Tuesday, June 1, 2010

WUJUDKAN KUMPULAN PENDESAK, BUKAN PENGANJUR AKTIVITI

Perjumpaan ahli-ahli Gabungan Bebas Penulis Skrip Malaysia yang kedua di Rumah Pena, Kuala Lumpur, Sabtu, 29 Mei lalu telah menggariskan beberapa pelan bertindak ke arah meng’institusi’kan profesyen penulis skrip. Kita memilih perkataan ’institusi’, bukan perkataan lain seperti ’memperkasa’ atau ’memartabatkan’ atau apa-apa yang ’sewaktu’ dengannya.
Institusi bermaksud menjadikan penulisan skrip sebagai satu profesyen yang berwibawa seperti pekerjaan profesional lain. Contohnya peguam,arkitek, doktor, jurutera,perunding hartanah atau kewangan. Bermakna kita bekerja dengan mempunyai lesen yang sah. Lesen itu pula boleh ditarik balik sekiranya penulis tidak mematuhi ’rukun’ dan ’syarat sah’ yang ditetapkan.
Banyak yang dibincangkan dalam pertemuan singkat itu seperti pelan bertindak jangka pendek,jangka sederhana dan jangka panjang. Perjumpaan turut membincangkan platform untuk gabungan ini bergerak. Kata sepakat dicapai untuk TIDAK MENUBUHKAN PERSATUAN BARU atau masuk ke dalam mana-mana pertubuhan besar sedia ada sebagai sebuah badan gabungan, biro atau ’sayap’ [wing]. Namun, apa yang menjadi persetujuan ialah untuk menyertai SWAM sebagai ahli biasa semata-mata.
Apa pun, harapan saya terhadap gabungan ini bukan lah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh persatuan sedia ada yang begitu banyak bertebaran di muka bumi ini. Jika ini yang menjadi fokus tumpuan, saya rela mengundur diri. Apa yang saya harapkan ialah untuk menjadi KUMPULAN PENDESAK atau TUKANG LOBI kepada para pembuat keputusan di dalam industri televisyen tempatan.
Siapakah yang menentukan corak dan hala tuju industri? Bukan penulis skrip. Tetapi terdiri daripada :
Kementerian Penerangan,
Stesyen-stesyen Televisyen Swasta,
Rumah-Rumah Produksi yang menjadi pembekal rancangan televisyen, dan
Media yang sentiasa mewar-warkan perkembangan industri.
Pada masa ini kita lihat keputusan pihak-pihak ini memang tidak begitu menyebelahi bidang penulisan skrip. Banyak perkara tentang penulisan skrip yang tidak diambilkira dengan wajar. Antaranya :
1. Bayaran rendah oleh Rumah Produksi - yang tidak setimpal dengan keringat penulis atau tidak setanding dengan bayaran yang diberikan oleh Stesyen TV kepada Rumah Produksi. Ini bermakna penerbit dapat bayaran lumayan tetapi penulis dapat 'ciput'.
2. Kecenderungan Stesyen TV untuk meluluskan konsep program yang terlalu berorientasikan pasaran umum [mass market]. Ini menyebabkan golongan penulis skrip disalah anggap sebagai golongan cetek pemikiran. Sedangkan realitinya, banyak konsep berpemikiran tinggi tidak diluluskan atas alasan tidak sesuai dengan pasaran. Pada masa yang sama, penulis skrip yang dilabel sebagai 'too inteligent for the market' sukar mendapat kerja.
3. Kecenderungan media untuk hanya memaparkan para pelakon yang terbabit dalam sesebuah program TV bagi tujuan glamor semata-mata. Media jarang memaparkan konsep, pemikiran, falsafah, intipati atau jiwa [soul] sesebuah rancangan TV dengan mewawancara penulis skripnya.
Justeru, dengan adanya gabungan ini, saya benar-benar berharap agar dalam tempoh tertentu, beberapa keputusan di peringkat industri dapat dibuat dengan memihak kepada bidang penulisan skrip. Bukan membuatkan bidang penulisan skrip terus terpinggir atau ibarat melukut di tepi gantang.

3 comments:

Faznita said...

Bravo atas tulisan ini Mai. Tq you kerana mengambil masa untuk menulis intipati sebenar hasrat kita untuk menghidupkan Gabungan Penulis Skrip.

Saya juga akan menulis perkara yang sama di blog saya sambil link ke blog Mai.

Tq sekali lagi!

fadz said...

Salam, sebagai pemerhati luar, saya sangat menyokong tujuan murni ini.

Harap mmg kita akan bertemu dengan konsep2 yg berjiwa pada masa2 hadapan, insya-Allah.

Titisan Jiwa said...

Amat bersetuju...

Harap semua dapat bersatu menyempurnakan hasrat dan bersama mencari keadilan kepada penulis skrip