Saya tidak mengharapkan apa-apa ketika dipanggil menulis untuk
slot Akasia, TV3, sekitar November lalu. Lantaran pengisiannya bukan datang dari saya, sebaliknya telah ditentukan oleh pihak stesyen yang berkenaan.
Stesyen waktu itu menerangkan bahawa mulai tahun ini, mereka menukar konsep Akasia dengan menumpukan kepada pengisian yang diadaptasikan daripada novel-novel popular. Tajuk-tajuk novel itu dipilih oleh pihak MEREKA. [perkataan MEREKA sengaja ditulis dalam huruf besar dan dihitamkan pula.]
Selain itu, MEREKA mahukan pengisian yang ringan, santai dan mudah untuk slot ini, dengan menumpukan kepada penonton luar bandar.
Keghairahan saya tidak lah seperti ketika menulis siri TV
Nur Kasih di bawah penyeliaan
Mira Mustaffa sebagai ketua panel skripnya, dua tahun lalu. Namun, tugas menghasilkan skrip adaptasi ini tetap dilaksanakan.
Nora Elena kemudiannya menarik dua juta penonton, dengan episod terakhir, 2.7 juta. Sebelum ini, penonton slot Akasia sekitar 1.8 juta.
Secara peribadi, saya melihat Nora Elena sebagai
kejayaan material [duniawi] untuk semua pihak yang terlibat :
Syarikat penyiarannya mendapat hasil iklan melalui 'rating'.
Pelakon dan tenaga kerjanya mungkin dicari untuk tawaran demi tawaran kerja selepas ini.
Novelisnya mendapat lebih royalti.
Reputasi penerbitnya meningkat.
Dan penontonnya mendapat hiburan yang mereka dahagakan.
Namun, siri ini masih boleh dipertikaikan dari aspek
bukan-material atau
'ukhrawi', lantaran unsur hiburan keterlaluan melalui kegilaan penonton terhadap rupa paras dan khayalan yang tidak pasti samada memberi manafaat atau mudarat kepada pembangunan jiwa insani. [
Islam melihat kepada sejauh mana mudarat atau manafaat sesuatu tugas itu kepada masyarakat. Sebaliknya, industri melihat kepada sejauh mana sesuatu tugas itu dapat menarik keuntungan material].
Setakat ini, belum ada pihak yang mengukur manafaat sesuatu siri TV kepada pembentukan jiwa dan minda ummah, melalui kaji selidik yang tetap dan terancang. Yang diukur secara tetap dan terancang ialah 'jumlah penonton', [bukan pengisiannya] melalui agensi 'rating' antarabangsa untuk tujuan pengiklanan.
Justeru, dari perspektif industri, Nora Elena telah berjaya.