Wednesday, May 8, 2013

SABTU INI PENENTU 'SURVIVAL' SWAM?

Mungkin ada yang menyangka Persatuan Penulis Skrin Malaysia [SWAM] yang  'suam-suam kuku' itu  telah menjadi 'beku'  berikutan masalah kepimpinan  sejak 2011.  Andaian ini ternyata silap apabila ada pihak [sekumpulan ahli]  yang serius untuk  tampil memulihkan SWAM.

Justeru, atas permintaan Pendaftar Pertubuhan [ROS],  satu Mesyuarat Agung Tahunan [AGM] akan diadakan pada Sabtu ini, 11 Mei 2013, jam 9.30 pagi di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, Selangor.

ROS telah memberi mandat kepada AJK penggal 2009/10 untuk menganjurkan AGM ini, memandangkan masalah yang timbul selama ini berpunca daripada kesilapan teknikal dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan pada 12 Februari 2011 di Angkasapuri, lebih dua tahun lalu. [Boleh rujuk entri terdahulu mengenai SWAM di blog ini]

Pihak penganjur AGM menetapkan bahawa ahli-ahli SWAM yang statusnya sah dan aktif sebelum 31 Januari 2011 sahaja yang layak untuk mengundi.  Bagi ahli yang mendaftar selepas 31 Januari 2011, mereka tidak layak untuk mengundi tetapi masih boleh hadir sebagai pemerhati.

Penganjuran AGM kali ini diketuai oleh Timbalan Presiden untuk sesi 2009/10, Datuk Mohd Shariff Ahmad dan Setiausaha Kehormat, Puan Sujiah Salleh.

Bulan lepas, secara bergurau,  Datuk Shariff berkata, selama ini SWAM mengalami 'siaran tergendala sebentar'. Beliau adalah bekas Ketua Pengarah Finas yang sekarang ini menjadi CEO persatuan Creative Content Industry Guild [CCIG] 

Pihak penganjur/AJK mengharapkan ahli-ahli yang layak mengundi [seperti syarat yang telah disebutkan] agar hadir beramai-ramai untuk memilih barisan kepimpinan SWAM yang baharu.

Akhir kata, adakah SWAM akan kembali 'hangat' selepas ini?





No comments: