Sunday, December 16, 2012

Cinta Dari Syurga meraih 1.9 juta penonton

Slot Cerekarama yang menyiarkan telemovie tulisan saya, Cinta Dari Syurga, mendapat 1.9 juta  penonton.  Walaupun tidak mencecah 2 juta lebih seperti telemovie saya tahun lepas, jumlah ini menurut seorang penerbit, adalah tinggi. Ini secara perbandingan dengan slot-slot drama Melayu yang lain yang bersiaran sejak kebelakangan ini.

Telemovie dalam slot yang sama pada minggu sebelumnya. Atas Cinta Bawah Cinta, mendapat 1 juta sahaja akibat perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki antara pasukan Malaysia dengan pasukan Indonesia di RTM.  Memang drama Melayu akan kalah setiap kali bertembung dengan bola sepak. Tahun lepas, skrip tulisan saya, Jalan Songsang, turut tidak bernasib baik. Hanya mendapat 1.1 juta setelah bertembung dengan perlawanan akhir Piala Malaysia di RTM. Seorang rakan penulis, Zaini Kosnin, juga mendapat nasib yang sama melalui Anakku Ghazali, sebuah telemovie di Slot Skrin, TV9. Slot ini bersiaran setiap Rabu, jam 8.30 malam, juga bertembung dengan Piala AFF Suzuki 2012.

Apa pun, yang penting bukan lah rating. Sepatutnya yang diukur ialah sejauh mana sesebuah karya memberi manafaat kepada penonton. Alhamdulillah, kebanyakan penonton mengulas di blog dan Facebook, mengatakan Cinta Dari Syurga telah memberi teladan dan pengajaran kepada mereka.



No comments: