Monday, March 28, 2011

ADAPTASI "KASIH YANG SUCI"… PRA-AMARAN!

Proses adaptasi novel terlaris, KASIH YANG SUCI [KYS] karya Meen Zulaikha, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd, masih berjalan sebagaimana jadualnya. Namun, bagi peminat novelnya, mereka sudah tidak sabar menantinya di layar kaca, berkemungkinan Mei ini.
Sebagaimana novel terlaris lain, KYS juga bersifat SELLING DREAMS, ROMANCE, FANTASY & ESCAPISM. Khusus buat perempuan muda [termasuk yang tak berapa muda]. Wanita memang perlukan waktu untuk duduk sendirian [private time] bagi melarikan diri [escape] dari realiti hidup yang lazimnya dipenuhi lelaki sebenar yang ‘KONTRADIK’ dengan gambaran lelaki dalam novel.
Penawaran impian dan pelarian ini cukup berjaya jika dilihat dari segi naratif, jumlah jualan dan obsesi peminat terhadapnya.
Namun, membaca komen peminat yang obses dan fanatik, agak mencemaskan karyawan yang terlibat dalam kerja adaptasi ini. Memandangkan adaptasi ini melibatkan tafsiran dan penyesuaian berdasarkan medium yang berbeza serta pandangan peribadi tenaga produksi terhadap naratifnya.
Selain itu, skrip TV berbeza dengan novel kerana mengambil kira latarbelakang penonton yang pelbagai - dari segi peringkat umur, pendidikan, jantina, pekerjaan, pemikiran dan pengaruh persekitaran.
Justeru, sebagai pra-amaran, pembaca yang telah membeli impian dan khayalan dalam novel ini, sangat digalakkan untuk membuat persediaan mental terlebih awal [sebaiknya mulakan dari sekarang] bagi menonton siri adaptasinya ke televisyen kelak.
Manakala karyawan yang terlibat, boleh lah bersiap-sedia untuk lari ke dalam gua – yang tiada akses internet – sekiranya tidak sanggup menghadapi kutukan peminat yang obses terhadap novel ini.

Friday, March 25, 2011

"TEH O AIS LIMAU"..KINI DI YOUTUBE

video

"TEH O AIS LIMAU"...HAMPIR CAPAI SEJUTA

Telefilem "Teh O Ais Limau" yang bersiaran pada Disember lalu di TV9 hampir-hampir mencapai sasarannya dengan rating melebihi 900,000. Rating lebih tinggi dikatakan untuk siaran ulangannya.
Ironi, di saat stesyen berlumba-lumba mengejar rating...rating...dan rating..., berlainan pula dengan saya. Kepuasan menulis buat saya terletak kepada 'isi kandungan' [content] yang bermanafaat, bukan hiburan kosong.
Bagaimanapun, jumlah penonton yang ramai merupakan matlamat stesyen. Saya yang mewakili pembekal isi kandungannya, akur pada kenyataan ini. Demi periuk nasi, TIDAK SEKALI-KALI saya kata, "go to hell with rating!".
Atas dasar itu, Alhamdulillah jika dimaklumkan rating memuaskan, bermakna mudah 'cari makan' lagi di masa akan datang.
Di sebalik angka [yang kadang-kadang memberi tekanan], kepuasan menulis "Teh O Ais Limau" sebenarnya diperolehi dari komen penonton di internet bahawa ia santai, bersahaja, menghiburkan tetapi ada pengisian. Ini sudah mencukupi.
Telemovie lain yang mengisi kempen sejuta penonton pada penghujung tahun itu, seperti Aku, Kau dan Dia ; Duda Berhias ; Haruskah Aku Mati ; dan 5 Disember. Akan tetapi, tiada maklumat diperolehi tentang prestasi rating drama-drama ini.

Monday, March 21, 2011

MASTER CLASS SCREEN WRITING...MULAI 28 MAC

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia [FINAS] sekali lagi menganjurkan kursus MASTER CLASS SCREEN WRITING mulai 28 Mac hingga 1 April ini. Kursus selama lima hari itu akan dikendalikan oleh karyawan dari Indonesia, Encik Joko Anwar.
Kursus ini terhad kepada 20 peserta sahaja. Syarat kemasukannya bergantung kepada proses penilaian oleh Panel Penilai FINAS. Yurannya sebanyak RM300. Bagaimanapun, ahli SWAM diberi diskaun sebanyak RM100.
Joko pernah menulis ARISAN! yang berjaya dari segi komersial dan kritikan, termasuk memenangi pelbagai anugerah seperti Filem Terbaik di Festival Filem Indonesia [2005] dan MTV Movie Indonesia [2004].
Beliau juga melahirkan JANJI JONI yang diiktiraf sebagai penceritaan [storytelling] yang inovatif.
KALA [2007], filemnya dalam genre Noir [bunyi sebutannya no-ah], yang bermaksud filem 'gelap',telah mendapat tempat di kalangan pengkritik. Filem ini memenangi Anugerah Khas Juri di Festival Filem Asian New York. Ia juga dirujuk sebagai 'a sophisticated noir whodunit in homage to Fritz Lang's "M"'
Terbaru, PINTU TERLARANG [2009] dalam genre psychological thriller dianggap sebagai tiket untuk beliau melangkah ke Hollywood.
Mereka yang berminat, sila dapatkan borang permohonan melalui Bahagian Latihan Finas di nombor 03-4104 1375/1373.

Friday, March 11, 2011

MARI MENULIS SKRIP

Setelah dua bulan setengah memasuki tahun 2011, nampaknya peluang kerja untuk penulis skrin sentiasa cerah. Seorang rakan penulis memberitahu dia sudah mendapat kerja sehinga bulan Jun ini. Saya juga begitu. Manakala seorang lagi perlu menyiapkan enam telemovie dalam tempoh tiga bulan.
Apa pun, yang paling glamor, seorang rakan GBPSM sudah pun menulis untuk produksi antarabangsa. Siapa orangnya dan apa projeknya masih dirahsiakan.
Rasanya ini cukup untuk memberi motivasi kepada penulis baru. Namun, bagi mereka yang berasakan ilmu belum cukup, boleh lah mengikuti pelbagai kursus anjuran pelbagai pihak. Bagi kursus yang terdekat, pengarah dan penulis skrin KAMAL ISHAK akan menganjurkan :
Bengkel Penulisan Skrip pada 12 dan 13 Mac ini [esok dan lusa] di Unggul Filem Academy , Taman Permata, Ulu Klang, mulai 8 pagi hingga 5 petang.
Bengkel Adaptasi Novel ke Skrip pada 16-18 Mac ini di tempat yang sama. Bagaimanapun, kursus ini untuk mereka yang sudah mengetahui asas penulisan skrip drama TV atau filem.
Sesiapa yang berminat menyertainya, sila hubungi nombor 016-269 4527 [Haslee] atau e-mel kepada kerismadura@yahoo.com