“Idea pitch” adalah kerja wajib penulis skrip. Sebahagian besar masa penulis diluangkan dengan menyediakan kertas konsep untuk idea pitch. Maksudnya, menulis kertas cadangan yang disebut sebagai
“concept paper” untuk dinilai oleh stesyen TV. Ia mengandungi judul, tema, genre, durasi, sinopsis, watak, perwatakan, cadangan pelakon (casting) dan plot untuk setiap episod (sekiranya drama bersiri). Ketebalannya berbeza-beza. Antara 2-5 halaman untuk telemovie 90 minit atau 20-40 halaman untuk drama bersiri 13, 26 atau 30 episod. Biasanya, dalam setahun, penulis menyediakan minimum antara 5-10 konsep. Namun, dalam 10 yang dihantar, yang sangkut mungkin satu. Maknanya, satu dipanggil untuk pembentangan manakala status yang sembilan lagi, “senyap sahaja”. Pun begitu, jika dipanggil untuk pembentangan, ia tidak semestinya lulus. Ramai yang hanya mendapat “penat”. Biasanya, kalau
‘pitching’, agak susah sedikit hendak lulus kerana persaingan sangat tinggi. Bayangkan, dalam sehari, ada 10-30 syarikat dipanggil dengan masa pembentangan hanya 10 minit untuk setiap satu syarikat. Lain lah kalau “
direct nego”. Melalui
‘direct nego’, stesyen memang sudah ada niat hendak membeli sesuatu konsep dari sesuatu penerbit . Mereka memanggil krew yang terdiri daripada penulis skrip, pengarah dan penerbit eksekutif untuk pembentangan, sekadar untuk mematuhi 'syarat'.