Friday, August 20, 2010

APABILA AFDLIN SHAUKI MENULIS...

Ketika melayari blog karyawan tersohor, Afdlin Shauki, saya bersyukur kerana ketemu entri beliau yang membawa 'suara' warga kerja seni di tanahair tercinta ini.
Ringkasnya, Afdlin menulis tentang industri seni berdasarkan luahan hatinya yang jujur, benar dan tanpa gentar. Katanya, industri kita ini masih dikuasai oleh pihak gergasi korporat. Mereka lah yang menindas golongan karyawan yang selama ini gigih memberikan 'pengisian' [CONTENT] kepada industri. Jika di negara sudah membangun, karyawan kaya raya dengan bayaran lumayan dan perlindungan hak cipta, di negara kita, masih lagi ibarat 'kais pagi makan pagi'. Malah menerima saja apa yang ditawarkan ibarat 'peminta sedekah'. Statusnya lebih kurang 'buruh kasar' kerana mudah diperkotak-katikkan.
Paling menarik, Afdlin menulis tentang bayaran penulis, pengarah, pelakon, yang selalunya diminta potong kerana hasil kerjanya adalah subjektif dan tidak mempunyai kadar bayaran yang tetap. Harga hasil seni tidak seperti harga peralatan, insuran, lokasi dan sebagainya yang biasanya tetap. Justeru, pada pendapat beliau, sudah sampai masanya untuk kita mempunyai KESATUAN SEKERJA atau UNION bagi menentukan kadar bayaran minima. Baca seterusnya dalam :
http://afdlinshauki.blogspot.com/2010/08/selamat-menyambut-ramadhan-dan-selamat.html
Nota : Minggu lepas, media heboh membicarakan soal gaji minima pembantu rumah Indonesia, yang kerajaannya mahu menetapkan kepada RM800 sebulan. Jadi, penulis skrip, pengarah, pelakon, jurukamera, pemuzik, bagaimana pula?

Friday, August 13, 2010

TENTANG OMBAK RINDU & FAUZIAH SHAARI

Selepas kejayaan komersil filem adaptasi daripada novel terlaris Lagenda Budak Setan, penerbit yang sama - Astro Shaw dan Tarantella Pictures - kembali dengan Ombak Rindu karya novelis Fauziah Shaari. Proses adaptasi dari novel ke filem diamanahkan kepada pengarah muda, Osman Ali.
Jika Fauziah terkenal kerana Ombak Rindu yang mampu meraih 100,000 naskah bagi cetakan pertama, Osman pula dikenali dengan 'Toll Gate Girl', sebuah telemovie genre komedi romantik yang mampu membuatkan penonton ingat sampai bila-bila. Kalau tidak silap, kedua-dua karya ini muncul kira-kira 10 tahun lalu. Justeru, saya mengharapkan gabungan kedua-dua nama ini mampu memberi kejutan buat filem itu nanti, InsyaAllah.
Isnin lalu, Fauziah yang menetap di Johor menghubungi saya untuk bertanya khabar. Katanya, dia berasa dihargai apabila Osman menghubunginya untuk bertanya beberapa perkara. Ini bermakna pengkarya filem menghormati sumber dari mana filem itu dipetik.
Begitulah lazimnya insan bergelar penulis - bukan mahu disanjung berlebihan ala-ala 'DIVA', cukup dengan bertanya pendapat sebagai tanda menghargai.
Kira-kira dua bulan yang lalu, Fauziah melalui SMS, ada menyatakan bimbang kiranya adaptasi akan 'menyimpang' daripada karya asal. Namun, saya berpendapat 'penyimpangan' tidak dapat dielakkan atas dasar 'perbezaan medium'. Naratif novel berbeza dengan naratif filem.
Novel menggunakan perkataan, banyak deskripsi dan memberitahu. Manakala filem menggunakan imej, visual, bunyi dan lebih kepada menunjukkan sesuatu [show], bukan memberitahu [tell].
Fauziah cuba memahami dan berbaik sangka adaptasi itu nanti tidak akan 'merosakkan' karya beliau, jauh sekali untuk 'memperkosa' [meminjam istilah yang digunakan oleh majalah Dewan Sastera] Bagaimanapun, adaptasi memberikan pengalaman menonton atau reaksi berbeza-beza kepada :
Penonton yang tidak membaca novel,
Penonton yang membaca novel [tetapi tidak fanatik],
Penonton fanatik novel.
Saya lebih risaukan peminat fanatik novel! Golongan ini menggantungkan harapan besar kepada Tuan Direktor dan Penulis Skrip untuk membawa intipati, aspirasi, mood dan style novel ke layar perak. Termasuk menggambarkan secara nyata akan watak dan latar yang selama ini hanya terbayang di minda mereka semata-mata.
Justeru, kepada peminat fanatik, izinkan saya meminjam kata-kata penerbit novelnya, Encik Norden Mohamad dari Alaf 21 Sdn Bhd, "enjoy both medium".