Friday, August 2, 2013

RAMADAN YANG HILANG... MINGGU AKHIR

Sejak lima tahun kebelakangan ini, slot Samarinda TV3 untuk bulan Ramadan seolah-olah ekslusif untuk seorang karyawan iaitu pengarah dan penulis skrip berbakat, Shahrulezad Mohameddin [Ezad].  Ini berdasarkan reputasi beliau menghasilkan karya yang meruntun emosi dan mencengkam kalbu setiap jam 10 malam - waktu kebanyakan penonton Melayu selesai  solat terawih.

Ezad dan Fazli merangkul tropi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010
Tentu ramai yang masih ingat drama bulan puasa seperti Seputeh Qaseh Ramadan, Kerana Cintaku Saerah, Syurga-Mu Ramadan, Ramadan Terakhir dan 7 Ramadan. Kesemua drama ini bukan sahaja mendapat sambutan daripada khalayak umum [mass], malah berjaya menarik sekelompok pengikut setia  - yang akan menunggu hasil karya beliau setiap kali tiba bulan mulia ini.

Drama-drama terbitan syarikatnya, Radius One Sdn Bhd ini,  sering bertemakan hubungan kekeluargaan. Ia berligar sekitar perselisihan ahli keluarga kerana perbezaan prinsip, berkecil hati, membawa diri dan akhirnya pulang ke pangkuan masing-masing untuk saling memaafkan dan melupakan sengketa lalu. Biasanya, tiada watak jahat [hitam] atau baik [putih]. Beliau lebih cenderung mempersembahkan watak-watak kelabu yang mana sesuatu watak boleh jadi baik berdasarkan situasi/prinsip tertentu dan boleh jadi jahat berdasarkan situasi/prinsip yang lain pula.  Setiap tindakan yang dilihat seolah-olah  'jahat'  atau 'kejam' itu, semuanya ada sebab tertentu yang akhirnya membuatkan watak itu tersedar sendiri akan kesilapannya. Pendekata, drama-drama ini sangat 'character driven' [bergerak berdasarkan watak], bukan 'plot driven' [bergerak berdasarkan plot] seperti kebanyakan drama tempatan yang kita lihat di TV.

Tahun ini, Ezad kembali dengan tajuk Ramadan Yang Hilang yang mengangkat perselisihan dua beradik dalam sebuah keluarga kecil.  Saya turut membantu menulis, disebabkan kesuntukan masa beliau dalam menghasilkan naskah ini. Kami bekerja dalam masa yang sangat singkat dan tergesa-gesa. Perbincangan dengan pihak TV3 hanya diadakan pada pertengahan April, penulisan skrip bermula pada awal Mei, pengambaran pada hujung Mei dan episod pertama bersiaran pada 26 Jun iaitu dua minggu sebelum bulan puasa.

Ramadan Yang Hilang diarahkan oleh Ezad bersama dengan Ramli Long dan diterbitkan bersama dengan Fazli Haji Baharom.  Pelakonnya terdiri daripada Eira Syazira, Syatilla Melvin, Arja Lee, Zamarul Hisyam, Zila Bakarin, Noryati Taib, Zulin Aziz,  Ijoi dan ramai lagi.

Kepada mereka yang mengikuti drama ini, jangan lupa menonton baki dua episod lagi iaitu episod 17 dan episod 18 pada 5 - 6 Ogos ini,  [Isnin- Selasa] , jam 10 malam. 

Untuk makluman kepada pengikut slot Samarinda TV3, mulai tahun ini, waktu siaran slot ini bertambah kepada satu jam berbanding setengah jam pada tahun-tahun sebelum ini.

Jangan lupa...minggu hadapan...minggu akhir Ramadan Yang Hilang!