Wednesday, October 27, 2010

MEDIA PRIMA PERTINGKATKAN KANDUNGAN

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Media Prima Berhad akan melabur sebanyak RM200 juta untuk kandungan tempatan dan antarabangsa, pada tahun hadapan. Namun, tidak disebutkan berapa peratusan tempatan dan berapa pula peratusan untuk antarabangsa. Adakah 70-30 seperti RTM? Atau sebaliknya?
Apa pun, selama ini kandungan tempatan di TV3 dan TV9 memang menyerlah walaupun kita tidak tahu kadar peratusan yang sebenarnya.
Jika benar adanya pelaburan berkenaan, mungkin ini boleh menjadi satu berita yang positif untuk warga kerja di sektor televisyen.
Laporan yang sama turut menyebut bahawa rancangan Akademi al-Quran di TV9 akan diteruskan tetapi dengan membuat sedikit perubahan iaitu menyelitkan unsur hiburan.
Saya tidak pasti sejauh mana hiburan boleh dicampur aduk dengan al-Quran. Serah sahaja kepada pakar agama untuk komen tentang kenyataan ini. Apa pun, di sebalik berita tidak berapa gembira di sektor filem melalui keputusan Festival Filem Malaysia ke-23 Ahad lalu, mungkin terselit sedikit harapan untuk sektor televisyen berkembang maju dengan rancangan lebih berkualiti dan membuka minda masyarakat, InsyaAllah.

Wednesday, October 20, 2010

MEMUPUK SEMANGAT 'WRITER'S GUILD'

Alhamdulillah, pada Ahad lalu, 17 Oktober 2010, para penulis skrip telah berkumpul sekali lagi di Bangi Kopitiam, Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor. Perjumpaan itu sekadar untuk merapatkan silaturrahim sesama sendiri, dan seterusnya memupuk semangat 'Writer's Guild' yang selama ini tidak begitu memberangsangkan. Al-maklum lah di kalangan penulis skrip, masing-masing terlalu sibuk memenuhi permintaan TX [tarikh tayangan] sehingga tiada kesempatan untuk bertemu, bertanya khabar dan bersatu dalam beberapa perkara yang melibatkan kepentingan bersama. Paling kuat pun, hanya berkenalan dan bertanya khabar melalui blog dan FB. Jadi, bermula dengan perjumpaan di alam maya itu, kami berpindah ke alam nyata. Beberapa nama yang sudah dikenali dalam dunia televisyen, tetapi baru pertama kali menyertai perjumpaan ini, seperti
Shahriman Wahap, Tok Uban [Mohd Fadzil Mazlan], Sha Hanim Ramli, Shida Zali dan Sakirah Abu Bakar.
Banyak perkara dibincangkan dalam suasana santai, ceria, tenang dan yang paling penting ialah 'persefahaman'. Ini lah yang dicari selama ini, mudah-mudahan apa yang ditemui ini akan berkekalan hendaknya. Amin....