
Umum mengetahui yang persatuan dalam industri seni hiburan kita bercambah bagaikan cendawan lepas hujan. Banyak persatuan muncul satu demi satu. Paling banyak untuk penyanyi dan pelakon seperti KARYAWAN, SENIMAN, PAPITA, MAHKOTA dan lain-lain.
Ada juga persatuan yang mewakili satu-satu profesyen dalam industri. Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) untuk pengarah filem dan televisyen. Persatuan Pekerja-Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) untuk tenaga kerja belakang tabir. Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PPTVM) untuk penerbit televisyen. Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) untuk penerbit filem. Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA), Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (IRIM) dan banyak lagi.
Kebanyakan persatuan itu bernaung di bawah satu badan gabungan atau payung yang lebih besar iaitu Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM). Kemudian, timbul pula persatuan yang mewakili semua sektor tenaga kerja perfileman iaitu Creative Content Industri Guild (CCIG) di bawah Dasar Industri Kreatif Negara. Ada sebuah lagi yang namanya mirip CCIG iaitu Creative Content Association of Malaysia (CCAM).
Bagi penulis skrin pula, dahulu ada sebuah persatuan yang cukup dikenali iaitu Persatuan Penulis Skrin Malaysia atau Screen Writers Association of Malaysia (SWAM). Persatuan ini wujud sejak 1995. Bagaimanapun, ia terkubur pada tahun lalu akibat kemelut dalaman yang bermula sejak 2011. Rentetan pembatalannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 27 Ogos 2013, bekas pemimpin SWAM telah menubuhkan persatuan baharu bergelar Persatuan Penulis Kreatif Malaysia atau Creative Writers Guild Malaysia (CGM).
PENULIS pula tidak ditubuhkan untuk menggantikan SWAM yang terkubur itu. Apa lagi untuk menyaingi CGM yang muncul sejurus selepas SWAM mencacakkan batu nisannya. Ini dibuktikan melalui tarikh pendaftarannya yang lebih awal daripada kematian SWAM.
Sedikit tentang sejarahnya, PENULIS bermula dengan sebuah grup sokongan dari penulis untuk penulis, bernama Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia (GBPSM). Kumpulan ini bergerak melalui Facebook semenjak tahun 2010. Saya sendiri mengasaskan kumpulan ini bersama seorang sahabat, Nor Faznita Mohd Nor - yang dikenali melalui drama popular Diari Ramadan Rafique suatu ketika dahulu. Setelah tiga tahun bergerak di alam maya, GBPSM kemudiannya berdaftar sebagai sebuah persatuan yang sah.

Selain Zaini yang bertungkus lumus dan berkorban dari segi masa, tenaga dan kewangan, seorang lagi tokoh dalam PENULIS tidak lain tidak bukan, Pengerusi Penaja, Shahrulezad Mohamaden. Tidak perlu diperkenalkan nama ini kerana ini lah penulis skrip, pengarah dan penerbit yang telah menghasilkan sekian banyak karya yang popular dan berkualiti di pelbagai saluran.

Buat PENULIS, tiada ungkapan lain yang lebih tepat selain daripada "Semoga berjaya"….