Saturday, March 29, 2008

TBM DI TV2 MULAI 3 APRIL SETIAP KHAMIS

Alhamdulillah, akhirnya Tangisan Bulan Madu (TBM) 'The Series' disiarkan sebelah malam setiap minggu. Ia bermula pada Khamis ini 3 April, jam 9.00 malam di TV2. Berdasarkan perancangan awal oleh pegawai RTM pada Mei 2007, drama ini untuk slot Galeri Famili jam 1.30 tengahari, Isnin-Jumaat. Waktu itu kami agak kecewa kerana mendapat slot siang yang tidak ramai penonton. Pun begitu, takdir mengubah segalanya. Kekecewaan kami terubat dengan keputusan ini.
Bagaimanapun, saya sedikit kesal kerana mempersembahkan cerita ini agar sesuai dengan sasaran penonton tengahari yakni surirumah. RTM juga mahukan konsep telenovela yang ditayangkan sepanjang hari bekerja. Ini bermakna saya perlu mengolah semula cerita ini berdasarkan beberapa 'rukun' dan 'syarat sah' telenovela. Antaranya watak jahat mesti tersangat jahat manakala watak baik mesti tersangat baik. Plot "twist and turn" dan tergantung (cliff-hanging) sangat penting dalam sesebuah telenovela. Memandangkan cadangan asal untuk tayangan Isnin-Jumaat, perlu ada 'minor cliff-hanging' untuk Isnin hingga Khamis dan 'major cliff-hanging' untuk Jumaat. Tujuannya supaya pada hari Jumaat, penonton jadi tidak sabar menunggu hari Isnin untuk mengetahuinya.
Masalahnya, novel TBM TIDAK ADA watak jahat. Watak-wataknya lebih banyak berkonflik dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Ini bermakna watak utama adalah protagonis dan juga antagonis. Amira VS Amira? Novel ini juga kekurangan "twist and turn" untuk membolehkannya diadaptasi menjadi sebuah telenovela yang baik.
Mujur pengarangnya, Samsiah cukup sporting dan mudah dibawa berunding. Beliau banyak bertolak ansur bagi menyesuaikan dengan kehendak stesyen. Sekalipun tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi TV, Samsiah mengakui dia memahami. Atas restu Samsiah sendiri, kami menjahatkan beberapa watak kecil dalam novel ini. Syafura, Cindy, Makcik Hindun dan Hakim terpaksa memainkan peranan besar di kaca TV. Kehadiran mereka dalam novel hanya tempelen sedangkan di TV mereka cukup dominan. Apa reaksi pembaca bila melihat watak kecil diubah menjadi besar? Adakah mereka akan merestuinya?
Penerbit pula mahukan cerita ini dibiarkan tergantung pada babak terakhir. Ini sebagai persediaan kalau-kalau jumlah penonton (rating) tinggi dan stesyen meminta "TBM Musim Kedua." Jadi, jangan terkejut kalau penyudahnya agak menyimpang dari penyudah dalam karya asal. Ia memang disengajakan.
Sekiranya sejak awal lagi saya tahu bahawa drama ini untuk slot malam dan bukan berkonsepkan telenovela Isnin-Jumaat di siang hari, saya mungkin mempersembahkannya dengan cara berbeza. Memandangkan kebanyakan penonton slot malam lebih matang dan berpendidikan, berkemungkinan saya akan lebih memfokuskan kepada konflik diri watak utama. Saya akui aspek ini kurang diberi perhatian kerana memikirkan "crowd" tengahari yang lebih suka melihat konflik antara watak hitam dengan watak putih.
Apa pun, keputusan RTM untuk menukarkan tayangan pada waktu malam melegakan kami yang mengharapkan 'rating' tinggi. Pada malam Jumaat nanti, jam 9, TBM akan bersaing dengan drama seram SAKA di TV3 dan DIARI AF6 di Astro Ria. Kedua-dua rangkaian swasta berbahasa Melayu itu cukup berpengaruh ke atas penonton Melayu. Sama-sama lah kita tunggu dan lihat sejauh mana TBM dapat menyaingi kedua-dua rancangan itu dari segi jumlah penonton.

12 comments:

Anonymous said...

Syoknya ....akhirnya ada juga kat tv. Sebenarnya novel ni sudah lama saya baca. Zaman kanak-kanak lagi. Maklumlah, masa itu terikut-ikut dengan mak cik yang sedang menginjak ke usia remaja. Apabila saya meningkat remaja, saya pula yang melangkapkan siri TBM di rumah. Erm.. Tak sabar rasanya nak tunggu. Tapi, tak seronok la pula bila dapat tahu Izani dan Rita pelakon utamanya. Saya memang tidak menggemari kedua dua pelakon ini. Kalau boleh saya mahukan watak Amira di pegang oleh seorang yang benar seperti Amira. Contohnya seperti Filem Syukur 21 (walaupun filem ini bukan di adaptasi dari novel) terbitan Metrowealth, mereka mencari seorang yang benar benar sesuai(saya kira??) untuk memegang watak bersih sepeti Aishah. Pada masa itu, watak Aishah disyaratkan perlulah dilakonkan oleh seorang yang bersih dari gosip. Tapi, yelah saya tahu anda tentu lebih faham mengenainya. Dulu, saya pernah terbayangkan Rosyam Nor sebagai Bogatt, erm tapi rasanya, watak Bogatt tidak sesuai lagi untuk Rosyam Nor( lainlah kalau drama ini terbitan syarikat Rosyam, tentu beliau sendiri dengan sukarelanya akan menawarkan diri menjadi hero.hihi. jangan marah ye abang Rosyam). Apepun, saya memang tak sabar menunggu kedatangan TBM di TV 2. Nasid baik terjumpa blog Kak Sue(buat menyapu si Ayer Mata). Kalau tidak pasti saya tak tahu tentang ini. All d best..

Wan

Maizura Mohd Ederis said...

Wan, terima kasih kerana menyokong cerita ini. Tapi saya harus minta maaf kerana tersilap letak tarikh. Tarikh sebenar mulai 20 Mei 2008. Saya baru tahu perkara ini pagi tadi. Maaf ya. Harap bersabar...

adhan said...

saya suka TBM tapi yang 1st je..yang sambungan tu agak kureng...harap-harap TBM di layar perak tidak mengecewakan...

fiza said...

saya suka novel ni...tp lepas pemergian bogatt tu tak silap bukan ke amira berkenalan dengan orang yang mirip bogatt jgk kan? cerita ni sampai ke situ ke? tak sabar nak tgk rita berlakon :)

Maizura Mohd Ederis said...

Terima kasih Fiza. Memang betul Amira berjumpa dengan seseorang mirip Bogatt. Kami menggunakan pelakon yang sama iaitu Ezany juga. Namun, wataknya berbeza. Lihat lah perbezaannya di kaca TV nanti. Selamat menonton.

fara said...

salam, sy tersgt la suka ngan novel2 ni. ade series lagi. best!

Rinn said...

saya baru hari ni tau yang TBM akan muncul di kaca tv :) nasib baik jugak yer slot tayangannya dilewatkan, kalau tak saya terlepas!!! hehe.. tadi sebenarnya nak cari tajuk2 buku pn samsiah mohd nor yang saya belum jumpa, tapi terjumpa pulak blog ni..

sure fine whatever
rinn

yutaka said...

salam.. sgt2 excited bile dpt tahu yg TBM akan dijadikan drama TV.. mlm ni akan tgu kt dpn TV, nak tgk perbezaan nye dgn novel.. sy pasti mesti ade perbezaaannye.. bak kate penulis blog ini, dlm novel x byk kata2, byk bermain dgn emosi n perasaan n kata hari.. sy sgt suke novel ini.. novel TBM adalah yg TERBAIK spjg zaman.. =)

Anonymous said...

cerita TBM ni mmg best gler..aku dh lama baca novel ni..lbh2 lg Samsiah tu cikgu yang ngajar aku subjek bahasa melayu kt sekolah dulu..hidup cikgu samsiah..ape2 pn,cikgu samsiah mmg best..gud luck cikgu..

Anonymous said...

Im just 13..
Tp minat sgt dgn crita ini..
Sy dah baca dari TBM 1 sampai 4..
Memang bez gler..

First time teng0k lam tv..
Ingatkan tak bez..
Sampailah kwn sy bawa n0vel tu..
BArulah minat dgn cta ni..
Hehe..
HArap ada TBM 5 lagilah..

Coz sy ni memang kaki n0vel..

Anonymous said...

Hi Puan Maizura..saya peminat novel dari sarawak.nak bertanya, sekiranya saya membeli novel TBM series melalui web (kalau tak silap creative enterprise), adakah betul2 novel ini akan sampai ke tangan saya?
Anyway, saya nak ucapkan tahnah di atas kejayaan 'baru' (TBM berjaya ditayangkan di kaca televisyen)ni meskipun 17tahun yang lalui sudah merasai kegemilangan novel ini.
Saya sekeluarga amat meminati drama ini yang disiarkan do RTM 2..

Maizura Mohd Ederis said...

Tks anonymous, InsyaAllah sampai.