Thursday, July 30, 2009

CERITA TIGA PELAKON NUR KASIH

Sumber : Utusan Malaysia, 30 Julai 2009
Oleh : SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my
DRAMA bersiri Nur Kasih yang kini sedang ditayangkan menerusi TV3 pada setiap hari Jumaat pukul 9 malam mula meraih perhatian sejak mula menemui penonton setia saluran itu pada 29 Mei lalu.
Berbekalkan jalan cerita yang begitu berkesan serta ditambah dengan keberkesanan lakonan oleh para pelakonnya menjadikan Nur Kasih sebagai santapan nurani yang cukup menyentuh jiwa.
Bukan itu sahaja, pengarahnya Kabir Bhatia juga telah memberi satu sentuhan serta pendekatan yang baru dan berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini menerusi drama Manjalara dan Kekasihku Seru. Drama 26 episod ini mengangkat kisah pengorbanan dan kasih sayang dalam sebuah perhubungan keluarga sebagai tema keseluruhan.
Menyelami jiwa tiga pelakon utamanya iaitu Fizz Fairuz, Remy Ishak serta pendatang baru, Tiz Zaqyah, ketiga-tiga mereka ternyata begitu teruja dengan penghasilan Nur Kasih yang memberi pengalaman baru dalam karier masing-masing.
Baca selanjutnya dalam :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

Sunday, July 26, 2009

YASMIN AHMAD....BERLEPAS KE ALAM BARU

Kali terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad menegur saya ialah ketika saya mengulas filem Okuribito@Departures dalam blog Ajami Hashim. Tidak sangka, Allahyarham memberi komen berbunyi begini :
"maizura, i love your take on departures".
Sebenarnya, saya terpanggil menonton filem itu setelah membaca blog Allahyarham, The Storyteller Part 2. Allahyarham mengulas filem ini dengan kata-kata :
“An Achingly Beautiful Film....Okuribito (Departures) is a film by 54-year old Yojiro Takita. You must do everything possible to watch this Oscar winning film, as soon as you can...(Entri bertarikh 5 Mac 2009)
Bagi saya, blognya bermanafaat, bukan sahaja dari segi perkongsian pengalaman berharga beliau dengan pembaca, malah turut mengesyorkan filem yang baik untuk kita hayati. Justeru, mengiringi perasaan kehilangan pagi ini, adalah hujan yang tiba-tiba turun. Dan seiring rintik hujan, saya menitipkan semula dialog dari filem berkenaan :
"...Working here for a long time makes me think..that death is a gateaway. Death doesn't mean the end but leaving the present to the next stage. Truly a gateaway. As a gate keeper, I've sent off many people. 'Have a nice trip. See you again' I would say..."
Dialog ini dituturkan oleh tukang bakar mayat yang bekerja di rumah mayat yang kebetulan adalah kawan baik kepada si mati. Kenapa Allahyarham beriya-iya mengesyorkan filem ini kepada pembaca blognya? Adakah dia sudah mendapat petunjuk tentang perjalanan jauh ke alam kekal yang bakal ditempuhinya mulai malam tadi?
Kak Yasmin, selamat berangkat, jumpa lagi di sana.

Friday, July 24, 2009

YASMIN AHMAD....SEMOGA MASIH BERSAMA KITA

Semalam, akibat hendak cepat, saya capai satu tudung yang jarang dipakai. Kenapa? Kerana kali pertama pakai, ia licin, asyik senget saja. Dan sewaktu pulang sekitar jam 12 tengahari, tudung itu mengingatkan saya pada Yasmin Ahmad, pengarah filem tersohor. Kenapa? Kerana dia lah yang perasan tudung itu tidak kemas sewaktu pra-tonton filem Tale 'N' Time(Talentime) , Mac lalu. Malah dia membantu memperbetulkannya di kepala saya. Entah kenapa terdetik ingatan pada Kak Yasmin sewaktu membuka pintu hendak masuk rumah. Gara-gara tudung itu lah. Saya ingat lagi biacaranya hari itu :
"Datang tengok preview?" ; "Datang sorang?" ; "Dah makan?".
Selesai flashback tentang pertemuan itu, saya pun uruskan anak, makan, solat dan sebagainya lalu terlelap sebentar (akibat semalaman tak tidur menyiapkan skrip). Saya terjaga dek bunyi SMS pada jam 4.15 petang dari suami saya yang bekerja di TV3. Menurut cerita kakitangan TV3 :
Yasmin tidak bernafas selama 20 minit dan diselamatkan oleh alat yang selalu doktor guna untuk tekap pada dada pesakit bila mendapati jantung pesakit sudah terhenti. (Seperti yang kita selalu tengok dalam TV).
Jika benar cerita ini, bermakna Kak Yasmin mengalami keadaan yang dinamakan :
'Clinical death' atau dalam bahasa orang biasa "very close to death' atau 'hampir mati'. Ada ketika seseorang dalam keadaan ini akan mengalami beberapa pengalaman aneh disebut 'Near Death Experience (NDE)'.
Saya pernah mendengar pengalaman ini daripada seorang pesakit jantung yang terselamat setelah doktor menekap alat itu ke dadanya. Menarik pengalamannya. Ia berkaitan dengan roh. Selebihnya saya membaca tentang NDE di majalah dan internet.
Apa pun, saya tidak henti-henti berdoa kepada Allah supaya Yasmin Ahmad akan terus bersama kita. Amin.
Keterangan gambar : Yasmin Ahmad semasa bersiap untuk menjalani pembedahan kecemasan-Gambar Bernama.

Friday, July 17, 2009

SETEM...KENAPA BEGINI "PENAMAT"NYA?

Mulai 30 Julai ini, SETEM, filem terbaru Kabir Bhatia akan menemui penonton di pawagam tempatan. Saya ke pra-tonton filem berkenaan sambil menyorok-nyorok takut Kabir nampak saya. Gara-gara skrip JALAN MERDEKA yang bakal diarahkannya, belum lagi siap. Sedangkan pengambaran akan bermula hujung bulan ini. Dan Kabir nampak! Dia lambai tangan, tapi saya terus lari jauh-jauh darinya!
Dalam SETEM, lakonan Sathiya, Harun Salim Bachik dan Chen Kin Wah tidak mengecewakan saya. Saya terhibur.
Cuma saya tidak suka SETEM pada penamatnya. Alangkah bagusnya kalau SETEM berakhir pada babak di gerai makan iaitu selepas aksi di depot kapalterbang yang membabitkan kematian Bront Palare (tak ingat apa nama wataknya).
Pada saya, dalam kehidupan sebenar, kita tidak akan dapat sesuatu yang baik dengan mudah jika tidak berusaha. Saya rasa tidak adil kalau orang yang tidak jujur, malas berusaha, kuat menipu, mencuri, sekali berlaku jujur, akan dapat ganjaran yang sebegitu besar. Dalam kehidupan sebenar, anda perlu jujur banyak kali dan jadi baik sebaiknya untuk mendapat ganjaran yang secebis cuma. Dalam kehidupan sebenar, si jahat tidak semestinya mendapat balasan. Malah mendapat kesenangan tidak terbatas akibat aktiviti jahatnya itu. Realitinya, orang seperti waris Lord Arthur Barring itu sebenarnya sentiasa terlepas. (Hanya di akhirat sahaja yang tidak!)
Bermakna, penamatnya mengecewakan saya. Ia juga seolah-olah 'anti-klimaks' apabila cerita masih lagi diteruskan dengan agak panjang selepas aksi pertarungan antara dua kumpulan itu. Saya sangka aksi pertarungan itu lah klimaks kepada SETEM. Rupa-rupanya tidak.
Dari segi tema pula, jelas sekali "Jahat vs Jahat" ", bukannya "Baik vs Jahat." Terus teringat pada Robin Hood, geng-geng Ocean Thirteen, Power Rangers dan Hang Jebat. Watak-watak ini berjiwa murni tetapi telah menggunakan kejahatan (kaedah yang salah) untuk menentang kejahatan. Mungkin ada yang tidak setuju apabila nama Hang Jebat turut disebut. Namun, fikirkan lah tentang perbuatannya mencuri, menceroboh dan berzina itu. Menggunakan cara yang salah untuk misi yang murni. Ikut prinsip agama kita, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik perlu seiring dengan kaedah yang baik untuk mencapainya. Justeru, SETEM sekadar meneruskan legasi Robin Hood dan Hang Jebat yang sampai sekarang masih diperdebatkan oleh para intelektual akan kewajaran tindak tanduk mereka dalam membela golongan teraniaya.
Justeru, pada pendapat saya, SETEM hanya membawa visi dan misi hiburan serta fantasi.
Bagaimanapun, tidak rugi menonton SETEM. Ia sebuah filem komedi yang bijak dan matang, bukan slapstik atau merapu. Kalau kalian peminat komedi Melayu ala-ala Afdlin Shauki, SETEM sangat wajar ditonton. Ia juga tidak membosankan. Tidak terasa akan durasinya yang sepanjang 1 jam 50 minit itu.
Cukup..cukup….. saya perlu kembali menulis JALAN MERDEKA yang bakal dilakonkan oleh Harun Salim Bachik, Sathiya dan Chen Kin Wah sebagai tiga sahabat. Drama 13 episod arahan Kabir Bhatia ini akan ditayangkan di saluran Astro Warna (Comedy Channel) mulai 3 Spetember ini. Kredit wajar diberikan pada blogger filem terkenal, Ajami Hashim kerana mencetuskan idea awal untuk konsep JALAN MERDEKA ini.
Baca ulasan blogger lain tentang SETEM, di blog : http://ajamihashim.blogspot.com
Laman web rasmi SETEM : http://www.setemmovie.com

Monday, July 13, 2009

CALON BN MANEK URAI....TENTANG MENGEJAR IMPIAN

Bukan hendak menyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik. Sekadar bercerita tentang impian rakan sekuliah semasa di UTM dahulu. Tuan Aziz Tuan Mat, calon BN Manek Urai yang akan bertanding esok, memang minat politik sejak di kampus lagi. Pembabitannya dalam politik tidak mengejutkan. Apa yang mengejutkan ialah kemampuannya mengejar impian, sehingga terpilih menjadi calon piliharaya kecil.
Seorang lagi yang saya tahu ada impian, Wan Mohd Shahrizal. Mamat ini mahu jadi pilot. Namun, bila tawaran UTM datang, dia tidak mampu menolak. Selepas tamat belajar, dia bekerja dalam bidang pengurusan selama beberapa tahun. Kemudian, kembali mengejar impian semasa kecil sehingga akhirnya menjadi juruterbang Singapore Airlines (SIA) sampai sekarang.
Saya juga ada impian. Mahu jadi wartawan. Namun, untuk mengambil jurusan Komunikasi Massa di IPTA waktu itu bukan mudah, lantaran tempat terhad. Bila tawaran UTM datang, saya terpaksa terima. Namun, setelah lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, saya tolak tawaran kerja dari dua buah syarikat multi-nasional. Dan menolak juga tawaran biasiswa Telekom Malaysia Berhad untuk menyambung ke peringkat Sarjana Pengurusan Teknologi. Saya memilih untuk mengejar impian sejak tingkatan lima. Bermula dengan pemberita cabuk di akhbar nyamuk (tabloid), akhirnya ke organisasi akhbar terbesar.
Saya tidak pasti tentang impian rakan-rakan lain. Mungkin mereka tidak pernah bercerita semasa di kampus dahulu. Jika ada di antara mereka yang berjaya mencapai impian (childhood dreams), saya tumpang gembira.
Kepada adik-adik di universiti sekarang, jika ada yang terasa telah tersilap mengambil kursus, jangan bimbang. Tidak pernah terlambat untuk mengejar kerjaya impian. Belajar lah sehingga menggenggam segulung ijazah. Kemudian, kejar lah apa sahaja impian yang tersemat di dalam dada.
Keterangan Gambar : Gambar terbaru Tuan Aziz yang saya petik dari laman web Puteri UMNO.

Thursday, July 2, 2009

"BIRO PENULISAN SKRIN" DAN "BANK SKRIP" KARYAWAN

Kepada mereka yang bergelar penulis skrip, ada dua pertubuhan rasmi yang boleh disertai. Pertama,
Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM).
Kedua,
Biro Penulisan Skrin (BPS) Persatuan Karyawan.
Saya tidak menyertai SWAM atas alasan yang telah saya tulis dalam entri sebelum ini iaitu :
Masalah kewangan di peringkat awal kerjaya dan sikap suka bertangguh setelah kerjaya stabil.
Dan saya pernah bercita-cita menyertai BPS. Tetapi tersentap dek kata-kata seorang pengarah ‘otai’ tentang Karyawan. Pengarah ini tergolong dalam kumpulan pertama yang menyertai Karyawan sebaik ia ditubuhkan. Semasa melontarkan kata-kata itu, dia tidak lagi aktif dalam Karyawan. Tidak perlu lah saya tulis kata-katanya yang mungkin akan mengecilkan hati pihak yang berkenaan. Beberapa tahun selepas itu, tercetus pula krisis dalam Karyawan. Beberapa ahli telah dipecat termasuk Ketua BPS. Saya hanya mengikuti perkembangan ini melalui media, bukan dari mulut ahli Karyawan sendiri. Laporan media dan kata-kata sang pengarah, membantutkan hasrat untuk menyertai BPS. Apa pun, semalam, Ajami Hashim menulis tentang program Bank Skrip tajaan BPS. Saya terpanggil untuk memberi reaksi dalam entri berkenaan. Baca dalam :
http:// bicaraskrip.blogspot.com