Sudah agak lama tidak kemas kini blog ini. Bukan niat untuk membiarnya bersawang. Tetapi terlalu banyak perkara yang muncul pada bulan ini. Antaranya terpaksa berulang alik ke sesi perah otak
(brainstorming) dengan pasukan kreatif
(creative team) dari
Filmscape Sdn Bhd bersama dengan pihak stesyen dan penajanya. Ini satu pengalaman yang cukup bermakna. Saya banyak belajar dari ahli pasukan ini yang kebanyakannya kreatif, berpengalaman tetapi masih merendah diri, terbuka dan saling menghormati.
Selain itu, sempat mengutip ilmu di Kursus Penulisan Skrip dari Perspektif Pengarah anjuran Film Director’s Association of Malaysia (FDAM). Pensyarahnya hebat-hebat belaka. Kursus juga adalah saluran untuk membina rangkaian. Baru lah saya kenal siapa TOK UBAN yang namanya sering tersiar di kaca TV sebagai penulis skrip. Rupanya Tok Uban baru berusia 30 tahun.
Bulan ini juga saya menemui sekumpulan pelajar dari
UiTM Melaka dan
Shah Alam yang mewawancara tentang Nur Kasih untuk tugasan kuliah mereka. Banyak soalan ilmiah yang mereka lontarkan berkaitan dengan drama berkenaan.
Dan pada minggu hadapan, InsyaAllah saya akan membimbing sekumpulan peserta bengkel Penulisan Skrip Drama TV anjuran AVA di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Ini peluang untuk belajar membimbing bakat-bakat baru secara formal. Sebelum ini, saya lebih banyak membimbing secara tidak formal. Ya, sesuatu yang juga baru dan perlu dipelajari.
Kepada mereka yang tidak sempat menyertai bengkel kali ini, saya akan membimbing lagi pada bulan hadapan iaitu
30 Mei , Ahad, jam 9 pagi hingga 5 petang di tempat yang sama. Jumlah peserta terhad kepada 20 orang sahaja. Digalakkan mendaftar cepat bagi mengelakkan tempat penuh.
Sila lawat blog AVA di alamat di bawah :
http://ejenmanuskrip.blogspot.com
No comments:
Post a Comment