Wednesday, September 26, 2012

Seorang lagi bakal penulis skrin?


Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu, baru-baru ini merangkul Anugerah Skrip Terbaik dalam pertandingan Filem Pendek bertemakan intergriti. Muhammad Amar Harun, 24 tahun, meraih kejayaan itu menerusi filem pendek bertajuk “Mahasiswa dan MLM”.  Beliau juga menghantar satu lagi penyertaan, “Plagiat” yang mendapat hadiah saguhati. Kedua-dua skripnya diarahkan oleh Norjannah Md Mustapha.

Sementara itu, juara keseluruhan dimenangi oleh filem bertajuk “Integriti Intipati Segala Kejayaan” arahan Le Yong Chin, 21 tahun, dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),  Sungai Long.  Yong Chin turut menerima Anugerah Pengarah Muda Terbaik serta hadiah saguhati menerusi filem “Kenangan Yang Dilenyapkan”.

Yong Chin mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia, tetapi bercita-cita untuk menjadi pengarah filem, demi menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada masyarakat. Sebelum ini, beliau pernah memenangi anugerah yang sama anjuran Air Asia dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Naib Juara pula jatuh kepada filem “Tolong-Menolong” arahan Ediazrul Mohd Razali, 24 tahun, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM turut menerima hadiah saguhati bagi filem “Sama Udara”, “Adab”, “Tabah” dan “Akibat Dadah”. Seperti Yong Chin, Ediazrul juga aktif menyertai pelbagai pertandingan dan berhasrat untuk bergiat dalam bidang perfileman setelah tamat belajar kelak. Beliau merupakan pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Media [Penyiaran].

UTAR Petaling Jaya pula merangkul kategori Anugerah Juri melalui filem “Thriller” karya Leong Khang You dan Foo Hui Bin.

Pertandingan antara Institusi Pengajian Tinggi tempatan ini dianjurkan oleh Institut Intergriti Malaysia [IIM]. Ia mendapat 15 penyertaan daripada enam buah Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Isu-isu semasa yang diketengahkan oleh mahasiswa berkenaan, antaranya seperti plagiat, penagihan dadah, perpaduan, budi bahasa, jenayah dan integriti kewangan.

Syabas kepada para pemenang. Semoga ada di antara mereka, bakal mewarnai industri perfileman tanahair dengan filem-filem yang berkualiti terutama dalam  genre Islamik, memandangkan ada di antara mereka datang dari IPT berteraskan Islam.

[Nota : IIM ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat]

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih kak. -Azira