Thursday, December 31, 2009
Wednesday, December 23, 2009
MENGIMBAS DETIK MANIS 17 TAHUN LALU
Pelancaran karya terbaru slot SUATU KETIKA semalam disempurnakan dalam suasana sederhana lantaran ketiadaan seorang pun para pelakonnya. Memandangkan tarikh tayangannya makin hampir, pelakon terpaksa meneruskan pengambaran di Batu Pahat, Johor di bawah arahan pengarah kedua, James Lee. Malah sidang telefon (tele-conference) yang pada awalnya dirancangkan untuk para pelakon dari set pengambaran juga tidak dapat diadakan.
Apa pun, majlis diserikan dengan kehadiran wira badminton negara, JALANI SIDEK dan FOO KOK KEONG. Biarpun 17 tahun sudah berlalu selepas kejayaan Thomas Cup 1992, mereka nampaknya tidak banyak berubah dari segi fizikal. Hanya berat badan yang kelihatan sedikit bertambah.Majlis berkenaan mempersembahkan tayangan ekslusif dua karya yang akan mengisi slot SUATU KETIKA pada Januari ini.
Dokumentari THOMAS CUP 1992 akan bersiaran pada 3 Januari 2010, jam 6 petang di saluran Astro Prima (105).
Manakala drama siri mini (8 episod) berlatarkan era badminton negara, BIAR PUTIH TULANG JANGAN PUTIH MATA, mulai 6 Januari, setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di saluran Astro Citra (131).Slot SUATU KETIKA diperkenalkan mulai Jun tahun ini untuk mengimbas detik bersejarah negara samada gembira mahu pun duka dalam bentuk fiksyen dan bukan-fiksyen. Sebelum ini, telah bersiaran drama dan dokumentari tentang perjuangan nasionalis Sarawak, Rosli Dhobi ; krisis rasuah dalam liga bolasepak semi-pro ; tragedi tanah runtuh Pos Dipang ; dan kegigihan skuad polis hutan orang asli, Senoi Praaq menentang gerila komunis.
Friday, December 18, 2009
TAHUN BARU..MENANTI PITCHING, 40 DAN UPSR...
Tahun baru datang lagi. Bagi sesetengah orang, hari ini mungkin sama seperti hari-hari sebelumnya. Bagi sesetengah orang pula, ia hari untuk perubahan. Namun, perubahan tidak hanya pada tahun baru. Sesetengah orang menjadikan setiap hari sebagai hari untuk berubah.
Jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.Secara peribadi, saya takut dengan tahun ini kerana ini lah tahunnya saya akan melangkah ke angka 40. Dan anak sulung saya yang dilahirkan sebagai ‘disleksia’ (Dyslexia) nekad untuk menduduki peperiksaan UPSR dalam tahun ini setelah menangguhkannya selama setahun.
Bagi warga kerja produksi pula, tentu sekali semua tertunggu-tunggu keputusan ‘pitching’ RTM pada bulan puasa lepas (Ogos-September). Atau adakah sudah keluar, saya yang tidak tahu? Apa pun, saya tidak begitu mengharap kerana takut kecewa.Akhir kata, selamat tahun baru 1431 Hijrah kepada semua.
Wednesday, December 16, 2009
GABUNGAN “J” UNTUK “SUATU KETIKA”
Kini saya sedang mengerjakan skrip terbaru, BIAR PUTIH TULANG, JANGAN PUTIH MATA. Drama bersiri mini (mini-series) lapan episod ini merupakan drama berbajet tinggi bagi mengisi slot SUATU KETIKA di ASTRO CITRA (SALURAN 131). Slot ini baru diperkenalkan pada Ogos lalu yang bertemakan kisah benar, saat bersejarah, tragedi atau ikon negara.
Memandangkan tajuknya panjang, saya selesa merujuknya dengan tajuk asal (working title) iaitu Match Point (Mata Akhir). Ia sebuah fiksyen yang berlatarkan zaman gemilang sukan badminton negara pada era 80-an dan awal 90-an.Tenaga kerja penting dalam produksi ini merupakan mereka yang namanya bermula dengan huruf J.
Idea asal datangnya dari J.S. Foo, pemilik rumah produksi Asia Media Content Sdn Bhd (AMC). Pengarahnya, Jocye Lee yang sebelum ini mengarahkan drama slot sama, “10” dan “Ghost”(8TV). James Lee (Filem Histeria) pula membantu Joyce sebagai pengarah bersama. Manakala Julian Cheah merupakan penerbit eksekutif bagi pihak stesyen. Dan saya sebagai penulis skrip telah dibantu oleh penulis bersama (co-writer) Mohd Rohizan Ramli (telemovie Aku Jebat) yang digelar “Jai” .Dari segi pencapaian pula, tenaga kerjanya seperti :
Jurukamera, Asrar, yang baru-baru ini menang kategori Videografi Terbaik di ASK 09 melalui telemovie Tersasar Di Jalan-Mu. Zahiril sebagai watak utama menang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia 2008 melalui filem Kami The Movie. Zamarul Hisham sebagai bintang undangan pula menang Pelakon Lelaki Terbaik ASK 08 melalui telemovie Ihsan. Sementara James Lee menang anugerah peringkat Asia dan antarabangsa melalui filem indienya, The Beautiful Washing Machine. Dan AMC sendiri dua kali menang kategori Drama Rantaian Terbaik di ASK 06 dan Drama Komedi Terbaik di ASK 09.
Adakah gabungan “J” dan para pemenang anugerah ini mampu memberikan yang terbaik buat drama ini? Sama-sama lah kita saksikan Januari ini, insyaAllah.Nota : Astro Citra termasuk dalam Pakej Mustika yang baru diperkenalkan dengan harga tambahan RM12.00. Selain Astro Citra, pakej ini turut menawarkan Astro Warna (komedi) dan B4U (Bollywood).
Friday, December 11, 2009
NUR KASIH....BERAKHIR DENGAN 4.1 JUTA
Gambar kiri : Penerbit eksekutif, Mohd Frank Lewis bersama pengarah, Kabir Bhatia semasa menerima tropi Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin 2009 (Kekasih Ku Seru) bagi pihak syarikat mereka, Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd.
Filmscape yang dimiliki Kabir bersama isterinya, Mira Mustaffa adalah anak syarikat kepada Juita Viden yang dimiliki oleh Francis Foo. Syarikat yang sama turut menerbitkan Nur Kasih.Gambar di atas dipetik dari akhbar Kosmo yang menyatakan :
Menurut kajian AGB Nielsen Media Research, episod terakhir Nur Kasih mengumpulkan lebih 4.1 juta atau 59 peratus penonton di depan kaca TV.
Manakala kajian Alt Media mengatakan hits tontonan internet secara keseluruhan adalah 28 juta.Sementara itu, ramai meramalkan Nur Kasih akan menang kategori Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin tahun depan. Saya letih hendak memberitahu hakikat bahawa banyak lagi drama yang bagus di kaca TV kita. Cuma tidak popular seperti Nur Kasih. Malah banyak yang disiarkan di saluran baru yang kurang penonton, menjadikan kehadiran karya berkenaan tidak disedari umum.
Apa pun, saya tetap membalas dengan ungkapan, "kata-kata itu satu doa".
Saturday, December 5, 2009
ASK 09...SEGALANYA TELAH TERTULIS
Pentas Anugerah Skrin 2009 (ASK 09) dibuka dengan menghargai skrip - lebih tepat disebut lakon TV - sebagai penerima pertama. Lima yang terbaik itu terdiri daripada hasil karya Faznita Md Nor (Tak Serupa Tapi Sama), Mufid Suhaimi (Terlerai Takbir Kasih), Erma Fatima (Tersasar Di Jalan Mu), Zuraida Ramli (Mama Nenek) dan ZH Emdee (Becha Usang).
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, genre yang mendominasi kategori ini merupakan genre drama. Jadi, kepada penulis skrip atau penulis skrip wannabe di luar sana yang mahu merasai pentas ASK, rajin-rajin lah menulis telemovie genre drama.Genre Seram nampaknya menyerlah dalam kategori Drama Rantaian. Setelah kemenangan Susuk tulisan Akhbar Ali pada 2007, Kekasih Ku Seru tulisan Mira Mustaffa kembali menjuarai kategori ini.
Nampaknya genre seram dan genre drama soap opera bergilir-gilir naik pentas. Pada 2006, Rafflesia tulisan Sharifah Huda manakala Bicara Aur Dengan Tebing tulisan Cik Li pada 2008.Drama Komedi Terbaik berpihak kepada Datin Wan Abe tulisan saya, arahan Emmi Suffian (Pyan), terbitan Asia Media Content Sdn Bhd (JS Foo).
Menurut seorang rakan, persaingan untuk drama komedi tahun ini tidak lah sengit lantaran kekurangan drama yang benar-benar kuat.Hadiah kemuncak yakni drama terbaik jatuh kepada telemovie TV2, Tersasar Di Jalan Mu arahan dan tulisan Erma.
Ini menambah keyakinan bahawa penganjur tidak 'bias' kepada stesyen miliknya semata. Kali terakhir telemovie RTM menerimanya, pada 2006 menerusi Lebih Bisa Dari Jelatang tulisan Mazlan Manan, arahan Kabir Bhatia, terbitan Pena Creative Sdn Bhd (Ziela Jalil).Terima kasih kepada TV3 sebagai penganjur dan Pantene sebagai penaja utama.
Keterangan gambar : Saya bersama Pyan semasa post-party ASK 09.
Friday, December 4, 2009
ASK 2009....SATU RAMALAN
Malam ini Anugerah Skrin (ASK) 2009. Seperti biasa, pagi ini ramai yang tertanya-tanya drama mana yang sampai ke pusingan akhir iaitu lima yang terbaik (TOP 5). Tidak kurang yang mendapat keputusan bocor melalui sumber dalaman. Ada kala ramalan atau keputusan bocor menjadi penentu buat calon samada mahu hadir atau tidak. Bagi sesetengah calon, adalah membuang masa untuk hadir sekiranya gagal mencapai TOP 5.
Tahun ini, karya saya, Datin Wanabe akan berentap dengan Hua-Hua-Hua, Lawak King, Ceplos dan Impian L untuk kategori Drama Komedi Terbaik.Bagaimanapun, tumpuan ASK bukan lah kepada drama komedi mahu pun drama rantaian. Sebaliknya, kepada telemovie. Kategori Drama Terbaik, Arahan Terbaik, Lakon Layar/Skrip Terbaik, Pelakon Lelaki/Wanita dan Pembantu Terbaik datang dari kategori ini. Jadi, kepada sesiapa yang mahu karyanya menyerlah di pentas ASK, tulis lah telemovie banyak-banyak.
Ramalan akhbar menyebut bahawa telemovie Tak Serupa Tapi Sama, Tersasar di Jalan-Mu dan al-Kiswah bakal dinobatkan sebagai Drama Terbaik.Sama-sama lah kita nantikan keputusannya malam ini.
Nota : Syarat untuk memasuki pusingan awal ASK adalah berdasarkan rating AC Neilsen manakala untuk pusingan akhir (lima calon terbaik) adalah berdasarkan kualiti yang bakal dinilai oleh juri bertauliah. Keputusan lima yang terbaik hanya akan diumumkan pada malam ASK bersiaran secara langsung..
Subscribe to:
Posts (Atom)