Friday, August 29, 2008
EPISOD TERAKHIR II
Ada beberapa kejutan dalam episod terakhir. Salah satu kejutannya ialah surat dari Bogatt yang dikirimkan kepada Razlan melalui e-mel ketika Bogatt sedang nazak. Waktu itu Razlan masih berada di luar negara. Bagaimanapun, bagi penonton yang mengikuti siri ini dari awal tanpa selang setiap minggu, ada 'hint' tentang perkara ini dalam tiga babak. Pertama, ketika ibu Razlan mengajaknya berjumpa isteri arwah Bogatt di rumah Puan Marina, Razlan dengan cemasnya masuk dalam bilik dan mencari-cari satu surat dalam laci. Kedua, Razlan berjumpa peguam untuk bertanya samada surat itu satu wasiat yang wajib dipenuhi atau tidak. Peguam menjawab ia bukan wasiat, tetapi hasrat. Ia tidak wajib dipenuhi. Razlan pun menarik nafas lega. Pada waktu ini, Razlan belum mengenali siapa isteri Bogatt. Padahal dia sudah melihat Amira beberapa kali di pantai, tetapi tidak mengetahui identiti Amira. Ketiga, selepas menerima kunjungan Amira bersama Dr Bada dan Aliya, Razlan tertanya-tanya samada Amira benar-benar bahagia atau tidak. Dia bercakap tentang ini dengan adiknya, Idayu. Waktu itu, dia memegang sepucuk surat di tangannya. Namun, penonton mungkin tidak mempunya idea, surat apakah yang dipegangnya.
Atas permintaan Muna dan Faiza dalam entri sebelum ini, berikut adalah isi kandungan surat 'hasrat' Bogatt itu :
"Razlan adikku, masa untuk aku meninggalkan dunia ini sudah semakin hampir. Lalu aku amanahkan isteriku, Amira, kepadamu. Kahwini lah Amira, Razlan. Hanya kau seorang saja yang aku percaya, dapat memberi kebahagiaan kepadanya. Jaga lah dia dengan sempurna. Jangan biar hatinya terguris, walau secarik. Jangan biar air matanya menitis, walau setitis. Jaga lah Amira sebagaimana engkau menjaga nyawamu sendiri. Jadikan dirinya sebahagian dari dirimu jua. Bersatu lah dalam hatinya. Bernafas lah dalam dirinya" - Abangmu, Bogatt.
Thursday, August 28, 2008
EPISOD TERAKHIR
Semalam, Rabu 27 Ogos, berakhir lah drama bersiri Tangisan Bulan Madu. Terkejut? Ya, penghujungnya memang memberikan kejutan yang berbeza berbanding novel. Penghujungnya memang sengaja digantung bagi memberi ruang kepada sekuel sekiranya ada kelak, InsyaAllah. Memang ramai yang tidak puas hati, tapi itu lah ceritanya kerana Tangisan Bulan Madu ini ibarat sebuah cereka yang tiada nokhtah. Bagaimanapun, saya tidak berani berjanji kerana semua keputusan bergantung kepada stesyen. Ada sekuel atau tidak, stesyen yang akan menentukannya. Sama-sama lah kita berdoa supaya ada sekuel untuk drama ini.
Akhir kata, saya hargai semua sokongan, komen, cadangan, kritikan dari penonton di sepanjang drama ini berlangsung. Terima kasih daun keladi...
Thursday, August 7, 2008
PENCALONAN UNTUK ANUGERAH SKRIN 2008
Tirai Anugerah Skrin 2008 sudah dibuka. Dan Tangisan Bulan Madu (TBM) tersenarai sebagai calon kategori Drama Rantaian. Semalam, jam 3 petang saya hadir ke Sidang Akhbar anugerah berkenaan di New World Hotel, Petaling Jaya. Sayang sekali, tidak ramai pelakon dan krew TBM yang hadir. Mungkin masing-masing sibuk dengan pengambaran drama lain. Antara muka yang saya nampak hanya Suriyati Sidek (Penerbit Eksekutif), Jamal Khan (Pengarah), Arifah Damanhuri (Mak Bedah/Mak Amira) dan Zarin Min (Idayu). Kalau ada yang lain yang saya tidak perasan, harap maaf ya! Tetamu jemputan memang ramai, sehingga melebihi jumlah kerusi yang disediakan. Mujur juga makanannya cukup!
Semasa pengacara majlis, Ally Iskandar memperkenalkan showreel untuk kategori drama rantaian, saya tidak ingat berapa banyak yang disebutkannya. Tetapi berdasarkan showreel itu, jumlah yang akan berentap nanti agak banyak juga. Semuanya hebat-bebat belaka. Jadi, saya katakan saingan untuk TBM memang sengit. Seingat saya, Ally ada menyebut tentang 22 hadiah untuk diraih oleh penerbit, pengarah, pelakon dan penulis skrip. Apa pun, kata Ally, anugerah ini untuk semua yang terlibat dalam pembikinan sesebuah filem atau drama, daripada penerbit sehingga kepada tukang pegang "boom". Apa-apa pun, lihat akhbar-akhbar utama hari ini untuk maklumat lebih tepat dan menyeluruh tentang majlis semalam.
Bagaimanapun, saya difahamkan menjelang Anugerah Skrin, TV3 hanya akan menayangkan semula drama-drama yang pernah tersiar di TV3 sahaja (itu pun tidak semua). Jadi, kemungkinan tidak ada harapan untuk kita menonton semula TBM di TV3 walaupun drama ini bertanding di anugerah itu.
Sidang akhbar semalam dimulakan dengan gimik oleh pemenang Anugerah Skrin 2007, Sofea Jane dan Vanida Imran. Sofea memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik TV melalui slot cerekarama, "Sebuah Ijtihad". Vanidah pula dalam kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik melalui "The Red Kebaya". Tetamu khas terdiri daripada CEO Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan dan wakil-wakil dari stesyen televisyen lain seperti RTM, Astro, TV9, NTV7 dan 8TV.
Subscribe to:
Posts (Atom)