Thursday, January 7, 2016

TAHUN BAHARU 2016... ANTARA DUA KERJA, 'DIVERSIFY' DAN 'VERSATILE'.

Sudah seminggu kita berada di tahun baharu 2016. Saya memulakan hari pertama pada Jumaat lepas dengan meluangkan masa bersama jutawan Azizi Ali dan pakar motivasi terkenal Profesor Dr Muhaya. 

Wah! Nampak hebat, bukan?

Hahaha...jangan kagum dahulu. Sebenarnya, saya hanya mendengar buku audio Azizi Ali tentang pelaburan emas dan ceramah-ceramah Prof Muhaya di Youtube tentang minda positif. Perkongsian daripada kedua-dua tokoh ini sangat bermanafaat dari segi kewangan dan emosi.

Tahun 2016 akan kita diharungi dengan desas-desus tentang ekonomi negara yang mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat. Beberapa petunjuk telah kelihatan pada tahun 2015 dan seawal tahun 2014.

Bagi saya yang bekerja sendiri (freelance) di dalam industri seni, media dan hiburan, memang patut mengambil tahu tentang ekonomi. Apabila ekonomi gawat, bidang ini lah yang akan terjejas dahulu. Seni dan hiburan bukan lah keperluan asas sebagaimana makanan, pakaian, kesihatan dan pendidkan.

Apabila tidak ada duit lebih, orang tidak akan ke panggung wayang, tidak membeli tiket konsert atau album artis. Manakala pengeluar produk tidak akan mengiklankan produk mereka di televisyen. Sekiranya iklan berkurangan, televisyen akan mengurangkan pengambilan program baharu. Sebaliknya, akan menggantikan dengan siaran ulangan program lama atau membeli program daripada luar negara yang murah melalui 'syndicated'. Mungkin ada slot drama yang ditutup atau dikurangkan kos pembeliannya. Lebih buruk, mungkin ada jabatan di dalam sesebuah stesyen itu ditutup (Harap-harap keadaan tidak lah seburuk ini)

Keadaaan ini pernah berlaku ketika Krisis Kewangan Asia 1997. Dan berulang akhir-akhir ini apabila dua buah syarikat penyiaran telah membuang pekerja. Sektor media cetak iaitu penerbitan majalah dan suratkhabar juga terancam kerana kegagalan syarikat membuat untung disebabkan kos pengeluaran yang tinggi, sedangkan permintaan semakin berkurangan. Saingan daripada media baharu seperti internet turut membuatkan media tradisional (media cetak) merosot dengan lebih pantas.

Jika dahulu kegawatan ekonomi membabitkan rantau Asia sahaja, sekarang mungkin melibatkan satu dunia. Kejatuhan harga minyak seperti yang dilaporkan oleh BBC, berpunca daripada pengurangan permintaan daripada negara Cina dan Eropah (salah satu faktor).

Di dalam negara pula, syarikat-syarikat pengeluar produk berjenama antarabangsa sudah tidak lagi menaja program-program siaran secara langsung di televisyen - yang melibatkan belanja sekitar RM2 juta sehingga RM3 juta. Keadaan ini berpunca daripada syarikat antarabangsa turut berhati-hati berbelanja. Namun, kita bersyukur kerana masih ada syarikat-syarikat tempatan yang mampu menaja program-program hiburan yang disiarkan secara langsung di kaca tv kita. Walaupun kadang-kadang kita 'menyampah' dengan penampilan sesetengah taukeh syarikat yang menaja itu. (Hehehe...)

Apa pun, di sebalik petunjuk-petunjuk ekonomi yang kurang memberangsangkan, langkah mesti diteruskan dengan yakin, positif dan bersemangat. Bagi yang mempunyai pekerjaan tetap, jaga lah pekerjaan kalian sebaiknya. Bagi yang bekerja sendiri (freelance) seperti saya dan di dalam industri yang rapuh pula, mungkin perlu memikirkan tentang "diversify" (kepelbagaian). Namun, ini bukan lah bermaksud membuat dua kerja (hehehe). Hanya membuat beberapa jenis pekerjaan yang berbeza dalam waktu-waktu yang berbeza, dan mungkin juga di dalam industri atau bidang yang berbeza. Matlamatnya untuk memperbanyakkan sumber pendapatan, selain menjadi lebih versatile. Itu sahaja.

Akhir kata, selamat tahun baharu. Semoga kita semua benar-benar selamat!








1 comment:

ZILI ANIS said...

Memang benar akan kenyataan puan. Hidup perlu diteruskan dengan usaha berterusan. Semangat juga perlu sentiasa dipupuk dan dibaja agar sentiasa membuat kita "moving forwad". p/s hari ni saya baru lewati ke laman blog puan. Entri puan baik; harap berterusan. Saya juga berminat nak ikuti bengkel penulisan, tapi dah "miss"-lah pulak. Jika ada lagi saya ingin sertai.