Tuesday, March 1, 2016

KENAPA AZAM TAHUN BAHARU SERING KECUNDANG?

Hari ini saya sempat menghadiri seminar percuma tentang pemasaran internet. Seminar ini anjuran tokoh terkenal Asia Tenggara, Fabian Lim. Bagaimanapun, sesi prebiu ini dikendalikan oleh anak didik beliau yang saya tidak ingat namanya.  Saya mengetahui tentang seminar ini melalui Facebook, media sosial yang masih berpengaruh buat masa ini.

Sebagai pembuka kata, penceramah bertanya beberapa soalan tentang diri peserta. Antaranya, siapakah yang berjaya mengekalkan azam tahun baharu sampai hari ini, memandangkan suku pertama 2016 akan berakhir dalam masa sebulan sahaja lagi. Tidak ramai yang berani mengangkat tangan termasuk saya!

Awal tahun ini saya tidak menetapkan apa-apa azam memandangkan azam tahun lepas pun awal-awal lagi sudah ke laut! (Sila rujuk entri saya pada September 2015 bertajuk  Suku Terakhir 2015 - Berlari atau Berjalan?)

Bagaimanapun, saya mempunyai perancangan untuk tahun ini iaitu diversify. Dalam kata lain, mahu mempelbagaikan sumber pendapatan. (Sila rujuk entri pada Januari 2015 bertajuk Tahun Baharu 2016 - Antara Dua Kerja, Diversify dan Versatile)

Saya telah menambah satu lagi sumber pendapatan pasif melalui pelaburan saham amanah. Kemudian, menghadiri seminar pelaburan hartanah.  Terkini, seminar pemasaran internet. Pada masa yang sama, membuat kajian di internet tentang digital publishing dan minda positif menuju kejayaan. Saya mengunjungi semula tokoh-tokoh yang dikenali melalui buku suatu ketika dahulu seperti Bob Proctor dan Napoleon Hill. Kini, saya menziarahi mereka di Youtube sahaja kerana lebih mudah dan cepat daripada mencari buku yang terperuk dan berhabuk di dalam pejabat.

Dalam konteks mencari ilmu baharu untuk tujuan diversify (kepelbagaian sumber pendapatan), setakat ini saya belum lagi tersasar daripada landasan yang ditetapkan pada awal tahun. Dalam masa dua bulan ini, banyak ilmu baharu dikutip manakala ilmu lama yang sudah layu telah disegarkan semula.

Berbalik kepada azam tahun baharu, saya mula mendapat jawapannya ketika bersenam di taman pagi tadi. Kenapa azam kita selalu kencundang di penghujung Januari? Ini kerana kita terlalu bercita-cita tinggi dalam membuat perubahan diri. Kita meletakkan azam setinggi langit. Apabila kita gagal melakukannya secara konsisten selama 30 hari, kita mula patah semangat. Akhirnya, azam menjadi pekasam sebaik masuk bulan Februari.

Sebaiknya, tetapkan lah azam yang mudah untuk ditunaikan tetapi selaras dengan apa yang kita inginkan.  Tumpukan kepada perkara kecil tetapi bermakna. Cuba buat perubahan sedikit demi sedikit, bukan dengan secara mendadak. Mulakan dengan yang paling mudah. Sebagai contoh, kurangkan pengambilan kopi (kafin), solat sebaik masuk waktunya, jangan tangguhkan kerja, tidur sebelum pukul 12 malam, bersenam pada hari Ahad (seminggu sekali sahaja) dan sebagainya. Perkara-perkara yang saya sebutkan ini sering berkaitan dengan tabiat orang-orang di dalam bidang kreatif - satu tabiat yang tidak sihat.  Mungkin dengan cara ini kita tidak mudah putus asa apabila azam tahun baharu gagal dilaksanakan.

Jadi, mulakan azam yang kecil sekarang - yang berkaitan dengan tabiat kurang elok atau kurang efektif. Siapa kata azam mesti dibuat pada bulan Januari? Pada saya, perubahan boleh dibuat setiap hari seperti kata pepatah "hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini".

Selamat mencuba, ya.


















Monday, February 8, 2016

Selamat Pengantin Baharu Syatilla Melvin

Hari ini adalah hari pernikahan Syatilla Melvin dengan pelakon terkenal, Shaheizy Sam. Semalam, saya sempat melihat sepintas lalu gambar-gambar  berinai dan bertunang Syatila di twitter dan instagram.  Bagaimanapun, pagi ini saya terpanggil untuk memuat naik gambar-gambar pernikahan Syatilla di dalam dunia fiksyen yakni dunia lakonan.

Episod terakhir Kemboja Di Hati pada hari Rabu hadapan (17 Februari 2016) akan mempersembahkan babak-babak pernikahan Cikgu Syatila yang dilakonkan oleh Syatila Melvin.

Di dalam dunia realiti, kita tahu dengan jelas siapa pasangan Sytatila Melvin. Namun, di dalam dunia fiksyen Kemboja Di Hati, siapa pula pasangan Cikgu Syatila? Adakah Faisal (lakonan Ashraf Muslim) yang telah ditolaknya dalam episod minggu lepas? Atau Profesor Imtizam (lakonan Eizlan Yusuf) yang diminatinya dalam diam?


Watak Cikgu Syatila diangkat daripada novel bertajuk sama karya Ramlah Rashid terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan  nama pelakon yang terpilih menyamai nama watak di dalam novel ini.

Kemboja Di Hati membawakan kisah seorang aktivis pertubuhan amal yang terlalu sibuk menyertai misi kemanusiaan di luar negara sehingga terlepas pandang akan  anak-anaknya di rumah. Kematian isteri telah mengubah segalanya.



Tentang Syatilla Melvin pula, beliau diperkenalkan buat pertama kali di layar kaca melalui drama yang skripnya ditulis oleh saya bertajuk BFF...Teman Tapi Mesra pada 2012.  Syatilla kemudiannya popular menerusi drama Ramadan Yang Hilang (Skrip oleh Shahrulezad Mohamaden yang mana saya turut membantu penulisannya). Bagaimanapun, saya tidak tahu  yang beliau sekampung dengan saya sehingga lah apabila diberitahu oleh seorang rakan.

Semoga berbahagia buat Syatila dan Sam - #SAMTILLA



Nota : Lokasi pengambaran di Masjid Darul Kifayah, Gombak manakala baju pengantin tajaan jenama terkenal Ezuwan Ismail.






Thursday, January 7, 2016

MULAI 6 & 7 JANUARI 2016, JAM 9.30 MALAM DI TV AL HIJRAH (ASTRO & HYPPTV SALURAN 114)


TAHUN BAHARU 2016... ANTARA DUA KERJA, 'DIVERSIFY' DAN 'VERSATILE'.

Sudah seminggu kita berada di tahun baharu 2016. Saya memulakan hari pertama pada Jumaat lepas dengan meluangkan masa bersama jutawan Azizi Ali dan pakar motivasi terkenal Profesor Dr Muhaya. 

Wah! Nampak hebat, bukan?

Hahaha...jangan kagum dahulu. Sebenarnya, saya hanya mendengar buku audio Azizi Ali tentang pelaburan emas dan ceramah-ceramah Prof Muhaya di Youtube tentang minda positif. Perkongsian daripada kedua-dua tokoh ini sangat bermanafaat dari segi kewangan dan emosi.

Tahun 2016 akan kita diharungi dengan desas-desus tentang ekonomi negara yang mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat. Beberapa petunjuk telah kelihatan pada tahun 2015 dan seawal tahun 2014.

Bagi saya yang bekerja sendiri (freelance) di dalam industri seni, media dan hiburan, memang patut mengambil tahu tentang ekonomi. Apabila ekonomi gawat, bidang ini lah yang akan terjejas dahulu. Seni dan hiburan bukan lah keperluan asas sebagaimana makanan, pakaian, kesihatan dan pendidkan.

Apabila tidak ada duit lebih, orang tidak akan ke panggung wayang, tidak membeli tiket konsert atau album artis. Manakala pengeluar produk tidak akan mengiklankan produk mereka di televisyen. Sekiranya iklan berkurangan, televisyen akan mengurangkan pengambilan program baharu. Sebaliknya, akan menggantikan dengan siaran ulangan program lama atau membeli program daripada luar negara yang murah melalui 'syndicated'. Mungkin ada slot drama yang ditutup atau dikurangkan kos pembeliannya. Lebih buruk, mungkin ada jabatan di dalam sesebuah stesyen itu ditutup (Harap-harap keadaan tidak lah seburuk ini)

Keadaaan ini pernah berlaku ketika Krisis Kewangan Asia 1997. Dan berulang akhir-akhir ini apabila dua buah syarikat penyiaran telah membuang pekerja. Sektor media cetak iaitu penerbitan majalah dan suratkhabar juga terancam kerana kegagalan syarikat membuat untung disebabkan kos pengeluaran yang tinggi, sedangkan permintaan semakin berkurangan. Saingan daripada media baharu seperti internet turut membuatkan media tradisional (media cetak) merosot dengan lebih pantas.

Jika dahulu kegawatan ekonomi membabitkan rantau Asia sahaja, sekarang mungkin melibatkan satu dunia. Kejatuhan harga minyak seperti yang dilaporkan oleh BBC, berpunca daripada pengurangan permintaan daripada negara Cina dan Eropah (salah satu faktor).

Di dalam negara pula, syarikat-syarikat pengeluar produk berjenama antarabangsa sudah tidak lagi menaja program-program siaran secara langsung di televisyen - yang melibatkan belanja sekitar RM2 juta sehingga RM3 juta. Keadaan ini berpunca daripada syarikat antarabangsa turut berhati-hati berbelanja. Namun, kita bersyukur kerana masih ada syarikat-syarikat tempatan yang mampu menaja program-program hiburan yang disiarkan secara langsung di kaca tv kita. Walaupun kadang-kadang kita 'menyampah' dengan penampilan sesetengah taukeh syarikat yang menaja itu. (Hehehe...)

Apa pun, di sebalik petunjuk-petunjuk ekonomi yang kurang memberangsangkan, langkah mesti diteruskan dengan yakin, positif dan bersemangat. Bagi yang mempunyai pekerjaan tetap, jaga lah pekerjaan kalian sebaiknya. Bagi yang bekerja sendiri (freelance) seperti saya dan di dalam industri yang rapuh pula, mungkin perlu memikirkan tentang "diversify" (kepelbagaian). Namun, ini bukan lah bermaksud membuat dua kerja (hehehe). Hanya membuat beberapa jenis pekerjaan yang berbeza dalam waktu-waktu yang berbeza, dan mungkin juga di dalam industri atau bidang yang berbeza. Matlamatnya untuk memperbanyakkan sumber pendapatan, selain menjadi lebih versatile. Itu sahaja.

Akhir kata, selamat tahun baharu. Semoga kita semua benar-benar selamat!