Wednesday, April 20, 2011

'IDEA PITCH' DI TV3...MULAI PENGHUJUNG APRIL

Stesyen televisyen untuk pasaran massa [mass market] yang paling ditontoni kerana 'jenama'nya, membuka sesi lontaran idea [Idea Pitch atau disebut juga pitching] mulai hujung bulan ini hingga awal bulan hadapan.
Ini lah stesyen yang paling banyak menolak idea saya atas alasan "tidak sesuai untuk pasaran massa." Saya akur.
Bagi memenuhi kehendak massa, TV3 menyasarkan 60 peratus penonton wanita dengan menumpukan kepada yang di luar bandar. Maknanya, segmen pasaran yang terdiri daripada kakak-kakak dan makcik-makcik di kampung. Sebahagian lagi pasaran ditumpukan kepada golongan pekerja pinggir bandar, tetapi masih kepada gender perempuan. [sub-urban working class girl].
Semoga berjaya kepada rakan-rakan penulis dan penerbit yang terbabit dalam sesi ini.

Monday, April 11, 2011

GBPSM KEKAL SEBAGAI GRUP FACEBOOK

Seramai 33 ahli hadir di majlis Minum Petang Sempena Ulang Tahun pertama GBPSM, di Galeri Shah Alam, Selangor. Pengarah Filem, Saw Teong Hin dan Kartunis/Pelukis, Tuan Haji Zainal Buang Hussein juga hadir sebagai tetamu istimewa.
Justeru, satu ketetapan dicapai bahawa GBPSM akan terus kekal sebagai salah satu GRUP FACEBOOK sebagai mana asalnya. Grup ini akan terus menjadi platform untuk menghubungkan para penulis skrin di seluruh negara.
Fokus utama ialah mengenalpasti berapa ramai penulis yang aktif dalam membekalkan isi kandungan kepada industri. Satu ’data base’ yang lengkap tentang golongan ini - yang selama ini terlibat sebagai ’industry player’ – akan dibangunkan secara perlahan-lahan tetapi konsisten.
Usaha ini akan dijalankan TANPA PERSATUAN BERDAFTAR. Tidak ada makna menubuhkan persatuan berdaftar, sedangkan para penulis yang aktif masih tidak mahu bersatu, memilih untuk membawa haluan tersendiri dan leka di dalam ’comfort zone’ masing-masing.
Justeru, tumpuan sekarang ialah penyatuan di bawah satu platform yang longgar, bebas, santai, bersahaja, tetapi ’action-oriented’, khusus buat mereka yang aktif menulis sahaja.
Kumpulan ini tidak bersifat ortodoks. Sekali sekala, dari alam maya, kita bertemu di alam nyata untuk berbincang lanjut dan merapatkan hubungan. Ini sama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sekarang ini rancak bertemu rakan-rakan FB beliau di alam nyata.
Dengan ketetapan ini, harapan kami agar terjawab lah dua persoalan utama yang sering dilontarkan, ”ke mana hala tuju GBPSM?” dan ”kenapa GBPSM tidak didaftarkan ?”
Jawapannya, GBPSM ingin menyatukan semua penulis aktif tanpa perlu berpersatuan. Akan tetapi, biarpun bebas tanpa pertubuhan berdaftar, kita tetap mempunyai PAKSI nya. Sekian.

Thursday, April 7, 2011

SAW TEONG HIN....BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN GBPSM

Nama Saw Teong Hin tidak asing lagi dalam industri perfileman di Malaysia. Nama ini mula disebut selepas munculnya filem blockbluster Malaysia, Puteri Gunung Ledang. Setelah itu, beliau mengarahkan filem Apa Kata Hati, termasuk teater muzikal.
Berbekalkan pengalamannya, Saw Teong Hin akan hadir ke Sesi Perkongsian Pengalaman [Sharing Moment] yang pertama anjuran Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia [GBPSM]. Sesi ini diadakan sempena Sambutan Ulangtahun Pertama GBPSM di Galeri Shah Alam, Sabtu ini, 9 April 2011.
Pengarah ini akan membedah beberapa kelemahan yang terdapat di dalam skrip atau lakon layar tempatan. Selain itu akan memberitahu apakah yang dikehendaki oleh pengarah dalam sesebuah naskah. Justeru, penulis skrip perlu memberi apa dimahukan oleh pengarah.
Tetamu jemputan lain yang turut hadir adalah pelukis/kartunis, Tuan Haji Zainal Buang Hussein dan Pengarah Galeri Shah Alam, Tuan Syed Abu.
Mana-mana penulis yang belum membuat RSVP, sila segerakan dengan menghubungi saya atau Faznita.

Wednesday, April 6, 2011

MINUM PETANG GBPSM...SABTU, 9 APRIL 2011

Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia [GBPSM] akan mengadakan sambutan ulangtahun pertama pada Sabtu ini, 9 April 2011 jam 3.00 petang di Galeri Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Selain acara santai, makan-makan dan mengeratkan silaturahim, kita juga akan berforum tentang beberapa isu seperti bagaimana menghasilkan lakon layar yang mampu menarik ramai penonton, royalti, hak-hak penulis dan pelbagai isu yang difikirkan releven untuk dibincangkan secara bersama.
Sesiapa yang berminat untuk menghadiri majlis ini, boleh membuat RSVP melalui penganjur di nombor 017-349 2227. Bagi mereka yang kurang arif tentang lokasi Galeri Shah Alam, ia terletak di pusat bandaraya Shah Alam, berdekatan Taman Rekreasi Permai dan berhadapan dengan Bank Negara Malaysia.
http:// http://www.mbsa.gov.my/pelancongan_galerishahalam

Saturday, April 2, 2011

“PINTU TERLARANG”...DARI NOVEL KE FILEM

Banyak juga filem adaptasi dari novel terbitan Indonesia yang menarik minat rakyat negara ini. Dan kebanyakannya mengangkat subjek yang bernilai seperti agama [Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih]; kemiskinan [Laskar Pelangi] dan psikologi manusia [Pintu Terlarang].
Novel-novel ini mempunyai nilai sastera dan membawa pembaca ke arah pembangunan jiwa serta inspirasi.
Agak terkilan kerana terlepas mengikuti diskusi “Laskar Pelangi” arahan Riri Riza di Finas, dua tahun lepas. Namun semalam, berpeluang mengikuti diskusi “Pintu Terlarang” arahan Joko Anwar, juga di Finas.
Bagi menyesuaikan dengan medium filem, Joko membuat adaptasi longgar dengan mengambil hanya sepuluh peratus daripada bahan asal di dalam novel. Ini dibuat dengan kebenaran novelisnya, Sekar Ayu Asmara. Malah novelisnya enggan melihat skrip filem itu [di atas kertas], sebaliknya membuat keputusan untuk terus menonton tayangannya di layar perak.
Beberapa penyesuaian juga dibuat ke atas watak utama dalam novel ini, sehingga menjadikan nama watak sahaja yang serupa, sedangkan perwatakannya di filem adalah berbeza berbanding novel. Beberapa bahan baharu turut ditambah seperti kewujudan organisasi rahsia dan ‘penyembelihan’ ngeri pada malam sambutan Krismas.
Menurut Joko, novel itu menarik. Tetapi ditulis tanpa STRUKTUR lakon layar. Justeru, rombakan dan penambahan perlu dibuat bagi memudahkan penonton mengikutinya untuk jangkamasa tayangan selama 90 minit.
Dalam proses adaptasi itu, sebaik selesai membaca novel, Joko membiarkan novel itu ke tepi tanpa berbuat apa-apa selama tiga bulan. Setelah itu, baharu lah beliau mula menulis skripnya. Tujuannya supaya tidak terpengaruh dengan novel dalam membangunkan sebuah lakon layar yang hebat.
Bagaimanapun, filem itu tetap setia kepada novel asalnya dari segi genre iaitu thriller.
Katanya lagi, Pintu Terlarang versi filem mendapat sambutan baik di kalangan pembaca novel kerana mereka mahu menonton sesuatu yang baharu.
Tentang novelisnya pula, Ayu Asmara, mempunyai pelbagai jenis bakat seperti menulis lakon layar, mengarah filem, melukis dan menerbitkan muzik.
Selain Pintu Terlarang, dua lagi novelnya bertajuk “Kembar Keempat” dan “Doa Ibu”. Manakala karya filem Ayu Asmara seperti Biola Tak Berdawai, Belahan Jiwa, Selamanya dan Pesan dari Syurga. Sebahagian daripada filem Ayu Asmara mendapat pengiktirafan di festival filem.