Friday, July 17, 2009

SETEM...KENAPA BEGINI "PENAMAT"NYA?

Mulai 30 Julai ini, SETEM, filem terbaru Kabir Bhatia akan menemui penonton di pawagam tempatan. Saya ke pra-tonton filem berkenaan sambil menyorok-nyorok takut Kabir nampak saya. Gara-gara skrip JALAN MERDEKA yang bakal diarahkannya, belum lagi siap. Sedangkan pengambaran akan bermula hujung bulan ini. Dan Kabir nampak! Dia lambai tangan, tapi saya terus lari jauh-jauh darinya!
Dalam SETEM, lakonan Sathiya, Harun Salim Bachik dan Chen Kin Wah tidak mengecewakan saya. Saya terhibur.
Cuma saya tidak suka SETEM pada penamatnya. Alangkah bagusnya kalau SETEM berakhir pada babak di gerai makan iaitu selepas aksi di depot kapalterbang yang membabitkan kematian Bront Palare (tak ingat apa nama wataknya).
Pada saya, dalam kehidupan sebenar, kita tidak akan dapat sesuatu yang baik dengan mudah jika tidak berusaha. Saya rasa tidak adil kalau orang yang tidak jujur, malas berusaha, kuat menipu, mencuri, sekali berlaku jujur, akan dapat ganjaran yang sebegitu besar. Dalam kehidupan sebenar, anda perlu jujur banyak kali dan jadi baik sebaiknya untuk mendapat ganjaran yang secebis cuma. Dalam kehidupan sebenar, si jahat tidak semestinya mendapat balasan. Malah mendapat kesenangan tidak terbatas akibat aktiviti jahatnya itu. Realitinya, orang seperti waris Lord Arthur Barring itu sebenarnya sentiasa terlepas. (Hanya di akhirat sahaja yang tidak!)
Bermakna, penamatnya mengecewakan saya. Ia juga seolah-olah 'anti-klimaks' apabila cerita masih lagi diteruskan dengan agak panjang selepas aksi pertarungan antara dua kumpulan itu. Saya sangka aksi pertarungan itu lah klimaks kepada SETEM. Rupa-rupanya tidak.
Dari segi tema pula, jelas sekali "Jahat vs Jahat" ", bukannya "Baik vs Jahat." Terus teringat pada Robin Hood, geng-geng Ocean Thirteen, Power Rangers dan Hang Jebat. Watak-watak ini berjiwa murni tetapi telah menggunakan kejahatan (kaedah yang salah) untuk menentang kejahatan. Mungkin ada yang tidak setuju apabila nama Hang Jebat turut disebut. Namun, fikirkan lah tentang perbuatannya mencuri, menceroboh dan berzina itu. Menggunakan cara yang salah untuk misi yang murni. Ikut prinsip agama kita, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik perlu seiring dengan kaedah yang baik untuk mencapainya. Justeru, SETEM sekadar meneruskan legasi Robin Hood dan Hang Jebat yang sampai sekarang masih diperdebatkan oleh para intelektual akan kewajaran tindak tanduk mereka dalam membela golongan teraniaya.
Justeru, pada pendapat saya, SETEM hanya membawa visi dan misi hiburan serta fantasi.
Bagaimanapun, tidak rugi menonton SETEM. Ia sebuah filem komedi yang bijak dan matang, bukan slapstik atau merapu. Kalau kalian peminat komedi Melayu ala-ala Afdlin Shauki, SETEM sangat wajar ditonton. Ia juga tidak membosankan. Tidak terasa akan durasinya yang sepanjang 1 jam 50 minit itu.
Cukup..cukup….. saya perlu kembali menulis JALAN MERDEKA yang bakal dilakonkan oleh Harun Salim Bachik, Sathiya dan Chen Kin Wah sebagai tiga sahabat. Drama 13 episod arahan Kabir Bhatia ini akan ditayangkan di saluran Astro Warna (Comedy Channel) mulai 3 Spetember ini. Kredit wajar diberikan pada blogger filem terkenal, Ajami Hashim kerana mencetuskan idea awal untuk konsep JALAN MERDEKA ini.
Baca ulasan blogger lain tentang SETEM, di blog : http://ajamihashim.blogspot.com
Laman web rasmi SETEM : http://www.setemmovie.com

4 comments:

Indera said...

hye maizura.

teruja sangat2 nak tgk Setem walaupun endingnya seperti yg disebutkan maizura tidak diharapkan.

tak kiralah sebab saya suka sangat karya Kabir. Wau, Jalan Merdeka? Wajib tengok nih!

Ajami Hashim said...

"JALAN MERDEKA yang bakal dilakonkan oleh Harun Salim Bachik, Sathiya dan Chen Kin Wah sebagai tiga sahabat."

tuuudiaaa! musti meletups abisss! 3 aktor ni mmg naturally 'funny' & 'talented'!!! kudos & good luck sis! ;-)

Maizura Mohd Ederis said...

Indera,

Mesti tengok. Karya Kabir Bhatia tak pernah mengecewakan. Jangan peduli pendapat saya krn itu hanya pendapat peribadi. Tak ada niat utk pengaruhi orang supaya tak tengok. Komen saya, tak rugi tengok SETEM.

Ajami,

Scriptwriter dah suspens giler ni..
takut tak boleh deliver at the right time...with the right quality..

Bukan Sepet said...

ha ha, tak tahu!

Tau takuut.... Lari kak long, lariiii!