Tuesday, December 27, 2011

ASSALAMUALAIKUM..LAMA TAK JUMPA...

Salam kepada pengunjung blog ini. Maaf kerana kesibukan menjaga anak yang cedera ketika bermain futsal, menjadikan kerja mengemaskini blog memang mustahil dalam masa dua bulan ini.
Banyak perkara hendak dikongsi sejak entri terakhir. Pertama, kematian sahabat penulis, Allahyarham Ruslie Sophian. Banyak kenangan bersama Allahyarham. Kini, hanya tinggal bacaan al-Fatihah. Dan ucapan semoga tabah kepada isterinya, Kak Intan.
Kedua, kontroversi Festival Filem Malaysia ke-24. Saya hanya sempat bercakap sepintas lalu dengan tuan punya badan yang mencetuskan kontroversi ini , penerbit Raja Azmi. Kami bertembung di lobi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur ketika anak saya dirawat di situ. Kak Raja Azmi pula mahu menziarahi seorang kawan. Kemudian, sempat ber-BBM dengan aktres Sofea Jane ketika dia bertanya khabar. Pada saya, "ini lah Malaysia..."
Ketiga, kontroversi filem Ombak Rindu. Saya memang ada bercakap panjang dengan tuan punya badan, novelis Fauziah Ashari yang menelefon dari Johor.
Secara tersurat, Fauziah memang tiada hak mempertikaikan bayaran kecil untuk adaptasi novelnya ke filem. Memandangkan beliau telah menandatangani perjanjian menyerahkan semua hak berkaitan perpindahan novel ke medium lain kepada penerbit novelnya.
Bagaimanapun, secara tersirat, semoga kontroversi ini membuka mata para penerbit buku di Malaysia. Elok kiranya penerbit buku tidak lagi memegang kesemua hak perpindahan medium untuk sesebuah buku yang mereka terbitkan. Biar lah penerbit buku membeli hak untuk menerbitkan karya itu dalam bentuk buku sahaja. Manakala hak untuk memindahkan karya itu ke medium lain - samada ke filem, televisyen, teater dan sebagainya – biar lah kekal di tangan pencipta karya asal yakni penulisnya.
Di barat, mereka yang mencipta ISI KANDUNGAN dianggap sebagai RAJA dan menjadi KAYA jika isi kandungannya itu mendapat sambutan daripada khalayak. Atas dasar itu lah wujud ungkapan CONTENT IS KING di sana, tetapi di sini….. jauh panggang dari api. Di sini, pencipta isi kandungan lah orang yang paling miskin.
Mengenai kontroversi adegan ranjang dalam filem itu pula, pada saya, elok lah ditiadakan kerana kita orang Melayu dan orang Islam.
Sekian dahulu, jumpa lagi di entri akan datang...