Tuesday, June 29, 2010

NUR KASIH KEMBALI LAGI....

Sekitar Disember dan Januari lalu, saya dihujani pertanyaan tentang NUR KASIH THE MOVIE – termasuk dari wartawan dan pelakon utamanya. Bagaimanapun, ketika memanjangkan pertanyaan kepada Mira Mustaffa yang merupakan creator Nur Kasih, beliau hanya membisu. Biarpun dia mengakui dia faham akan ’kegelisahan’ orang-orang yang bertanya itu. Katanya, ada beberapa perkara yang menghalangnya daripada mendedahkan apa-apa pada waktu itu.
Tetapi kini segalanya bukan lagi teka-teki.
Kru filemnya sudah pun tiba di Jordan , Sabtu lalu. Sekarang, mungkin mereka sedang dalam pengambaran. Pelbagai berita rasmi tentangnya juga sudah tersiar di media.
Skrip filem ditulis sepenuhnya oleh Mira Mustaffa, penulis cerita asalnya. Jalan cerita masih mengekalkan tiga watak utamanya, Nur Amina, Adam dan Aidil. Filem arahan Kabir Bhatia ini diterbitkan dengan kerjasama tiga syarikat iaitu Primeworks Studio Sdn Bhd, Juita Viden Sdn Bhd dan Filmscape Sdn Bhd.
Biarpun saya tidak terlibat dalam versi filem, saya tetap menyokong dengan harapan untuk melihat hasil yang lebih baik daripada CINTA dan SEPI. Kedua-dua filem ini merupakan filem Melayu yang boleh dibanggakan dari segi kualiti - yang juga hasil karya Mira Mustaffa dan Kabir Bhatia. Cuma bagaimana khalayak menilai kejayaannya kelak? Adakah kejayaan komersil yakni kutipan tiket yang menjadi kayu ukur kejayaan? Atau aspek seni dan kualiti dalam pembikinannya? Realiti di Malaysia, filem yang berjaya dari segi komersil belum tentu berjaya dari segi kualiti. Sebaliknya, filem yang berkualiti jarang berjaya dari segi komersil.
Apa-apa pun, mari lah kita sama-sama menghitung hari ....menunggu kemunculannya pada Disember ini.

1 comment:

Faizal Sulaiman said...

salam kak.lama sungguh tak jejak sini.

nur kasih dan kabir bhatia mampu menjadi magis.tak sabar nak menantikan hasilnya