Episod terakhir Kemboja Di Hati pada hari Rabu hadapan (17 Februari 2016) akan mempersembahkan babak-babak pernikahan Cikgu Syatila yang dilakonkan oleh Syatila Melvin.
Di dalam dunia realiti, kita tahu dengan jelas siapa pasangan Sytatila Melvin. Namun, di dalam dunia fiksyen Kemboja Di Hati, siapa pula pasangan Cikgu Syatila? Adakah Faisal (lakonan Ashraf Muslim) yang telah ditolaknya dalam episod minggu lepas? Atau Profesor Imtizam (lakonan Eizlan Yusuf) yang diminatinya dalam diam?
Watak Cikgu Syatila diangkat daripada novel bertajuk sama karya Ramlah Rashid terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan nama pelakon yang terpilih menyamai nama watak di dalam novel ini.
Kemboja Di Hati membawakan kisah seorang aktivis pertubuhan amal yang terlalu sibuk menyertai misi kemanusiaan di luar negara sehingga terlepas pandang akan anak-anaknya di rumah. Kematian isteri telah mengubah segalanya.
Tentang Syatilla Melvin pula, beliau diperkenalkan buat pertama kali di layar kaca melalui drama yang skripnya ditulis oleh saya bertajuk BFF...Teman Tapi Mesra pada 2012. Syatilla kemudiannya popular menerusi drama Ramadan Yang Hilang (Skrip oleh Shahrulezad Mohamaden yang mana saya turut membantu penulisannya). Bagaimanapun, saya tidak tahu yang beliau sekampung dengan saya sehingga lah apabila diberitahu oleh seorang rakan.
Semoga berbahagia buat Syatila dan Sam - #SAMTILLA
Nota : Lokasi pengambaran di Masjid Darul Kifayah, Gombak manakala baju pengantin tajaan jenama terkenal Ezuwan Ismail.