Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu, baru-baru
ini merangkul Anugerah Skrip Terbaik dalam pertandingan Filem Pendek bertemakan
intergriti. Muhammad Amar Harun, 24
tahun, meraih kejayaan itu menerusi
filem pendek bertajuk “Mahasiswa dan
MLM”. Beliau juga menghantar satu
lagi penyertaan, “Plagiat” yang mendapat hadiah saguhati. Kedua-dua skripnya
diarahkan oleh Norjannah Md Mustapha.
Sementara
itu, juara keseluruhan dimenangi oleh filem bertajuk “Integriti Intipati Segala Kejayaan” arahan Le Yong Chin, 21 tahun, dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Sungai
Long. Yong Chin turut menerima Anugerah
Pengarah Muda Terbaik serta hadiah saguhati menerusi filem “Kenangan
Yang Dilenyapkan”.
Yong
Chin mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia, tetapi bercita-cita untuk menjadi
pengarah filem, demi menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada masyarakat.
Sebelum ini, beliau pernah memenangi anugerah yang sama anjuran Air Asia dan
Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.
Naib
Juara pula jatuh kepada filem “Tolong-Menolong”
arahan Ediazrul Mohd Razali, 24
tahun, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM turut menerima hadiah saguhati bagi filem “Sama Udara”,
“Adab”, “Tabah” dan “Akibat Dadah”. Seperti Yong Chin, Ediazrul juga aktif
menyertai pelbagai pertandingan dan berhasrat untuk bergiat dalam bidang
perfileman setelah tamat belajar kelak. Beliau merupakan pelajar tahun akhir
jurusan Komunikasi Media [Penyiaran].
UTAR
Petaling Jaya pula merangkul kategori Anugerah Juri melalui filem “Thriller” karya Leong Khang You dan Foo Hui
Bin.
Pertandingan
antara Institusi Pengajian Tinggi tempatan ini dianjurkan oleh Institut Intergriti Malaysia [IIM]. Ia mendapat
15 penyertaan daripada enam buah Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Isu-isu
semasa yang diketengahkan oleh mahasiswa berkenaan, antaranya seperti plagiat,
penagihan dadah, perpaduan, budi bahasa, jenayah dan integriti kewangan.
Syabas
kepada para pemenang. Semoga ada di antara mereka, bakal mewarnai industri
perfileman tanahair dengan filem-filem yang berkualiti terutama dalam genre Islamik, memandangkan ada di antara
mereka datang dari IPT berteraskan Islam.
[Nota : IIM ditubuhkan sebagai agensi
penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif
utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang berintegriti,
berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat]