Malam Gala Premier
Nur Kasih The Movie [NKTM] pada
9 Mei lalu penuh sesak dengan tetamu jemputan. Menjadikan ruang legar
Cineleisure Mutiara Damansara itu kepanasan. Sehingga ada yang mengipas diri dengan tiket di tangan.
Muka-muka terkenal seperti selebriti, wartawan, blogger, karyawan seni belakang tabir, VIP dan VVIP bergaul mesra bertemankan makanan, minuman, celoteh pengacara Ally Iskandar dan nyanyian Mila Jirin. [Turut diumumkan nombor cabutan bertuah yang saya sendiri tidak dapat dengar, kalau lah nombor tiket saya yang naik malam itu!]
Sebaik teserempak
Fizz Fairuz , terus saya ucap tahniah kepadanya. Namun, Fizz enggan menerima ucapan tahniah itu apabila saya memberitahunya belum lagi menonton NKTM.
”Sis tengok dulu, baru ucap tahniah...tengok dulu..." katanya sungguh-sungguh sebelum beredar mengekori krew TV3 yang mahu mewawancaranya.
Seterusnya saya bertegur sapa dengan orang-orang penting dalam industri, terutama orang kuat
Filmscape Sdn Bhd - pasangan
Kabir Bhatia dan
Mira Mustaffa [lihat gambar].
[Dua tahun lalu, saya dan Mariana Hashim pernah membantu Mira Mustaffa menulis siri televisyen Nur Kasih]
Kemudian, saya dan Mariana ke tandas. Lantas mendapat idea untuk ’mencilok’ ke
Hall 9 lebih awal, secara senyap-senyap! [
dengan bantuan kakitangan Filmscape, Siti Marzuliana yang menyuruh kami cepat-cepat menyorok dari dilihat petugas Cineleisure!]
Dalam kegelapan itu, Mariana berusaha gigih mencari nombor kerusinya dengan berpandukan cahaya lampu dari telefon bimbit. Ya, lebih baik duduk dalam kegelapan, asalkan hawanya dingin. Biar lah yang lain terus ’mingle’ di luar - yang sesak dan panas. [Esoknya, saya meminta maaf kepada Penerbit Eksekutif Filmscape, Mohd Frank Lewis kerana tidak sempat menegur beliau di celah-celah tetamu yang terlalu ramai. Diakuinya itu kerana dia langsung tidak nampak kelibat saya dek kerana 'crowd' yang sebegitu]
Melebihi jam sembilan, baharu lah
'crowd' dibenarkan beratur memasuki hall dengan kawalan petugas Cineleisure.
[ha..ha..ha....kami sudah ada di dalam!] .
Sebaik tertera logo syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd, diikuti logo penerbit bersama, Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd, suasana dalam pawagam tiba-tiba senyap sunyi. Semua terpaku mengadap skrin besar di hadapan. Duduk tegak, tidak bergerak. Keheningan pun menjalar ke segenap ruang pawagam. Lalu berterusan sehingga sepuluh minit...setengah jam...satu jam... sehingga akhirnya muncul kredit penutup NKTM, tanda filem sudah tamat.
Kenapa agaknya tercipta keheningan yang berpadu selama satu jam setengah itu?
Saya enggan mengulas. Hanya satu pesanan...pergi lah menonton
Nur Kasih The Movie di pawagam berdekatan
[atau jauh pun boleh!], mulai hari ini,
19 Mei 2011.