Monday, February 6, 2012

CINTA SEMPURNA

Ada dua manusia yang memiliki cinta paling sempurna – samada cinta terhadap Allah atau cinta sesama manusia. Itu lah nabi Ibrahim dan nabi Muhammad. Cinta mereka dapat meringankan tugas yang berat, mengubah si kedekut jadi pemurah, si penakut jadi berani, si lembab jadi cerdas. Ia juga membersihkan jiwa yang kotor, meluruskan kehidupan, menghalang perbuatan terlarang.....
[Ini adalah ucapan kitar semula dari entri tahun 2009 - yang dipetik dari buku psikologi, Terapi Penyakit Hati karya ulama Ibnu Qayyim al-Jauziyah yang hidup pada abad ke-14]

UNTUK SEMUA UMAT MUHAMMAD...

Thursday, February 2, 2012

DRAMA REMAJA BERKONSEPKAN "YFM" di TV9

Di awal kemunculannya lima tahun dahulu, saluran TV9 mengkhusus kepada isi kandungan yang bersifat ilmu pengetahuan dan keagamaan. Sasarannya ialah golongan dewasa yang matang dan berpemikiran. Bagaimanapun, setelah dua tahun sahaja bersiaran, saluran di bawah syarikat gergasi Media Prima Berhad itu mula beralih arah kepada golongan muda Melayu umum. Segmen pasaran yang digelar Young Fresh Malay Mass atau ringkasnya YFM. Berkemungkinan segmen pasaran ini lebih mudah menjana pendapatan iklan dan sumber tajaan untuk stesyen swasta itu. Sebagai contoh, Konsert GIG tentunya menarik tajaan syarikat telekomunikasi.
Justeru, kebanyakan programnya kini lebih berbentuk ringan, santai, humor dan segar. Dramanya juga disesuaikan dengan citarasa orang muda yang memaparkan jalan cerita pantas, mudah, montaj yang catchy dan lagu-lagu dari band Indie/Underground. Saluran ini juga terbuka kepada muka-muka baru dari segi pemilihan pelakon dan tenaga kerja utama iaitu pengarah dan PENULIS SKRIP. Ia tidak seperti saluran TV3 yang lebih mengutamakan nama-nama besar yang sudah lama berada di dalam industri. Genre yang popular untuk orang muda pastinya Komedi Romantik. Penceritaannya juga banyak melibatkan watak-watak menggunakan teknologi komunikasi moden yang sinonim dengan orang muda seperti Facebook dan Twitter. Semalam saya menonton telemovie bertajuk Aku, Dia dan FB. Sebelum ini, telemovie Si Tudung Tweet.
Saya turut diberi peluang oleh TV9 untuk mengisi slot Aurora bagi penonton remaja. Lahir lah drama bersiri AISHITERU yang ditulis bersama penulis baharu, Haida Mazni Mohamed dan Keyrool Kiasan. Drama 13 episod ini sedang bersiaran sejak Disember lalu pada setiap Khamis, jam sembilan malam. Aishiteru merupakan istilah bahasa Jepun yang bermaksud "Saya cintakan awak". Istilah ini memang popular di kalangan remaja sekarang, termasuk di Indonesia. Drama arahan Aidil Ftiri Mohamed Yunus ini akan berakhir pada minggu pertama Mac 2012.
Pada tahun 2010, saya menghasilkan telemovie bertajuk Teh O Ais Limau yang juga berkonsepkan YFM dengan kerjasama penulis baharu, Khairul Aswad Ramli.
Bagaimanapun, saluran ini tetap mempunyai slot drama Melayu untuk penonton dewasa dan matang iaitu slot Ratu yang bersiaran setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam. Genre yang popular untuk dewasa tentunya melodrama.
Selamat Menonton Aishiteru...

SIRI AISHITERU, SETIAP KHAMIS, 9 MLM, TV9