Dialog Puncak Perdana anjuran
Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (TEKA), UiTM memang kerap di adakan di kampus Puncak Perdana. Acara itu menampilkan panel jemputan dalam pelbagai topik. Semalam, giliran saya bersama
Mariana Hashim dan
Wan Maimunah diundang berbicara tentang
“Penulisan Skrip Drama TV Bersiri Rantaian”.
Ketika ditanya tentang senario drama rantaian, jawapan saya :
“Pasaran untuk drama rantaian memang besar berbanding telemovie atau filem. Bagaimanapun, kekurangan pengkarya (atau disebut juga sebagai ‘talent’) menyebabkan kualiti drama rantaian menjadi kurang memuaskan”.
Sebaik menyebut kekurangan pengkarya, timbul persoalan di kalangan penonton, lebih kurang begini :
“TEKA (termasuk sekolah filem yang lain) melahirkan ramai graduan, kenapa industri kita masih kekurangan pengkarya? Dan kenapa graduan ini tidak diberi peluang berkarya di TV kita?”
Soalan ini lebih banyak dijawab oleh Mariana Hashim. Sebagai penerbit, beliau banyak mengambil graduan bekerja di syarikatnya. Namun mendapati mereka tidak mempunyai
sikap (
attitude) yang tepat,
daya tahan (
perserverance) dan
minat yang membara (
passion) untuk membolehkan mereka masuk ke dalam industri.
Sementara itu,
Wan Maimunah berkata ada sesetengah penulis skrip tidak memberikan perwatakan yang cukup kuat di dalam skrip. Ini menyebabkan beliau terpaksa membuat kerja lebih untuk membina sendiri watak itu, berdasarkan kefahaman dan pengalamannya. Inisiatif ini diambil atas tanggungjawab untuk mempastikan hasil yang baik di televisyen.
Selain itu, saya turut membangkitkan isu antara
nilai komersil dan nilai artistik. Ini berdasarkan pengalaman saya menerima kertas cadangan konsep daripada segelintir graduan atau yang masih bergelar pelajar untuk diserahkan kepada penerbit. Kebanyakannya tidak menepati nilai-nilai komersil yang dikehendaki stesyen TV. Saranan saya, agar mereka mematuhi kehendak stesyen TV jika mahu masuk ke dalam industri. Ini lebih baik daripada “berasa kecewa” dan “menyalahkan sistem” seperti yang pernah saya alami di peringkat awal dahulu.
Dan merumuskan bahawa :
"Bekerja untuk televisyen lebih kepada menghasilkan produk, bukannya berkarya".
Mungkin ini yang tidak difahami oleh graduan (atau pelajar)
yang mahu terbabit di sektor televisyen.
Dialog diusahakan oleh Ketua Program Penulisan Kreatif, Puan Norlela Ismail yang juga menjadi moderator sesi berkenaan. Turut hadir ialah Timbalan Dekan, Dr Mahadi J Murat. Sekadar makluman, TEKA pada masa ini diterajui oleh Dr Hatta Azad Khan sebagai Dekan.
Keterangan gambar : Dari kiri Wan Maimunah, Mariana, Maizura dan Norlela.