Hati masih menangis melepaskan seorang rakan - Martias Ali, satu nama besar dalam penulisan skrin tanahair - untuk berangkat ke alam baharu.
Sebaik sampai di Hospital Ampang pada 29 Mei (Khamis) jam 10
malam, saya tidak menjangka yang masanya sudah sampai. Biarpun sebelumnya, jam
7.15 petang, seorang rakan penulis, Sofia
Rhyland menelefon dengan nada sedih, "They said he got
less than 24 hours". Sofia seperti
mengulangi ayat ini beberapa kali sebelum menamatkan perbualan.
Martias pergi pada jam 10.43 malam - setelah doktor melakukan cardiac arrest
selama 15 minit dengan tiada sebarang tindakbalas darinya. Sebelum itu, diagnosis
mengesahkan Allahyarham mengidap sejenis kanser darah tahap ke-4.
Saya hanya mampu memeluk dan menggenggam tangan isterinya,
Adza Irdawati Adenan. Tiada kata yang mampu diungkapkan ketika itu. Hanya
al-fatihah.
Sebelum pulang, Adza sempat berbisik dalam tangisannya -
sampaikan pada rakan-rakan bahawa dia mewakili Allahyarham memohon ampun dan
maaf sekiranya ada salah silap Allahyarham kepada sesiapa sahaja.
Wajah Allahyarham kelihatan tenang - berangkat pada malam yang istimewa -
malam Jumaat penuh berkah.
Kehilangannya pasti dirasai...
(Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4
Lembah Keramat, Selangor, selepas Solat
Jumaat pada hari ini, 30 Mei 2014. Solat jenazah
di Masjid as-Sobirin, AU4, Lembah Keramat, Selangor)