Tuesday, June 2, 2009

RTM SIASAT PENERIMA TENDER TV

Dalam ruangan hiburan Utusan Malaysia hari ini ada berita agak menarik. Bukan berita tentang drama bersiri Datin Wan Abe di mukasurat 24. Tetapi yang lebih menarik perhatian saya ialah berita mukasurat 22. Tajuknya, “RTM siasat penerima tender TV”. Dalam pertemuan dengan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) baru-baru ini, Menteri Penerangan yang baru, Datuk Seri Dr Rais Yatim berjanji akan menyiasat syarikat mana yang mendapat kuota 70% rancangan terbitan produksi tempatan. Siasatan itu bagi mempastikan bahawa tender pembekalan rancangan-rancangan TV daripada syarikat produksi tempatan diagih-agihkan secara lebih adil pada masa hadapan.
Kenapa Dr Rais mengeluarkan kenyataan ini? Adakah ini bermakna selama ini pemberian tender diberikan secara tidak adil? Adakah ini bermakna ada segelintir syarikat swasta yang membolot sebahagian besar daripada kuota 70 peratus itu?
Apa pun, kata Dr Rais lagi, RTM memperuntukkan sekitar RM200 juta setahun bagi membeli rancangan-rancangan televisyen termasuk drama, animasi dan muzik untuk siaran TV1 dan TV2. Bermakna sebanyak RM140 juta wang rakyat telah diperuntukan kepada syarikat produksi swasta tempatan manakala yang selebihnya (RM60 juta) adalah untuk membeli produk dari luar negara.

Monday, June 1, 2009

NUR KASIH...KOMEN AWAL PENONTON

Tepat seperti yang diduga. Pelajar atau bekas pelajar Universiti al-Azhar, Mesir pasti tidak bersetuju dengan pakaian watak utama, Aidil (Fizz Fairuz). Saya sendiri kesal melihat "rush copy” episod pertama, beberapa minggu lalu.
Kenapa pakaiannya terlalu nusantara? Sudah lah bersongkok dan berkemeja lengan panjang, ditambah pula dengan serban petak-petak merah putih atas bahu, menjadikan dia seperti tok guru pesantren Indonesia! Realitinya, mereka tidak berpakaian begitu. Sebaliknya berpakaian moden. Paling minima, hanya berkopiah putih.
Kesilapan ini berlaku di pihak produksi iaitu juru busana (wardrobe man). Di pihak penulis skrip, ketuanya, Mira Mustaffa sudah menerangkan tentang pakaian. Malangnya, di lokasi, mereka terlepas pandang. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana kos terlalu tinggi untuk pengambaran semula. Apa pun, Mira mencadangkan nama al-Azhar dipadam untuk menyelamatkan keadaan. Tetapi seorang kawan yang pernah belajar agama di Jordan tidak setuju kerana nama al-Azhar memberi wibawa kepada watak. Jadi, kami biarkan sahaja busana itu terlepas. Dan ini bukan kali pertama pihak produksi membuat silap ke atas pakaian watak dalam drama saya. Sebelum ini :
Watak utama yang saya cipta, kerjanya perancang bandar. Tetapi semasa bekerja, dia memakai topi keselamatan (hard hat). Realitinya, perancang bandar tidak memerlukan topi keselamatan kerana kerjanya membuat tinjauan di tapak yang belum dibangunkan. Dalam drama saya yang lain, watak pengurus memakai topi keselamatan warna kuning sedangkan kuning adalah untuk buruh! Sepatutnya, penyelia, pengurus dan jurutera di tapak bina memakai topi keselamatan warna putih.
Saya menegur pengarahnya melalui SMS. Dia mengakui berbuat silap lalu berjanji akan "brainwash” krew produksi di bawah arahannnya supaya membuat "research” dalam job yang akan datang. Saya turut mengesan kesilapan busana dalam banyak drama tulisan orang lain. Antara yang nyata :
Watak orang korporat sentiasa bersut lengkap - kemeja lengan panjang dengan blazzer dan talileher menjerut leher. Sebagai wartawan yang pernah berselisih bahu dan bertegur sapa dengan tokoh korporat, saya dapati mereka berpakaian seperti itu hanya ketika bergambar untuk majalah, sidang akhbar dan majlis tandatangan MOU. Manakala wartawan pula tidak lagi memakai baju kasual iaitu jeans, T-shirt yang dipadankan dengan vest berpoket banyak dan kasut sukan. Sebaliknya, di alam realiti, wartawan berpakaian seperti pekerja pejabat yang biasa kita lihat di mana-mana.
Berbalik kepada Nur Kasih, saya terpanggil untuk menulis tentang dress code lelaki Islam di kolum tetap saya, Maizura Menulis dalam majalah Muslimah keluaran Jun 2009. Kebetulan bulan Jun ada sambutan Hari Bapa. Jadi, tepat lah kalau menulis tentang lelaki. Tajuknya, Pakaian Lelaki Islam : Mana Satu Pilihan Hati? Artikel ini berdasarkan pengalaman mewawancara ramai agamawan di Malaysia. Saya perhatikan, bukan semuanya bersongkok dan berserban. Hanya dalam dalam drama Melayu sahaja kita lihat orang beragama dengan imej tipikal dan streotype seperti itu.

Friday, May 29, 2009

NUR KASIH...BUKAN DRAMA DAKWAH

Pembabitan saya dalam Nur Kasih hanya sebagai pembantu kepada penulis cerita asalnya, Mira Mustaffa (penulis filem Cinta dan Sepi ).
Kata Mira sewaktu pertama kali menelefon saya : “Ini bukan drama dakwah. Tapi drama cinta dan keluarga."
Seorang lagi yang membantu, Mariana Hashim, yang merupakan penulis skrip, pengarah dan penerbit drama. Selain Nur Kasih, Mariana turut menulis “DUA MARHALAH” yang bakal bersiaran di Astro Oasis pada Isnin ini, 1 Jun, jam 10 malam.
Nur Kasih dibintangi oleh Dato' Jalaludin Hassan (Ustaz Hassan), Liza Othman (Hajjah Khadijah), Fizz Fairuz (Aidil), Remy Ishak (Adam), Tik Zaqyah (Nur Amina), Sharifah Sofea (Katrina) dan Ummi Nazeera (Siti Sarah)
Sentuhan Kabir Bhatia ini menggunakan sinematografi daripada teknik yang sama dengan pembikinan filem. Ia melibatkan lokasi negara luar seperti Sidney, Australia dan Jeddah, Arab Saudi. Runut bunyi asal (original soundtrack) digubah khas oleh komposer Yassin, juga bertajuk Nur Kasih. Apa pun, terdapat satu lagi drama TV yang menggunakan tajuk NUR KASIH. Ia disiarkan melalui RTM dan diulangtayang di Astro Oasis tidak lama dahulu. Drama itu dilakonkan oleh Rusdi Ramli sebagai watak utama, mengambil lagu Nur Kasih nyanyian kumpulan nasyid In-team sebagai runut bunyi manakala latar utamanya di Kolej Universiti Islam Selangor.
Keterangan gambar : Dari kiri Maizura, Mira dan Mariana.

Monday, May 25, 2009

KERANA SKRIP TV...MANTAN MPR DIHENTAM?

Seorang mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) berkecil hati. Katanya, ada ahli panel dalam Perhimpunan Penulis Nasional ke-2 di Melaka, hujung minggu lalu, menghentam mantan-mantan MPR yang tidak lagi menulis sastera dan agama. Sebaliknya menulis skrip filem dan drama TV. Betul ke? Kalau betul, kenapa mereka dihentam? Mungkin juga kerana penulisan mereka di kaca TV bersifat popular dan komersial. Tiada idealisme, tidak menghubungkan jiwa dengan jiwa atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Teringat pengakuan seorang mantan MPR :
"tidak menulis skrip yang serius kerana ia satu kerja yang susah. Ia tidak semudah menulis novel atau cerpen.”
Mungkin betul. Kalau tidak, masakan seorang penulis karya sastera bermutu tinggi, tetapi skripnya mengecewakan.
Opss! Bukan kata saya, tapi kata penerbit dan pengarah yang berkenaan!!
Saya percaya pada rungutan mereka itu. Kerana skrip memerlukan bakat meluahkan visual yakni imej-imej tertentu (show). Sedangkan novel, cerpen atau puisi, cukup dengan memberitahu (tell). Selain itu, pasaran televisyen tidak terbuka kepada “concept proposal” yang berat, unik, terlalu Islamik, sarat dengan idealisme atau bereksperimen. Bagaimanapun, TV menawarkan pendapatan agak lumayan untuk mereka yang berbakat dalam memvisualkan sesuatu dengan jelas, kreatif dalam mempersembahkan idea dengan cara menarik (catchy) dan menghiburkan (fun). Di sini, bukan idea yang penting tetapi persembahannya. Di sini, kita tidak mengembangkan kreativiti atau ekspresi seni secara maksimum. Sebaliknya lebih kepada bekerja mencari makan.
Ya, memang ada penggiat industri yang berkesedaran agama. Namun, bukan mudah untuk golongan ini kerana dugaannya cukup besar. Ada yang mengalah lalu keluar dari industri. Ada yang masih bertahan atas dasar melakukan “fardhu kifayah”. Golongan ini membentuk minoriti yang kecil. Mereka biasanya tidak banyak bercakap. Sebaliknya banyak bekerja. Agaknya mereka lebih banyak bercakap dengan Tuhan daripada bercakap dengan manusia.
Dan akhir-akhir ini, timbul golongan yang menghasilkan produk ala-ala Islami atas dasar keperluan pasaran. Selepas fenomena filem “Ayat-Ayat Cinta” dan sinetron seperti “Hikmah” dari seberang, penerbit filem dan stesyen TV tempatan mula membuka ruang untuk drama berlatarkan Islam (yang dahulu tidak dilayan atas alasan tiada market!) Produk ini dihasilkan bukan atas dasar “fadhu kifayah” tetapi atas dasar memenuhi permintaan dari pasaran. Contohnya “Syurga Cinta” yang mula ditayangkan di panggung mulai 21 Mei lalu dan “Nur Kasih” yang bakal ditayangkan mulai 29 Mei ini di TV3. Kedua-duanya bukan lah produk dakwah. Ia sekadar memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang rentetan dari situasi di negara jiran. Berbalik kepada mantan MPR, kita perlu bertanya mereka :
Kenapa menulis skrip TV? Adakah kerana mahu memberi pendidikan secara tidak langsung (indirect) kepada khalayak yang lebih besar (kita bercakap tentang angka tiga juta penonton kalau untuk TV3)? Atau kerana mahu buat duit banyak-banyak sementara industri memerlukan mereka? Apakah produk-produk mereka itu langsung tidak bermanafaat kepada ummah? Adakah konsep asal itu datangnya daripada ilham mereka sendiri? Atau konsepnya awal-awal lagi sudah ditetapkan oleh stesyen TV?
Hemm...banyak pula soalannya....siapa nak jawab...?

Saturday, May 23, 2009

MALAM INI...CEREKARAMA TV3 "SAMPAI SYURGA"

Saya jarang menulis telemovie 90 minit. Tumpuan saya lebih kepada drama bersiri. Kini, setelah lima tahun tidak menulis telemovie, saya kembali dengan “SAMPAI SYURGA”. Namun, ia bukan lah idea asal saya. Sebaliknya, idea penerbit. Saya hanya diminta menulis skripnya setelah idea ini diluluskan oleh stesyen.
Plot utamanya (main-plot) berkisar kepada seorang anak tunggal yang dimanjakan sangat oleh bapa tunggal. Tidak lulus SPM tetapi menjadi penyanyi dan kemudian menderhaka pada bapanya.
Saya kemudiannya memasukkan plot sampingan (sub-plot) yang berkisar kepada dunia hiburan tanahair. Ini lah sahaja yang boleh dikatakan idea saya sepenuhnya. Plot ini tentang industri muzik tempatan yang mementingkan hiburan murahan, sensasi, glamor, wang ringgit dan publisiti. Ia bukan untuk meningkatkan kualiti muzik, mengembangkan bakat, kreativiti dan ekspresi seni secara maksimum. Memandangkan ia adalah sub-plot dan durasinya amat terhad, isu ini hanya disentuh sepintas lalu melalui dialog.
Pelakon yang menjayakan drama ini terdiri daripada Elly Mazlien, Harun Hashim, Aqasha dan ramai lagi.
Tajuk ini dipilih berdasarkan lagu popular "Sampai Syurga" nyanyian Faizal Tahir. Bagaimanapun, saat akhir, lagu ini digugurkan lalu digantikan dengan sebuah lagu baru ciptaan Azmeer yang khusus untuk drama ini. Selamat Menonton

MALAM INI...MAJALAH 3 KEMBALI BERSIARAN

Malam ini MAJALAH 3 kembali bersiaran setelah menyepi selama enam minggu. TV3 terpaksa merehatkan program berbentuk ilmu dan maklumat ini kerana ia tidak mungkin mampu menyaingi Akademi Fantasia 7 (AF7) di saluran RIA 104. Lumrah penonton Melayu lebih mementingkan hiburan berbanding ilmu dan maklumat. Jadi, TV3 mahu menyaingi rating AF7 dengan menyiarkan drama rantaian EMBUN MUTIARA setiap Jumaat dan Sabtu. Mungkin “clifhanger” (plot tergantung) pada penghujung episod hari Jumaat akan memaksa penonton mengikutinya pada hari Sabtu lalu melupakan AF7. Adakah strategi ini berjaya? Kalau hendak tahu kena rujuk laporan agensi AC Neilsen. Bagaimanapun, anda perlu membeli maklumat ini, bukan boleh merujuk secara percuma. Kebanyakan penerbit membeli maklumat ini dengan harga RM500 setiap minggu.
Mulai Jumaat depan, jam 9 malam, drama rantaian NUR KASIH arahan Kabir Bhatia akan menggantikan EMBUN MUTIARA yang tamat siarannya semalam. Drama ini merupakan drama khas sempena Ulang Tahun TV3 yang ke-25 tahun.
Selamat menonton.

Wednesday, May 20, 2009

DARI SRI PENTAS....KHABAR ANGIN SAJA...

Ini khabar angin dari Sri Pentas, Bandar Utama. Kononnya bos besar Media Prima Berhad (MPB) yang baru akan membawa masuk para ‘pemikir’ ke dalam organisasinya. Katanya, mahu mengurangkan rancangan realiti dan hiburan. Dan ada yang mengatakan para eksekutif atasan sedia ada, tidak ‘sekepala’ dengan bos baru ini. Apa pun, yang pasti, Buletin Utama baru-baru ini mengumumkan salah seorang eksekutif atasan tidak akan diperbaharui lagi kontraknya. Berita ini bukan lah kejutan. Sudah diramalkan sejak Perdana Menteri baru belum naik lagi. Juga khabarnya, TV9 yang sekarang berkonsepkan ceria, muda mudi dan pop akan dikembalikan ke konsep asal iaitu serius, matang dan berilmu.
Saya setuju jika TV9 kembali ke asal. Namun, untuk menjadikan TV3 sebagai stesyen bual-bicara seperti ASTRO AWANI, agak tidak wajar. Seminar media di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dua tahun lepas, ada menyentuh tentang perlunya rancangan hiburan bermaklumat (Info-taintment). Ya, setuju! Golongan muda -termasuk yang tua juga - mungkin kurang menggemari bual-bicara. Tetapi sangat gilakan hiburan. Di sini lah perlunya hiburan bermaklumat sebagai pengganti hiburan terlampau.
Bagi drama pula, pandang lah kepada yang lebih berinspirasi, bukan cerita kosong. Apa yang berlaku sekarang, stesyen seolah-olah ‘fobia’ hendak meluluskan konsep yang berat, sarat dengan mesej, nilai-nilai atau idealisme tertentu. Pun begitu, jangan pula drama dijadikan teater yang biasanya tinggi pemikiran dan falsafah serta bersifat 'elit'. Apa yang perlu adalah jalan tengah (sederhana) dalam mendidik masyarakat umum (mass audience) yang pelbagai ragam.
Selain itu, kita bimbang program bual-bicara akan disalahgunakan untuk meningkatkan pengaruh parti politik tertentu. Terlalu ‘politiking’ dan pro kepada satu parti sahaja, juga menjadi faktor kenapa penonton kita kurang menggemari bual-bicara.
Akhir kata, kepada pengerusi baru, jika mahu menukar konsep dan hala tuju, slogan yang sesuai mesti berbunyi begini : Hiburan Bermaklumat, Drama Berinspirasi. (P.S. - Ribuan kemaafan sekiranya khabar angin ini datang dari sumber yang salah)