Tidak sangka, selepas seminggu, kenyataan Presiden SWAM masih lagi meninggalkan kesan panas di kalangan beberapa penulis skrip, terutama penulis skrip bebas yang tidak menyertai SWAM. Apatah lagi apabila Pengarah/Penulis Skrip tersohor yang mengharumkan nama negara,
Yasmin Ahmad turut memberi reaksi (komen) dalam blog
Mohd Fairuz Padoli, yang memetik entri saya sebelum ini.
Sebenarnya, saya terasa juga apabila ada orang membangkitkan isu
format yang tidak betul. Terus terang, saya tidak pernah mengikut format penulisan skrip yang betul. Tetapi saya malu hendak memberitahu tentang ini secara terbuka. Hanya setelah membaca pendapat Kak Yasmin, baru lah saya berani menghebahkan kepada umum, bahawa saya tidak berpandukan format yang tepat.
Di peringkat awal dahulu, saya pernah bertanya pelakon terkenal,
Sidi Oraza (kini sudah bersara dari dunia filem dan drama) tentang format yang betul. Ini jawapannya :
“Awak tulis macam mana pun, betul…”
Lokasi perbualan kami ialah di
KRU Motion Pictures (KMP) yang waktu itu baru berusia setahun jagung...baru hendak bertatih dan berjalan jatuh. Saya merupakan antara penulis awal yang menawarkan skrip kepada KMP dengan format yang tunggang langgang. Saya sekadar berpandukan buku orang putih bertajuk :
"The Complete Idiot's Guide to Creative Writing”
yang saya beli menggunakan kad kredit kerana poket benar-benar kering. Akibat tiada kerja tetap semasa Krisis Kewangan Asia 1997-2000. Dalam kesempitan wang, saya menulis. Waktu itu, ramai yang menyuruh saya menyertai SWAM. Tetapi yuran
RM150 itu, lebih baik saya gunakan untuk belanja keperluan rumahtangga, membantu meringankan beban suami. Manakala buku 'idiot' itu cuma
RM37.10. Lalu skrip itu tersiar di NTV7 pada hari Raya Pertama, jam 2.00 petang. Harga skrip sangat rendah kerana KMP juga bermasalah kewangan waktu itu.
Sekarang KMP sudah besar dan gah dengan Cicak Man dan studio sendiri. Saya juga tidak perlu lagi menggunakan kad kredit.
Jadi, kesempitan wang membuatkan saya menangguhkan hasrat menyertai SWAM. Tangguh punya tangguh, itu lah puncanya saya tidak menyertai SWAM sampai sekarang.
Baca reaksi Fairuz dan Kak Yasmin dalam blog http://jangantegur.com/2009/06/swam-apa-tu/#comments/
“Yang lebih jitu masuk ke dalam hati, ialah tulisan yang benar-benar datang dari hati. Maka hati pula lah yang akan menerimanya. Ada pun tulisan yang hanya dari hujung jari,perginya ke pelupuk mata si pembaca untuk menidurkannya” - Hamka dalam buku “FALSAFAH HIDUP”.