Tuesday, July 27, 2010

BENGKEL ADAPTASI NOVEL KE DRAMA TV...8 OGOS INI DI PUSAT BELIA ANTARABANGSA

Adaptasi novel ke drama TV atau filem semakin mendapat perhatian sekarang. Selepas kejayaan komersil Lagenda Budak Setan [novel Ahadiat Aqasyah] di pawagam pada bulan lepas, kita ternanti-nanti pula versi drama TV, Lagenda Budak Setan ‘the series’ yang bakal bersiaran pada Ogos ini di Astro Prima. Manakala sekarang sedang berlangsung pengambaran filem yang diadaptasi daripada novel terlaris abad ini, Ombak Rindu karya Fauziah Shaari. Filem arahan Osman Ali itu dilakonkan oleh Maya Karin sebagai watak utama dan Lisa Surihani sebagai watak sampingan. Turut menyusul tidak lama lagi adalah juga karya Ahadiat, berjudul “Untuk Tiga Hari” arahan Afdlin Shauki. Sementara itu, di TV2 sekarang sedang bersiaran drama bersiri Kau Laksana Bulan yang diangkat dari novel bertajuk sama tulisan novelis tidak asing lagi, Aina Emir [KarnaDya]. Drama itu turut mendapat sambutan penonton dan salah seorang peminatnya adalah emak saya sendiri.
Senario ini menarik minat Astaka Vila Aksara [AVA], untuk membawakan bengkel Adapatasi Novel ke Drama TV pada 8 Ogos ini, di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur. Bengkel sehari itu akan dikendalikan oleh saya sebagai pembimbing. Ini berdasarkan pengalaman saya mengadaptasi novel popular, Tangisan Bulan Madu [TBM] karya Samsiah Mohd Nor pada 2007.
TBM yang mendapat sambutan 1.3 juta penonton itu telah tercalon dalam kategori drama rantaian di Anugerah Skrin 2008. Tahun berikutnya, TBM ditayangkan di Singapura manakala pengkaryanya diundang oleh institusi pengajian tinggi tempatan untuk membicarakan proses adaptasinya.
Justeru, bagi mana-mana penulis skrip, bakal penulis skrip, novelis atau sesiapa sahaja yang berminat dengan topik adaptasi, mari lah kita sama-sama berkongsi pengalaman ini di AVA. Mohon daftarkan nama kepada saudara Khairul 019-241 4928 atau melalui e-mel ejenmanuskrip@yahoo.com. Atau layari blog berikut :
http://ejenmanuskrip.blogspot.com

No comments: