Tuesday, July 6, 2010

ULANG TAHUN BERITA HARIAN KE-53

Tempat jatuh lagi dikenang, ini kan pula tempat mencari rezeki. Atas dasar itu lah saya gagahkan diri ke sambutan Ulang Tahun ke-53 Berita Harian [BH] pada 1 Julai lalu, walaupun agak penat kerana menganjurkan perjumpaan penduduk pangsapuri pada malam sebelumnya. Tidak sangka, orang yang mula-mula saya jumpa di muka pintu bilik berita itu ialah orang yang mula-mula melatih saya dalam bidang kewartawanan. Itu lah Ahmad A. Talib yang 17 tahun dahulu mengetuai latihan pra-kemasukan ke New Straits Times Press Malaysia Berhad [NSTP]. Sekarang, beliau bergelar Dato’ dan memantau urusan berita di Media Prima Berhad termasuk NSTP. Dalam latihan itu, saya rapat dengan Jamiah Shukri. Hubungan kami berterusan sampai sekarang. Jamiah masih di BH sebagai wartawan senior. Saya meluangkan masa paling lama untuk berbual dengannya tentang hal masing-masing di dalam majlis yang meriah itu.
Sebaik tamat latihan pra-kemasukan, saya dilatih pula oleh Ibrahim Yahya a.k.a. ’Tiger'. Waktu itu beliau sebagai Ketua Pengarang Berita, saya wartawan kadet. Antara kenangan dengannya ialah dihukum membasuh mug milonya dan menulis perkataan “televisyen” sebanyak 10 kali di atas kertas di hadapan beliau. Gara-gara tersilap menulis perkataan Inggeris, “television”. Sekarang, beliau juga bergelar ’Datuk’ dan menyandang jawatan Ketua Pengarah Penyiaran RTM. Namun, tidak nampak pula kelibat ’Datuk Tiger’ di antara bos-bos dan bekas-bekas bos petang itu.
Dari meja berita umum saya berhijrah ke meja wanita. Di sini lah saya bertemu seorang wanita yang ada pakej – cantik, baik dan bijak! Delaila Hussain, pengarang wanita yang digelar ’Kak Di’. Banyak sungguh kenangan bersamanya. Tidak tertulis di ruangan terhad ini. Hanya tersisip kemas dalam lipatan memori kehidupan.
Kak Di, thanks for everything!
Di meja wanita juga saya bertemu Rosmin Darus [Kak Min]. Kak Min lah orang pertama memanjangkan jemputan ke majlis ini melalui SMS.
Semasa bertugas dahulu, Kak Min dikenali sebagai salah seorang senior yang tidak lokek membantu para junior.
Lihat gambar di atas yang dipetik dari blog ’Datuk Tiger’. Kak Di [berbaju ungu] bersama rakan baiknya, Saodah Ismail atau Kak Odah [bertudung hijau]. Kak Odah merupakan Pengarang Hiburan berwibawa sekitar 1990-an. Tulisannya tajam dan bernas. Malah watak beliau pernah dijadikan salah satu watak untuk drama TV. Di sebelah kanan sekali adalah Nuraina Samad.
Bagi yang belum kenal, Nuraina adalah anak kepada tokoh wartawan, Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail – yang ketokohan allahyarham diabadikan dengan menjadikan bilik yang mereka bertiga duduki dalam gambar di atas sebagai Bilik Samad. Tentang Nuraina, saya pernah tersilap menulis jawatannya dalam satu tugasan ‘in house’ NSTP yang dihadirinya. Lantas ditegur oleh Tiger, "Sejak bila pula kau dilantik untuk menentukan jawatan-jawatan orang dalam NST ni?"
Begitu lah memori yang terimbas kembali di bilik berita yang sekarang bergelar Anjung Liku. Manisnya pertemuan semula dengan bekas-bekas bos dan rakan sekerja dari meja lain seperti Rashidah Ibrahim [Anjung Seri], Raihanah Abdullah [Berita Minggu], Khairana Sabtu [Hiburan], Haslinda Hassan [Anjung Seri], Isa Nikmat [Ekonomi], Zainuri Misfar [Hiburan], Azmi Akob, Kak Rosniza, Zamberi, Kak Norma Hamid, Ridzwan Mohamad dan lain-lain.
Pengarang Kumpulan sekarang, Datuk Mior Kamarul Shahid adalah Pengarang waktu saya bertugas dahulu. Jarak jawatan yang jauh antara kami, menyebabkan tiada ruang untuk beramah tamah dengannya dahulu. Tetapi setelah beliau keluar dari BH dan menjadi perunding di majalah Milenia Muslim, baru lah ada peluang beramah tamah dan mengenalinya lebih dekat di penerbitan yang lebih kecil itu.
Seorang lagi bekas BH, Allahyarham Haji Abu Bakar Ismail, juga saya kenali lebih dekat di Milenia Muslim. Allahyarham lah yang mula-mula menjadi Editor Perunding di majalah itu dan menerima saya sebagai penyumbang tetap. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya yang kembali ke pangkuan Ilahi awal tahun ini. [al-Fatihah].
Akhir kata, doa untuk BH agar terus sukses di bawah kendalian Datuk Mior!

2 comments:

Anonymous said...

http://www.youtube.com/watch?v=wDba4x-KbF8

rusliesophian said...

Tempat mencari rezeki dan menimba pengalaman lagi dikenang, tak gitu, Mai!