Monday, November 30, 2009

NUR KASIH...KINI DALAM BENTUK "DVD BOX SET"

Setelah tamat bersiaran melalui TV terestrial, TV3, pada 27 November lalu, Nur Kasih kini dalam bentuk "DVD Box Set". Ia dijual pada harga RM99.00. Manakala diskaun 20 peratus (RM 79.20 ) untuk tempahan secara atas talian melalui laman web TV3.
Menurut Penerbit Eksekutifnya, Mohd Frank Lewis, ini merupakan DVD rasmi (official) yang mengandungi beberapa ciri tambahan seperti 'Unseen scenes', "Director's Interview", "Cast Interview", Behind the Scenes Materials, dan sebagainya.
Bagaimanapun, terdapat juga DVD tidak rasmi dengan kebenaran penerbitnya, Filmscape Sdn Bhd, di Singapura. Menurut seorang peminat melalui emel, dia menemui koleksi DVD Nur Kasih secara berperingkat sejak Oktober lalu iaitu Vol 1 (episod 1-7). Seterusnya vol 2 (episod 8-14) pada November. Ia terdapat di :
Muzika Record Joo Chiat Complex dengan harga S$24.90, di Haig Road dengan harga S$25.90 dan di City Plaza dengan harga S$20.90.
Sambutan di negara seberang tambak itu nampaknya lebih hangat. Dalam satu wawancara dengan akhbar di negara itu, pelakon utama, Remy Ishak (Adam) menggelar peminat di sana sebagai 'lebih gila' dan 'lebih fanatik'. Sementara itu, Mira Mustaffa sebagai pencipta (creator) merangkap ketua panel skrip (Head Writer) serta saya sebagai penulis bersama (co-writer) turut diwawancara oleh akhbar Berita Minggu Singapura .
Akhir kata, terima kasih 'daun keladi' kepada semua yang menyokong drama rantaian ini. Dan terima kasih yang istimewa kepada Mira Mustaffa kerana memberi peluang kepada saya untuk membantu beliau dalam penghasilan skripnya.
Untuk tempahan, sila klik alamat di bawah :
http://www.tv3.com.my/nurkasih/dvdbox/index.asp

Tuesday, November 24, 2009

LAGI LAGI TENTANG 'RATING' DRAMA MELAYU

Kesibukan membuatkan saya terlupa menulis tentang rating untuk minggu ke empat Oktober lalu. Biarpun sudah ‘basi’, saya tetap mahu menulis. Apa yang menarik untuk minggu berkenaan? Jawapannya terletak pada Sumpah Bunian, drama slot Lagenda TV3 jam 4.30 petang yang berjaya memasuki top 10. Bukan mudah untuk program petang melonjak ke tahap itu.
Apa yang istimewa pada Sumpah Bunian?
Mungkin kah kerana ditulis oleh Sharifah Abu Salem (Kak Pah) yang sememangnya pakar dalam menarik rating tinggi? Sekarang, slot yang sama digantikan dengan Nenek Kabaya, juga ditulis Kak Pah.
Nur Kasih pada minggu berkenaan selesa di tempat pertama untuk TV terrestrial (percuma). Bagaimanapun, jumlah yang menonton melalui decorder Astro (berbayar/satelit), telah berkurangan - jatuh ke tempat ke tujuh.
Sementara itu, Awan Dania 2 merupakan drama saluran Astro paling tinggi rating. Jarang sekali sekuel drama tempatan mampu menyaingi musim pertama dari segi rating. Lazimnya, sambutan penonton berkurangan, menjadikan stesyen tidak lagi meminta musim ketiga dari pembekal. Mungkin kah ini akan meletakkan Awan Dania setaraf dengan siri TV yang berjaya dari segi komersial (commercial success) seperti Puteri (TV3) dan Bong (TV9)? Kedua-dua siri ini diterbitkan oleh pengarah 'otai', Aziz M Osman. Kini Awan Dania sedang dalam pembikinan musim ketiga.
Tari Tirana pula jatuh ke tangga 57. Jarang sekali slot Lestary TV3 mendapat tempat yang sedemikian corot. Slot ini bertemakan remaja dan sebelum ini sentiasa mendapat sambutan tinggi.
Legasi 43 Karat terbitan MIG (David Teo) pula berada di bawah 50 biarpun MIG juga pakar rating. Pihak stesyen berpendapat rating corot itu berpunca daripada isi kandungannya yang mengandungi terlalu banyak elemen ‘perniagaan’ manakala elemen ‘kekeluargaan’ sangat kurang.
Bagi RTM pula, drama paling baik dari segi rating ialah Si Capek yang berada di tangga ke-25. Ini bukan lah sesuatu yang menghairankan kerana ia diterbitkan oleh Datuk Yusuf Haslam (DY). Formula DY ternyata menjadi untuk RTM. Sebelum ini, ia dibuktikan dengan drama seperti Gerak Khas, Janji Diana dan banyak lagi.

Friday, November 20, 2009

Kerana al-Kulliyyah…terlepas Jalan Merdeka

Malam tadi, saya teruja mahu menonton siaran langsung al-Kulliyyah Khas bertajuk Satu Akidah di TV3. Program itu menampilkan tiga panelis - Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Dr Fauzi Deraman dan Prof Dr Muhammad Uthman el-Muhammady.
Dua tokoh – Dr Asri dan Prof Uthman - tidak asing buat saya. Sebagai wartawan, saya kerap mewawancara mereka tentang pelbagai isu agama samada secara bersemuka, melalui e-mail mahupun telefon. Kedua mereka sangat ‘media friendly’ – mudah dibuat temujanji, tidak cerewet dan dapat memberikan jawapan seperti yang dikehendaki, pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Namun hampa apabila siaran langsung itu ditukar menjadi siaran rakaman untuk tarikh dan waktu yang belum ditetapkan. Dan kerana menunggu al-Kulliyyah itu, saya terlepas menonton drama bersiri Jalan Merdeka di Astro Warna (saluran 132). Skrip Jalan Merdeka dikerjakan oleh saya dengan bantuan Alfie Palermo (Tower 13), Sofia J Rhyland (Awan Dania), Ayuni Zamani (Impian 2) dan Khairul Aswad Ramli (Cicakman The Series).
Nantikan al-Kulliyyah berkenaan manakala Jalan Merdeka akan berakhir pada minggu hadapan, Khamis, 27 November, jam 9.00 malam.

Tuesday, November 17, 2009

NUR KASIH…SIARAN ULANGAN MULAI 10 NOV

Mungkin ada yang belum tahu bahawa TV3 kini menyiarkan semula drama bersiri Nur Kasih selama setengah jam setiap episod. Siaran tanpa iklan dari jam 7.30 hingga 8.00 malam itu bermula 10 November lalu, setiap Selasa hingga Khamis. Terdapat pemotongan babak bagi memenuhi durasi berkenaan. Bagaimanapun, ini memadai buat mereka yang ketinggalan menontonnya semasa ia bersiaran untuk pertama kali mulai 29 Mei lalu. Minggu ini memaparkan jalan cerita yang agak memancing emosi - kematian Ustaz Hassan, bagaimana keluarga ustaz menerima ketentuan ini, bagaimana Nur Amina menyesuaikan diri di rumah mertuanya dan apakah tindakan Adam terhadap perkahwinan yang tidak diredhainya itu.
Selamat Menonton!

Thursday, November 12, 2009

TABUNG AMIRUL FAKIR..SABTU INI DI IPOH, PERAK

Saya hanya kenal Amirul Fakir, melalui karya beliau, Mea Culpa, bukan secara peribadi.
Amirul Fakir tergolong dalam kategori sasterawan Angkatan 21. Beliau berpegang pada aliran yang cenderung menghasilkan karya abstrak dan menggunakan simbol serta isyarat.
Kini, setelah mengetahui keadaan beliau yang sedang diuji dengan sejenis penyakit, saya terpanggil mewar-warkan program amal untuk meringankan bebannya. Program seni Tabung Amirul Fakir (TAF) akan menampilkan persembahan daripada sekumpulan pemuzik, pelukis dan penulis tempatan. Antaranya :
Meor Yusuf Izuddin, Pyanhabib, Fathullah Luqman, S.M Zakir, Shamsuddin Othman, Jay Freelove, Lee Kwang Goh, Kamal Sabran dan Nur Hanim.
Ia akan diadakan pada Sabtu ini, 14 November 2009 di Rumah Yayasan Keseniaan Perak (YKP), Ipoh, Perak Darul Ridzuan, bermula pada jam 3.00 petang hingga 11.00 malam.
Program ini hasil inisiatif penyanyi pop folk, Meor Yusuf Azidin yang merupakan rakan seperjuangan beliau. Untuk makluman, lagu Meor bertajuk "Ruang Sempit Ini" telah tersiar dalam salah satu episod drama bersiri Tangisan Bulan Madu.
Baca tentang Meor dalam blognya : http://www.pestajiwa.net

Monday, November 9, 2009

KENALI KEKAYAAN PALSU…ESOK DI UIA

Sebarang tipu daya pasti terbongkar jua akhirnya. Ini lah yang berlaku kepada ‘duit kertas’ yang merupakan penipuan terbesar dalam sejarah manusia. Krisis Kewangan Asia 1997-2000 dan krisis pinjaman sub-prima 2008-? di Amerika Syarikat membuka mata kita. Bahawa ‘duit kertas’ boleh menjadi ‘bala’ kerana nilainya adalah “0” (sifar). Bila-bila masa ia boleh menjadi tidak berharga. Dan duit kertas - yang tanpa sebarang sandaran nilai kepada emas - membuka ruang kepada bank dan institusi kewangan (termasuk perbankan Islam!) untuk mencipta wang melebihi kekayaan sebenar.
Gagasan Kembali Kepada Emas (Back to Gold) sekitar 2001 oleh kerajaan Malaysia bertujuan menyekat kekayaan palsu ini. Seterusnya menyelamatkan negara daripada ditimpa musibah yang sama seperti pada tahun 1997. Malangnya, ia gagal lantaran ketakutan negara-negara Arab kepada International Monetory Fund (IMF).
Di saat idea lalu gagal, gagasan ini terus bergerak. Setakat ini, mungkin sukar bagi sesebuah orgnisasi, negara atau sesebuah bank (sekalipun perbankan Islam) untuk melawan IMF melalui undang-undang sedia ada. Bagaimanapun, masih ada cara lain untuk bergerak tanpa perlu ‘cari pasal’ dengan IMF.
Bagaimana?
Ketahui lah dengan mendengar ceramah Profesor Umar Ibrahim Vadillo dari Afrika Selatan yang merupakan pengasas gagasan ini. Tajuknya The Economic Revolution of The Islamic Gold Dinar di Adm 1, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada esok hari, (Selasa, 10 November) jam 10-12 pagi. Ia terbuka kepada semua orang.
Baca pendapat saya tentang ‘duit kertas’ dalam blog MAIZURA MENULIS :
http://maizuramohdederis.blogspot.com

Thursday, November 5, 2009

ANUGERAH SKRIN KEMBALI

Tirai Anugerah Skrin 2009 dibuka dua hari lalu dengan Sidang Media memperkenalkan tajuk-tajuk drama yang tercalon. Sebanyak 22 kategori hadiah dalam bidang penyiaran ditawarkan dan 10 untuk penggiat drama. Saya sekadar menyebut telemovie hasil penulis yang saya kenal. Antaranya :
Jalan Pintas Ke Neraka (Sofia Rhyland) ; Terlerai Takbir Kasih (Mufid Suhaimi) ; Sebelum Sejadah Dibentang (Mufid Suhaimi); Halimah Jongang 1 (Zaini Kosnin) ; Tak Serupa Tapi Sama (Fadznita Md Nor)
Manakala hasil kerja saya, Datin Wan Abe tercalon untuk kategori drama komedi.
Kelayakan ke Anugerah Skrin 2009 adalah berdasarkan drama dan filem tempatan yang tersiar di televisyen atau pawagam mulai 1 Julai 2008 hingga 30 Jun 2009. Ia dipilih di kalangan yang mencatat jumlah penonton tertinggi mengikut kajian AGB Nielsen Media Research. Setelah layak pusingan pertama yang berdasarkan rating, baru lah penilaian akan dibuat berdasarkan kualiti yang akan diadili oleh juri terpilih.
Justeru, format Anugerah Skrin masih kekal seperti dahulu iaitu 'MENCARI YANG TERBAIK DI KALANGAN YANG POPULAR'.
Seperti yang diduga, Mr Mama 2 tidak dicalonkan walaupun rating drama berkenaan lebih baik dari Datin Wan Abe. Keadaan ini mungkin berpunca daripada Mr Mama 1 sudah pun menang kategori drama komedi terbaik pada tahun lepas. Ini bermakna penganjur cuba bersikap adil (benarkah adil?) dengan memberi peluang kepada produksi lain pula untuk merangkul hadiah.
Kalau betul telahan saya ini, bermakna, pendirian penganjur Anugerah Skrin tidak seperti Anugerah Emmy yang tidak keberatan memberi kemenangan kepada samada musim kedua, ketiga, keempat dan seterusnya jika hasilnya benar-benar bagus. Sebagai contoh, West Wing merupakan siri TV yang pernah memenangi Anugerah Emmy dalam kategori Outstanding Drama Series selama empat tahun berturut-turut mulai tahun 2000 hingga 2003.
Berbalik kepada Anugerah Skrin 2009, ia bakal berlangsung pada 4 Disember ini, jam 9.00 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Keterangan gambar : Saya (kanan sekali) bersama Sofia Ryhland dan Fizz Fairuz (yang memegang watak Aidil dalam Nur Kasih)

Tuesday, November 3, 2009

NASIB PENULIS SKRIP 2

InsyaAllah, petang ini akan berlangsung Sidang Media Anugerah Skrin 2009 di Sunway Lagoon Hotel & Spa. Bagaimanapun, ada di kalangan penulis skrip yang dramanya tercalon, tidak mendapat undangan ke majlis berkenaan. Jawapan mereka :
“Ye ke? Penerbit tak beritahu pun?”
Bagi majlis seperti ini, penganjur akan mengundang penerbit sahaja dan meminta penerbit mengesahkan kehadiran berapa ramai tenaga kerja yang terbabit dalam sesebuah produksi yang dicalonkan itu. Jadi, tugas penerbit lah untuk menjemput pelakon dan tenaga kerjanya untuk bersama-sama ke majlis itu.
Tahun lepas, seorang penulis memberitahu bahawa dia tidak tahu menahu dramanya dicalonkan sehingga lah dia menonton televisyen di rumahnya pada malam anugerah berkenaan. Dan melihat dramanya itu menang satu kategori sebagai drama XXX terbaik.
Kawan-kawannya bertanya :
“Kenapa kau tidak pergi?
Jawabnya :
“Macamana nak pergi, dijemput pun tidak.”
Situasi ini bukan lah luar biasa. Tetapi amat biasa dalam industri kita. Penulis skrip merupakan orang paling akhir dihargai walaupun dia merupakan orang paling mula melakukan kerja. Tanpa skrip siap dahulu, bagaimana pelakon hendak berlakon depan kamera dan pengarah melaungkan, “action!”. Namun, bila tiba waktu untuk memberi penghargaan, penulis skrip sering dilupakan.
Akhir kata saya memetik kata-kata seorang penulis :
“Kita bukan mahu orang sanjung kita berlebih-lebih tetapi cukup lah menghargai dalam kadar yang seadanya."

Monday, November 2, 2009

NUR KASIH...DARI LAYAR KECIL KE LAYAR BESAR

Berikutan sambutan terhadapnya, peminat telah meletakkan pelbagai harapan terhadap NUR KASIH. Ada yang mahukan DVD. Ada yang mahukan novel. Ada yang mahukan sekuel musim kedua. Manakala tidak kurang juga yang mahukan ia ke pawagam.
Beberapa minggu lalu Penerbit Eksekutifnya, Mohd Frank Lewis ada memberitahu saya secara 'tidak rasmi' bahawa pihaknya tidak berhasrat menerbitkan Nur Kasih dalam versi novel. Bagaimanapun, dalam bentuk DVD...mungkin ada.
Dan sekarang.... pengarah merangkap penerbitnya, Kabir Bhatia (lihat gambar), sudah pun membuat kenyataan rasmi bahawa akan ada sekuel untuk NUR KASIH. Apa pun sekuel itu bukan lah dalam bentuk musim kedua di televisyen sebagaimana kebiasaannya. Sebaliknya akan dibuat dalam bentuk filem, insyaAllah.
Baca perancangan lanjut pengarah ini dalam akhbar atas talian, MSTAR hari ini :
http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/11/2/mstar_hiburan/20091101165047&sec=mstar_hiburan