muzik tempatan yang mementingkan hiburan murahan, sensasi, glamor, wang ringgit dan publisiti. Ia bukan untuk meningkatkan kualiti muzik, mengembangkan bakat, kreativiti dan ekspresi seni secara maksimum. Memandangkan ia adalah sub-plot dan durasinya amat terhad, isu ini hanya disentuh sepintas lalu melalui dialog.
Pelakon yang menjayakan drama ini terdiri daripada Elly Mazlien, Harun Hashim, Aqasha dan ramai lagi.
Tajuk ini dipilih berdasarkan lagu popular "Sampai Syurga" nyanyian Faizal Tahir. Bagaimanapun, saat akhir, lagu ini digugurkan lalu digantikan dengan sebuah lagu baru ciptaan Azmeer yang khusus untuk drama ini. Selamat Menonton

Monday, May 18, 2009

Datin Wan Abe...sebuah kehidupan yang terpisah dari realiti..

Ini lah karya terbaru saya. Ia akan disiarkan di TV3 mulai esok, Selasa 19 Mei, jam 10 malam. Datin Wan Abe @ Wanna Be (DWB) menggantikan Mr Mama 2 yang tamat siarannya pada minggu lalu. Mr Mama 2 merupakan antara program yang mencatat rating (jumlah penonton) tertinggi . Manakala sekuel pertamanya, menang Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2008.
DWB akan dilakonkan oleh Jasmin Hamid, Samsol Ghau-Ghau, Wan Elyas dan ramai lagi.
Bagaimanapun, ada beberapa perkara telah ditapis oleh stesyen. Antaranya :
1. Bakar yang dipaksa oleh bosnya untuk hadir ke mesyuarat bahagian sebuah parti politik kerana tidak cukup korum.
2. Kerabat Sultan Melaka yang menuntut takhta.
3. Nama Ku Li (Tengku Ali) digantikan dengan nama Ku Yop (Tengku Ayob).
4. Nama Datin Seri Rosmah juga diminta tukar kepada nama lain.
5. Watak Perdana Menteri digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
6. Unsur-unsur berkaitan lelaki lembut dan gay 'wajib' ditiadakan.
7. Adegan penyajak menghunus keris lalu menciumnya juga dipotong.
"Wanna Be" atau "wannabe" yang bermaksud "want to be" adalah pasar yang digunakan di Amerikat Syarikat. Justeru, kita menggunakan tajuk "Datin Wan Abe". Wan Abe adalah nama ayah watak utamanya. Dan sebutannya mirip "wanna be". Mungkin cara paling baik untuk meMelayukan perkataan ini. Bagaimanapun, di kaca TV, perkataan Wan dan Abe dirapatkan untuk membolehkan maksud "wannabe" itu sampai kepada penonton.
Selamat menonton...

Thursday, May 14, 2009

”JOB” KENA PINTAS...

Al kisah, seorang rakan penulis skrip, telah mendapat ’job’ sebanyak 13 episod dengan sebuah saluran. Dia pun gembira lah menulis skripnya. Tentunya drama berunsur Islam kerana orangnya memang kerap menulis drama-drama sebegini. Malah penerbitnya juga terkenal dengan pengkhususan kepada drama Islami. Malang sekali, setelah kerja menulis bermula, saluran berkenaan menarik balik tawaran ’job’ itu. Terpinga-pinga lah si penulis dan penerbitnya.
Alamak! Macamana boleh jadi begini?
Dan khabarnya, saluran berkenaan mahu membeli pula kertas konsep (cerita) si penulis tadi. Maksudnya, hanya membeli konsep manakala kerja-kerja penerbitannya (termasuk menulis skrip), akan dikendalikan oleh penerbit lain.
Wah, boleh pulak begitu, ya!!
Rakan saya tidak sanggup menjualnya. Lain lah kalau mereka mampu membelinya dengan harga RM10,000! Tapi mana mungkin mereka mampu. Sedangkan ia saluran baru yang belum menjana pendapatan besar. Sekarang, rakan saya sedang bersedih kerana ketiadaan ’job’. Ada konsep, tetapi tiada 'job'. Sedangkan syarikat penerbitan yang mahu memintas itu, mungkin ketiadaan konsep . Jika tidak, masakan saluran itu menyuarakan hasrat hendak membelinya dari penulis. Bermakna, kalau ada ’cable’, tak ada konsep pun, boleh pintas ’job’ orang! Al kisahnya...

Friday, April 24, 2009

PELANGI PETANG....SEBUAH LAGU "ICONIC"

Minggu lalu, saya terjumpa catatan wikipedia yang merujuk Pelangi Petang sebagai "iconic song". Lagu itu digubah untuk filem KAMI (1982), filem pertama dan terakhir lakonan Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Sejak itu, puluhan drama Melayu telah menjadikannya lagu tema. Ini lah puncanya saya teragak-agak untuk mencadangkannya buat Tangisan Bulan Madu (TBM). Alasannya, terlalu kerap digunakan dalam drama Melayu. Pun begitu, saya tidak dapat menolak satu kenyataan - lirik dan melodinya sangat bertepatan dengan jalan cerita TBM. Lantas, saya mencadangkan juga, bersama 10 lagu lain yang "meletup" dan dinyanyikan artis terkenal. Penerbit akhirnya memilih Pelangi Petang yang digubah 26 tahun lalu. Satu keputusan yang tepat! Selepas TBM tersiar, generasi baru yang tidak pernah kenal Sudirman, berkata mereka sangat menyukainya. Generasi lama pula berkata mereka kembali suka mendengarnya. Dan semasa TBM ditayangkan di TV2, ada dua lagi drama Melayu yang lain di siaran lain yang turut menjadikannya sebagai lagu tema. Justeru, adakah Pelangi Petang akan terus releven buat melodrama Melayu sampai bila-bila?

Wednesday, April 22, 2009

Idea Pitch di RTM..."Satu Kenyataan Maaf”

Rupanya, entry saya tentang Idea Pitch di RTM telah mengecilkan hati orang tertentu. (Mungkin juga beberapa pihak tertentu samada penerbit atau organisasi yang seangkatan dengannya) . Ada SMS yang diterima, pengirimnya seorang penulis, menyangka saya “marah-marah” pada RTM kerana pitching saya gagal. Terserah lah kepada pembaca untuk mentafsirkan kesemua entry saya tentang “pitching” berkenaan. Saya hanya menulis dari hati dan hati jua lah yang menerimanya. Sungguh, saya tidak bermaksud untuk mempertikaikan kredibiliti penulis lain atau syarikat penerbit yang berjaya. Namun, sekiranya ada yang terasa hati,
beribu kemaafan saya pohonkan dengan ikhlas dari lubuk hati sanubari ini.
Kehadiran saya di ruang maya ini hanya untuk berkongsi maklumat dan pandangan. Itu sahaja. Tetapi ada kala, disalahfahami. Jadi, kepada semua, kemaafan jua yang dipinta. Kenyataan ini bukan sahaja untuk entry pitching RTM, tetapi merangkumi entry yang lain juga.

"EARTH DAY" LAH PULAK!

Selepas "Earth Hour" pada Mac lalu, tiba pula 'Earth Day" atau "Hari Bumi". Tarikhnya pada hari ini..22 April. Ia disambut setiap tahun bagi mengenang bumi yang sudah tua dan uzur. Saintis barat menganggar bumi berusia 4.5 bilion tahun. Manakala al-Quran tidak menyatakan bilakah bumi tercipta. Pun begitu, terdapat persamaan antara penemuan saintis barat dengan fakta di dalam al-Quran tentang asal kejadian bumi. Saintis barat dan al-Quran juga mempunyai pendapat yang sama bahawa :
kerosakan bumi adalah akibat perbuatan manusia sendiri.
Saya ada menyelitkan tentang kerosakan bumi dalam karya seperti :
Telemovie slot Cerekarama TV3 "2 JIWA 1 HATI" berlatarkan Tasik Kenyir, arahan Ahmad Idham (Julai 2004). Dan dalam Tangisan Bulan Madu.
Juga dalam novel :
CAHAYA DI HUJUNG NYAWA terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (Julai, 2008).
Terbaru, menulis kertas cadangan AMUKAN NAGA CHINI (ANC) untuk slot Lagenda TV3. Isu yang dicadangkan agak berat, mungkin sukar diluluskan. Saya juga mencadangkan AKU BUKAN PONTIANAK (ABP). Penerbit memberitahu TV3 lebih berminat pada ABP berbanding ANC. Ini memang sudah diduga. ANC membawa isu pencemaran alam sekitar yang mungkin tidak diminati oleh penonton TV3 - kecuali jika ia dilaporkan oleh Karam Singh Walia melalui Buletin Utama. ABP pula mengkritik sikap Melayu yang terlalu takutkan hantu. Kedua-duanya diadaptasi daripada kisah lagenda Melayu tetapi berlatarkan era sekarang dan diberi tafsiran baru - sebagaimana yang dikehendaki oleh TV3. Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa ada beberapa penulis lain turut mencadangkan lagenda pontianak untuk slot berkenaan. Mereka mungkin sedang menilai cadangan mana yang terbaik untuk siarannya kelak. Jadi, saya tidak begitu meletakkan harapan terhadap ANC atau ABP.
Sebelum ini, slot Lagenda telah menayangkan drama seperti :
Akukah Tanggang, Lara Rindu Mahsuri, Batu Belah, Puteri Salju, Anak Betung, Laila Majnun, Jula Juli, Putih Merah.
Semua siri berjumlah 20 episod dengan durasi sejam setiap episod. Masanya pada 4.30-5.30 petang, setiap Isnin hingga Khamis. Siaran ulangannya di TV9 pada jam 8.30-9.30 malam hari yang sama.

Friday, April 3, 2009

"IDEA PITCH" DI TV3 LAH PULAK!!

Selesai lah sudah “pitching” RTM. Satu hakikat bahawa syarikat yang berjaya tempohari adalah yang selalu nampak namanya di kaca TV1 atau TV2. Seolah-olah, nama besar atau konsep yang dibawa bukan faktor penentu kelulusan. Penulis skrip tersohor, Sharifah Abu Saleem, yang menghantar enam cadangan juga gagal. Siti Nurhaliza Production pun gagal. Itu RTM. Sekarang TV3 lah pulak! Khabarnya, TV3 membuka tawaran ini kepada 10-15 syarikat sahaja. Yakni yang kerap menghasilkan drama yang mendapat jumlah penonton tertinggi (disebut sebagai rating) seperti :
Metrowealth (David Teo), Filmscape (Kabir Bhatia), Pena Creative (Ziela Jalil), Orangetree (Dato’ Jaspal Singh), Asia Media Content (JS Foo), Suhan Movie (Rosyam Nor), ACE Motion Pictures(Aziz M Osman), Excellent Pictures (Ahmad Idham), JS Pictures (Shiela Rusly), Radius One (Shahrul Ezad), Zeel Production (Fadzil), Global Station (Zaitun Mohd Jiwa a.k.a. kakak ipar Siti Nurhaliza).
Tarikhnya pada 20 April ini. Dan untuk slot waktu perdana (prime time) sahaja. Maknanya drama pukul 6 petang ke atas. Tetapi ada juga yang berkata, proses “pitching” ini akan melibatkan bos-bos besar seperti tuk-tuk ketua eksekutif (CEOs), Pengarah Eksekutif (ED), Pengarah Urusan (MD) dan mereka yang sewaktu dengannya. Kalau RTM menetapkan tema tertentu berdasarkan hari perayaan, TV3 pula sekadar menyebut :
"Anything..."
Ini bermakna penulis mesti berfikir “out of the box”. Sudah tentu mereka mahukan idea yang dapat menarik perhatian orang kebanyakan (mass audience), bukan "syok sendiri" atau untuk kelumpuk tertentu sahaja. Tajuk juga penting. Kita lihat kecenderungan TV3 memilih tajuk yang ringkas tetapi menarik. Contohnya :
Spa Q, Mr Mama, Kasanova XXL, Datin Diaries, Ai D' Beijing...
Mereka juga cenderung kepada satu perkataan, (yang kebiasaannya nama wanita) seperti :
Puteri, Manjalara, Bella, Ezora, Fara, SinDarela, Iris, Rozana, Jelatang, Susuk, Enigma, Obsesi, Dendam dan yang terbaru Berek, Yusuff dan Matahari.
Namun, sesekali kelihatan juga tajuk panjang dan 'jiwang' di TV3 yang lazimnya diminati oleh RTM seperti :
Sesuci Cinta Sofea, Seputih Qaseh Ramadan, Rindu Semakin Jauh, Ku Milik Mu, Kiranya Aku Tahu, Rendang Untuk Mertua dan terkini, Cinta Untuk Ain.
Jadi, kepada sesiapa yang mahu karya disiarkan di TV3 yang masih mendominasi dari segi jumlah penonton (rating), hantar lah kertas cadangan ke syarikat yang tersenarai di atas. Bagaimanapun, nama-nama penerbit di atas adalah berdasarkan “laporan tidak rasmi” dari seseorang. Jika ada nama di atas yang tersilap, harap ada yang memperbetulkannya. Selamat berkarya!

Thursday, March 19, 2009

PITCHING RTM....’and the winner is...’

Minggu lalu keputusan pitching RTM sudah pun diumumkan. Seperti yang dijangkakan, kedua-dua proposal saya gagal. Dan seperti yang dijangkakan juga, saya mendapat ‘rezeki’ daripada proposal penulis lain yang berjaya. Seorang penulis baru, meminta bantuan saya untuk menulis bersama-sama dengannya. Alasannya, tidak yakin dengan kebolehan, mahu belajar dari saya.
Saya dapati ideanya sangat ringan dan jalan ceritanya mudah. Berbeza dengan idea saya yang kononnya berat, jalan cerita sukar dan mempunyai idealisme (kononnya...ha..ha...).
Minggu ini, idea itu dipanggil untuk pembentangan. Dan penulis itu yang masih belajar di IPT, perlu pulang ke kampung untuk menguruskan pinjamannya. Lalu saya menjadi ‘bidang terjun'. Apa jadi?
Saya telah ‘dibantai’ oleh panel dengan teruk sekali.
Aduh!!! Ini lah akibatnya jika membentangkan idea orang lain! Sebenarnya, kumpulan kami yang terakhir, sekitar jam 5 petang. Sebaik masuk ke bilik pembentangan, ketua panel terus berkata,
“Setengah jam cukup lah ye, kami dah nak balik”.
Balas penerbit secara bergurau,
“Sepuluh minit pun tak apa, puan.”
Tidak sangka pulak dalam setengah jam itu, saya boleh mendapat 'habuan'nya...
Sila klik alamat di bawah untuk mengetahui keputusannya :
http://www.moi.gov.my/images/files/tender2009/pembekal_pitching.pdf

Sunday, March 8, 2009

ADUHAI TV9...TOLONG LAH KEMBALI PADA ASALMU...

Saya cukup setuju dengan tulisan Siti Jarum hari ini - "TV9 Mahu ke Mana?". TV9 ditegur kerana mengalih sasaran penonton dari Melayu, dewasa, luar bandar kepada Melayu muda bandar. Ini bermakna daripada program bercorak Islam dan ilmu kepada pop, komersil dan kosumerisme - yakni sama seperti TV3 dan Astro Ria. Yang peliknya, bagaimana Media Prima boleh membenarkan TV3 dan TV9 bersaing merebut penonton yang sama? Sedangkan kedua-dua saluran itu adalah miliknya? Saya mendapat tahu ini idea salah seorang bos besar Media Prima (tak perlu sebut nama). Bagaimanapun, khabarnya, tidak lama lagi Media Prima akan mendapat pengerusi baru.
( Biasa lah...Perdana Menteri baru, menteri-menteri pun baru, dan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (Government Link Company) mesti lah baru juga!).
Dan khabarnya, pengerusi baru akan membawa masuk kroni-kroninya yang merupakan otai-otai media yang terbuang suatu ketika dahulu. Lalu akan "bungkus" lah bos-bos yang sedia ada sekarang. Kalau khabar angin ini benar, harap sangat lah agar bos-bos baru dapat mengembalikan TV9 ke konsep asalnya. Toloooong lah... Sementara itu, khabar angin di Bukit Jalil :
Astro Ria akan menjadi saluran hiburan semata-mata.
Lalu drama-drama yang sekarang mengisi slot DramaRia dan Layaria akan ditolak ke Astro Prima. Ini juga khabar tidak gembira. Selain itu, khabar yang sahih ialah kemunculan satu lagi saluran di Astro iaitu saluran komedi yang entah apa namanya belum diumumkan.

Sunday, March 1, 2009

SLOT BARU..SALURAN BARU

Bahang kelembapan ekonomi dunia nampaknya lebih ketara di sektor perkilangan. Apa tidaknya, negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah sudah tidak lagi membeli barang. Sedangkan negara kita banyak mengeksport barang ke sana. Tetapi sektor televisyen nampaknya tidak terjejas. Malah semakin rancak. Tahun ini kita bakal melihat satu lagi slot baru drama Melayu di TV3. Astro pula akan memperkenalkan ‘saluran komedi’ . Tidak pasti samada saluran itu berbahasa Melayu sepenuhnya atau tidak. Ini bermakna bertambah lah peluang pekerjaan untuk warga produksi. Alhamdulillah....

Tuesday, February 17, 2009

Pitching RTM....’Satira of The Year’

Sesi pitching RTM masuk minggu ke-tiga. Baru hari ini saya menyertainya. Ketika di kantin, saya dengar satu cerita. Tidak pasti samada ia cerita benar atau sekadar satira untuk melepaskan ‘tension’ turun naik Bukit Angkasa setiap hari sejak dua minggu lalu. Ceritanya begini :
Seorang penerbit dipanggil untuk pitching pada sekian-sekian masa dan tarikh. Dia pun datang tanpa membawa penulis skrip dan kertas konsep. Hanya membawa dirinya semata-mata. Sementara menunggu nama syarikatnya dipanggil, dia mundar-mandir mencari krew produksi yang boleh membantunya pitching. Akhirnya bertemu seorang pengarah veteren yang terkenal.
Berikut ialah dialog antara mereka :
Penerbit : Boleh tolong pitching?
Pengarah : Apa ceritanya?
Penerbit : Cerita belum ada.
Pengarah : Oh tak pe....tunggu kejap ya....(TERUS TUNDUK SAMBIL PEGANG KEPALA DAN MENGERUTKAN WAJAH A.K.A. BERFIKIR)
Lima minit kemudian .....
Pengarah : Ok, dah ada cerita. (YAKIN)
Pegawai RTM : Syarikat ABC...!!
Mereka pun masuk ke bilik pembentangan. Selepas 10 minit, mereka keluar. Seseorang yang menanti giliran di luar terus bertanya, “macamana?” Soalan ini merujuk kepada reaksi ahli panel. Adakah wajah mereka berminat? Atau wajah mereka bosan? Balas penerbit, ahli panel hanya terangguk-angguk sambil merenung tepat ke wajah si pengarah. Orang itu bertanya lagi, “kenapa?” Dengan selamba, penerbit itu menjawab, “mereka tengah fikir samada cerita itu logik ke tidak.”