Wednesday, September 19, 2012

CREATIVE CONTENT INDUSTRY GUILD [CCIG]

Dialog Industri Kandungan Kreatif, yang berlangsung di Finas, Hulu Kelang, semalam, agak 'panas' apabila pembikin filem terkenal, Othman Hafsham meluahkan kemarahannya terhadap  stesyen televisyen. Othman yang juga penerbit televisyen memberitahu bahawa para pengamal di sektor televisyen, sudah lama tertindas. Beliau sebelum ini pernah lantang dalam beberapa kenyataannya dan pernah menyaman stesyen televisyen. 

Luahan hati Hafsham mendapat tepukan gemuruh para hadirin. Beliau kemudiannya meninggalkan majlis, kerana mahu menghadiri satu majlis lain di Radio Televisyen Malaysia [RTM]. Hafsham pernah menyentuh hati masyarakat Malaysia dengan karya yang dikenali ramai  seperti filem Adik Manja dan  Mekanik,  serta sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, sekitar tahun 80-an dan 90-an. 

Sementara itu,  pelakon terkenal, Rosyam Nor, menyatakan pendirian "tunggu dan lihat" ketika merumuskan sesi dialog anjuran Creative Content Industry Guild [CCIG] itu. Rosyam yang juga penerbit televisyen, diundang sebagai salah seorang ahli panel. Rosyam  mengakui  "fed-up" dengan pelbagai permasalahan di dalam industri yang tidak pernah selesai sejak 20 tahun lalu. Bagaimanapun, beliau tetap mengajak hadirin meletakkan "Harapan Terakhir" kepada CCIG dan berharap agar harapan itu menjadi sesuatu yang berkekalan. Rosyam yang menyertai  industri sebagai pekerja am pada usia 18 tahun, kini bergelar jutawan melalui penglibatannya di dalam pelbagai aktiviti industri.

Aktres, Datin Sofea Jane turut menjadi ahli panel. Ketika merumuskan hujahnya, Sofea berkata, pengamal industri sekarang seolah tersekat oleh "Glass Ceiling" dan tidak tahu ke arah mana hendak dituju. Biarpun pihak kerajaan ada membantu, tetapi pengamal sendiri perlu menentukan matlamat yang ingin dicapai. Katanya, hanya dengan "bersatu", membolehkan pengamal industri mencapai matlamat dengan lebih cepat. Sofea merupakan primadona tahun 90-an. Beliau paling diingati melalui persembahan yang "outstanding" dalam filem Perempuan, Isteri & ....  Tahun 2004, beliau kembali ke layar perak sebagai Tun Teja dalam filem epik Puteri Gunung Ledang.

CCIG ditubuhkan pada tahun lalu dengan bantuan kerajaan sepenuhnya di bawah Program Transformasi Ekonomi. Tujuannya untuk mempertingkatkan "modal insan" di dalam industri kandungan kreatif. Ia merupakan sebuah "guild" yang akan menyatukan semua pengamal industri dalam menuntut hak dan kebajikan. Bagaimanapun, pada peringkat awal, tumpuan hanya diberikan kepada tiga profesyen iaitu Penulis Skrin, Pelakon dan Pekerja Belakang Tabir.

Antara isu yang kritikal adalah kadar upah yang rendah; waktu bekerja yang panjang; tiada royalti [residual]; tiada kontrak yang standard; dan tiada pemilikan hakcipta ke atas karya bagi penulis atau pencipta isi kandungan [content creator a.k.a. pencipta idea asal].

Nota : Glass Ceiling adalah istilah ekonomi yang merujuk kepada halangan-halangan buat golongan minoriti untuk naik ke tahap yang lebih tinggi. Pada mulanya, istilah ini merujuk kepada golongan wanita yang sukar meningkatkan kerjaya mereka akibat penguasaan kaum lelaki. Sekarang, istilah ini turut terpakai untuk kaum lelaki dari golongan minoriti.


No comments: